Monday, November 4, 2013

Piala Malaysia Di Atas Balai...

1992.

14 November.

Hari Sabtu.

8.30 malam.

Itulah tarikhnya. Itulah harinya. Itulah detiknya.
Kedah  bertemu Pahang pada perlawanan menentukan juara Piala Malaysia. Kali kelima dalam enam musim Kedah berada di peringkat akhir.

Kedah mencipta sejarah lagi sebagai pasukan pertama selaku juara  Divisyen 2 yang memasuki peringkat kemuncak itu, manakala Pahang merupakan juara Divisyen 1.

Pada kali ini, meski beraksi di Divisyen 2 – akibat kemerosotan pada musim 1991, hanya setahun selepas menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama pada tahun 1990 - Kedah memiliki segala ramuan untuk sekali lagi menjulang piala berprestij itu . Benteng akhir dikawal oleh Azmi Mahmud, barisan pertahanan diterajui oleh Olunbumi Adigun, bahagian tengah dikemudikan oleh  Radhi Mohd Din, manakala serangan diketuai oleh Peter Nieketien. Di sisi Adigun, ada Lee Kin Hong yang renjong, di samping Radhi, ada Tibor Szaban yang rajin, manakala bersama Peter, ada Faridzuan Che Hamid yang prolifik. Empat yang lain, tidak kurang bisanya, walau saya lupa sedikit nama mereka. Mungkin Manja Man, Norazam Ishak, Lee Thean Ewe dan Jelani Wilastra...

Memanglah Pahang juga mempunyai deretan bintang – Fandi Ahmad, Ahmad Yusof, Dollah Salleh, Salahuddin Che Rose, Zainal Abidin Hassan dan tonggak import dari Australia, Alan Davidson serta penjaga gol kebangsaan Khairul Azman Mohammad. Namun siapa – terutama penyokong tegar di seluruh negeri serta pasukan yang telah ditumbangkan sepanjang laluan ke final - boleh menafikan kekuatan Kedah dari segenap sudut – baik ketika menyerang, menguasai bahagian  tengah padang serta menyerap segala asakan lawan.
Semua teruja.

Saya hanya menghadap tv.  Bersama saya ada lagi lebih sedozen pasang mata, ikut mahu menonton. Meremang bulu roma tatkala nama kesebelasan utama pasukan Kedah diumumkan di stadium serta dipaparkan di skrin tv. Pengulas pun memberi komen yang agak seimbang, tidaklah membias seperti ketika pertama kali Kedah masuk ke final pada tahun 1987 dahulu – dilebihkan sangat kepada pasukan warga kota, Kuala Lumpur… Musim  ini hak siaran tv diberikan kepada TV3, bukan RTM.

Meremang juga bulu tengkok melihat wajah-wajah yang tulen dengan ciri-ciri kekedahan secara sepintas dirakamkan oleh kamera tv… bersorak girang dengan muka berminyak dan berconteng dua warna kebanggaan skuad negeri, kuning dan hijau. Nampak mereka kepanasan di dalam stadium namun riak wajah tetap ceria, sedang saya dan beberapa orang yang berkongsi menghadap petit v, selesa dalam hembusan angin malam pertengahan November itu.

Bukan tidak mahu ikut serta ke stadium bersama puluhan ribu penyokong skuad Hijau Kuning,  tetapi dua perkara menghalang, yang tidak pula boleh diabaikan setiap satunya.

Pertama, sesuai seperti yang telah saya catat di dalam bahagian hujung entri Piala Malaysia dan Vw Itu … dahulu:

Semasa berjalan menuju ke kereta, saya mengambil seketul batu di atas pantai Port Dickson. Saya lontarkan ke Selat Melaka, lalu berkata kepada angin yang berkeliling, “Timbullah batu ini, maka aku akan datang tengok Kedah dalam final Piala Malaysia lagi, di stadium!”

Maka itulah sebabnya selepas 1988, walau enam tujuh kali Kedah layak ke final malah memenangi Piala Malaysia, kelibat saya tidak ditemui di mana-mana stadium……

Keduanya pula ….

