Monday, October 14, 2013

Piala Malaysia Dan Vw Itu.... [Bab 3]

sambungan Piala Malaysia Dan Vw Itu ...[Bab 2]


Kuala LumpurAhad6 November 1988.

Inilah tempat, hari dan tarikhnya!

Penggemar bolasepak seluruh negara sedang menunggu dengan penuh minat akan keputusan perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini. Adakah akan muncul pasukan baru selaku juara, atau kedudukan seperti tahun lalu berulang, menyaksikan Kedah pulang hampa selaku naib juara?

Pagi itu kami tidak ke mana-mana. Masih belum sepenuhnya pulih dari keletihan setelah melalui dua hari yang menyenakkan. Lagi pula kami memerlukan mental dan fizikal yang benar-benar segar untuk turut membingitkan suasana di stadium pada malamnya. Daripada membazirkan tenaga melilau sekitar KL, seperti kebanyakan penyokong Kedah yang menganggotai rombongan dengan bas, lebih baiklah kami menyimpannya untuk digunakan demi nawaitu asal …..

Tuan rumah pula sejak malam tadi berkali-kali berpesan agar kami “buatlah seperti rumah sendiri” di rumah itu. Kalau hanya Khairi, dipanggil Paktam oleh Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy, yang berkata demikian, kesannya tidaklah seberapa. Tetapi ini, kawannya si tauke ayam itu juga berkata dengan nada dan frasa yang hampir serupa. Malah, tatkala akan bertolak ke pasar sebelum Subuh, dan kami pula sedang mamai, sekali lagi dia mengulang pesanan itu.

Kami sedar diri. Kami hanyalah penumpang. Siapalah kami untuk melawan cakap mereka….

Supaya mereka tidak berjauh hati, dan dikatakan tidak menghargai pesanan tersebut, terpaksalah kami meletakkan diri masing-masing sebagai tuan rumah. Kami mengeliat sepuas hati membetulkan urat dan otot yang keletihan. Bergolek-golek serta bergelak-gelak. Yang ingin mengayakan penaja utama liga bolasepak semi-pro Malaysia, berkelun-kelun asap dilepaskan menerawang ke segenap ruang rumah. Yang bersubahat  menyedut asap, kembang kempis hidung menariknya ke trakea untuk dibawa oleh tiub bronkus ke paru-paru [bronkiol dan alveolus]. Tuan punya hidung itu seperti tidak peduli lagi, maklumlah telah terbiasa sejak bertolak dari AlFalah….

Apabila terasa lapar, kami hanya menjeling ke meja di tengah-tengah ruang tamu itu. Di situ telah tersedia nasi berbungkus. Minuman pun demikian pula. Cukup menghairankan. Entah bagaimana bungkusan nasi dan minuman itu boleh tumbuh di situ……

Selesai makan, kami kembali berlingkar.

Ada yang meniarap, ada yang bersandar di sofa; membelek-belek bahagian sukan tiga akhbar mingguan. Sambil membaca ulasan dan berita tentang perlawanan akhir nanti, kami turut membuat analisis sendiri. Lama juga kami kekal pada topik utama itu. Masing-masing menunjukkan kepakaran sebagai penilai. Senarai barisan berkemungkinan pasukan Kedah dan Kuala Lumpur yang dipetik dari semua akhbar diperkatakan. Semua bahagian dalam pasukan – pertahanan, tengah dan serangan – diulas, dikupas atau dikopek.

Cikgu Hj Ahmad Shafie
Chow Kwai Lam
Setelah berhujah tentang kekuatan dan kelemahan setiap pasukan, kesimpulan yang kami dapati cukup menggembirakan: Skuad bimbingan Cikgu Ahmad Shafie mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan pasukan kendalian Chow Kwai Lam itu! Kesimpulan yang dibuat secara sebulat suara tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak itu membuatkan kami cukup teruja untuk ke stadium…… Mujurlah Khairi cepat membawakan lima gelas minuman sejuk sambil mengingatkan bahawa perlawanan akan bermula pada pukul 8.45 malam – lebih sembilan jam lagi….

