sedikit sambungan Rokok Tembak, Tv Dan Wa Sarah.
Tahun itulah -1970 - saya
pergi ke rumah Wa di Alor Gandak, pada cuti sekolah. Bukan sebab mahu tonton
filem Dr Rushdi , seperti yang saya harapkan – apabila difikir balik, mana mungkin
filem yang sedang ditayangkan di pawagam boleh segera berada di tv! [Filem
zaman itulah, maksud saya - zaman sekarang mudah. Filem yang diputarkan di
pawagam pada raya puasa, tak sampai raya haji sudah boleh ditonton di tv…Terkini,
filem yang belum ditayangkan di pawagam pun sudah boleh ditonton di rumah. Tak
percaya, sila tanya Yusof Haslam…]
Saya pergi memang untuk
bercuti.
Semenjak bersekolah,
setiap cuti biasanya saya tidak banyak hari berada di rumah, bermain dengan
kawan sekampung. Kerapnya, saya dibawa dan ditinggalkan di rumah Toktam di Batu Enam,
Simpang Empat – berkawan dengan seorang anaknya, Jawahir [muda setahun dari
saya dan panggilan untuknya, Makcik…] sambil mengitari rumah tok saudara yang
lain [Toktih Mah dan Toksu Minah], semuanya ibu/bapa saudara emak. {Ini akan
menjadi entri lain, Insyaallah]. Selain itu, selepas Tokwan membeli tanah dan
berpindah ke Jalan Bukit Selambau, saya juga ‘bercuti’ di situ. {Ini pun akan
muncul di dalam entri lain…}
Ini kali kedua saya berlama
di rumah Wa, kali pertama pastilah ketika Tokwan bertukang di sekitar situ
dahulu.
Kali ini , saya pergi dengan menaiki Vespa Wa juga. Bezanya, kali ini saya sudah matang….. Duduk di belakang – tempat yang biasanya hak Wa sarah - tidak lagi berdiri di atas lantai Vespa … Wa Isa juga tidak lagi bimbang saya ketiduran…
Kali ini , saya pergi dengan menaiki Vespa Wa juga. Bezanya, kali ini saya sudah matang….. Duduk di belakang – tempat yang biasanya hak Wa sarah - tidak lagi berdiri di atas lantai Vespa … Wa Isa juga tidak lagi bimbang saya ketiduran…
Kematangan
teserlah lagi kerana sekitar sejam setelah sampai – basa-basi sedikit dengan
tuan rumah - saya terus mencari anak saudara Wa Sarah – Mohd Rodhi. Berkawan,
bermain dan berbual dengannya. [Sejak kedatangan pada zaman pra-matang dahulu, ada tiga empat kali
kami berjumpa di rumah Tokwan atau di kampungnya (pergi balik hari dengan ahli
keluarga), jadi rasa kekok telah tiada].
Dengan Amiroh, seperti
yang dipanggil oleh Wa Sarah, saya tidak menjadi asing seperti dahulu. Saya
sudah boleh memahami duduk perkara. Dia adalah ibu saudara saya juga – anak
bongsu Tokwan dan Tok Mah, sebapa dengan ayah, seibu dengan emak – yang
ditakdirkan kena
tinggal bersama Wa. Emak memainkan peranan yang besar bagi memastikan saya
memandang dan menerima Chu sama dengan pandangan dan penerimaan saya terhadap
Chik, anak Tokwan yang rapat dengan saya di kampung – teman berbual dan berkelahi…
Malah sepanjang di
situ, malamnya, saya ditumpangkan di dalam kelambu Chu - situasi yang tidak dikongsi oleh sepupu-sepupu lain!
Sepanjang di situ juga
saya kenal dan baik dengan dua rakan sebaya Chu merangkap anak saudara Wa Sarah
– Che Jam Md Nor [kakak Mohd Rodhi] dan sepupunya, Che Bunga Hashim. Mereka
rajin menyakat saya, maklumlah saya anak kampung yang jauh dari bandar, manakala
mereka orang bandar yang duduk di kampung….[Kg Alor Gandak mengikut penilaian
saya, berdasarkan kemudahan air dan elektrik, berbeza hampir sedekad dengan
kampung kelahiran saya… Baru teringat bab air paip…., nantilah saya catatkan…]
Saya tidak berapa ingat
sangat kegiatan secara rinci semasa di situ. Cumanya yang rutin, bermain di
rumah Mohd Rodhi dalam kebanyakan masa siang. Layanan Maklang Ma [emaknya]
terhadap saya hampir tidak berbeza dengan yang diberikan kepada Mohd Rodhi. Itu
pastilah episod yang masih segar di ingatan. (Satu lagi yang cukup berbekas –
untuk dikongsi - bagaimana buat pertama kali, saya melihat seorang lelaki, yang
membantu keluarga mereka menuai padi, apabila ternampak telur ayam di atas
lipatan beberapa guni di bawah rumah, terus mencapai, memecahkan dan menelan
isinya…. Saya berlari balik ke rumah Wa dan terus termuntah!)
