Tuesday, November 19, 2013

Ayah Di Antara Chan Tok Chin dan Santokh Singh

Santokh Singh
Kedah hanya mula masuk final Piala Malaysia [sejak diubah dari nama Piala Malaya pada hujung dekad 60-an] pada tahun 1987. Bermula di situ, Kedah layak lagi pada tahun berikutnya, dan berikutnya....Enam kali dalam tempoh 7 tahun.

Namun pada era lebih awal, Selangorlah yang mendominasi pentas akhir. Ketika itu, dengan tidak pernah boleh membayangkan Kedah akan berada di peringkat tertinggi arena bolasepak tempatan itu, Selangorlah pasukan kegemaran saya. Selain kerapnya mereka masuk ke perlawanan akhir, pasukan itu juga membekalkan hampir separuh pemain skuad kebangsaan. Lagi pula, jika pertemuan di final melibatkan pasukan jemputan, Singapura, semangat patriotik pula membuatkan saya menyokong Selangor...


Santokh dan Chin Aun 

Dalam pasukan Selangor - juga Malaysia - semua kaum terdapat di dalamnya, dengan masing-masing bermain bukan sekadar pelengkap kuota atau menjadi penumpang. Setiap yang dipilih mempunyai kebolehan,kemahiran dan kesungguhan yang diakui penyokong. Sebut sahaja R Arumugam [serta Rashid Hassan] di pintu gol, Soh Chin Aun di bahagian pertahanan, Reduan Abdullah di posisi tengah, serta pastinya Supermokh [Mokhtar Dahari] di barisan penyerang.


Selain daripada Soh Chin Aun yang berasal dari Melaka itu, pertahanan tengah Selangor/Malaysia menjadi milik tetap pemain tegap berjersi nombor 5 - Santokh Singh.


Saya bukanlah mahu mengulas corak permainan atau kisah peribadinya. 


Cuma, saya terkenang satu detik bersama ayah, di kampung kami.


Di kampung kami, elektrik menjengah menjelang pertengahan dekad 70-an. Di rumah kami tiada tv. Rumah Tokwan pun demikian -  Paktih belikan sebuah tv pada awal dekad berikutnya.


Jiran terdekat kami yang mempunyai tv adalah Yusof Hj Othman [Pakcik Syup], sekitar 150 meter dari rumah kami - berselang 5 buah rumah.


Pada malam yang 'sesuai' saya akan ke rumah Pakcik Syup - malam adanya rancangan Gusti, Hiburan Minggu Ini, siri Combat, The Misadventures of Sheriff Lobo, siri CHips, Tayangan Gambar Melayu, Tayangan Gambar Hindi, Orkestra RTM - ertinya hampir setiap malamlah....


Ayah pun demikian. Kena pula di situlah tempat berkumpul kawan-kawan bersembangnya. Berjemaahlah kami menonton bersama Wak [ Ramli Ahmad a.k. a Not], Pakngah Lazim [Lazim Husain] dan Pakndak Noq [Md Noor Shafie]. Mereka ini adalah jemaah tetap manakala adalah sesekali datang kawan-kawan mereka yang lain. Di kalangan kanak-kanak dan remaja, sayalah rasanya yang paling dominan. Sebabnya jelas,di situ saya ada ayah! Kawan-kawan lain pun ada ayah tetapi ayah mereka tidak ambil kisah dengan siaran tv, maka jaranglah mereka diizinkan keluar menonton... {nanti kita cerita.....}


Berbalik pada Santokh Singh.


Pertengahan tahun 1978,  ada final Piala Malaysia. [Belum ada Liga M]Selangor bertemu Singapura. 


Semua kami tentulah menyokong pasukan dari Malaysia - Selangor. Kedah pada masa itu? Malaslah mahu dicatat...


Hampir keseleruhan pemain Selangor adalah pemain skuad kebangsaan. Dari penjaga gol hinggalah penyerang semuanya dari skuad yang sejak bertukar ke taraf profesional menjadi Gergasi Merah. Malah penjaga gol simpanan Malaysia pun datangnya dari Selangor! {Semasa itu R Arumugam dan Rashid Hassan - kedua-duanya dari Selangor - adalah penjaga gawang skuad negara.} Bintang Selangor yang lain  adalah Abdullah Ali, Ramli Junit, Khalid Ali, John Engkatesu, serta dua  orang baru - Khan Hung Meng dan K Rajagobal.....