Selepas mengosongkan gelas masing-masing, kami merendahkan diri dengan kembali melingkar di ruang tamu itu. Mengeliat lagi berkali-kali dan berguling-gantang semula. Sekiranya si tauke ayam tuan rumah balik ketika itu, tentulah dia akan tersenyum seperti yang sedang dilakukan oleh rakannya, Khairi. Ternyata pesanan mereka agar kami membuat suasana seperti di rumah sendiri, tidak dipersiakan….

Pelbagai perlakuan dan gelagat dapat dilihat. Letih berbaring, kami bangun semula membelek akhbar untuk sekian kalinya. Fakta baru ditokok untuk mengukuhkan kesimpulan yang telah disepakati tadi. Sambil itu rokok tetap dinyalakan.Andai  ada saudara-mara Alfred Dunhill dari London datang ke rumah kamiketika itu, dia pun pasti tersenyum bangga!

Petang hari tiba juga akhirnya!

Selesai Asar, kami memulakan langkah ke medan juang. Sebelum itu, kami mandi sepuasnya, berlangir apa yang patut dan mengenakan kemeja-t kain kapas aneka corak.

Berdiri di luar rumah, melihat diri masing-masing, terasa ada sedikit kejanggalan. Tiada seorang pun di antara kami yang berpakaian seperti penyokong pasukan Kedah - tiada secalit pun warna hijau atau kuning.

Khairi, yang masih duduk di dalam rumah, dan masih berkain pelikat hanya memerhati. “Baju KL pun ada ‘ni…hehehe. Sapa ‘nak pakai?” katanya sambil menepuk baju merah-putih yang dihampar pada penyandar sofa di sebelahnya. Tiada yang menyanggupi waimma dua anak saudaranya itu. Sia-sialah kami berkelana beratus-ratus kilometer, jika mengenakan baju berwarna pasukan lawan! Appara!

Oleh kerana ‘kura-kura’ yang kami naiki telah mencapai muatan maksimum, tidaklah kami mempelawa Khairi menumpang sama.

Kami tidak pula rasa bersalah melihatnya makin menjauh ditinggalkan di muka pintu rumah. Berulang-kali dia menyatakan “KL ‘ni aku yang punya!”, tentulah dia ada cara untuk sampai ke stadium yang sahihlah juga kepunyaannya! Dia sempat berjanji untuk berada di sisi kami, ketika perlawanan bermula nanti. Walaupun yakin janji itu akan ditepati, sebagai langkah berjaga-jaga, Ustaz Fairose tetap menggenggam lima dari enam tiket yang dibeli oleh Paktamnya itu. Manalah tahu, memasuki stadium bukannya seperti memasuki surau AlFalah…..

Seperti dijangka, masalah utama kami adalah mendapatkan tempat meletakkan vw sedekat mungkin dengan stadium. Setelah berputar-putar hampir setengah jam, supir kami yang baik dan cekap berjaya menempatkan vwnya di sisi pagar sebuah bangunan. Jaraknya dengan stadium….lumayan juga. Jika setiap langkah kami diganjarkan pahala, pastinya kami tergolong di antara yang paling banyak menerimanya……

Di perkarangan stadium penyokong Kedah mula bersesak. Penyokong pasukan lawan tidak begitu kelihatan, maklumlah Kuala Lumpur sejak lama ketandusan penyokong berbanding pasukan negeri-negeri lain. Kalau Kedah menentang Kelantan, misalnya, barulah bilangan penyokong berkedudukan seimbang.

Kami melilau seketika di sekitar stadium, melihat gelagat rakan-rakan senegeri berkeliaran memperagakan semangat Hijau Kuning menerusi baju, topi, mafla,rambut a la pengesat lantai dan contengan muka serta mengheret lipatan sepanduk. Nampak sangat kami yang tidak patriotik – menjadi seperti sekumpulan yang amat berbeza, berbusana seperti pergi menonton wayang pacak – berdiri di tengah-tengah mereka. Walaupun mungkin tidak mengenali antara satu grup dengan grup lain, ternampak kemesraan mereka setiap kali bertembung atau berselisih. Masing-masing menegur dengan keupayaan sendiri – mengangkat tangan, menyebut ‘hai’ atau menjeritkan ‘Hidup Kedah!’. Yang ramah sedikit akan bertanya grup yang ditemui datang dari daerah mana atau datang dengan apa.Tetapi grup yang tidak bercirikan penyokong Kedah tidak mendapat sapaan begitu. Satu daripada grup begitu adalah kami berlima. Terasa ‘tau dibuat begitu - apabila kehadiran kami bagai tidak dipedulikan langsung oleh penyokong Kedah berkulit hijau kuning itu. Lebih-lebih lagi mengenang diri yang hanya lima batang kara di tempat orang….hehehehe.

