Monday, October 14, 2013

Piala Malaysia Dan VW Itu... [Bab 2]

Sabut cap tapak....

Sambungan dari Piala Malaysia Dan VW Itu...

Pagi Sabtu.

Seperti dijangkakan, semua penghuni asrama putera AlFalah gempar melihat kami sedang tercegat di asrama putera. Lebih gempar lagi apabila melihat vw yang sedang terlena di bawah bumbung kantin di tepi pagar sekolah. Penghuni asrama puteri pula menggawang tangan dari jauh setiap kali nampak kelibat kami.

Kami tahu, tanda soal yang banyak sedang bergumpal menerawang di angkasa AlFalah

Kami menceritakan apa yang patut kepada semua yang beranibertanya – baik secara berkumpulan ataupun secara individu. Tidak tahulah apa yang dikatakan oleh Maklong/Maklang sebaik Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy memberitahu duduk perkara. Namun, di pihak penghuni asrama, kebanyakannya sekadar memuncungkan mulut, menghasilkan ‘o’ tanpa bunyi, sebagai tanda memahami situasi yang kami hadapi pada malamnya. Tiada yang terkekeh-kekeh mengetawakan kami. Maka selamatlah semuanya pagi itu dari bersarapan sekehan percuma……

Selepas sarapan, Ustaz Fairose bermotorsikal ke Simpang Empat, tiada lain tujuan kecuali berjumpa dengan mekanik yang selalu menguruskan kesihatan kebanyakan kereta yang pernah digunakannya. Kerana sering mengikut pergerakan di sisi Ustaz Fairose, saya juga kenal dan biasa dengan mekanik keturunan Tionghua itu. 

Dia memang agak pakar dalam membetulkan enjin kereta, sebarang model. Namun, satu kelemahan yang tidak mampu dibaiki adalah pertuturannya sendiri. Saya tidak mahir dalam bahasa Hokkien atau Mandarin, jadi tidaklah saya tahu kekurangan dalam perbualannya dengan rakan-rakan seketurunannya. Tetapi, jika di dalam bahasa kebangsaan, dia agak pelat. Bukan pelat seperti kebanyakan bukan Melayu berbahasa Melayu, tetapi lebih dari itu, pelat a la budak berusia tiga atau empat tahun. Misalnya, suku kata ada huruf ‘k’ akan bertukar kepada ‘t’. Makan akan jadi matan,kayuh akan dilafazkan tayuh… Cara pertuturanya ditambah pula dengan pergerakannya yang lincah, mengubat kebosanan kami ketika terpaksa berlama di bengkel miliknya yang terletak bersebelahan kuaters pekerja JKR di Simpang Empat. {Kini menjadi sebahagian tapak tempat meletak kenderaan bersebelahan Restoran Nasi Kandar Haji Ramli, Simpang Empat}.

Sekitar jam 9.30 pagi Ustaz Fairose pulang ke AlFalah, diikuti oleh mekanik kesayangannya itu yang menunggang satu benda yang berenjin berbentuk basikal. Ada raga kecil di bahagian depan antara tempat duduk dan handle, yang dindingnya dibuat daripada bekas tempaan anak kunci.Tempat duduknya berlapik akhbar Nanyang Siang Pau atau Sin Chew Jit Poh, agaknya, yang tebal dilapisi di sebelah atasnya beg plastik kepunyaan salah satu pasaraya – dengan kemasan akhirnya adalah lilitan tali raffia yang culang-caling. Hendak dikatakan motorsikal, tiada mana-mana pegawai JPJ atau PUSPAKOM akan mengesahkan status itu walaupun di bahagian belakangnya tergantung kertas tebal kotak buah yang dipotong empat segi, bertulis besar nombor plat!