Malam-malam di rumah Wa
saya melepaskan geram. Menonton tv sehingga tamat siaran, walaupun yang ditayangkan sepatah pun tidak saya fahami dialognya. Pada masa itu,
sebelum jam 12, siaran tv akan ditamatkan…
Kemudian tidur, dan bangun
pada paginya untuk sepanjang siang dihabiskan bersama Mohd Rodhi….. Pelbagai
yang kami lakukan: bermain, mengitari kampung dan paling seronok, mengunjungi
kedai!
Saya dibekalkan sedikit
wang oleh emak. Tanpa mengharapkan huluran dari Wa, saya boleh ke kedai bersama
Mohd Rodhi.
Di kedai yang terletak
di tengah-tengah kampung itu, saya membeli makanan rencam seperti kanak-kanak
sekarang. Namun ada sesuatu yang cukup cantik terbenam di memori….
Semasa itu, di dalam tv
ada iklan minuman botol. Vimto namanya. Minuman perisa anggur. Tidak
terdapat di kedai sekitar kampung saya. Mungkin kerana tiada tv, iklan juga
tiada, tidak siapa sekitar kampung saya terasa ingin meminum Vimto…
Di dalam iklan itu,
pelakonnya melagakan botol sesama mereka sambil menyebut ‘Vimto!’, sebelum
meneguknya dengan penuh gaya. Bagi saya, iklan itu saja telah cukup mengujakan,
maka beranganlah untuk melakukan seperti itu.
Saya dan Mohd Rodhi
membeli air itu seorang sebotol. Dibawa balik. Di sisi rumah Wa, ada kereta
sorong berwarna biru. Kami duduk berdua di pinggir kereta sorong itu – seperti duduknya
sepasang kekasih di dalam iklan tv. Kami lagakan botol yang sebelumnya telah
dibuka tudungnya, memercik air perisa anggur ke muka kami. “Vimto!” kami
berteriak serentak lalu meneguk air dengan punggung botol menegak ke udara…..
Setelah puas melanggah,
kami sapu mulut masing-masing, penuh kepuasan. Kemudian barulah kami sedar ada
empat pasang mata sedang memerhatikan kami dari pintu dapur – mata milik Wa Sarah, Chu, Che Jam dan Che
Bunga. Mereka tersengih. Sengihan Wa Sarah cukup saya faham, maka saya pun ikut
tersengih semakna dengannya. Sebelum ke kedai tadi, saya naik ke atas rumah
untuk mengambil duit di dalam beg saya dan menyatakan kepada Wa Sarah bahawa
saya sekadar ingin membeli gula-gula…
Sungguh manis detik
itu, tersimpan elok di balik memori.
Saya juga tidak pun
tahu minuman yang enak itu serta botolnya berasal dari luar negara, tidak seperti air lemonad yang dijual di kedai sekitar
kampung saya
Saya tidak ingat harga
sebotol minuman itu walaupun masih ingat harga majalah URTV pada masa itu –
URTV mula terbit Januari 1970 - adalah 30 sen [menjadi 40 sen beberapa bulan
kemudian apabila ada tambahan empat muka surat dan poster muka tengah…].
Vimto [kini] |
Tetapi harganya
sekarang RM60 sebotol! Ya, satu botol! Saya meminta tolong Pakcik Google
carikan botol Vimto lama baru-baru ini. [Sekarang minuman ini ada dalam
pelbagai bekas, khabarnya masih terkenal di Negara Arab – terutama pada bulan
Ramadan - dan Negara lain, tidak pasti sama
ada terjual lagi di Malaysia]. Satu blog menunjukkan botol lama yang spesiesnya
pernah saya gunakan dahulu. Harganya RM60 satu botol kosong! Kalaulah saya
dapat simpan semua botol yang terbiar di tepi kedai di Kg Alor Gandak dahulu…..
Demikianlah secebis
ingatan kepada Kg Alor Gandak, dan terutamanya terhadap Wa Sarah. Wa Sarah
telah lama meninggal, ketika tidak lagi tinggal di kampung itu – setelah lama berpindah ke rumah di Jalan Langgar. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Limbong. Saya
tidak ingat masa sakitnya tetapi akan sentiasa ingat detik-detik bersamanya. Semoga
rohnya sentiasa dicucuri rahmat Ilahi. Diampun segala dosa, diterima dan diganjarkan segala amalan. Aamin.
Akan Mohd Rodhi, Che
Jam dan Che Bunga, tidak lagi saya temui walaupun berada di sekitar Kota Setar –
mungkin kami tidak lagi saling mengenali jika pun terserempak. Kampung Alor
Gandak juga hanya dua kali saya jejaki dalam tempoh empat dekad ini – menghadiri dua kenduri di situ.
Chu?
Dia lainlah. Dia anak
Tokwan. Dia anak Tok Mah. Dia adik ayah saya, sebapa. Dia adik emak saya,
seibu. Dia emak saudara saya.
Saya cucu Tok Mah. Saya
cucu Tokwan. Aku Cucu Pakya!
Keliru?
Kenalah baca semula entri berkait di dalam blog ini, bermula dari Mengungkit Janji, dan terutamanya Bertemu Tokwan Dan .... Amiroh …..
No comments:
Post a Comment