Kemudian kami bergerak menyusuri puluhan gerai berpayung. Di satu gerai menjual nasi bersambal ayam, kami membeli lima bungkus. Tuan gerai di sebelahnya yang menjeling-jeling ke arah kami turut mendapat habuan apabila membekalkan pula lima bungkus air bercampur gula yang diserikan oleh pencelup merah.

Kami mencari bibir jalan untuk duduk bagi mengosongkan bekas polisterene dan bungkusan air itu. Sambil mengunyah, kami masih memerhatikan gelagat penyokong Kedah berhampiran stadium. Ramai juga yang telah berada di dalamnya, berdasarkan gema keriuhan yang terhasil.

Setelah mengagak nasi bersama lauknya telah sampai ke usus besar masing-masing dan tiga perlima daripadanya telah puas membebaskan karbon monoksida berkepul-kepul ke udara, kami pun menuju ke pintu stadium. Dalam beratur dan bergerak perlahan itu, sempat juga saya nampak kelibat beberapa orang yang saya kenali dari sekitar Simpang Empat, Kangkong. Semuanya kelihatan ceria dan begitu yakin akan pulang dengan kemenangan pada kali ini. Tengok gaya lenggang pun dapat dikenal akan keyakinan itu.

Rupa-rupanya tempat duduk kami adalah di belakang gol, di sebelah kanan tempat duduk VIP. Biarlah, asalkan ada di dalam stadium dan dapat menyaksikan perlawanan secara terus.

Penonton kian ramai. Sorakan makin gemuruh. Seluruh stadium diserikan oleh Mexican Wave – penonton bangun dan duduk secara bergilir mengikut peringkat yang bersambungan, menghasilkan ‘ombak’ beralun yang cantik. Semua ini berdasarkan corak formasi yang dihasilkan oleh para penonton di stadium-stadium semasa Piala Dunia 1986 di Mexico, di mana Maradona mengetuai pasukan Argentina menjuarainya. Supaya tidak dipandang serong, terpaksalah kami bangun beberapa kali apabila ‘ombak’ itu sampai ke tempat kami duduk…..

Ketika pemain masuk ke padang untuk memanaskan badan, suasana di stadium sudah terbakar dengan gegak gempita. Ketika itulah Khairi menghampiri kami, membawakan beberapa bungkus kacang dan kuaci. Gagah sungguh dia dalam baju yang agak tebal, meminta laluan untuk sehampir mungkin dengan kami. Sebelum duduk, dia menghulurkan sebahagian bungkusan makanan rencam itu kepada kedua-dua anak saudaranya untuk kami kongsi bersama. Dia kelihatan cukup ceria dan ramah. Semua yang dilihat memandangnya dibalas dengan lambaian atau anggukan bersadur senyuman manis. Ramai juga yang mendapat balasan berbentuk itu. Agaknya betullah, KL ini kepunyaannya……

Gegak gempita bagai berganda menjelang sepak mula. Barisan pemain yang berbaris untuk diperkenalkan kepada tetamu utama, baginda Sultan Kedah kelihatan bersemangat. Selepas bergambar kenangan pasukan masing-masing, Ahmad Sobri Ismail selaku kapten pasukan Kedah bersama kapten Kuala Lumpur, Razip Ismail dipanggil pengadil. Kedah akan bermula dari kiri tempat duduk VIP, ertinya jika Hussin Jaafar dan rakan-rakannya membuat jaringan pada separuh masa pertama, kamilah di antara penonton terdekat yang menyaksikannya…….

Percaturan Cikgu Ahmad Shafie adalah dengan menurunkan kesebelasan utama yang terdiri daripada Ahmad Sobri, K.Ravichandran, Lee Kin Hong, Ng Chew Beng, Mohamad Ramli,Naina Mohamad, Koet King Heyong, Chan Keat Swee,Radhi Mat Din, Hussin Jafar dan Norazam Ishak. Benar-benar 1Malaysia.

