Assalamu'alaikum.
Bagi pihak seluruh keluarga arwah Mohd Jusoh Hj Zakaria dan Hjh Habsah @ Hatijah Ishak, saya mengucapkan JUTAAN terimakasih kepada SEMUA ayahanda/bonda saudara dan sepupu-sepapat sekeluarga, yang telah menghadiri serta membantu melancarkan perjalanan kenduri di rumah tinggalan emak.ayah kami di Kampung Permatang Ibus, Kangkong, pada 14 September 2013. Segalanya akan tetap kami kenang.
Terima kasih daun keladi,
masih ada sekali kenduri..
Bagi pihak seluruh keluarga arwah Mohd Jusoh Hj Zakaria dan Hjh Habsah @ Hatijah Ishak, saya mengucapkan JUTAAN terimakasih kepada SEMUA ayahanda/bonda saudara dan sepupu-sepapat sekeluarga, yang telah menghadiri serta membantu melancarkan perjalanan kenduri di rumah tinggalan emak.ayah kami di Kampung Permatang Ibus, Kangkong, pada 14 September 2013. Segalanya akan tetap kami kenang.
Terima kasih daun keladi,
masih ada sekali kenduri..
Seorang jemputan yang tidak dapat hadir pada hari kenduri, kerana urusan yang tidak dapat diketepikan, telah datang pada malam sebelumnya. Berbual sekitar 25 minit sebelum meminta diri, dia melahirkan kerinduan pada suasana yang sedang dilihatnya. Suasana yang sukar untuk dilihat lagi di kampung kelahirannya. Beberapa orang sedang berada di tempat menggoreng ayam berhampiran rumah bahagian dapur dan ramai pula -termasuk kanak-kanak - sedang berkumpul di dalam khemah di depan rumah kami dan rumah tinggalan Tokwan, bagi menghadap makan malam. Dia terkejut apabila saya memberitahu bahawa semua itu bukan orang, sebaliknya kaum kerabat dan sepupu sepapat. Dia lebih terkejut apabila diberitahu bahawa yang bakal memasak untuk kenduri besoknya adalah dari kalangan bukan orang itu. Tidak ada chef dari pakatan penduduk kampung seperti kelazimannya.....
"Saya iri melihat suasana ini...." kata tetamu itu sambil tertawa, tatkala melangkah memasuki keretanya..
Demikianlah.
Kampung kami tidak seperti dahulu lagi di dalam hal-hal kenduri-kendara. Sukar untuk ditemui suasana saling bekerjasama, bergotong royong dan bersepakat dalam mengendalikan kenduri.
Ketika emak masih ada, dia akan memastikan diadakan mesyuarat bagi menguruskan kenduri, seperti lazim dilakukan pada era ayah, dan lebih-lebih lagi Tokwan, mengendalikan pakatan kenduri. Saya pernah membantah, tetapi kata emak, itu adalah adat kita dalam bermasyarakat. "Nanti apa pula kata orang,"demikian kata emak.
Tetapi saya mengalami satu suasana yang cukup mengerikan.....
Untuk majlis kenduri perkahwinan adik saya, Nor Hafizah, beberapa tahun sebelum kematian emak, saya telah memanggil mestuarat, seperti yang emak kehendaki. Disediakan makanan dan minuman untuk sekitar 60 orang yang diundang pada satu malam. Sebaik sesuai masanya, saya pun memulakan acara dengan mengucapkan salam, berterima kasih kepada yang sudi hadir. Kemudian saya nyatakan hajat diadakan mesyuarat tersebut: bermula dengan memaklumkan akan mengadakan kenduri, mengundang semua yang ada beserta seisi keluarga ke kenduri yang bakal diadakan kelak; menyatakan jumlah jemputan, mengumumkan menu yang bakal disediakan beserta kuantiti daging lembu dan ayam - untuk makluman semua serta terutamanya untuk dinilai cukup-tidaknya dengan jumlah jemputan, oleh tukang masak rasmi. Sebaik saya menamatkan ucapan, maka ketua tukang masak menyatakan kuantiti lauk itu berpadanan dengan jumlah bakal tetamu. Serentak dengan itu, muncul satu suara dari kalangan yang hadir. "Hah, tunggu apa lagi? Angkatlah ayaq dengan apa-apa yang ada 'tu..." Gelak dan riuh suara yang lain memenuhi ruang tamu rumah. Maka dihidangkanlah apa-apa yang ada, yang disediakan sejak petangnya. Dan majlis pun bersurai sekitar 15 minit kemudian.....