Fandi

Fandi Ahmad masih remaja waktu itu [16 tahun] dan menjadi sebahagian skuad Kota Singa. Ada ramai lagi bintang yang masih diingati: Edmund Wee, S Rajagopal, Syed Mutalib,Dollah Kassim, Quah Kim Song, Nasir Jalil, Samad Allapitchay .....


Selepas 34 minit permainan, Singapura mendahului dua kosong hasil kesilapan Rashid Hassan.  Kami terdiam. Mana mungkin pasukan yang ketinggalan begitu boleh memenangi perlawanan. Perlawanan akhir di Stadium Merdeka, bukan permainan di dalam bendang di kampung kita yang tidak had masa permainan...


Tetapi Ramli Junit menjaringkan gol pertama Selangor tiga minit kemudian. Arumugam menggantikan Rashid [penjaga gol nombor wahid negara] yang terus ke bilik persalinan - sambil menangis. Kami tidak juga bersuara. Selangor di ambang kekalahan.. 

Tinggal 10-11 minit....


Waktu itulah Selangor mendapat sepakan bebas dari tepi padang - jauh amat dari pintu gol.  Chin 'Tauke' Aun mengambil tempat di belakang bola. Saya masih ingat dengan jelas bagaimana sepakannya menerjah gol lawan. Kami - Wak, Pakndak Noq, Pakngah Lazim serta dua beranak yang ikut menyaksikan perlawanan itu....  - melompat sakan. Pakcik Syup, seperti selalu, hanya tersenyum!


Tinggal kurang dari 9 minit. Kami tetap bersorak. Santokh Singh mendapat rentaknya semula sebagai pemain pertahanan tengah yang kental. Setiap asakan penyerang dari Kota Singa dihadangnya dengan yakin dan kemas.


Pertembungan di antaranya dengan pemain lawan kami tonton dengan bersemangat.


"Boh Santokh Singh, boh...." begitu jerit Wak, Pakndak Noq, Pakngah Lazim dan ayah. Berkali-kali, jika melihat Santokh yang berbadan sasa itu menghadang penggempur Singapura. Pakcik Syup tetap tersenyum.


Lima minit menjelang tamat perlawanan, satu sepakan lambung jarak jauh dari John Engkatesu berjaya menembusi gol Singapura. Kami melompat sedang tuan rumah - Pakcik Syup - hanya tersenyum ambil bersandar pada dinding pemidang rumah...


Dari ambang kekalahan, Selangor berada di gerbang kejuaraan....


Asakan Singapura makin memercik. Penuh kekasaran. Chin Aun serta Santokh terus menghadang. Di antara dua bintang itu, kami lebih terpesona dengan gaya hadangan Santokh - keras tetapi bersih...


"Boh Santokh Singh, boh...." lagi jerit Wak, Pakndak Noq, Pakngah Lazim dan ayah. Pakcik Syup terus tersenyum melihat gelagat tetamu tetapnya.


Berkali-kali pula mereka jeritkan begitu.


"Boh Chan Tok Chin, boh!" jerit saya pula. Sengaja menongkah arus atau seperti sengaja mencari pasal!


Tiba-tiba suasana di dalam rumah menjadi sepi. Saya terkejut. 


Ramli Junit menjaringkan satu gol lagi pada saat terakhir perlawanan. Tetapi kesepian terus berlaku. Tiada lompatan gembira lagi di rumah Pakcik Syup, sedangkan suasana di stadium gamat.


Majlis penyampaian hadiah juga hambar di rumah itu. Tiada siapa pun bersuara, mengulas,sehinggalah kemudiannya, seorang demi seorang turun dari rumah Pakcik Syup, didahului oleh Pakngah Lazim. Ayah mengisyaratkan saya supaya ikut balik, ketika Santokh dan rakan-rakan sedang mengarak piala mengelilingi stadium...


Chan Tok Chin adalah seorang lelaki sebaya ayah - lebih kurang - yang tinggal di jalan antara Simpang Empat dengan Kangkong. Nama sebenarnya Hassan bin Husain. Anaknya - Noraini - sebaya saya, sama belajar di SM Simpang Empat.

Pakcik Chan [ panggilan kami untuknya] adalah seorang yang cukup peramah dan suka bergurau. Semua peringkat usia senang dengan Pakcik Chan. 