Kwai Lam pula meletakkan Abd Rashid Hassan, Tang Siew Seng, Razip Ismail, See Kim Seng, Chow Siew Yai, Malek Awab, Mohd Zan Mat Aris, Fandi Ahmad,Saidin Osman, Subadron Aziz danS.Balachandransebagai pertaruhan awalnya. 1Malaysia +2Singapura kerana kehadiran Fandi Ahmad dan Malek Awab, warga Kota Singa…….
Kedah berjersi keramat Hijau Kuning manakala KL memilih warna merah garang.

Penyokong Kedah lebih ramai dari penyokong Kuala Lumpur berdasarkan sorakan ketika nama-nama pemain diperkenalkan oleh juruacara. Namun bilangan yang sedikit itulah yang lebih riuh kemudiannya apabila Malek Awab menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit kelima. Terkedu seketika ribuan penyokong Kedah sebelum kembali bersorak memberi semangat kepada para pemain kesayangan mencari gol penyamaan.

Dalam mengharapkan Kedah mampu memecahkan kebuntuan, muncul pula gol kedua KL. Kali ini menerusi penyudahan kemas Subadron Aziz, kira-kira setengah jam selepas gol pertama.

Bukan Kedah tidak pernah mengejar dua gol……. Mungkin itulah ungkapan yang tersemat di dada kesemua penyokong semasa permainan memasuki separuh masa kedua.

Semasa rehat sebelumnya pun kalimat itu bersambung sesama penyokong – tidak lebih sebagai penyedap hati …..

Kedah menyerang seperti yang biasa mereka lakukan di dalam perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir. Namun gol semangat yang dicari-cari tidak muncul. Hussin Jaafar sentiasa dirantai, Norazam Ishak ketandusan idea di bahagian sayap untuk memecahkan benteng kukuh lawan manakala penguasaan Radhi MdDin di tengah sedikit tenggelam diserap oleh saingan Mohd Zan dan Malek.

Namun sorakan kami bersama ribuan penyokong lain tidak pernah putus. Tinggal sepuluh minit permainan pun, kami yakin skuad Kedah masih berupaya berbuat sesuatu untuk menggembirakan kami. Bukan tidak pernah Kedah menjaringkan dua gol dalam masa 10 minit…….

Namun harapan kami berkecai pada minit ke-82. Ramlan Askolani yang baru empat minit masuk menggantikan Balachandran, mendapat peluang, lalu menewaskan Ahmad Sobri. Betul-betul di hadapan kami dari tempat duduk di belakang pintu gol Kedah. Jaringan beserta kelonglaian dan kekesalan pertahanan Kedah tatkala melihat bola melepasi garisan gol masih berbekas di minda hingga kini. Salah seorang pemain yang terduduk sambil menepuk bumi seakan mewakili hati kami menzahirkan kekecewaan.

Bersorak sakanlah penyokong KL kerana sah juga Piala Malaysia sekali lagi menjadi milik warga kota dengan masa perlawanan tinggal hanya 8 minit. Memang Kedah, malah Brazil, tidak pernah menjaringkan 4 gol dalam masa sesingkat itu pada peringkat genting pula. Lainlah kalau pemain amatur di padang AlFalah……Sepetang saja berpuluh-puluh gol tercipta!

Untuk tahun kedua berturut-turut, kami, ribuan penyokong pasukan Kedah terpaksa menelan kepahitan. Perit lagi rupanya apabila menelan pula di dalam stadium perlawanan…..
Ramlan Askolani [kini]
Namun pahit dan perit itu membentuk luka yang cukup pedih apabila ada seseorang berhampiran kami berbaju merah putih melompat riang sambil mengibar-ngibar sehelai baju. Kami menoleh serentak ke arahnya. Insan yang sedang meraikan jaringan oleh Ramlan, pemain sebaya Ustaz Fairose yang pernah sama-sama belajar diMaktab Mahmud, Alor Setar, rupa-rupanya tidak lain dari Khairi!

Paktam Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy itu rupanya memakai baju keramat KL di bahagian dalam. Baju biasa yang saya lihat agak tebal pada awal tadi itulah yang dilucutkannya lalu dikibarkan dengan riang….
Kami tidak terkata apa-apa. Kami hanya penumpang manakala dia tuan punya KL…… Tapi kalau saya tahu demikian sudahnya, baju merah putih yang diletakkan di sofa petang tadi, akan saya sumbatkan ke dalam mangkuk tandas!