Selepas berbasa-basi dengan cara tersendiri kepada kami yang terpegun memerhati kenderaannya itu, dia menunjukkan taraf profesionalisme yang tinggi. Selepas menanggalkan topi keledar yang tidak mempunyai lapik polisterenenya, segera dia melangkah ke bawah bumbung kantin - membuka kotak enjin kereta, melihat-lihat keadaan luaran. Dia bergerak lima enam langkah mengitari bahagian belakang kereta itu. Agaknya mencari titik permulaan untuk merawat…

Cemua otey, cemua elok…” katanya. 

Sabun cap tapak!
Kami menunjukkan bekas minyak yang tumpah ke atas lantai kantin. Dia menelentang di atas lantai kantin, di sisi kereta, lalu menjulurkan kepalanya sedikit ke bawah kereta. Ada sesuatu yang dikatakannya, namun kerana tiada sarikata, tidaklah dapat sesiapa di antara kami yang berdiri di situ memahaminya. Yang mampu kami lakukan hanyalah bertukar-tukar renungan sambil sesekali melihat kasut keledar sang mekanik yang agak besar berbanding saiz tapak kakinya. Ada pula koyakan kecil memanjang pada lutut seluarnya.

“Itu aa.. cenang caja. Nanti wa bitin…” selamba dia memberitahu ketika bangun semula sambil menggosok kedua-dua tapak tangan. 

Ternganga kami kehairanan. Semalaman kami dibuai resah dan pagi ini dia berkata itu perkara senang! Fuh!

Ladi apa mau bitin?” tanyanya, seselamba tadi juga, sambil mata tidak lepas dari enjin kereta.

Kami berpandangan. Salah seorang mencadangkan dia melihat-lihat keadaan enjin memandangkan dia sanggup meninggalkan bengkel semata-mata menyelesaikan masalah kami yang sedang terlonjak-lonjak untuk bertolak ke KL.

“Lu pi cetat!” Mekanik itu menyuruh Ustaz Fairose menghidupkan enjin kereta. Deruman enjin memecah keheningan penghujung pagi di AlFalah.

Sang mekanik membongkok di bahagian enjin. Tiba-tiba dia menggawangkan tangannya ke arah Cikgu Non dan Cikgu Rahim yang sedang merokok di kedua-dua sisinya – yang turut ingin menjenguk sama.

“Api jangan mali oo…!” katanya kuat, melawan bunyi enjin sambil mengarahkan dua pemerhati tersebut menjauhinya. Cikgu Non ketawa sambil menjauhi kereta. Dituruti Cikgu Rahim.

Tidak lama kemudian sang mekanik berdiri sambil menggeliat, membetulkan pinggangnya. Beriring senyuman, dia menunjukkan tanda bagus dengan kedua-dua ibu jari tangan.
Di bahagian hadapan, didapati salah satu lampu kecil tidak menyala. Sang mekanik membetulkannya seketika.

“Ada waya tacau….” tatanya …..ops… katanya serius dan disambut kekehan tawa Cikgu Non yang kini bersandar di tiang kantin. Kami yang lain menumpang sama…..

“Itu tangki bocor nak buat macam mana?” Tanya Ustaz Fairose, di hujung hilaian tawa itu.

“Lu antat mali itu sabun cap tapak ….”

“Nak buat apa?” Tanya Ustaz Fairose penuh kehairanan. Kami yang lain menumpang sama…..

Antat mali loo!” tegas sang mekanik. 

Seorang daripada beberapa budak asrama yang sejak tadi turut memerhatikan cara kerja di situ diminta segera mendapatkan seketul sabun cap kapak di rumah Maklong/Maklang.

Sang mekanik membongkok lalu mengusap-usap dan kemudian menenyeh satu bahagian pada tangki minyak dengan ibu jari, sebelum menghembus kuat tempat usapan itu beberapa kali. Belum pernah saya tahu elemen perbomohan juga boleh digunakan ketika merawat kereta….

