Tuesday, November 5, 2013

Ais Kacang Salji Dan Bihun Sup



Selasa terakhir tahun 1434, saya mengunjungi kedai  - tepatnya Restoran Dinalang - di Simpang Empat itu. Saya memenuhi ajakan Paktih. Kerap juga dia berbuat begitu - mengajak saya -  sebelum ini, jika rindu pada ais kacang Pak Alang, sambil berbual-bual santai.

Restoran Dinalang - Alor Setar, Malaysia
[Paktih sudah terbiasa dengan ais itu semenjak zaman bersekolah dahulu di Madrasah Ihya’ Al Ulum Ad Diniah a.k.a Pondok Hj Talib (kini telah menjadi salah satu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan)- sejak kedai itu diuruskan oleh arwah Pak Alang, diikuti oleh anaknya arwah Jamaluddin. Kiranya sudah tiga generasi pengendali kedai dengan rasa dan tekstur ais yang tidak berbeza... Dari harga lima kupang [50 sen] dahulu hingga RM2.50 sekarang.Takdir-Nya pula Paktih sudah kembali berkhidmat ke sekolah lamanya yang terletak di Batu 7 ¼ itu…]

Hampir setiap meja mempunyai penghuni. Hampir semuanya pula meminta ais kacang beserta makanan pengiring - nasi ayam atau bihun sup atau sepupu-sepapatnya...

Saya menghampiri kabinet khas bagi pembuat ais – memesan sepiring ais kacang. Segan juga untuk terus duduk, sehingga dianggap sekadar penumpang membaca akhbar harian milik restoran, yang kebetulan ditinggalkan oleh pelanggan terdahulu. Sekurang-kurangnya secara tidak langsung saya telah mendaftar diri sebagai pelanggan, sambil menunggu Paktih sampai…

Meja paling belakang itu berhampiran
 kiosk nasi ayam. Saya membelakangnya, menghadap ke arah jalanraya. Rasa tersilap juga [ataukah beruntung - mengikut tafsiran masing-masing] kerana bersetentang dengan dua amoi yang bertelanjang, yang sedang menikmati ais kacang... Yang bertudung tapi berpakaian ketat ustaz kata seolah bertelanjang, apa lagi yang tidak bertudung dan tidak berpakaian lengkap menutup dada dan peha.... [Rujuk sini]

Tapi tidak lama mereka bertelanjang di depan saya. Sebaik Paktih sampai dan menggamit supaya duduk di meja depan restoran, dua amoi tadi sudah mahu meninggalkan meja mereka...

"Amoi aa, lain kali kalau mahu ke tempat awam macam 'ni, pakailah bagi sopan sikit, tau? " Sempat ditujukan frasa itu kepada mereka yang tersenyum ketika melintas di depan saya. "Taklah tersipu-sipu bila orang perhati sepanjang masa!" sambung saya lagi di dalam hati - sama seperti frasa awal tadi... Jadilah, walaupun teguran dari hati tanda selemah-lemah iman... Hangpa berani?


Saya berpindah ke meja yang dipilih Paktih. Ais kacang salji yang saya minta sampai hampir serentak dengan ketibaan saya ke meja itu. Paktih memesan sama [walaupun awalnya membelek kepingan menu yang tertera foto beberapa perasablended ice] serta semangkuk bihun sup 'spesial'.

Saya gaul ais dan semua benda alah di dalamnya - kacang sudah pastilah, kalau tidak bukan ais kacang namanya! Sambil berbual saya menyudu lalu menolaknya ke dalam mulut... Mengemam sedetik sambil mata dipejamkan. Rasanya?
 Lagi mau tanya ka? 

Sebentar kemudian pesanan Paktih sampai. Dia membiarkan ais kacang salji secara perlahan cair sendiri kerana memberikan perhatian kepada bihun sup 'spesial' itu. Secara begitu pun, rasa ais kacang tetap tidak berubah...

Bermacam-macam cara pernah saya lihat dan dengar tentang menikmati ais kacang resipi arwah Pak Alang ini. Paling saya ingat, seorang rakan meninggalkan kacang yang masin lemak dan
 melekat itu hingga hirupan ais cair yang terakhir. Saya yang menyangka dia tidak mahukan kacang itu terus menyudu dari piringnya dan dihantar ke mulut sendiri. Mengunyahnya penuh nikmat. Mata kawan itu terbeliak, tidak berkata apa-apa, melainkan sepatah: Dajey [Dajal]! Kerana itu, kami terpaksa memesan seorang sepiring lagi ais tersebut!

Saya dan Paktih terus berbual sambil menikmati ais kacang ... sambil lagi saya mengerling orang...