Di rumah, agaknya ayah bercerita sesuatu yang agak panjang dengan emak ketika saya sedang dalam perjalanan ke alam mimpi....


Besoknya, emak berhadap dengan saya di dapur.


"Tau siapa Chan Tok Chin tu?" tanya emak. Saya mengangguk.


"Tak tau habis kut?" tanya emak lagi. Saya tidak menjawab.


"Dia 'tu adik beradik Tok..." kata emak. Saya hanya diam. 


Salah apa saya semalam sehingga hal salasilah begitu ditimbulkan? Saya hanya sebut Chan Tok Chin. Biasa saja. Chan untuk Hassan. Tok Chin untuk Husain, ayahnya. Cuma saya tidak sebut Pakcik  kerana saya memaksudkan ungkapan Chan Tok Chin itu untuk Santokh Singh! Sekadar suka-suka ketika ayah dan rakan-rakannya asyik menyebut Santokh...


Ayah saya lihat duduk di tangga dapur. Macam menggelisah. Macam mahu berkata sesuatu. 


Emak terus bercerita tentang  Tok. Sebelum berkahwin dengan Tokwan, Tok berkahwin dengan orang sekampung juga - Shaari. Itu saya tahu lebih awal, sebab sesekali jika ingin berjenaka dengan Tok, Tokwan akan menyebut tentang Shaari itu, dan saya pernah tanyakan sendiri kepada Tok. 


Tetapi kata emak lagi, sebelum berkahwin dengan Shaari itu, semasa muda dara - sepatah kata Tok - Tok pernah berkahwin dengan abang kepada Pakcik Chan itu, Bakar namanya. Kiranya Tok pernah menjadi menantu Tok Chinlah...


Panjang juga cerita dari emak... Tapi untuk apa?


Tiba-tiba ayah naik dan duduk di depan saya juga.


"Pakngah Lazim 'tu abang Pakcik Chan!" kata ayah. Emak mengangguk, mengiyakan sesuatu yang sebenarnya mahu disebutkan kepada saya tetapi belum terjumpa kalimat, agaknya, sehingga terpusing-pusing mengaitkan Tok dan jodoh awalnya...


OOOOOO!! Lazim bin Husain, Hassan bin Husain...... manalah saya tahu mereka mempunyai pertalian begitu!


Saya mengangguk, faham. Saya berasa amat bersalah serta malu.


Patutlah sedang berghairah menonton bola semalam, sebaik saya sebutkan Chan Tok Chin, tiba-tiba  suasana  sepi, semua terdiam. Tahi cicak jatuh atas tikar mengkuang di rumah Pakcik Syup pun dapat didengar....


Pakngah Lazim [ setengahnya memanggil Pakndak, setengah lagi Pakcaq - mengikut gelaran kerabat sebelah mana pemanggilnya datang] adalah abang ipar Pakcik Syup.  Saya memanggil Pakngah sebab isterinya, Asiah saya panggil Makngah...


Sejak kejadian itu hampir seminggu saya tidak mengunjungi rumah Pakcik Syup. Malah kemudiannya pun saya semakin jarang pergi menonton di situ. 


Lama kemudian tv makin banyak tumbuh di kampung. Dalam masa yang hampir sama di rumah Tokwan juga telah tumbuh sebuah tv yang disemai dan ditanam oleh Paktih - tv 16 inci, jenama National.


Dengan Pakngah Lazim pula saya kian renggang - setelah sebelumnya, saya hanya sedikit renggang oleh satu peristiwa. [Nantilah, bila sampai serunya untuk bercerita tentang itu].


Wak pula selalu menyakat saya dengan mengatakan Pakngah Lazim sering tersebut-sebut nama saya.....



******************************************************************


Kini, semua penonton tv bersama saya itu telah meninggal dunia. Mokhtar, Arumugam dan Dollah Kasssim juga telah tiada.


Hanya kenangan yang dapat diimbau.


Dan saya terkenang peristiwa itu tatkala berada di bawah khemah kenduri di rumah anak Pakngah Lazim - Aishah - di sekitar Tokai pada Sabtu lalu [16 Nov]. Saya bertemu dengan dua lagi anak arwah - Shuib dan Ahmad di situ. Kenangan itu makin segar apabila berjumpa juga dua anak arwah Pakcik Syup - Wan dan Ismail...


Demikianlah.



No comments:

Post a Comment