Sebaik mendapat sabun berwarna hijau itu, sang mekanik mencubit hujung lembut sabun bekas digunakan, sebesar ibu jari. Cubitan itu digumpalkan bulat dengan tiga jarinya. Kemudian dia membongkok lalu menempelkan gumpalan sabun tersebut ke tempat berlubang pada tangki minyak. Ditekan dan ditenyehnya sekeliling tempelan berkenaan. Kernyihannya sambil mengenyit mata selepas menyelesaikan tugas itu saya ingat jelas hingga saat ini!

“Siap! Sikalang boleh jalan!” katanya sambil menuju ke kenderaan uniknya, mengambil tuala kecil yang kelabu dan mengesat bekas sabun di tangan.

Kami memandangnya hampir serentak. Budak-budak asrama yang mengelilingi kereta itu juga ikut memerhati wajah sang mekanik.

Boleh bertolak? Dengan secubit sabun cap kapak?

Sang mekanik membalas tenungan kami. Dia memahami apa yang sedang berlegar di kotak fikiran kami.

“Kawan aa…” dia menepuk bahu Ustaz Fairose, “itu sabunmanyak tahan ooo. talau tumpah ladi, lu balik, lu hantamtandang sama wa punya ni!” Dia menunjukkan ke arah punggungnya yang sedikit ditonggekkan, berbalut seluar tebal dipenuhi pelbagai saiz tompokan minyak hitam.  Budak-budak asrama menahan tawa melihat aksi dan mentafsirkan kata-katanya.

Kami berbincang seketika bagi mendapatkan keyakinan. Sang mekanik berdecit dua tiga kali, sambil menggayakan tangannya menyuruh kami bertolak. “Talau ada tumpah aaa, lu balikhantam sama wa…..” ulangnya. 

Jam melepasi pukul 11 pagi. Kalau perjalanan elok semalam agaknya ketika itu kami sudah menyedut bahang udara KL……

Akhirnya kami yang masih berpakaian semalam, bersetuju untuk bertolak. 

Kami mengucapkan terima kasih kepada sang mekanik. Saya mencapai lebihan ketul sabun cap kapak tadi lalu memasukkan ke dalam beg plastik dan meletakkannya di lantai bahagian kiri depan kereta. Ada dua sebab utama saya teringat untuk berbuat begitu. Pertama, jika berlaku kebocoran di tengah-tengah perjalanan, buat sementara bolehlah ditampal dengan cebisan sabun itu. Kedua, jika kebocoran berulang, orang lain mungkin akan menghentam, menendang punggung sang mekanik tadi, tapi bagi saya yang tidak akan sampai hati berbuat begitu, cukuplah dengan menyumbat sabun itu ke mulutnya!

Setelah mengadakan upacara pelancaran yang lebih ringkas, bertolaklah kami pada jam 11.30 pagi. Kali ini kami mengikut gerak hati pemandu – tidak lagi melalui jalan ke Simpang Empat, sebaliknya, melalui jalan Yan, kami menembusi Guar Chempedak sebelum memasuki lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Petani. Sempatlah kami melihat sekumpulan guru-guru sekolah agama sedang bermesyuarat di SMA Sungai Limau – majlis yang sepatutnya disertai oleh Ustaz Fairose selaku pengetua sekolah dan Cikgu Non sebagai guru di bawah Majlis Agama Islam Kedah.

KUALA LUMPUR … TUNGGU ….  KAMI TETAP DATANG!

Tiada apa yang menarik sangat sepanjang kembara hari itu. Sesekali kami mengharungi hujan manakala sebahagian besarnya suasana membahang dalam terik matahari dalam perjalanan yang panjang itu.