Hazwani
Saya nampak dua tiga orang budak perempuan - entah dari IPTA mana - mengajak Hazwani [agaknya*], cucu arwah Pak Alang, anak Jamaluddin, yang menguruskan restoran itu untuk bergambar bersama, berlatarbelakangkan kabinet tempat terletaknya mesin pengisar ais dengan susunan tin susu, jagung, kacang, serta air gula. Menoleh sekali lagi, saya nampak semua pekerja bahagian ais kacang pula bergambar sama. [agaknya*, sebab saya tidak kenal dua cucu Pak Alang yang menguruskan restoran tersebut - hanya mendasarkan pada paparan Utusan Malaysia, tidak tahulah yang mana yang bergambar itu]. {Saya baru difahamkan oleh admin page Restoran Dinalang, bahawa dua tiga budak perempuan itu adalah antara "siswa siswi drpd uum. mreka buat kajian tentang perniagaan warisan keluarga."

Namun yang pasti, tengah hari itu, di dalam salah satu atau tiga laman sosial budak perempuan itu pasti ada foto-foto itu, selain foto ais kacang yang dirakam sejak awal... – sebagai bukti mereka sudah datang makan ais kacang salji. Mungkin siap dengan satu pertanyaan:
 kau ada? ..... hehehe

Itu sudah kira baik juga, sekurang-kurangnya memperkenalkan satu makanan kegemaran selain membantu perniagaan umat Islam. Tidaklah mengarut macam sahabat saya yang sering menghantar foto masakan tidak menjadinya atau cerita kemalasannya memasak untuk pengetahuan umum, termasuklah Mark Zuckerberg.



"kau ada?"
Saya dan Paktih terus menikmati ais kacang sambil berbual... setelah Paktih menghabiskan bihun supnya.

Ais kacang dan bihun sup...

Bersama dengan ais kacang Pak Alang itu, dahulu ada bihun sup. Jaya Bihun Sup. Diusahakan oleh Pak Hashim Bersaudara. Mereka saling melengkapi. Tetapi sudah lama Pak Hashim berhenti meniaga bihun sup.

Selepas berpindah ke bangunan MARA bersebelahan tapak pekan sehari {Pekan Khamis} - yang memisahkan bangunan itu dengan blok asal Restoran Dinalang, Pak Hashim sempat berniaga beberapa tahun sahaja. Mungkin faktor usia. Kini kedainya itu diuruskan oleh anaknya yang menjalankan perniagaan di jalur komputer pula. Pak Hashim menjadi 'pesara' dengan menumpukan kepada bidang kemasyarakatan. 


Dahulu, sempatlah sekali, kebetulan juga, saya dengan Paktih menikmati bihun sup Pak Hashim di kedai MARA itu. Sempat berbual sebentar dengannya dan bertanyakan harga sewa kedai. Itulah kali pertama dan terakhir kami makan bersama di situ. Rasa supnya tidak berubah. Sama seperti dua dekad sebelumnya. Tetapi tentulah ada sesuatu yang kurang. Bihun sup itu tiada pelengkap berzamannya - ais kacang! Lebih seratus meter jarak kedai Pak Hashim dengan kedai ais kacang Pak Alang.... 

[Bagi yang merindui bihun sup Pak Hashim bolehlah menikmati bihun sup Brahim di depan kedai MARA tersebut [petang hingga malam] atau gerai bihun sup Brahim di tapak Pekan Khamis [belakang] setiap siang kecuali Jumaat. Ibrahim adalah salah seorang pekerja Pak Hashim semasa Bihun Sup Jaya berada di zaman kemuncaknya - ketika masih membentuk kolaborasi intim dengan ais kacang Pak Alang dan Jamaluddin dahulu. Pastinya resepi dan rasa masih sama...]

Saya teringat, sewaktu kecil dahulu, betapa jika minggu terakhir bulan Syaaban- kena pula hari Khamis - semacam satu kemestian warga kampung ke Simpang Empat untuk menikmati bihun sup serta ais kacang, sebagai persediaan menyambut puasa Ramadhan.... 


"hangpa ada?"
Zaman berubah. Warga kampung tidak lagi perlu menunggu hingga hujung Syaaban. Setiap hari, kecuali Jumaat, mereka yang kesemuanya telah kukuh ekonomi, boleh saja menikmati menu kegemaran itu. Memanglah kedai bihun sup 'itu' telah tiada. Tetapi kedai ais Din Pak Alang [ sebelumnya kedai ais Pak Alang] masih ada. Ditambahbaikkan lagi menjadi restoran. Masih ada bihun sup di restoran itu dengan rasa yang hampir seperti dahulu. Ais kacangnya, meski ditambah perkataan SALJI, tetap dengan resepi lama dengan tekstur halus ais yang terkenal itu. Malah cucu-cucu Pak Alang kini menambahkan satu perkhidmatan lagi - menyediakan van bergerak, jika ada tempahan untuk sebarang majlis yang memerlukan hidangan ais kacang...

Demikianlah.

Sekian untuk hari ini.

Jom, pekena ais kacang! Hehehe...

1 comment:

  1. bole tau tak name sebenar arwah pak alang ape?

    ReplyDelete