Kami melangkah keluar stadium belum pun wisel penamat dibunyikan. Hampa sungguh oooo. Pedih lagi apatah mendengar kekekan Khairi yang bertanya ke mana gerangan kami berderet berlima…….

Di luar, ramai penyokong Kedah telah mula mencari ketua dan bas rombongan. Nampak jelas kemurungan pada wajah mereka. Saya tahu mereka sedang merasakan betapa jauhnya untuk sampai ke rumah di Kedah……

Kami berjalan ke tempat kereta diletakkan. Terasa amat jauh perlu diatur langkah untuk sampai. Sepanjang jalan kami mengiringi atau memintas ramai penyokong Kedah yang datang bersendirian – turut menuju ke kereta masing-masing. Melihat mereka bermuram durja sambil melangkah, timbul kesyukuran juga di dalam hati. Dengan memakai baju biasa tidaklah kami terasa apabila terserempak dengan penyokong KL. Saya tidak dapat bayangkan apa yang ada di hati peminat yang berbaju petak-petak hijau kuning atau jalur-jalur kuning hijau ketika melihat peminat KL tersenyum-senyum…..

Sampai di kereta, wajah vw pula kelihatan seperti sedang tersenyum – dengan dua mata terbeliaknya……Cet!

Kami masuk dan dibawa pak supir keluar dari hiruk-pikuk sekitar stadium. Tidak banyak yang kami ulas sebaliknya diganti dengan dengusan dan keluhan.

Kami singgah di sebuah kedai makan untuk memenuhkan perut. Pelanggan semuanya sedang menyaksikan acara penyampaian hadiah kepada finalis Piala Malaysia di tv. Tiada siapa yang pedulikan kami selain tuan punya kedai – orang Kelantan yang mungkin sedang mengasah semula kemahiran dialeknya setelah dua hari terkehel lidah bergebang dalam loghat Kedah…..

Sekali lagi saya bersyukur ketika menunggu pesanan tiba. Kerana memakai baju biasa-biasa tiada siapa pedulikan kami. Kalaulah ada di antara kami yang memakai baju bercirikan pasukan Kedah, agaknya kenalah kami menyedut minuman dari bawah meja….

Memandang ke luar, sekali lagi saya bersyukur. Baru saya perasan vw Ustaz Fairose pula bukannya bernombor pendaftaran dari negeri kelahiran kami!

Lama juga kami menunggu makanan sampai. Maklumlah tuan kedai juga berminat untuk melihat Razip Ismail menjulang piala.Ada antara kami yang terlalu lapar sudah mula berang tetapi demi tidak mahu mendedahkan identiti, terpaksalah keberangan itu diluahkan di bawah meja! Ptuih!

Sambil itu, kami berbincang tentang plan untuk esoknya. Sepakat kami tidak mahu pulang lekas ke Kedah. Kehampaan perlukan sehari dua untuk pulih dan kami tidak mahu bergerak pulang bersama dengan rombongan dan individu yang sedang sekecewa kami. Lagi pula takut juga ada yang cedera di AlFalah jika banyak bertanya ketika menyambut kami kelak!

Tetapi sehari dua itu tidaklah mahu diisi dengan duduk melingkar  sahaja di rumah Khairi – orang Kedah yang telah luntur cinta pada tanah tumpah darahnya!

“La ‘ni kita balik tidoq dulu…..”

Saya tidak ingat siapa yang melontarkan kata-kata demikian.
Yang pasti, maksudnya adalah pulang ke rumah tempat kami berlingkar dari malam hingga petang tadi.

Kerana di situ, masih tersimpan beg-beg pakaian kami.

Tetapi di situ, ada seseorang sedang meraikan kejayaan pasukan warga 
kota membelasah skuad dari negeri kelahirannya…

Di situ!

Tetapi siapalah kami untuk ke situ hanya untuk mendapatkan beg dan keluar semula di tengah-tengah malam buta. Bukan takut tetapi tidak pernah diajar untuk berbuat biadap kepada tuan rumah.....

Kami mesti bersikap semi-pro seperti juga liga Malaysia ketika itu - pulang dan tidur di situ menunggu pagi.

bersambung........Piala Malaysia Dan Vw Itu ....Akhir

No comments:

Post a Comment