Mohd Fahim Amzar |
Mungkin Mohd Fahim Amzar mempunyai sebab lain. Tetapi yang saya nampak, dia menangis tersedu tatkala mengetahui sepupu-sepupunya dari Lembah Kelang akan bertolak balik ke KL setelah berkampung empat hari di rumah peninggalan tok dan tokwannya. Segala keriangan sebelum dan selepas kenduri perkahwinan pakciknya seakan dipancung tiba-tiba.
Amzar, seperti yang selalu dipanggil, berusia 6 tahun.Sejak awal pagi dia sudah membuat perangai. Mukanya mencuka pada kadar pH 3. Sesiapa saja yang menegurnya, tidak dipedulikan. Berseorangan dengan mulut yang dimuncungkan. Di tangga di dalam rumah. Di dapur. Di luar rumah. Pada semua tempat itu dia menggelisah. Kemuncaknya adalah ketika sepupunya mula bersalaman tanda akan berpisah dengan seluruh keluarga besar kami. Dalam riuh suara hampir semua ahli keluarga, Amzar duduk di atas tindanan kerusi yang dijadikan kerusi pengantin pada hari utama di depan rumah - menekup mukanya. Dia teresak. Setiap pujukan dari ssiapa juga tidak dipdulikan. Suasana makin riuh apabila semua ahli keluarga sudah berhimpun di depan rumah - sekurang-kurangnya di muka pintu - bagi menghantar keluarga Salmizan/Rosli berangkat. Amzar tetap menekup muka, menunduk, serta teresak. Pujukan yang berterusan dari ramai ahli keluarga tidak dihiraukannya. Pasangan yang dipanggil Paknjang dan Maknjang serta anak-anak mereka yang bakal singgah di rumah opah di Batu Gajah juga ikut memujuk. Amzar tetap seperti tadi....
Tiada walau secalit jelingan darinya. Akhirnya yang berangkat tetap berlalu dengan saling melambai kepada yang ditinggalkan. "Bye-bye semua. Bye-bye Amzar....." kata Shahirah, sepupu termuda dari keluarga yang berangkat pulang.
Amzar tetap seperti tadi. Tidak pun diangkat kepala atau dibuang telapak tangan dari mukanya. Cuma esakannya berterusan. Lama kemudian masih terdengar tangisan serta sesekali raungannya......
Mungkin Amzar mempunyai sebab lain.Tetapi itulah yang saya nampak.Dan ibunya sendiri berkata bahawa demikianlah kelaziman sikap Amzar itu jika menghadapi saat akan berpisah......
Melihat telatah Amzar, saya teringat kepada arwah Tokwan, Hj Zakaria Lebai Isa.
Tokwan juga akan membuat perangai pada detik-detik begitu.
Hj Zakaria Lebai Isa |
Saya masih sangat ingat tentang itu. Seperti Amzar, cicitnya yang tidak pernah saling mengenal sesama mereka, Tokwan cukup ketara berubah pada hari terakhir Paktih atau Paktam berada di kampung.
Pagi-pagi lagi selepas sarapan, Tokwan akan menghilang. Selalu begitu. Baik sama ada ketika Paktam akan pergi ke KL atau tatkala Paktih akan kembali ke Sabah. Sukar untuk mereka bersalam dengan Tokwan pada hari itu.
Ke mana Tokwan menghilang?
Setelah beberapa kali, akhirnya kami tahu di mana Tokwan berkelana!
Tokwan akan ke satu bangunan melintang yang masih ada hingga kini di Sekolah AlFalah, yang terletak sekitar 50 meter dari rumah kami. Dari situ, melalui cermin tingkap, Tokwan akan melihat Paktih atau Paktam berjalan dari rumah, melintasi bangunan tersebut, seterusnya berjalan lagi ke tempat menunggu bas di jalan utama - sekitar 100 meter dari situ. Seorang dua di antara kami akan ikut menghantar sampai ke situ, sekurang-kurangnya sebagai pembawa beg pakaian.