Begitukah namanya mesyuarat?
Sejak malam itu saya berazam tidak akan mengadakan acara bodoh itu lagi, biar pun emak mungkin membantah. [Emak telah tiada ketika diadakan kenduri pada kali ini......]
Begitukan namanya sebuah pakatan?
Bukan semua kenduri atau semua tempat bermasalah sebegitu. Saya tahu. Sekurang-kurangnya, saya mempunyai cerita seronok dalam mengendalikan kenduri berskala besar.
Di kampung mertua saya, di sekitar Kubor Panjang, malam mesyuarat begitu sudah kelihatan keseronokan itu. [Saya pernah menjadi tuanrumah berikutan kematian bapa mertua tatkala mahu mengadakan kenduri perkahwinan adik ipar tunggal, yang kini turut telah meninggal] Berbaloi sungguh menyediakan jamuan sepanjang siangnya.....
Dijemput wakil dari tiga empat kampung sekitar bersama seluruh penduduk lelaki kampung sendiri. Ada pengerusi dilantik sebaik tuan rumah menyerahkan kepada majlis. Ada tukang catat keputusan mesyuarat. Jika nantinya ada kemusykilan tentang sesuatu hal, buku yang mengandungi keputusan mesyuarat itulah yang akan dirujuk.
Dibahagikan acara dan tugas dengan teratur. Bila harinya untuk mendirikan khemah tetamu serta khemah/bangsal memasak. Bila harinya bagi meruntuhkan khemah selepas selesai kenduri. Siapa ketua daging mentah, yakni daging yang disiang hinggalah dibasuh serta diserahkan kepada tukang masak [dia juga berperanan memastikan daging dicari/dibeli jika tidak cukup sehingga ke petang]; siapa tukang masak; siapa ketua lauk, yakni menu yang telah siap dimasak hinggalah sedia untuk dihidangkan; siapa ketua hidang, yang memastikan lauk sentiasa cukup semasa dihidangkan, baik pada era makan berhidang dulu-dulu atau pada era makan a la carte @ buffet, seperti sekarang.... Siapa pula yang menguruskan bekas pinang atau rokok/cerut untuk para petugas. Siapa yang menyambut tetamu di khemah tetamu perempuan dan lelaki. Siapa ketua penanggah dan ketua pencuci pinggan. Bagi kedua-dua jawatan terakhir ini, dinyatakan pula waktu bertugas masing-masing, biasanya dalam tiga period, dua jam setiap satu, dari pukul 11.30 - 1.30/ 1.30 - 3.30/ 3.30 - 5.30. Lazimnya, period terakhir diberikan kepada penduduk setempat. Namun penduduk setempat biasanya akan dibahgaikan pula supaya ada di dalam setiap period tersebut, kerana jumlah yang lumayan ramainya.
Maka lancarlah perjalanan kenduri.... seronoklah hati si tuan rumah.
Sehingga kini, keadaan di situ masih tidak berubah. Sabtu, 21 September nanti, ada sebuah kenduri di kampung itu. Saya tidak sabar untuk meresap jiwa menjadi orang kampung berkenaan, mengalami semangat kesepakatan yang menarik.....
Dengan situasi di kampung kelahiran diri yang tidak sama dengan di kampung halaman arwah samatua saya itu, maka kenduri sempena perkahwinan adik kali ini, sepenuhnya menggunakan khidmat sepupu sepapat serta kaum kerabat. Ini bukanlah kali pertama kami bekerjasama sedemikian. Dua kali telah diaplikasikan di rumah Paktih di Gurun, serta dua kali juga di rumah Maktam di Permatang Ibus.