[Cikgu Non yang saya tanyakan ketika catatan ini dibuat, menyatakan sepanjang perjalanan, pemain kaset dari kereta vw itu memang berfungsi baik. Sayangnya, kami yang duduk di bahagian belakang terpaksa membiarkan telinga melayan deruman enjin kereta yang terletak hanya beberapa jengkal dari kepala kami. Bagi yang tidak tahu di bahagian mana pencipta Jerman meletakkan enjin vw beetle, silalah rujuk kepada Encik Google ……]

Cuma sekali kami berhenti makan di Perak Tengah. Manakala selain rehat untuk solat dan mengisi minyak serta memeriksa radiator atau bertukar pemegang stereng antara Ustaz Fairose dengan abangnya, Cikgu Amminy, kebanyakan waktu kami berada di dalam vw yang menunjukkan prestasi terpuji – tanpa kebocoran yang mulanya agak membimbangkan. 

Ternyata, sang mekanik yang sanggup mempertaruhkan punggungnya untuk disepak telah bercakap berdasarkan pengalamannya yang jenuh!

Saya dan Cikgu Amminy kenyang berkongsi asap rokok yang seolah tidak putus ke luar dari muncung mulut dan mancung hidung Ustaz Fairose, Cikgu Non dan Cikgu Rahim. Kadang-kala seorang sahaja merokok tetapi secara kerapnya mereka merokok secara berjemaah – dengan diimami oleh Ustaz Fairose! Demi rasa cinta terhadap pasukan Kedah, apalah sangat pengorbanan peparu kami ketika itu……Lagi pula kami tumpang berbangga kerana jenama rokok yang mereka hisap itulah yang menaja kejohanan pada tahun tersebut! 

Sepanjang jalan, kami bergerak diekori atau mengekori kenderaan dari Kedah, berdasarkan sengihan pemandunya, warna baju penumpangnya, nombor plat keretanya mahu pun gaya percakapan mereka. Walaupun apa yang dicakapkan sesama mereka tidak didengari, berdasarkan bahasa badan, kami tahu mereka juga peminat pasukan Kedah. Mana ada orang negeri lain, ketika itu, bercakap di dalam kereta sambil menggayakan tangan mengarah a la pengambil tendangan sudut atau melakonkan adegan mengangkat piala…..

Sampai di satu bandar, tiba-tiba vw kesayangan dilanggar dari belakang. Kami terkejut dan tersedak.

Ustaz Fairose segera memberhentikan kereta. Semua kami turun. Ada sedikit bekas berlanggar pada bumper kereta. Di belakang, ada sepasang anak beranak sedang ketakutan di dalam kereta yang bahagian depannya kemik agak teruk. Si anak yang memandu, teragak-agak untuk keluar sebelum diarahkan oleh emaknya yang turut membuka pintu kiri. Permintaan maaf dalam bahasa Inggeris tidak terkira terhambur dari mulut mereka. Ustaz Fairose berdecit-decit, kami yang lain ikut sama tetapi dalam nada yang sedikit perlahan. Salah seorang mengusap bahagian kereta yang sedikit kemik itu.
We are Malaysian….kira cincailah” rayu si emak. Anaknya di sisi terangguk-angguk.

Ustaz Fairose menunjukkan karismanya. Berdehem sekali, dia membuat keputusan: kalau tidak mahu buat laporan polis, kenalah diselesaikan dengan kadar yang dipersetujui bersama.

Si emak mengulangi ‘we are Malaysian’ sekali lagi. Mujurlah pada waktu itu slogan 1Malaysia belum digunakan. Kalau tidak agaknya itulah pula yang diulang oleh dua beranak tersebut. Ustaz Fairose tetap mahukan penyelesaian dan menyertakan kelewatan kami untuk ke Stadium Merdeka sebagai pengukuh tuntutan. Akhirnya, dia mendapat seratus ringgit. Banyak juga nilainya dalam tukaran semasa. Dapatlahlah menampung sedikit kos minyak dan rokok…..Terimakasih kepada ketahanan keluli pada badan kereta dari Jerman itu….

