Sunday, July 14, 2013

Berbuka Puasa Di Spital


Dahulu, sebaik masuk waktu berbuka, akan terdengarlah bunyi tembakan meriam beberapa das. Kata emak,ada orang mencucuh meriam di depan Masjid Zahir. Kami tidak perlukan jam atau radio untuk mengesahkan masuknya waktu yang cukup menyeronokkan itu. [Sebenarnya jam dan radio memang tidak ada pun di rumah kami dan rumah-rumah kebanyakan penduduk kampung....]

Bunyi meriam itu tidaklah terlalu kuat, maklumlah jarak kampung dengan Masjid Zahir kalau mengikut garis lurus pun mungkin sekitar 8-9 batu. Namun, tanpa gangguan bunyi lain, cukuplah bagi kami mendengarnya dengan jelas.

Saya teringin berada di dekat Masjid Zahir walaupun sekali untuk mendengar bunyi meriam secara dekat serta melihat orang mencucuhnya. Apabila saya zahirkan keinginan itu kepada emak, dia hanya tersenyum. "Nak pi dengan apa, nak buka puasa di rumah siapa, nak balik dengan siapa?"begitu lebih kurang jawapan emak.

Saya terdiam. Kalaulah emak atau ayah ada adik-beradik dekat Masjid Zahir... Kawan-kawan pun hanya tertawa apabila saya ceritakan hal tersebut. Masjid Zahir menjadi benda asing bagi kami....

Satu bulan Ramadan pada satu tahun, takdirnya saya dapat berbuka puasa di Alor Setar.

Petang itu ayah menyuruh saya bersiap. "Nak pi hospital,"kata ayah.Saya tidak tahu apa yang berlaku dan siapa yang hendak kami lawati di hospital itu. Tapi saya bersiap dengan gembira. Bukan senang dapat naik bas dan dibawa ke hospital dalam keadaan sihat pula...

Ayah mengayuh basikal hingga ke Simpang Empat dengan saya duduk terkangkang di atas pelantar di belakangnya, sambil memegang mangkuk tingkat yang emak berikan di depan tangga rumah tadi. Emak berpesan agar saya tidak 'buas'semasa di hospital nanti.

Dari Simpang Empat, kami menaiki bas UTC ke Alor Setar, sebelum menumpang Bas Bandaran untuk ke hospital.


Sampai di wad di blok paling belakang, saya nampak Wa dan Paklang di tepi pintu. Paknjang pula sedang berjalan menghala masuk. Saya berlari perlahan ke arah Paknjang. Siapa yang sakit?

Di tepi satu katil paling hampir dengan pintu, saya nampak Tok duduk di atas kerusi. Siapa yang sakit?

Paknjang duduk di birai katil sambil memegang tangan orang yang berselimut kain putih.Saya melihat tubuh yang terbaring di atas katil itu. Tokwan!

Saya nampak ayah bercakap-cakap dengan Tok dan Paknjang tetapi tidak tahu akan butirannya. Saya melihat muka Tokwan yang agak lesu. Ada wayar di tangan Tokwan. Saya seronok apabila Tokwan memandang ke arah saya.

Tidak lama kemudian barulah saya tahu bahawa Tokwan dipatuk ular kapak di rumah barunya di Jalan Bukit Selambau, Jeniang. Tokwan dibawa ke situ pada petang kelmarin.

Sedang Wa, Paklang, Paknjang dan ayah bersembang di tepi katil itu, saya nampak Tok sibuk membuka bekas makanan. Diaturnya di atas lantai di sebelah luar dinding wad - kakilima blok itu. Saya memerhati bukan hanya Tok yang melakukan demikian. Sepanjang kakilima itu, sudah ramai kaum wanita duduk sambil membuka bekas makanan masing-masing.


Saya tidak ingat apa yang dibawa ayah di dalam mangkuk tingkat tetapi masih jelas dari bekas yang dibawa Paklang ada ayam goreng garing berkuah seperti kicap berminyak...

"Sat lagi bunyi meriam...."kata Tok.

Meriam?

Saya teruja. Tentu bunyinya kuat sebab kata emak kalau duduk di sekitar Alor Setar, kita boleh rasa gegarannya!

Tapi 'sat lagi'yang Tok kata itu saya rasa cukup lama. Hingga saya jemu mengira waktu, meriam itu tidak pun berbunyi. Akhirnya, saya hanya menumpukan perhatian pada ayam goreng garing berkuah seperti kicap berminyak di dalam pinggan nasi di hadapan saya..

Tiba-tiba, DOOM! DOOM! DOOM!

Memang kuat bunyi yang saya dengar dari arah selatan itu berbanding bunyi yang selalu sampai ke kampung kami. Tetapi tiada gegaran seperti yang emak kata. Mungkin hospital ini jauh juga dari Alor Setar, fikir saya.

Kami makan beramai-ramai dalam suasana yang agak riuh dari jiran-jiran sekakilima. Tok makan bersama Tokwan di dalam wad.

Selepas berbuka, saya naik duduk di atas katil Tokwan. Tokwan tidak berkata apa-apa. Sayu hati melihatnya.Tidak pernah saya lihat Tokwan tidak bermaya seperti ini.

Pada masa itu, pelawat boleh berada sehingga lewat malam di dalam wad. Saya dan ayah hanya pulang dengan bas terakhir dari Alor Setar ke Sungai Petani. Akan Wa, Paklang dan Paknjang, saya sudah lupa bagaimana dan bila mereka balik, tetapi mungkin Paknjang ikut bersama Tok menemani Tokwan pada malam itu.

Pengalaman ini mungkin kecil tapi cukup untuk dua tiga hari saya bercerita kepada kawan-kawan yang tercengang tatkala menunggu orang habis bersolat tarawih di surau Sekolah Falah, dekat rumah kami.


No comments:

Post a Comment