Gol!

Barua! Masuk ‘dah!?

Macam taik…

Saya tersentak. Baru saja pandangan terarah ke tempat lain, semasa telinga seperti baru pula mendengar nama pemain Pahang disebut oleh Shaukie Kahar,  tiba-tiba sorakan dan cercaan hampir serentak masuk ke telinga.

Sorakan datangnya dari seorang sepupu yang sejak petang lagi menyakitkan kebanyakan hati kami dengan menyatakan keyakinannya bahawa Kedah tidak akan dapat mengalahkan Pahang. Cercaan yang dua itu pula datangnya dari mulut dua orang sepupu lain, yang  seperti saya, baru saja mahu mengemaskan kedudukan di hadapan tv. Kedua-dua mereka, kalau tidak dikeranakan oleh sebab kedua yang akan saya catat ini, pastilah sedang berpeluh sakan di Stadium Merdeka.

Saya tidak melihat detik sebenar jaringan itu. Hanya beberapa saat setelah ditunjukkan reaksi gembira pemain  Pahang, barulah diulang tayang jaringan tersebut. Satu kesilapan Azmi Mahmud, kata Shaukie Kahar. Gol paling mudah dalam sejarah perlawanan akhir…. Kata pula seorang lagi pengulas, Zainal Abidin Rawop….

Satu kesilapan dalam minit awal, membuka ruang kepada penyerang Pahang mencatat nama sebagai penjaring. Zulhamizan Zakaria namanya. Nama yang bertahun-tahun kemudian tetap diingati oleh penyokong Kedah sebagai pemusnah harapan. Nama yang mungkin agak lama tertancap di kepala Azmi Mahmud, penjaga gawang Kedah.

Clearance dari Alan Davidson hasil serangan Kedah setelah Pahang melakukan tendangan sudut sebelum itu, melepasi benteng pertahanan Kedah, yang merasakan selamat lah bola ke dalam tangan Azmi. Tetapi semuanya tersalah perkiraan. Bola belum boleh ditangkap kerana berada di luar sedikit dari petak penalti/gol. Penjaga gol itu menerpa, cuba membuat sepakan clearance  tetapi tidak mengena, malah dia sendiri terbabas. Zulhamizan yang mendapat bola itu hanya perlu bertenang membawa bola ke depan gol dan menguis masuk.  

Penyokong Pahang melompat. Penyokong Kedah terpempan. Namun keyakinan untuk Kedah bangkit tetap ada. Masa permainan ada lagi 88 minit!

Benar. Kedah terus mengasak sepanjang perlawanan. Pertahanan tidak melakukan sebarang kesilapan. Adigun menjadi jeneral di bahagian itu. Kalaupun terlepas, Azmi dengan tangkas bertindak, melupakan sementara kesilapan awal tadi. Namun hingga wisel penamat, penyokong Kedah hanya mampu bersorak, berharap. Gol penyamaan yang dicari tidak muncul-muncul meski menguasai permainan. Peter Nieketien  dan Faridzuan buntu dalam melakukan tugas yang sebelum ini cukup mudah bagi mereka – mencetak gol…

Penyokong di Stadium Merdeka terpaksa menerima hakikat. Sekali lagi terpaksa bergerak longlai keluar menghala kenderaan di luar stadium dan merasakan betapa jauhnya perjalanan pulang nanti. Sesuatu yang pernah saya dan empat kawan lagi alami pada tahun 1988 dahulu.

“Aku kata dah!” kata sepupu yang bersorak ketika bola tolakan Zulhamizan melepasi garisan gol pada awal permainan tadi. “Kedah tak boleh makan Pahang punya….”

