Saturday, July 20, 2013

Saat Ngah Dibawa Pergi......

Ngah ada dua nama. Sejak kecil saya tahu namanya Azizah. Hanya apabila sudah pandai membaca barulah saya tahu nama sebenarnya adalah Andam binti Ishak. Pun tidak mengapa. Tetapi apabila perbendaharaan kata saya bertambah banyak, dan mengetahui makna andam, saya tertanya-tanya kenapa Ngah boleh mendapat nama itu. Namun, apabila membaca dan mengenali ramai orang, kemudiannya, nama Andam tersebut bukanlah apa-apa sangat.Ada kawan sekelas saya di tingkatan satu mempunyai emak yang bernama Kechut, Ribut dan Hodoh!

Malah saya pernah terbayang apa panggilan harian bagi gadis bernama Telipok Layu - sebagaimana yang ditulis oleh Buya Hamka di dalam novelnya Tenggelamnya Kapal van der Wijck, apabila memperkenalkan gadis dengan nama yang agak berbeza dari kelaziman - Hayati. Novel itu terbitan pertamanya pada tahun 1938. Maka Hayati pada masa itu adalah satu nama baru di dalam masyarakat. [Saya mula membaca novel tersebut pada tahun 1974, yang dibawa bersama beberapa bahan bacaan lain, semasa Paktih pulang bercuti buat kali pertama - dengan menaiki kapal laut - dari bertugas di Sabah...]

Ngah adik emak saya. Hanya mereka berdua seibu-sebapa.Seorang yang cukup saya, malah seisi keluarga, senangi dengan keramahannya. Apabila datang berkunjung ke rumah emak, selalunya dia pasti tinggal semalam dua, terutamanya pada musim cuti persekolahan dan musim raya. Malah kedatangannya bagai ditunggu-tunggu! Tetapi itu cerita semasa kenderaan agak payah didapati, dan Ngah datang dengan menyewa khidmat kereta orang kampungnya. Pada zaman sudah berkenderaan sendiri, keadaan sedemikian jarang berlaku. Mungkin kerana faktor usia atau tuntutan masa. Entahlah.

Sudah pastilah banyak kenangan setiap ahli keluarga bersama Ngah. Saya sendiri tidak terhitung menyimpan memori tatkala bersama Ngah, dari zaman kecil sehingga usianya ditutup.

Bagaimanapun, seperti yang dicatat di atas, keramahannyalah yang paling diingati. Dengan emak, dia boleh bersembang, dengan berbantalkan lengan, hingga menjelang Subuh! Seperti emak, Ngah seorang yang nostalgis. Banyak perkara silam dapat diungkapkan kembali dengan mudah. Emak dan Ngah mempunyai ramai saudara di sekitar Kg Teluk, berdekatan Asun, Jitra. Hampir sekampung mereka kenali sejak zaman kecil dan ada pula pertalian keluarga biarpun jauh.Hal-hal yang menyentuh perkembangan dan kehidupan hampir setiap mereka Ngah tahu dan bertukar cerita dengan emak yang bertindak sebagai pencungkilnya serta menjadi pemberi maklumat tambahan tentang susur-galur setiap keluarga yang diceritakan. Saya yang kadang-kadang tumpang mendengar, cukup kagum dengan keupayaan mereka menghurai susur-galur bagaimana setiap insan yang mereka sebutkan itu, terkait hingga menjadi adik beradik saudara kami. Tok itu, Tok ini, Pak itu, Mak ini semuanya disebut.

Ngah boleh dibawa berbual sebarang tajuk. Saya masih ingat bagaimana satu malam dia berdebat tentang siasah dengan Paktam. Tempatnya di dapur rumah Tokwan. Paktam mengiring membelakangkan lantai jarang di dapur. [Lantai jarang adalah lantai di dalam ruangan yang dikhaskan sekitar 4' x 2'. Sengaja dibuat menjadi jarang dengan menggunakan papan yang dibelah selebar satu atau dua inci, dipakukan berselang seinci. Ada juga yang menggunakan belahan buluh atau batang pinang. Ia menjadi tempat basuhan di dapur, di mana airnya akan jatuh ke atas tanah di bawah rumah, membentuk acar - selut hasil kumbahan. Bagi yang menjaga kebersihan, di bawah lantai jarang itu diletakkan pancuran zink seluas kawasan lantai tersebut supaya air basuhan akan dibawa jauh sedikit ke luar kawasan dapur, terus ke parit, misalnya. Satu lagi lantai jarang biasanya dibuat di bilik tidur, sebagai persediaan jika ada ahli rumah yang sakit demam....]

