Saya tidak ingat sama ada piringhitam ep [45rpm] ini dibeli
oleh Paktih atau Paktam. Mungkin juga Paktam dapatkan dari simpanan rakannya, Ismail Hassan, yang banyak memberikan koleksinya,
termasuk album De Westerlies, Sharifah Aini dan M Shariff serta beberapa album
lagu hindi.
Tetapi saya ingat jelas, semenjak Sabah datang ke rumah Tokwan, hampir
setiap hari dia disuruh
menyanyi. Ndak cukup menggemari lagu itu. Tokwan pun. Mungkin kerana
lirik berbahasa Arab. Makna liriknya?
Entahlah.
Yang pelik sedikit tentang tentang kulit album dengan dua
lagu sahaja itu, di bahagian belakang ada lirik lagu yang tersalah cetak.
Dicetak terkalih
walaupun album itu ori. Maka untuk membaca liriknya, saya
letakkan kulit album itu di depan cermin ‘biru’ [almari] rumah Tokwan. Dapatlah
dibaca lirik tersebut sambil mendengar suara Sabah – walaupun lirik tulisan
jawi/arab biasa, tiada baris [I’rab] seperti al Quran.
Bukan saya tidak mencuba bertanya Ndak atau emak tentang
makna lirik lagu berkenaan, tetapi sampai ke sudah saya tidak temui jawabannya.
Mungkin lirik bertemakan cinta maka mereka tidak mahu sebutkan di depan saya…
Atau mereka tidak faham sepenuhnya makna lirik tersebut. Entahlah.
(Lagu arab , serta lagu ala arab seperti dari Orkes
ElSurayya, pun banyak bertemakan cinta, bukan hanya lirik ketuhanan. Dengar saja lagu Takdir, Pusara Kasih, Usah
Dikenang dan Selamat Jalan nyanyian
kumpulan berasal dari Medan itu, misalnya. Orang kita pula pada masa itu,
terutamanya ,asalkan bahasa arab sahaja atau ada a la- a la sedikit saja
iramanya terus meminatinya tanpa mengerti makna. Lagu hindi pun demikian. Macam
anak bangsa saya yang terhegeh-hegeh minat lagu Korea sekaranglah. Cuma bezanya
sekarang mudah dijumpai terjemahannya…)
Lagu El Dini Doulab yang terdapat pada sebelah lagi
piring hitam hampir tidak pernah saya diminta pasangkan setelah mereka
mendengarnya ketika mula-mula Sabah sampai ke rumah Tokwan dulu. Mungkin tidak
sedap di pendengaran mereka. Atau jarang terdengar di rumah-rumah kenduri,
berbanding lagu yang satu ini – Ramani El Hawa.
Sebagai penyedap hati saya reka sendiri makna lirik itu
semasa memainkan lagu tersebut.
Bang Mi |
Wa |
Anak sulung bernama Long [ relevan sungguh!], yang kedua
tinggal di Alor Pulai tetapi saya lupa namanya waktu ini, yang ketiga –
dipanggil Maklang – bernama Hawa, manakala seorang lagi yang dipanggil Maktih,
bernama Romani. Maklang Hawa adalah emak kepada Mid Chek Ne yang saya catat
dalam entri Selamat Berbahagia…. Bujang Bertemu Janda.
Maka saya reka dan teka tentulah lagu nyanyian Sabah itu ada
kena mengena tentang dua anak Tokngah Jaafar – Romani dan Hawa…..
Chik terkekeh semasa saya terjemahkan untuknya lagu arab
tersebut…. Matanya terpejam kerana tahu saya mereka-reka, sedang sayapula
semacam terlupa Chik juga lepasan sekolah arab – pondok Haji Talib [Ihya’ Ul Ulum
Ad Diniah] Simpang Empat… Sebelumnya pun saya pernah terjemahkan kalimat afa hina ka isma’u [lebih kurang, dalam lagu Ibda’ Binafsik –
nyanyian H Nur asiah Jamil] sebagai apa hinakah Id
Saud…. Merujuk Said bin Saud, orang kampung kami yang kini
tinggal di Charok Kudong. Itulah
kesannya kalau saya tanya makna, orang tak mahu jawab….
Entah bagaimana Sabah menghilang
dari rumah Tokwan. Ketika menggeledah di internet, saya difahamkan album itu
mempunyai nilai yang tinggi. Lihatlah harga awal ini:
o $43.00 USD
o $48.99 AUD
o $43.63 CAD
o €32.80 EUR
o £27.89 GBP
o ¥3595.35 JPY
Kalaulah dia masih
ada…
Dan kalau ia banyak keping pula. Dengan kulit yang sedikit ganjil yang mungkin kerana salah cetak, harganya mungkin lebih...
Dan kalau ia banyak keping pula. Dengan kulit yang sedikit ganjil yang mungkin kerana salah cetak, harganya mungkin lebih...
No comments:
Post a Comment