Kami tahu Tokwan berada di dalam bangunan tersebut berdasarkan pergerakan bayang yang kelihatan dari luar. Kami tahu Tokwan akan menunggu di hala tingkap mentari naik sehinggalah nampak pergerakan kami bersama Paktam atau Paktih dari rumah. Apabila kami sudah melintasi bangunan itu pula, Tokwan akan brgerak ke hala tingkap arah mentari jatuh - tepatnya menghadap ke jalan Batas Paip. Dari situ, Tokwan akan memerhati anaknya berlalu pergi..... Ikut menanti sehingga Paktam atau Paktih menaiki bas untuk ke Alor Setar. Kami yang menghantar hingga ke dangau perhentian bas pun beransur pulang selepas itu.
Jangan mengharap untuk melihat kelibat Tokwan lagi di dalam bangunan melintang berkenaan. Sebaik sampai ke rumah semula, kami akan melihat Tokwan dengan selamba duduk di atas satu bangku sambil bersandar pada salah satu tiang rumah.... Jangan sesiapa bertanya apa-apa kepadanya jika berada di dalam situasi begitu, dan sehingga beberapa jam selepasnya....
Demikianlah.
Saya teringat ketika Paktih dan Maktih akan berangkat untuk mengerjakan ibadah haji sekitar dua dekad lalu. Tokwan dengan Tok diminta untuk tinggal menunggu di rumah Paktih/Maktih di Gurun kerana dua anak mereka - Zul Majdi dan Fahmi sudah bersekolah ketika itu. Dua lagi anak - Fatin Hanisah dan Khairul Jafni diletakkan sementara di rumah kami di Permatang Ibus [Fatin dimasukkan ke Tabika Kemas di situ].
Pada hari bertolak dari Gurun, saya nampak Tokwan menggelisah. Kalau Paktih bertolak dari rumah Tokwan, pastilah ketika itu Tokwan telah hilang ke bangunan melintang Sekolah AlFalah.... Tapi, fikir saya sendiri, kali ini tentulah Tokwan tidak bersikap begitu kerana Paktih akan pergi ke Mekah, bukannya ke Sabah!
Untuk acara menghantar, Tokwan dicadangkan untuk menaiki salah kereta seorang ahli keluarga yang akan membawa Tokwan semula ke Gurun, bersama dua cucunya, selepas Paktih/Maktih menaiki kapalterbang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Alor Setar. Cadangnya, demikianlah.
Saya berada di dalam rumah ketika Paktih melangkah keluar kali terakhir dari pintu rumahnya. Semua beg telah dimasukkan ke dalam kereta. Tokwan saya nampak berdiri di tepi pintu pagar rumah.Kemudian semua bertumpu ke arah seorang rakan Paktih yang melaungkan azan. Sesudah itu Paktih sendiri membaca doa selamat untuk keberangkatannya.
Kemudian semua orang bergerak ke kenderaan yang telah ditetapkan. Saya tidak ikut serta menaiki kereta kerana bercadang untuk terus pulang ke rumah dengan motorsikal. Selepas semua kereta bertolak, saya ke motorsikal untuk sekadar menjejak asap mereka.Ketika mahu melangkah naik, saya nampak kelibat Tokwan, nun di hujung jalan mati, berselang dua pintu rumah dari rumah Paktih!
Tokwan tidak menghantar Paktih/Maktih ke lapangan terbang seperti yang dicadangkan. Dalam saling mengambil tempat untuk menaiki beberapa kereta itu, Tokwan sempat mencelah untuk meloloskan diri......Tidak pastilah sama ada terdapat insan lain yang terperasan akan ketiadaan Tokwan di dalam rombongan yang bertolak ke Alor Setar itu. Hendak saya hubungi seseorang melalui telefon bimbit? Kejadian itu berlaku ketika telefon ATUR berharga sepuluh ribu ringgit......Yang boleh digunakan untuk membaling anjing pun paling lekeh berharga dua tiga ribu ringgit. Kalaupun saya ada telefon [atau terfikir untuk menggunakan telefon di rumah Paktih], siapa pula di dalam kereta yang patut saya hubungi?
Akhirnya, saya menuju ke arah Tokwan yang juga sedang melangkah ke arah saya - tepatnya untuk kembali ke rumah Paktih. Saya berniat untuk bertanya kenapa Tokwan tidak ikut sama menghantar Paktih/Maktih. Tetapi niat itu terpaksa saja diurungkan.
Saya nampak pipi Tokwan basah........
No comments:
Post a Comment