Thursday, July 4, 2013

Senyum Emak

Emak jarang menonton tv. Lebih-lebih lagilah rancangan hiburan/nyanyian. Lagi pula, pada tiga dekad terakhir hayatnya barulah ada tv di rumah.

Entah kenapa malam itu, satu malam minggu, emak boleh pula berada di depan tv hingga habis satu rancangan yang dihoskan oleh Raja Ismail bin Raja Saat, suami penyanyi lagu asli Aspalela Abdullah.
Raja Ismail yang merupakan adik kepada pelakon Raja Hamidah (isteri pelakon dan pengarah Salleh Ghani) pernah popular sebagai Kutuk, mengambil sempena nama wataknya sebagai pelakon utama drama Si Kutuk yang disiarkan di TV Malaysia -- baca RTM(masa itu TV3 masih tak terjangkau dalam fikiran rakyat Malaysia). Seorang lagi iparnya yang bergiat di bidang lakonan ialah arwah Hj Arshad
Anak saudaranya yang terkenal adalah Adam Salleh, wartawan hiburan yang kini berjawatan Pengarang Rencana di  Metro Ahad. Seorang lagi adalah Zulkiflee Salleh, seorang penata bunyi filem yang disegani yang dulunya sering bergandingan dengan mendiang Peter Lim, bekas Penerbit Koordinator Audio TV3
Raja Hamidah
[Raja Ismail telah kembali ke rahmatullah pada 26 Mei 2000. Salleh Ghani meninggal dunia pada 28 Ogos 1986. Manakala Raja Hamidah baru saja meninggal pada 12 September 2012 lalu. Berita kematian Raja Hamidah, terus membawa saya mengingati arwah adiknya Raja Ismail, sekali gus membawa pula satu kenangan terhadap emak. Maka muncullah edisi isian semula ini.....].
Bagi yang tak kenal lagi, Raja Ismail adalah pemegang watak kecil, kaki judi yang kalah teruk ketika berjudi di kelab beca dalam filem Keluarga 69. Ingat bagaimana marahnya watak itu ketika Osman Bakar (lakonan P Ramlee) dua kali tersilap menyebut angka selepas menggoncang macam buah dadu dalam balang. 66 dikata 99, 69 dikatanya 96, hingga terpaksa tauke kelab memberi isyarat, dan akhirnya mencetuskan pergaduhan. Di dalam filem itu, Salleh Ghani adalah pemegang watak penarik beca, penyewa rumah Encik Bakar yang kemudiannya menjadi pengurus kepada penyanyi Osman Bakar. IMasih diingat dialognya tatkala Osman tidak mengambil sewa rumahnya kerana kasihan: Kalau ada sepuluh orang seperti ini di Malaysia............sepuluh-sepuluh bankrap!
Raja Ismail kemudiannya menjadi pengarah kepada beberapa filem seperti Sikit Punya GilaAku Yang Berhormat dan Ragam Pemandu.
  
TV Malaysia selalunya menyiarkan rancangan berbentuk hiburan pada malam Ahad. Hiburan Malam Minggu (HMM) dan Hiburan Minggu Ini(HMI) antara slot yang diingati. Selalunya seorang penyanyi menjadi hos. Yang agak popular pernah mengendalikan hingga 13 minggu. Antaranya Dhalan Zainuddin dan (Datuk) D J Dave
Dalam rancangan itu dijemput beberapa penyanyi dari kaum lain (kira a la 1Malaysia) dan tidak ketinggalan beberapa pelawak, juga 1Malaysia. Penyanyi misalnya Albert PhangAndre GohMary Sia Ling LingV Sarangavani (serta adiknya V Jayanti), Roxana Islam dan Chandra Rakesh. 
Pelawak pula antaranya Lim Goh PohA R AyappanV I StanleyP Paramasivam (Param)Tan Ting selain (Dato) Yahya SulongA R BadulR JaafarYusni JaafarA K Jailani dan Rohani Kassim. Turut serta adalah kumpulan penari latar yang dinamakan mengikut koreografernya seperti Normadiah, Farah Sulaiman dan Fauzi Abdullah.
Jadi, malam di mana Raja Ismail menjadi hos, saya menonton bersama emak.Tak pasti siapa artis undangan atau lagu apa yang didendangkan. Namun paling saya ingat, di hujung rancangan, berbaju melayu, bersongkok dan sambil menutup sebahagian mukanya dengan kain samping yang mulanya diselepangkan, Raja Ismail menyebut (lebih kurang) Secantik-cantik wanita, kentutnya berbau busuk juga!. Rancangan tamat. 
Saya berpaling ke arah emak kerana terdengar gelak kecilnya dan saya nampak senyum manis yang berbekas hingga kini....

No comments:

Post a Comment