Sunday, July 14, 2013

Okay Lahuma!

Di rumah tengah Tokwan, pada cabang kayu kering dilicinkan yang dipakukan di tiang serinya tersangkut sebuah beg pvc. Zipnya terbuka. Di dalamnya Tokwan simpan surat-surat serta beberapa peralatan yang tidak saya pasti apanya.

Beg itu tergantung terlalu tinggi untuk saya. Namun saya seronok melihatnya kerana di seluruh kulitnya ada banyak tulisan kecil berhuruf besar. Saya mengeja setiap satu, setiap kali melintas di bawahnya. Kebanyakannya saya tidak pasti akan sebutannya.Namun ada dua perkataan yang paling menarik perhatian.

Pertama, New York, sebab saya selalu mendengar di radio, terutamanya berita, ada menyebutkan perkataan itu. Saya boleh menterjemahkan New tetapi tidak tahu apa makna York.

Kedua, ada masalah sedikit. Apa yang saya eja, tidak sama dengan yang pernah saya dengar.....

Ketika itu, di radio ada slot Radio Ke Sekolah-sekolah. walaupun saya hanya di kelas rendah di sekolah rendah, saya amat suka mendengar slot itu. Ada pelbagai pelajaran yang biasanya disampaikan di dalam bentuk cerita atau drama. Paling saya tunggu adalah drama Pending Permata karangan Shamus Frazier yang disiarkan secara berantai. Saya seperti berada bersama watak-watak di dalam cerita itu. [Lama kemudian barulah saya tahu itu adalah adaptasi dari buku karangan Shamus Frazier]

Untuk Kesusasteraan Melayu ketika itu didramakan novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Watak Jeha dan Lahuma serta anak-anak mereka begitu cepat meresap ke jiwa saya. Kadangkala saya sebak, malah menangis, apabila membayangkan penderitaan keluarga petani di Kampung Banggul Dedap, Sik itu.

Maka melekatlah nama Lahuma di minda saya. Lebih-lebih lagi tidak pernah pula saya jumpa orang lain bernama demikian.

Namun ejaan di kulit beg Tokwan sedikit berbeza. Lahoma.Di depannya ada OK pula.Maka, setiap kali membaca kulit beg Tokwan, pada perkataan OKLAHOMA itu, akan saya sebut Okay Lahuma....dengan anggapan berlaku kesalahan ejaan!

Setelah pandai sedikit lama kemudiannya - di dalam darjah lima - saya malu sendiri. Rupa-rupanya di kulit beg Tokwan itu tertulis nama negeri-negeri/bandaraya-bandaraya di Amerika Syarikat...Memang Oklahoma! Tiada kena-mengena dengan Lahuma, watak yang kemudiannya dilakonkan oleh Ahmad Mahmud apabila novel tersebut difilemkan oleh Sarimah, di bawah arahan Jamil Sulong.[Ada kritik mengatakan Ahmad Mahmud terlalu berisi ketika menjadi Lahuma yang hidup kaya dengan kemiskinan itu...]


Sayangnya, ketika saya tahu itu, beg Tokwan tersebut telah dilupuskan entah di mana.....

Nota:
Farid Abd Hamid
Farid
Petang ini, ketika teringatkan sepupu saya yang baru mula belajar di negara Barack Obama itu, saya terkenang beg Tokwan tersebut. Saya bertanya Farid  - anak Paktih - jauhkah Oklahoma dari tempat dia belajar. Jauh gak, katanya. Dia belajar di Nashville,Tennessee. Tidak disebutkan jaraknya dengan Oklahoma dan saya boleh meminta Pakcik Google nyatakan, tetapi sengaja saya biarkan begitu.... Lagi pula Farid meminta saya sebutkan namanya sebagai pemberi maklumat....hehehehe



1 comment: