Contoh muka dalam Utusan Qiblat/Kiblat |
Emak |
Emak baru selesai kerja di dapur. Dalam sebulan, dua tiga
kali juga emak berkeadaan seperti itu. Meniarap menghadap matahari naik ,
berhampiran tingkap rumah ibu. Telah beberapa bulan begitu dan entah berapa
bulan lagi akan begitu.
Majalah itu – Utusan Kiblat [atawa
Qiblat]–
yang Paktih bawakan kelmarin, telah beberapa kali dibeleknya dari kulit ke
kulit.
Rencana terjemahan
karangan Syeikh Jamaluddin Al Afghani sudah dibaca. Tafsir Al Quran Al Kareem yang dua muka surat itu juga telah
dibacanya. Begitu pula dengan ruangan Hadis Pilihan dan Soal Jawab Agama serta
Ehwal Dunia Islam. Ruangan Kamus Kiblat serta Khutbah Jumaat pula paling awal
emak baca, sebaik majalah sampai ke tangannya dan kebetulan tiada gangguan
anak-anak atau tuntutan tugas rumah lain. Cuma ruangan cerpen biasanya hanya sesekali emak teliti, jika tajuknya
menarik perhatian atau mengundang tanda soal. Rencana-rencana dengan tajuk yang
agak ilmiah memang emak sekadar mengerling. “Istilahnya pelik-pelik…”kata emak selalu.
Pernah emak tunjukkan saya tajuk ‘Islam dan Kapitalisma’… lalu kami berdua
ternganga!
Emak kenal beberapa nama yang tulisan mereka sering muncul
di majalah bulanan itu - Nahmar Jamil [kadangkala menggunakan nama Norman Rawi
Jamil], Norhisham Mustaffa [ yang sering pula muncul dengan skrip drama di
radio], Ismail Ibrahim yang masih jauh dari bergelar Dato’, Bachtiar
Djamily , Nora [nama pena Hj Ali Hj Ahmad], Suhor Husin Antarsaudara serta Anas K Hadimaja.
Kini emak menumpukan perhatian pada muka surat terakhir –
bersetentang dengan kulit belakang bahagian dalam. Muka surat itu adalah
ruangan yang menjanjikan hadiah untuk pembaca.
Pembaca mengumpul jawapan untuk beberapa bulan – nama peraduannya
Teka Biji Tasbih [saya tidak pasti nama tepat bagi peraduan ini]. Setiap bulan,
majalah tersebut memaparkan susunan biji tasbih berbentuk beg tangan wanita - susunan hampir serupa namun bilangan biji
tasbih pastilah berbeza. . Pembaca diminta mengira jumlah biji tasbih tersebut,
menyimpannya hingga cukup enam bulan – kalau tidak silap. Selepas itu, barulah
semua jawapan beserta keratan borang setiap keluaran diposkan kepada penerbit.
Saban bulan, sejak majalah yang mula diterbitkan pada awal
tahun 1970 itu, mengadakan peraduan tersebut, Paktih tidak pernah lupa
membelinya. Emak akan bersedia dengan pen jenama Youth.[yang pada zaman itu saya
sebut pen Yot!]
Emak meniarap berhampiran tingkap seperti yang saya catat tadi. Emak tandakan
satu titik pada satu biji tasbih di atas muka akhir majalah itu sambil mulut
menyebut bilangannya.
Kadangkala, baru sampai 100 titik, emak akan berhenti
menghitung dan menanda. Emak tulis angka yang telah dihitungnya setakat itu
pada muka kulit belakang atau pada bahagian kosong di bawah borang peraduan.
Ertinya, waktu itu, emak ada kerja lain. Selesai kerja lain tersebut, jika
tiada gangguan anak-anak atau kedatangan saudara-mara atau jiran, emak akan
menyambung kembali proses menanda dan
membilang biji tasbih berkenaan. Demikianlah keadaannya sehingga semua
biji tasbih yang dapat ditanda telah bertanda dihitung…
Saya menjadi saksi betapa emak akan berdoa setiap kali mahu
memulakan menanda/menghitung, dan setiap kali mengisi borang penyertaan. Tidak
pastilah samada emak turut bersolat hajat untuk itu. Tetapi yang pasti emak
berharap sangat nasib dan rezeki menyebelahinya.
