Sunday, July 7, 2013

Sukan Olimpik Munich '72



1972.Bolasepak. Perlawanan pembukaan, Malaysia lawan Jerman BaratJERMAN!!!! Bukan Maldives atau Filifina

Riuh sekampung. Di rumah kenduri serta di tempat bermain. Tetapi setakat itu sahajalah.Tidak ramai yang berpeluang menonton.Sebab, walaupun ada siaran langsung, tak ada sebuah tv pun di Kampung Permatang Ibus! Jangankan tv, elektrik pun belum sampai ke situ......

Hanya TIGA orang saja yang mendapat peluang. Manusia bertuah itu ialah Ayah, seorang jiran kami - Paklang Chan, anak Toklong Hatiah - dan SAYA. Kami berbasikal selepas Maghrib. Tepatnya saya duduk di atas ribaan Paklang Chan atau ayah di atas pelantar basikal tua ayah tatkala mereka bergilir berkayuh - membelah sunyi dan kelam malam.

Kami ke rumah datuk saudara sebelah emak di Batu 6, Simpang Empat. Saya dibawa oleh ayah sebagai pemberi salam untuk tuan rumah membuka pintu, lagi pula semasa cuti sekolah kerap juga saya dihantar 'bermain' di situ empat lima hari. 

Maka menontonlah kami. Majlis perasmian diikuti perlawanan bersejarah itu. Walaupun kami teruja dan kenal kelibat pemain seperti M. Chandran, Soh Chin Aun, Bhawandi Hiralal, Wong Kam Fook (penjaga gol) Ali Bakar, Shaharuddin dan abangnya,Namat Abdullah serta Wan Zawawi, (Satu Malaysia dulu lagi)tapi kami menjadi penonton yang berdisiplin. Hampir tidak bersuara langsung. Diam. Rumah orang...... Selain menonton tv yang masih belum berwarna-warni, mata saya banyak juga digunakan untuk mengawasi biskut yang dihidangkan bersama setekoh kopi oleh tuan rumah, sebelum semua hilang ke perut kami .....

Malaysia tewas, namun cerita tentang perlawanan itu serta upacara pembukaan yang meriah menjadikan kami tumpuan orang kampung, sehingga sehari dua kemudian. Ayah dan Paklang Chan dengan kawan-kawan mereka manakala saya dengan rakan-rakan sebaya pula. Kalau ada tokok tambah, biasalah....

Sekarang? Tv merata.

Sekarang? Malaysia nak melawan Jerman di Sukan Olimpik? Mimpilah.....

No comments:

Post a Comment