Ngah mengiring juga menghadap muka Paktam. Mereka dipisahkan oleh talam berisi beberapa cawan kopi serta pinggan berisi ubi kayu rebus...

Ndak, Cik dan Tok bersimpuh di belakang Ngah bertindak sebagai pendengar. Tokwan duduk di bendul di antara dapur dengan ruang tengah rumahnya. Saya berada berhampiran lutut Paktam, ikut menghadap Ngah.

Paktam tahu pendirian siasah Ngah. Tetapi agaknya, supaya suasana menjadi hangat, Paktam sengaja menjadi oppurtunis. Terjadilah perdebatan yang cukup panjang... Tokwan, mungkin memilih untuk berkecuali, hanya diam. Sesekali saya nampak dia tersenyum, agaknya ada kelucuan pada hujah Paktam atau Ngah. Saya pula sesekali menyampuk, lebih memihak kepada Paktam. Makin bersemangatlah Ngah mempertahankan pendirian. Dua tiga kali Ngah bangun menguatkan ikatan kain yang terburai oleh gerakan badan ketika berhujah, sebelum kembali mengiring.

Lama perdebatan itu berlaku. Itu pun terhenti apabila emak mengetuk pintu dapur memberitahu Ngah, anaknya - Siti Sufrok - yang berusia setahun lebih sudah terjaga dan sedang menangis mencarinya di rumah ayah.....

Saya tidak perasan akan kekuatan suara di dalam perdebatan tersebut sehinggalah besoknya, ketika melintas di bawah rumah Maktih Chik, jiran terdekat Tokwan, dia bertanya saya, "Hangpa berkelahi apa semalam....?"

Banyak lagi yang saya kenang tentang Ngah dan mungkin akan menyusul di dalam entri lain. Tidak saya tahu yang mana paling istimewa sebab semua detik kenangan dengan Ngah adalah cukup istimewa.


Satu ketika semada di dalam darjah satu, Ngah yang memujuk saya dengan membelikan hammer toy. Puncanya saya mahu ponteng pada besoknya kerana terdengar Ngah memberitahu akan pulang pada tengah hari esok setelah dua tiga hari berada di rumah emak. Saya tidak mahu berenggang dengan beg baju Ngah. Ayah diminta berkayuh ke Kangkong, membeli benda alah itu - toy buatan kilang, seingat saya yang pertama saya dapat - di kedai Ah Piang. Sepetang saya melaram dengan hammer itu di kalangan kawan-kawan yang hanya melihat saya mengetuk apa saja termasuk kepala mereka yang sukarela mahu dibuat begitu. Sudah lama kami mengidamkannya yang tergantung di kedai Ah Piang. Dengan belanja harian sepuluh sen ke sekolah, hammer itu terlalu jauh dari jangkauan.....

Besoknya, saya ke sekolah apabila Ngah berjanji tidak akan pulang ke rumahnya sehari dua ini. Tengah hari itu, sebaik turun dari pelantar basikal ayah, saya menerpa mencari Ngah dan kemudiannya, beg baju Ngah. Dan saya meraung apabila mendapati beg baju Ngah yang selalunya terletak di luar bilik emak telah tiada....

Sekitar setahun sebelum itu, di Kampung Teluk, Asun, orang cukup ramai sepanjang empat lima hari saya di sana bersama emak, ayah dan dua adik.

Di rumah Toktam Man, bapa saudara emak, orang kampung sentiasa memenuhi laman depan, belakang serta di dalam rumah. Paling ramai pada hari kedua. Saya seronok sebab ada ramai kawan bermain. Ngah tidak begitu pedulikan saya seperti selalu. Tidak bertanya sama ada saya sudah menghisap Milo atau belum. Tidak bertanya mahu makan nasi atau tidak.

Tapi saya tetap seronok melihat Ngah. Dia berpakaian cantik, duduk di dalam bilik yang ada orang penghalang pula setiap kali saya cuba menjengah.

Saya seronok. Bermain dan kemudiannya makan bersama kawan-kawan baru di dalam kawasan khas untuk budak sebaya. Lebih seronok bila ada orang berterpaan pada tengah harinya menyambut dua buah kereta yang di dalamnya terdapat beberapa orang yang berpakaian cantik-cantik.