Saya tidak ingat siapa yang mengeposkan jawapan dan borang
penyertaan yang emak isi. Mungkin Paktih. Namun saya masih ingat betapa mata
emak bergenang apabila di dalam satu keluaran majalah Utusan Kiblat - selang
dua bulan selepas tarikh tutup peraduan - ada tersiar keputusan peraduan berkenaan.
Pemenangnya ….. bukan emak! Kalau tidak silap insan bertuah yang memenangi
peraduan itu adalah orang Johor.
Apakah hadiahnya sehingga begitu sekali emak bertekun,
berbulan-bulan menanda sambil menghitung dengan amat teliti?
Mengerjakan haji!
Demikianlah.
[Saya masih ingat di bahagian atas ruang peraduan itu
tertulis Mengerjakan Haji Dengan Penerbangan Chartered. Oleh kerana majalah itu
bertulisan jawi, dan perkataan Chartered
juga dieja jawi, lama jugalah kemudiannya baru saya faham akan makna perkataan
itu… ]
Walaupun saya belum pun mempunyai kad pengenalan semasa itu,
saya dapat memahami hati emak. Berkali-kali saya nampak emak membelek nama
pemenang peraduan itu.
Satu petang, dua tiga hari selepas mengetahui bukan namanya
yang tercatat sebagai pemenang peraduan itu, ketika menyapu sampah di bawah
rumah, emak berkata sesuatu. Saya yang sedang duduk di anak tangga paling atas tangga
depan sambil bersandar pada bibir bendul, tidak dapat menangkap butir katanya. [Memang
emak sering bercakap kepada diri ketika berseorangan, baik semasa sedang
memasak atau membasuh pakaian. Bagaimanapun monolog itu bukanlah kosong.
Selalunya berbentuk zikir atau hafalan sesuatu ayat atau kalimat yang baru
dijumpainya].
Kemudian, saya terdengar emak berkata lagi, sambil terus
menyapu sampah. Panjang dan nada kalimat yang dikeluarkannya sama seperti yang
pertama tadi. Saya masih tidak dapat menangkapnya.
Emak terus menyapu sehingga menghampiri tangga yang saya
duduki. Sekali lagi emak berkata seperti tadi. Walaupun makin dekat dengan
saya, bunyi penyapu yang bergeser dengan tanah segera menyerap suara emak. Saya
gagal juga menangkap buah butirnya.
“Mak kata apa?” tanya saya yang memang ingin tahu sejak
tadi.
Emak yang sedang menghabiskan sapuan sampah berhampiran
pelapik tangga separuh tersentak. Emak mengatakan tidak apa-apa. Tetapi saya
terus menyatakan tiga kali mendengar emak berkata sesuatu, mustahil tiada
apa-apa…
Emak mendongak pokok kelapa di depan laman. Kemudian emak melihat
sekeliling, termasuk ke arah rumah Tokwan, agaknya bagi memastikan tiada siapa
mendengarnya.
“Mak kata apa tadi?” tanya saya sekali lagi, sedikit
perlahan.
Tangan kanan emak menggenggam kejap pangkal penyapu lidi
lalu mengetuk ke tapak tangan kirinya dua tiga kali supaya permukaan pangkal
itu menjadi rata. Emak duduk di atas anak tangga paling bawah. Sambil menyapu ‘main-main’
pada pelapik tangga, emak bertanya, “Peraduan dalam Utusan Kiblat ‘tu ada lagi ‘dak?”
Saya tahu bukan itu yang emak sebut tiga kali tadi, namun
saya menjawab juga: Tidak tahu, dan kalau ada pun mungkin tahun berikutnya.
Emak kedengaran melepaskan nafas perlahan.
“Mak kata apa, masa menyapu tadi?” tanya saya sekali lagi,
masih tidak berpuashati.