Selepas itu, semasa asyik memandu, masih di negeri Perak, Ustaz Fairose tersentak melihat cover rim kereta tiba-tiba memotong kereta yang kami naiki! Lajunya bukan main sebelum dipintas semula dan kami dapati cover rim itu terbalik di tepi jalan di belakang kami. Ketawa kami berderai. “Cover rim kereta siapalah agaknya yang jatuh dengan laju tu….” Kami bertukar-tukar soalan yang sama. Disambung kekehan tawa.

Lama kemudian, ketika terhentak pada hujung satu jambatan, kami nampak cover rim vw yang kami naiki terjatuh dan juru pandu segera diberitahu. Kami turun mengutip covertersebut dan mendapati pengelipnya telah patah, tidak boleh lagi diletakkan ke tempat asalnya. Terpaksalah ditinggalkan di situ, tanpa sempat menjengah perkarangan Stadium Merdeka…. Ketika melalui sebelah lagi tayar, salah seorang dari kami mengesan cover di sebelah itu juga telah tiada. Rupanya yang kami kekehkan tadi adalah cover rim kenderaan kami sendiri!

Menyedari diri sebagai penumpang yang tidak mahu menyusahkan tuan rumah, kami mengisi perut di kedai makan di pinggir Kuala Lumpur. Kedai itu dimiliki oleh orang Kelantan yang baru sehari dua itu belajar bercakap loghat Kedah! Di dalam kedai tersebut, saya yakin amat pelanggan semuanya adalah pelancong dari negeri Jelapang Padi!. Penilaian yang saya gunakan mudah sahaja dan banyak pula:
·         saiz longgokan nasi yang super
·         saiz setiap suapan yang sebesar penumbuk
·         warna kuning atau hijau pada sebahagian atau seluruh baju
·         berbual dengan rakan walaupun duduk berselang empat lima meja
·         menggamit pelayan sambil mengulang cepat perkataan ‘ayaq….’
·         kerap meraba poket yang ada tiket masuk stadium
·         mata asyik melilau mengikut pergerakan ketua/pemandu

Kami sampai di Kuala Lumpur, tepatnya ke rumah tumpangankami sekitar jam 9.30 malam
Di situ kami tidak berbual lama kerana keletihan. Berbasa-basi ala kadar dengan tuan rumah – Khairi, adik Maklong dan rakannya. 

Khairi paling teruja kerana dapat tidur sebumbung dengan dua anak saudara yang lebih tua darinya itu. Ini didasarkan kepada caranya merenung anak-anak kakaknya itu setiap kali ada pergerakan atau pertuturan mereka. Kemudian, untuk kami semua, dua tiga kali dia mengesahkan telah mendapat tempat duduk dengan sudut pandangan terbaik bagi perlawanan malam esok.

Rakannya pula, apakenama, seorang tauke ayam di Pasar Chow Kit. Hanya sesekali mencelah, lebih banyak tersenyum. Dia bukan orang Kedah atau KL, maka tidaklah ikut ghairah untuk ke stadium kelak. Lagi pula perniagaannya memang membataskan masanya untuk dihabiskan dengan menyorak hampir dua dozen orang berlari mengejar bola nan sebiji. Namun dia mengatakan difahamkan ada sebahagian stadium telah menunjukkan tanda retak hasil hentakan kecewa penyokong Kedah pada tahun sebelumnya dan meminta kami berhati-hati esoknya. Melawaklah tu….

Setelah dipastikan tiket perlawanan telah tersedia, selesai membersih diri dan yang relevan dengannya, kami pun tidur di ruang tamu, berbantalkan beg pakaian atau penyandar sofa. 

Semuanya berharap mendapat mimpi yang paling indah.  Apa lagi kalau bukan menjulang Piala Malaysia di atas bumbung kereta volkswagon, mengelilingi stadium bersama pemain-pemain dan ribuan penyokong pasukan Kedah! 

KUALA LUMPUR……LIHATLAH……. KAMI SUDAH SAMPAI!
bersambung......


No comments:

Post a Comment