Bermula dari kedatangan Ndak pada malam hari Khamis, suasana menjadi meriah pada hari berikutnya. Anak cucu Pakya berdedam datang, bermula dari pagi sekadar untuk melakukan kerja-kerja pemanas badan - mengupas apa yang patut serta mengulas, juga, apa yang patut. Pada petangnya, apabila daging kerbau dan ayam telah tiba, tugas dipikul bersama untuk menyiang atau membasuh, dengan kehadiran sama beberapa rakan sekampung. Menjelang senja, daging siap disiang, ayam mula digoreng.
Menjelang waktu Isyak, jamuan makan malam telah siap. Proses menggoreng ayam bagi digaul dengan sambal [entah nama apa, bagi menu ayam merah esoknya] yang siap dimasak pada hujung petang, berlangsung terus sehingga selesai.
Ketika itulah, jemputan yang tidak dapat hadir pada hari kenduri, kerana urusan yang tidak dapat diketepikan yang saya catatkan di atas, telah datang.....
Pertengahan malam itu, Paktih bersama Saleh, sepupu saya dibantu beberapa kaum kerabat lain menggulai daging, cukup untuk hanya dimasukkan santan dan kentang pada pagi besoknya. Kerana sedikit masalah logistik, saya tidak dapat ikut sama menyaksikan acara itu. Lewat malam, apabila masalah saya selesai, kami [beberapa orang sepupu lelaki] bergerak pula ke rumah Bang Mi, sepupu kami paling senior, anak tunggal Wa Hj Md Isa di hujung kampung.
{Di situ, pada dua majlis kenduri di rumah Maktam yang lalu, pada waktu seperti itu, kami masuk ke studio mini milik Bang Mi. Di studio itu ada beberapa instrumen muzik, cukup untuk membentuk sebuah band 4-5 orang. Maka yang berbakat seperti tiga sadara - Yusoff, Abdullah, dan M Nasir [keluarga kami ada M Nasir sendiri....] - atau dua saudara - Nizar dan abangnya, Khirudin - serta terbarunya Azlan [kami juga ada Azlan The Typewriter sendiri....] akan memperagakan bakat masing-masing....}
Cadang mereka hendak masuk ke studio juga, tetapi entah apa puncanya, ketika saya dan Ismail - adik Saleh yang bakal ikut memasak pada pagi nanti - sampai, cadangan itu seperti diurungkan saja. Kami memilih untuk bersembang sesama sepupu sepapat, mencungkil beberapa hal, membangkitkan nostalgia dalam beberapa episod, membuat pengisahan dalam beberapa tajuk, menghabiskan dua jag minuman panas yang disediakan Kak Leha, isteri Bang Mi, diadun dengan tawa atau sengihan bagi setiap yang mencuit hati.... hingalah jam tiga pagi......
Pagi.
Saleh |
Sementara itu, sepupu sepapat dari jantina bertentangan pula sibuk membantu di ruang dapur serta di dalam rumah. Apa yang mereka lakukan tidak dapat saya huraikan dengan lebar, kerana ketidaksamaan gender dengan mereka menyebabkan saya tidak dapat menyaksikan dengan jelas. Selain memasak atau menyempurnakan masakan serta menyediakan yang sepatutnya berkaitan masakan berkenaan, mereka mungkin ikut menyediakan suasana rumah yang lebih sedap dipandang, atau mungkin melayan beberapa tetamu awal yang terdiri dari wanita di kejiranan kami....
Di luar, selain beberapa anak muda sekampung, semua sepupu sepapat memainkan peranan - mengatur meja kerusi serta menyediakan bekas air, bekas makanan dan bekas minuman, selain memastikan tempat membasuh pinggan yang selesa. Sambil itu, mereka bersarapan mi goreng atau nasi rendang yang disediakan di dalam rumah....
