Thursday, July 4, 2013

Ayah Dan Raket Gold Cup

Raket jenama Gold Cup
Di depan rumah Tokwan, arah matahri naik, ada dua pokok kelapa - masing-masing terpisah sejarak 25 kaki. Pokok yang sebaya itu sebesar dua pemeluk saya ketika itu. Sekitar 5 kaki dari paras tanah terdapat beberapa paku panjang ditusukkan ke batangnya.

Di situlah, pada paku di kedua-dua pokok itu, Paktam dan rakan-rakannya mengikat tali jaring untuk bermain badminton. Supaya menjadi tegang, mereka menungkat tali itu di kiri dan kanan dengan buluh yang sama tinggi.

Setiap petang, mereka turun bermain. Paktam memiliki sebatang raket jenama Bluebird - berbingkai kayu tetapi berbatang besi - antara raket termahal di kalangan mereka.  Kebanyakan rakannya hanya memiliki raket yang seluruhnya, bingkai dan batang, dibuat daripada kayu.

Gelanggangnya tidaklah mengikut saiz rasmi BAM. Cukup ada garisan tepi dan belakang yang dibuat dari buluh kecil beraut yang dipakukan pada kayu yang dicacakkan terbenam separas tanah.

Di tepi gelanggang, di bawah salah satu pokok kelapa, Paktam buatkan satu kerusi tinggi untuk 'jurubilang'. Sayalah yang biasanya berada di atas itu, sambil memahirkan diri menghitung hingga lima belas atau 'tambah' tiga atau empat lagi, kalau kedudukan mata terikat  pada 13-13 atau 14-14.

Sekali-sekala ada seorang dua budak Alor Pulai  datang bermain di situ.

Pendeknya, memang meriah setiap petang di laman itu.

Sesiapa yang tidak mempunyai raket, terpaksalah menjadi penonton. Istilah meminjam dibuangkan dari kamus mereka kerana tiada yang mahu berisiko jika tali raket putus.

Saya pula hanya sesekali berpeluang bermain bersama rakan sebaya. Itupun jika tiada pemain senior, yakni pada awal petang atau lewat senja. Raketnya? Selipar kami sendiri ..... manakala bulu tangkisnya adalah yang tidak lagi digunakan oleh Paktam dan rakan-rakan. Ada juga saya menggunakan raket Paktam, namun tidak lama. Sebaik dia nampak atau tahu, itulah saat akhirnya....Saya juga takut talinya terputus. Kata Paktam, upahnya mahal untuk 'menarik' tali raket itu. Saya mana mampu.....

Sesekali juga, ketika pemain berehat, terutamanya ketika ada dua pasang pemain sahaja pada hari itu, ayah akan turun ke gelanggang. Dengan menggunakan raket Paktam, dia akan mengajak salah seorang rakan Paktam berlawan dengannya. Ayah jarang menang tetapi semua seronok tatkala dia melakukan 'smash' yang gagal dikembalikan lawan. Semasa itu. dia akan melompat dan memukul bulu tangkis sambil menyebut nama idolanya yang baru diumumkan di radio, memenangi satu kejohanan di luar negara. Demikianlah. Setiap smashnya akan disertai dengan menyebut begitu.

Apabila dirasakan permainannya meningkat, ayah lebih kerap muncul di gelanggang, Namun status peminjam raket tidak menyelesakan saya di kerusi tukang bilang. Setiap kali ayah melakukan smash dan berteriak menyebut idolanya, semua - termasuk pemain lawan - bersorak, saya memerhati ke arah Paktam. Dia hanya tersenyum kelat. Kami berkongsi kebimbangan - takut tali raket Paktam putus.....

Saya pernah beberapa kali menyuarakan kebimbangan itu kepada ayah. Ayah hanya diam.

Satu petang, hingga hampir jam enam suku, ayah tidak muncul. Selalunya, kalau tidak bermain, dengan berkain pelikat, ayah akan duduk di tangga beranda rumah datuk - menjadi penonton - bersama rakan-rakan seusianya. Ada rakan Paktam bertanya saya. Saya hanya mampu mengangkat bahu. [Di gelanggang, mereka tidak memanggil ayah saya, 'Pakngah', seperti lazimnya, sebaliknya dipanggil nama yang menjadi sebutannya tatkala melakukan smash itu.....]

Hampir senja barulah saya nampak kelibat ayah yang baru turun dari basikal tuanya di bawah rumah. Dari pakaiannya, saya tahu paling kurang ayah baru balik dari Simpang Empat atau mungkin juga dari Alor Setar. Dia naik ke rumah, membawa barangan yang dibeli, sambil diterpa oleh adik-adik.

"'Ni dia! 'Ni dia!"

Tiba-tiba ayah menerpa ke tengah gelanggang, ketika perlawanan sedang berlangsung. Terkejut juga kami semua, lebih-lebih lagi dua pasang pemain yang sedang di dalam gelanggang. Ayah yang masih dalam pakaian baru pulang dari Simpang Empat atau Alor Setar itu, memperagakan sebatang raket baru berwarna merah! Dia meminta bulu tangkis untuk membuat pukulan rasmi. Sambil memukul, dia menyebut nama idolanya. Semua yang ada bersorak riuh.

Ayah keluar dari gelanggang setelah tiga empat kali memukul bulu tangkis. Saya mendapatkannya dan meminta untuk melihat raket itu. Rasa bangga menyelinap tatkala pertama kali menggenggam batang raket tersebut. Jenamanya Gold Cup, buatan Taiwan, berbingkai dan berbatang kayu. Dua tiga kali saya memukul ke arah lutut maka segera pula disambar ayah dengan sekali 'Hush!"

Gunalan beraksi
Menjelang senja petang itu, masih dengan pakaian baru pulang dari Simpang Empat atau Alor Setar, ayah sempat bermain berpasangan, satu game. Riuh anak seusia saya melihat dia beraksi sambil mengharapkan akan ada bola tanggung....


Punch Gunalan
Jika ada, ayah akan memukul sekuat hati sambil memekik serentak dengan penonton: P Gunalan!


Tatkala mendengar berita kematian Datuk Punch Gunalan, hampir setahun dahulu, saya terkenang gelanggang di depan rumah Tokwan itu. Di situlah, sekitar tahun 1972/73, ayah beraksi dalam semangat Gunalan!

Sebetulnya, saya sedang  teringatkan ayah dan Paktam [berselang 40 hari] yang telah 16 kali Ramadan meninggalkan kami.......



Titip Rindu Buat Ayah  - Ebiet G Ade

Di matamu masih tersimpan selaksa peristiwa             
Benturan dan hempasan terpahat di keningku
Kau nampak tua dan lelah
Keringat mengucur deras
Namun kau tetap tabah

Meski nafasmu, kadang tersengal, 
memikul beban yang makin sarat
Kau tetap bertahan

Engkau telah mengerti hitam dan merah jalan ini
 
Keriput tulang pipimu, gambaran perjuangan

Bahumu yang dulu kekar, legam terbakar matahari
Kini kurus dan terbungkuk
Namun semangat tak pernah pudar

Meski langkahmu kadang gemetar
Kau tetap setia

Ayah...
 

Dalam hening sepi ku rindu
Untuk menuai padi milik kita
Tapi...
Kerinduan tinggal hanya kerinduan
Anakmu sekarang
Banyak menanggung beban.

No comments:

Post a Comment