“Jauuuuh jalan ‘nak boleh pi Mekah…” kata emak perlahan.
Mungkin hanya untuk dirinya. Tapi saya yakin itu jawapan emak untuk pertanyaan
saya. Itulah ungkapan yang tidak dapat saya tangkap tadi, Itulah kalimat yang
sampai kini saya masih ingat…
Alhamdulillah, sekitar tiga dekad kemudian, emak dipilih
untuk mengerjakan haji hasil tabungan dari titik peluhnya. Emak pergi bersama
Ngah dan Pakngah.
Pada malam sebelum berangkat, di dalam biliknya, bersama dua
tiga adiknya di sisi, emak memanggil saya lalu berpesan-pesan seperti kebiasaan
orang yang bakal berangkat ke Tanah Suci – mengikut kata emaklah sebab ketika
saya meminta emak jangan bercakap seperti orang yang tidak akan kembali lagi,
emak berkeras bahawa itulah ucapan bakal haji untuk anak-anak yang ditinggalkan. [Saya tidak
pasti adakah semua anak emak dipanggil ‘menghadap’ begitu…] Dua adik emak
menangis mendengar amanat emak. Demikian juga dengan emak sendiri. Saya menahan diri lalu
beredar keluar, menyertai ahli keluarga yang lain [termasuk besan emak dari Batu Gajah, Perak] di ruang depan …
Tengah malam itu – awal pagi sebenarnya – ketika melintas
untuk ke bilik air, saya nampak emak dalam telekung, duduk di atas sejadah, bertepatan
pintu biliknya, seperti baru sudah solat
dan sedang berzikir atau berdoa.
Keluar dari bilik air, saya menghampiri emak. Di kiri
kanannya, ahli keluarga yang sedang terlena.
Dalam suram cahaya dari dapur, saya duduk di depan emak, mengambil
tangan kanannya. Saya cium dan memohon ampun serta menangis. Emak meletakkan tangan
kirinya ke atas kepala saya. Menepuk-nepuk. Kemudian menggosok-gosok belakang
saya.
Ketika tangis sudah reda dan dada tidak lagi bergelombang,
saya ucapkan tahniah untuk emak.
“Awat?” tanya emak seperti terkejut. Mungkin saya sahaja
yang mengucapkan tahniah begitu.
“Mak ingat masa teka tasbih Utusan Kiblat yang Paktih beli dulu?”
tanya saya. Lama emak berfikir sebelum mengangguk.
“Mak ingat apa mak kata bila tak menang?” tanya saya lagi.
Lama emak berfikir, mencari-cari, sebelum menggeleng.
“Jauuuuh jalan ‘nak boleh pi Mekah…” kata saya meniru nada
emak tiga puluh tahun dahulu.
Tiba-tiba emak teresak. Saya merasa bersalah. Dengan tangan
kanannya masih belum dilepaskan, saya ikut menangis semula sambil meletakkan
dagu hampir ke bahu emak. Tapi permintaan maaf kerana menyebabkan emak teresak
itu tidak mampu dilafazkan.
“Pasai ‘tu la ……” saya tersedu bersama esak emak. Ayat itu juga
tidak mampu saya habiskan. Niat saya untuk menyatakan “Pasai ‘tu la chek ucap
tahniah!” tidak kesampaian…
Emak mengucup ubun-ubun saya sekali. [Kali kedua dalam usia tua diri ini, emak mengucup ubun-ubun - rujuk entri Menjadi Tua...] Kami berpelukan dengan
esak masing-masing. Lama sekali. Rasanya tiada siapa yang tidur di sekeliling
emak, menyedarinya.
Besoknya, ketika Paklang melaungkan azan di depan rumah,
sebelum emak menaiki kereta untuk ke lapangan terbang, ramai saudara mara dan
adik-adik tidak dapat menahan hiba. Begitu juga tatkala emak dan Ngah serta
Pakngah akan memasuki bilik berlepas ….
Saya mampu bertahan. Kerana semuanya telah saya tumpahkan
beberapa jam yang lalu di dalam suram bilik emak…
No comments:
Post a Comment