Sekitar jam 10.50, ketika nasi dan lauk telahpun siap siaga untuk dihidangkan, Ustaz Man [warga asal Pattani yang lama bermastautin di kampung kami - sila lihat dua entri: Padprik Dari Pattani dan Gadis Bertudung Putih] memulakan majlis tahlil dan doa selamat. Anak muda sekampung serta sepupu sepapat menyertainya.
Belum pun pukul 11.30 seperti yang dijanjikan, pelajar Pusat Tahfiz Amal yang cukup terkenal di seluruh negara, yang terletak berdekatan rumah kami, telah tiba. Sekitar 130 orang, dikampuhkan lelaki perempuan, berusia sekitar 6 hingga 12 tahun. Penuh dua fasa khemah untuk lelaki dan prempuan. Sepupu sepapat menyendukkan nasi serta lauk untuk mereka yang beratur panjang.
Selesai anak-anak dari pusat yang terkenal kerana acara mengutip derma itu makan, saya diminta untuk menukar pakaian bagi menyambut tetamu dan tidak diizinkan berada di bahagian belakang tabir lagi....
Bermula dari itu, deretan tetamu hampir tidak terputus. Jumlah yang datang sama ramai dengan jumlah yang pulang.....
Saya diminta hanya menyambut dan mengalu-alukan kehadiran tetamu. Kerabat dan sepupu sepapatlah yang menguruskan semua hal lain. Hingga ke petang. Hingga ke malam.....
Acara berjalan lancar. Cuaca sesuai untuk kenduri - mendung berselang-seli dengan pecah panas sepanjang hari, berbanding hujan saban hari hampir seminggu berturut-turut sebelum itu. Segala pujian hanya bagi Allah, pencipta dan pemilik serta pengatur alam ini.
Selain SEBESAR-BESAR TERIMAKASIH, apakah lagi perkataan yang dapat dicari bagi menghargai semua sepupu sepapat serta kaum kerabat yang bertungkus-lumus sebelum, semasa dan selepas majlis tersebut?
Tidaklah dapat saya perincikan untuk setiap orang. Semuanya, dengan kemampuan yang ada, telah membantu melancarkan perjalanan majlis kami. Yang berulang datang dua hari berturut-turut, termasuk hari pra-kenduri, dengan membantu memotong daging, membasuh dan menggoreng ayam. Yang bermalam di rumah warisan emak ayah, serta rumah warisan Tokwan, sambil menyediakan menu utama. Yang berpagi-pagi pada hari kemuncak, membantu mengemas rumah serta menyambut dan melayan tetamu. Yang hingga ke petang, membersihkan laman serta pinggan-gelas dan peralatan memasak. Yang sepnajng waktu merakam suasana [termasuk yang saya gunakan di dalam entri ini...].Yang hingga ke malam masih setia, sehingga majlis bersurai setelah puas meminta pengantin berucap......Semuanya, dengan cara tersendiri, telah ikut memeriahkan majlis.
TERIMA KASIH wahai semua. Hanya Allahlah sebaik-baik pemberi ganjaran. Semoga ikatan kekeluargaan sesama kita semakin teguh dan berterusan. Aamiiiin.
Demikian pula kepada seramai 57 orang kecil-besar, tua-muda yang menyertai rombongan kami ketika bertandang pada majlis di pihak pengantin perempuan, di dewan Darulaman Country Heights, di Jitra, pada Sabtu, 31 Ogos 2013.
Semuanya akan sentiasa dikenang.
Terima kasih daun keladi,
seboleh-boleh teruskan lagi.
Terima kasih daun kailan,
seboleh-boleh biarlah berkekalan.
Terima kasih daun berangan,
kalau boleh, berubah jangan.
Terima kasih daun saderi,
semoga kasih terus terpateri.
Terima kasih daun kantan,
jangan letih mengukuhkan ikatan.
Terima kasih daun .....
No comments:
Post a Comment