Tuesday, September 24, 2013

Enam Isteri Tokwan

Tokwan
Tokwan
Tokwan, Haji Zakaria bin Lebai Isa, pernah bernikah tujuh [7] kali.

Isteri pertama - muda dara, kata orang tua-tua - bernama Jah. {Saya terlupa untuk mengkaji dari mana asalnya Tok Jah ini} Perkahwinan mereka dikurniakan lima anak - Hj Md Isa, Mohd Jusoh, Hj Mansor, Ahmad dan Hajah Mariam.

Kemudian, Tokwan berkahwin pula dengan Teh, dari sekitar Kuala Sala. Perkahwinan ini berlangsung ketika Tok Jah masih hidup - ertinya Tok Jah dan Tok Teh berkongsi suami. Namun mereka tidaklah berkongsi rumah. Tok Jah tinggal di rumah asal Tokwan di tapak yang ada sekarang, manakala Tok Teh mendiami sebuah rumah lain, bertentangan dengan rumah tinggalan emak ayah saya sekarang, sedikit ke arah mentari naik.


Menurut sumber saya, daripada semua isteri Tok Wan, Tok Teh  yang paling cantik. Bagaimana pun, takdir menentukan Tok Teh tidak mempunyai anak. Berkongsilah beliau menumpahkan kasih kepada anak-anak Tok Jah. Mereka hidup dengan harmoni.


Tok Teh seorang perokok tegar. Setiap masa Tokwan menyediakan rokok cap kucing yang diisi ke dalam bekas tin. [Saya menyelidik dan menyangka rokok yang dimaksudkan adalah cap tiga kucing, tetapi kemudiannya barulah terjumpa nama sebenar rokok tersebut - Craven A - yang selain dari dijual di dalam kotak, diedarkan juga di dalam bekas tin empat segi, mulanya saya sangkakan tin bulat, berdasarkan cerita dari sumber...] Rokok itu mahal dalam kelasnya tetapi demi sayangkan Tok Teh, Tokwan tetap membelikan, kata sumber saya.

Ketika Tok Jah sakit-sakit selepas melahirkan Ndak [Hjh Mariam], Tok Tehlah yang menjaga madunya itu, termasuk memandikan, selain memasak untuk sekeluarga. Baik sungguh hubungan mereka, tetapi telah kelihatan tanda Tok Teh tidak menyukai anak kecil. Selepas kematian Tok Jah, tanda itu semakin jelas. Ndak sendiri mengetahui betapa dia tidak disenangi oleh Tok Teh, walaupun ketika itu dia masih kecil. Melihatkan sikap itu beberapa ketika dan tiada tanda akan berubah, Tokwan menjatuhkan talak satu kepada Tok Teh.


Namun tidak lama kemudian, mungkin kerana masih sayang serta merasa tersilap,Tokwan rujuk semula dengan harapan sikap Tok Teh boleh berubah dan Ndak, anak kecilnya mendapat kasih seorang ibu. Akan tetapi harapan tersebut tidak kesampaian. Tok Teh tetap tidak boleh menerima dan melayan seorang anak kecil. Satu malam, atau mungkin awal pagi, apabila balik dari berdikir di rumah rakan sekampung, Tokwan mendapati Ndak dibiar tidur berseorangan di luar, berdekatan pintu rumah, sedangkan Tok Teh tidur nyenyak di dalam kelambu. Pagi besoknya, Tok Teh diceraikan buat kali kedua. [Ndak masih mengingati kejadian malam itu, sama seperti yang diceritakan sumber saya].


Kemudian, Tokwan bernikah dengan Fatimah binti Mustaffa, ibu tunggal beranak dua. Asalnya dari Kampung Teluk, Mukim Binjal, Jitra. Kali ini Tokwan bercerai mati. Selain dua anak dari perkahwinan pertamanya itu - Habsah @ Khatijah dan Andam @ Azizah binti Ishak - Tok Mah dikurniakan pula empat cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Tokwan - Hj Abdul HamidIbrahimSiti Noriah dan Hjh Ommus Shapakoh.

Selepas melahirkan anak keempat, Tok Mah dijemput pulang oleh penciptanya...


Selepas itu, Tokwan bernikah pula dengan orang Alor Ibus - Rahmah, namanya. Tetapi ikatan itu amat singkat, kerana selepas menyambut, dan Tokwan bertandang sekali ke rumah mertuanya, tahu-tahu mereka telah berpisah secara baik. Sumber saya masih ingat betapa pada malam menyambut pengantin baru itu, selain anak-anak Tokwan, ada beberapa lagi budak Madrasah AlFalah yang berek mereka berdekatan rumah Tokwan, ikut sama makan malam beramai-ramai. Antara yang ada ialah Paklong Ramli bin Puteh [bukan Tan Sri P Ramlee, tau] - anak saudara Tokwan, anak kepada pasangan adiknya, Toksu Zainab/Toksu Puteh dari Kandai. Bersama Paklong Ramli adalah sepupunya, dari Alor Penyengat, Omar dan Ahmad bin Jusoh, yang kemudiannya menjadi abang ipar Paklang [Mansor Hj Zakaria].... Maka bertanyalah seorang peneman pengantin perempuan, " Ini semua anak-anak Cik Ya ka?". Tokwan mengiyakan.

Kata sumber saya, agaknya terkejut dengan begitu ramai anak, ditambah pula dengan penyakit lelahnya, Tok Rahmah akhirnya diceraikan..... Sumber saya yang sedang remaja ketika itu ditugaskan menghantar Tok Rahmah pulang ke Alor Ibus dengan menunggang basikal tua membelah jalan Batas Paip [Jalan Yan sekarang] yang masih belum berturap tar. Dari jalan raya itu, jauh pula ke tengah bendang rumah keluarga Tok Rahmah. Kerana jalan masuk yang hanya muat untuk sebuah basikal lalu, maka sumber saya pun hanya menghantar setakat jalan besar itu sahaja. Berjalanlah Tok Rahmah sendirian sambil menjinjing beg pakaiannya....... [Tok Rahmah  masih ada di kampung halamannya ketika ini, kata sumber saya, dan mereka masih saling mengenali dan bertegur-sapa]

Berikutnya, Tokwan nikahi pula orang sekitar Tokai, bernama Fatimah. Juga tidak panjang hayat ikatan itu. Menurut sumber saya, musim menuai sudah dekat di kampung Tokwan - Kampung Permatang Ibus. Tok Timah meminta izin untuk pulang sebentar ke rumah ibu-ayahnya. Tokwan mengizinkan dengan titipan pesan: balik semula ke Permatang Ibus untuk kerja-kerja mengerat padi. Namun, sehingga orang mula mengerat padi Tokwan, Tok Timah tidak pulang-pulang. Malah Tokwan diberitahu bahawa isterinya itu sedang membantu mengerat padi di sawah ayahnya.... Tokwan pun mengutuskan surat melalui seseorang - berisi tentang jatuhnya talak.... Malangnya, surat itu, almaklumlah dikirimkan melalui orang biasa, bukan posto-posto, telah terlambat sampai. Sumber saya masih ingat, bagaimana Tok Timah pulang pada suatu hari ditemani seorang keluarga terdekatnya, hanya untuk mendengar bahawa dia telah diceraikan beberapa hari lalu ..... Berpatah baliklah semula mereka berdua ke Tokai.... [Tok Timah juga masih ada di kampung kelahirannya. Ndak pernah berjumpanya dan masih saling mengenal. Sumber saya pula lebih kerap terserempak dengan Tok Timah di beberapa majlis kenduri...]


Tok Tayah
Akhir sekali, Tokwan berkahwin pula dengan janda tanpa anak dari kampung sendiri - Satariah binti Man. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada penghujung tahun 1960-an, namun meninggal sebaik dilahirkan. Tok Tayah [seperti selalu dipanggil orang] adalah nenek bagi hampir kesemua cucu Tokwan. Hanya sepupu tertua saya, Hassan [Abang Mi], anak tunggal Wa Hj Md Isa yang pernah menatap wajah Tok Mah, walaupun mungkin tidak diingatnya. Bagi cucu-cucu yang lain - bermula dari saya [cucu kedua tertua] -semuanya membesar dengan hanya melihat dan mengenali Tok Tayah.


Tokwan meninggal pada tahun 1993 dan Tok Tayah masih ada serta menghuni rumah Tokwan - yang telah beberapa kali diubahsuai - di atas tapaknya yang asal.


Nota:

Catatan ini sekadar untuk kita mengenali/ menyusuri susurgalur keluarga. Sumber saya di dalam catatan ini adalah Hj Mansor Hj Zakaria [Paklang], dengan sedikit info tambahan daripada Hjh Mariam [Ndak].

1 comment:

  1. Anonymous10/08/2015

    Berminat betul saya membaca catatan ini.Ianya ada kena mengena dengan salah seorang anak Tok Wan yang amat saya kenali.
    Cumanya saya ingin pastikan:Betulkah anak Tok Wan bersama Satariah meninggal waktu dilahirkan, atau Satariah yang meninggal sewaktu melahifkan anaknya dihujung 1959.

    ReplyDelete