Saya memerhati wajah sepupu itu. Nampak bulat dan kecil sahaja ketika itu. Seakan sebesar roti burger yang kami makan berdua menjelang Maghrib tadi……

Akan dua sepupu lain yang kalau tidak bersebab kukuh pasti ikut ke Stadium Merdeka itu, hanya menjegil ‘penyokong’ tunggal Pahang itu. Nampak kesakitan hati mereka pada cara masing-masing membalut rokok daun sebesar jari telunjuk, dicucuh dan disedut dalam-dalam. Nampak berlopak pipi masing-masing. Mereka bersandar agak jauh dari sepupu yang menongkah arus itu.
Tetapi sepupu nan seorang itu tetap  mahu memelihara hubungan kekeluargaan. Saya nampak dia menghampiri dua orang tadi sambil menghulurkan kotak rokok Dunhill. Yang dua itu menolaknya dengan isyarat tangan sambil terus mengemut rokok daun tadi. Berlopak lagi dalam rasanya pipi mereka ketika itu untuk mengepam asap dari daun nipah kering yang terjuntai di bibir.

“Amboi, bang Din ….”kata sepupu nan seorang tadi sambil menghala wajah ke arah saya yang memang tidak merokok.”Depa maghah sungguh aih. Kat penaja Piala Malaysia pun depa maghah! Biaq pekena rokok daun pun tak pa…”

Sepupu yang dua orang tadi tidak berkata apa-apa. Hampir serentak menyepit rokok daun sebesar jari lalu menghembus asapnya ke udara.

Saya juga kehilangan kata-kata. Masih terbayang-bayang cara Azmi Mahmud menyepak angin pada awal permainan tadi – sambil terbayang juga bagai mana cara Dolah Salleh dan rakan-rakannya memeluk Zulhamizan… Sementelah tidak lama kemudian Zainal Abidin menerima piala dari Sultan Ahmad Shah.... Pedih wooo...

Merasakan kami sedang melayan perasaan sendiri dan tidak mahu membalas cakap dan giatannya, sepupu nan seorang tadi bergerak menuruni tangga balai.

Tangga balai?

Ya. Pada malam itu kami menonton perlawanan akhir tersebut di atas balai yang didirikan di depan rumah Paklang di Alor Penyengat. Menghadap matahari jatuh atau arah Pekan Simpang Kuala. Balai itu adalah tempat tetamu lelaki menjamu selera.

Menjamu selera?

Ya. Paklang mengadakan kenduri perkahwinan anak sulungnya, Salleh yang bertemu jodoh dengan gadis Tunjang, Habibah.

Kenduri itulah yang menghalang dua sepupu yang bergelut dengan rokok daun di atas balai tersebut, dari ikut menyertai rombongan ke Stadium Merdeka. Kenduri itulah juga sebab kedua yang boleh digunakan untuk memberitahu kenapa saya tidak ikut ke KL, walaupun sebab pertama tadi sudah pun kukuh…

Insan tunggal  penyokong Pahang di atas balai tadi, yang kemudian turun apabila merasakan kami tidak mahu melayan cakapnya itulah pengantin lelaki yang kami raikan – Salleh…

Dua puluh satu tahun telah berlalu. Maka dua puluh satu tahunlah juga usia perkahwinan Saleh dengan Habibah.
Kini: Saleh dan Habibah [paling kiri dan kanan]

Selamat ulang tahun Leh dan Bibah!

3 November 2013, Pahang sekali lagi menjuarai Piala Malaysia – buat kali ketiga, kali terakhir adalah ketika menewaskan Kedah itu. Dolah Salleh kini menjadi jurulatih, manakala Zainal Abidin Hassan selaku penolong pengurus pasukan itu.  Demikianlah tulisan takdir...

Syabas untuk Pahang.

Kepada penyokong Kelantan, terutama yang pergi menyaksikan sendiri perlawanan di stadium, saya faham perasaan anda. Saya pernah alami sekali dan tidak akan lupa hingga bila-bila akan pedihnya… Maka saya faham sungguh-sungguh!

Akan ada lain kalinya. Lihatlah sahaja kepada Kedah. Selepas tewas dengan cara yang memedihkan itu, tahun berikutnya muncul pula sebagai juara - menewaskan Singapura.

Roda berputar...

No comments:

Post a Comment