Tuesday, July 9, 2013

Dua Burger Dan Dua Polis Trafik


Awal 90-an.

Besok kenduri di rumah Paklang.Perkahwinan anak sulungnya, Salleh.


Petang itu, hampir seluruh keluarga besar kami berkumpul di Alor Penyengat. Balai untuk tetamu yang didirikan sejak dua hari lalu dipenuhi oleh anak cucu Pakya. Riuh-rendah suasanya. 

Sedang kami menyibuk di sekitar balai itu, Paklang menyatakan bahawa seseorang harus ke kedai elektrik bagi membeli wayar tambahan serta sebiji dua mentol.

Salleh kini
Saya dan pengantin lelaki - Leh - mengambil tugas itu. Dengan bermotorsikal, kami menuju ke Simpang Kuala dan seterusnya ke tengah bandar - sengaja mencari kedai jauh sedangkan bukan tidak ada kedai menjual wayar di Simpang Kuala.

"Kita ronda sat..."kata Leh. Saya mengangguk. Inilah kesempatan terakhir untuk saya memeluk pinggang sepupu saya itu di atas motor sebelum sehari dua lagi dipeluk isterinya pula.....

Di pusat bandar, kami sengaja lagi mencari wayar di dalam pasaraya, bukan di kedai elektrik biasa. "Kita releks sat..."kata Leh. Sekali lagi saya mengangguk. Mungkin sudah dua tiga hari Leh bertungkus-lumus membuat pelbagai kerja bagi melancarkan perjalanan majlis kendurinya. Biarlah dia melepaskan lelah sekejap. Kalau tergesa-gesa pun, mungkin ada lagi yang terbeban di bahunya di rumah kelak, sedangkan dia baru empat lima jam yang lalu menyalin pakaian pengantin yang dipakainya untuk ke rumah pengantin perempuan di sekitar Tunjang. Maka berjalanlah kami di sekitar aras pertama pasaraya itu sambil melihat-lihat entah apa-apa.

Selepas 'sat'yang dikatakan oleh Leh itu berlalu hampir 45 minit, barulah kami ke bahagian elektrik di pasaraya itu. Beberapa meter wayar hitam-merah, setengah dozen mentol siap di dalam bungkusan ketika kami melangkah keluar meninggalkan hawa yang dingin. Ketika menuju ke motor yang diparkir di hadapan pasaraya, Leh menarik tangan saya. "Sat..."katanya, "kita order burger dulu...."dan kali ini tanpa sempat saya mengangguk Leh sudah melangkah ke gerai burger yang terletak di sebelah lorong mini di hujung blok pasaraya.

Seketika kemudian, Leh datang bersama beg berisi dua biji burger.  "Hangat lagi..."katanya sambil menghulurkan beg plastik itu kepada saya. Saya mengangguk faham - tak boleh makan lagi.....

Leh menghidupkan motorsikal, meninggalkan kawasan pasaraya dan pusat bandar. Saya meraba-raba bahagian bawah beg plastik sepanjang perjalanan itu ..... 

Sampai di simpang tiga Jalan Tanjung Bendahara-Alor Mengkudu, Leh memberhentikan motor secara tiba-tiba di bahu jalan.

"Awat 'ni?"tanya saya, kalau-kalau ada masalah kepada motor.

"Sat..."kata Leh, tenang. "Kita beghenti dulu...."

Dia mengeluarkan kepalanya dari topi keledar. Topi fiber yang diwarnakan biru muda itu diletakkan di atas penutup longkang bersebelahan motor.Kemudian, punggungnya diletakkan di atas topi tersebut.

"Abang, kita peghabih burger 'ni dulu..."katanya. Saya kehairanan. "Sat lagi tak cukup... silap-silap kita tak dan!"sambung Leh.

Barulah saya faham. Di atas balai semasa kami bertolak tadi, tidak kurang sedozen saudara-mara yang sasa sedang berhimpun. Dengan hanya dua biji burger, silap-silap bijan di kulit burger pun tidak sempat kami suap.....


Maka saya pun meniru perlakuan Leh - membiarkan punggung terletak di atas topi keledar saya... Kami saling menghadap.

Senja sedang berlabuh. Dengan seorang sebiji burger, hampir serentak kami menyuap. Gigitan pertama menghasilkan kelucuan. Lengan kanan kami sama-sama dicalit warna merah sos yang keluar dari susunan roti dan daging burger. Hampir serentak pula kami menjilat lengan masing-masing. Satu panorama yang hingga kini kekal di minda.....

Belum pun separuh burger kami kunyah, tiba-tiba muncul dua motorsikal polis trafik. Berhenti di sebelah motor kami. Kami tepilanjat!

"Buat apa 'ni?"tanya abang polis yang paling hampir dengan kami.

"Makan burger, cik..."balas Leh.

"Awat yang makan tang 'ni? Tang 'ni sibuk 'ni..."kata pula abang polis yang seorang lagi.

"Dok mana 'ni?"tanya polis yang paling hampir tadi, sambil menjengah bonet motor kami.

"Alor Penyengat....."balas Leh.

"Lain macam saja hangpa 'ni.... dengan wayar apa..."sambung abang polis itu lagi.

Leh bangun sambil sempat lagi menggigit cebisan burger. Setelah mengunyah dan menelannya, dia bercerita kedudukan kami yang memang saya boleh sahkan kebenarannya. Tidak ada yang terlindung....

Kedua-dua anggota polis itu saling berpandangan sebelum sama-sama tersengih.

"Hangpa la...." kata polis yang menjengah bonet tadi, di hujung sengihnya. "...buat suspen kami saja!"

"Makan cepat-cepat... balik... tang 'ni sibuk 'ni - bahaya!" kata polis yang seorang lagi sambil menghidupkan motosikalnya.

Leh tersengih melihat mereka pergi sebelum menghalakan sengihan itu kepada saya pula. Saya terkerisin.....

Selepas Maghrib, ketika orang lain tidak sabar-sabar menunggu nasi makan malam dihidangkan, saya dan Leh boleh berlagak tenang. Tidak gopoh-gopoh mendapatkan pinggan.....


Nota:
Malang sekali ketika saya bangkitkan hal ini setahun dua yang lalu, Leh tidak mengingatinya langsung.....

No comments:

Post a Comment