Tidak lama kemudian kami paling depan menerpa apabila van Volkswagon Combi berwarna biru muda muncul dan diletakkan di hadapan dua kereta tadi. Saya kenal pemandunya - lelaki Cina dari pekan Asun, kalau tidak silap namanya Ah Choon. Keretanya selalu disewa oleh orang Kg Teluk untuk ke Alor Setar dan sebagainya. Rumah emak pun pernah dia sampai bersama Toktam dan Toksu. Tapi selalunya dia membawa kereta sedan biasa. Kali ini dia membawa van. Saya seronok dan berlari mengelilingi van itu bersama kawan-kawan.

Tidak lama kemudian semua orang tertumpu pandangan ke pintu rumah Toktam. Saya tertinjau dan mendekat. Ngah dengan pakaian baru dan cantik sedang berdiri. Di sisinya adalah seorang lelaki, juga berpakaian cantik, yang keluar dari salah satu kereta yang datang awal tadi. 

Saya seronok kerana nampak Ngah yang cantik begitu. Namun saya tidak cuba menghampirinya kerana tahu diri sedang berpakaian kotor berdebu. Lagi pula saya nampak orang penghalang di bilik Ngah tadi masih bersamanya. Wajahnya bengis....

Ngah berjalan beriring dengan lelaki tadi, menuju ke van Ah Choon yang terletak di bawah pokok cempedak berhampiran bangsal tetamu di depan rumah Toktam Man.

Ngah naik kereta itu. Seronoklah Ngah, fikir saya yang masih terus tumpang seronok. Ngah duduk di tepi tingkap di belakang tempat duduk pemandu. Saya berlari pula ke arah sebelah sana. Nampak Ngah tertunduk sedang orang penghalang tadi masih saja bersamanya, sambil berkata sesuatu. Sambil itu van tersebut masih menerima penumpang.

"Ngah!" saya cuba menarik perhatian Ngah yang sedang tertunduk. Ngah tidak pun menoleh. Mungkin cermin tingkap itu menghalang suara kecil saya dari sampai ke telinga Ngah. Atau mungkinkah Ngah berlagak kerana dapat naik kereta besar hari itu.....

Ah Choon masuk ke vannya. Menghidupkan enjin. Sambil melambai kepada semua, dia menggerakkan van perlahan. Saya ikut bergerak mengikut kelajuan van itu supaya berada pada kedudukan sama dengan Ngah di dalam van. Tapi tidak jauh, saya dicempung oleh seseorang. Ngah makin jauh....

"Ye, Ngah pi 'dah. Tinggai kita 'dah..." kata seorang perempuan, dalam nada berlagu, sedang saya masih dalam cempungan orang. Saya kenal perempuan itu. Adik beradik rapat emak juga tapi saya sudah lupa siapa. Sebaik van menghilang terus dari pandangan barulah saya diletakkan ke tanah.

"Ngah tinggai Din 'dah..." kata perempuan tadi dalam nada berlagu yang saya ingat sampai hari ini! Dia mencapai tangan saya mengajak masuk ke rumah. Saya membantah. Saya mencangkung sambil memerhati ke arah jalan yang berdebu, ditinggalkan oleh van dan kereta.

Saya menangis tapi tidak berbunyi. Kemudian saya kembali bermain dengan kawan-kawan yang nampoak biasa saja melihat Ngah pergi..

Senja itu barulah penduduk di sekitar rumah Toktam Man tahu siapa saya.

Saya menjenguk ke bilik Ngah. Beg baru yang Ngah tunjukkan kepada emak pada hari ketibaan kami di situ, yang telah penuh berisi baju Ngah telah tiada. Dengan baju sebanyak itu, saya tahu lama lagilah dapat saya berjumpa dengan Ngah.

Saya meraung bersulam memanggil Ngah sehingga hilang suara!


Nota:

Ngah telah genap tujuh tahun meninggal. Cerita hammer toy serta naik van itu adalah antara isi perbualan kami yang terakhir di dalam sihatnya, di rumahnya. Ketika Ngah masih boleh tersenyum. "Hang ingat lagi no...."katanya.

Itulah juga antara detik yang saya kenang ketika melihatnya tidak berdaya di hospital serta tatkala mengiringi jenazahnya untuk dikebumikan tujuh tahun lalu....

Semoga roh Ngah serta roh semua watak saudara mara di dalam catatan - emak, ayah, Tokwan, Paktam, Toktam Man suami isteri - ditempatkan bersama roh-roh orang beriman. Diampunkan segala dosa, diterima segala amal. Amin.



Sesungguhnya, saya rindu...

No comments:

Post a Comment