Showing posts with label Ndak. Show all posts
Showing posts with label Ndak. Show all posts

Thursday, May 22, 2014

Jerongkong Di Dalam 'Tupperware'

Apologi untuk pemegang saham Tupperware: Di tempat saya semua bekas makanan plastik, bulat atau empat segi, disebut TUPPERWARE walaupun bukan dari kilang tuan. Maka bekas dalam catatan ini pun saya sebut tupperware. Orang saya.... kalau mahu beli filem, minta Kodak, jika diberi Fujica atau Mitsubishi pun, dikatanya Kodak...

*****************************


"Ni Tokwan hang cukup suka...." kata Ndak sebaik terlihat buahtangan yang saya bawa petang itu.

"Apa dia?" tanya saya, sambil memerhati cucunya mencedok sedikit.
Ndak
Ndak

"Tak taula... Kami panggil jeghongkong [jerongkong]..." balas Ndak. Saya mengangguk walaupun dengarnya macam 'jerangkung'. Terus teringat jerangkung dalam almari yang Awie nyanyikan....

Ndak mencampurkan bahan yang disediakan bersama jerangkung itu lalu memakannya. Saya menelan liur....


************


Sampai ke malam saya teringat akan jerongkong itu. Tokwan suka. Tentu sedap.

Esoknya saya ke rumah Ndak lagi.

"Macam mana buat jeghongkong ......?" tanya saya.

"Alah...." Ndak memulakan kelas teori memasaknya. "Alah" itu maksudnya senang sangatlah jawapan kepada soalan saya tadi.

Berikut adalah transkrip ajaran Ndak:


Beras jawi kacau dalam air, bubuh air pandan sikit, bubuh garam sikit. Lepas likat [pekat], masukkan dalam daun pisang. Lengat sat. Lepas tu masukkan santan [sebagai kuah] dengan air gula merah. Kalau ada misan [manisan nipah] lagi sedap.... Tokwan hang dulu, kalau buka posa, kena jeghongkong seketui, kenyang dah....

Mudahnya!


Kenapalah saya tidak teringat langsung akan jerongkong itu?

"Tapi yang hang beli tu, kuah santan depa buat likat, nak jadi macam kepala tepung talam.... kalau kuah santan sedap lagi...." kata Ndak. "kalau kena dengan misan, lagi sedap...."

Saya menelan liur. Ndak? Entahlah, terliur sama atau tidak.


Yang saya belikan secara rambang di Jalan Tokai pada petang sebelumnya [tanpa tahu apa nama kuihnya], adalah siap di dalam tupperware. Bahagian bawahnya berwarna hijau, kepalanya putih. Disertakan juga sebungkus kecil air gula merah. Saya beli bersama satu tupperware bubur kacang...

Malamnya lagi, saya mengunjungi Pakcik Google.

Tiada kuih jerongkong, kata pakcik yang serba tahu itu.

Kut kuih jongkong kutt...tanya pakcik itu semula.

Saya mengangguk. Betullah. Secara rasmi di Malaysia dipanggil kuih jongkong. Ada macam-macam jongkong pula. Tetapi di lidah orang kampung saya, agaknya, diseramkan sedikit menjadi jeghongkong...

Keinginan pun membuak untuk merasa kuih jeghongkong itu.

Malangnya, sehingga petang ini, dengan setiap hari saya ke tempat insan yang menjual kuih di Jalan Tokai itu, tiada kuih tersebut. Bukan itu sahaja, mejanya pun tiada.....apatah lagi tuannya. Entah di mana pula dia berniaga.

Jadilah saya seorang pengidam...

Lalu terpaksalah saya membujuk tekak.

Ramadan kian dekat. Kalau Ndak sihat, saya akan meminta Ndak buatkan kuih jerongkong, sekali pun jadilah. Walau tidak tahu bagaimana keenakan kuih itu yang di dalam tupperware, saya yakin versi Ndak dengan resipi yang pernah Tokwan suka, tentu lebih sedap....


****************



Seorang pembaca pernah bertanya tentang Tokwan - Pakya, sebab katanya sesuai dengan nama blog, ingin juga diketahui siapa Pakya itu.

Maka buat permulaan, saudara, kenalilah salah satu kuih kegemaran Tokwan saya itu.

Kuih jeghongkong. 

Tapi bukan yang di dalam tupperware.....

Wednesday, December 11, 2013

Nama Lain untuk Empat Anak Tokwan

Ingat Chu yang ditukar namanya kepada Amiroh sebaik tinggal bersama Wa Isa dan Wa Sarah?

Sebenarnya  di rumah Tokwan juga ada pertukaran nama kepada anak-anaknya yang lain.

Nampak muka Chik dua tiga hari lalu saya teringat satu perkara. Namun kerana saya pergi ke rumahnya bersama seorang jiran, pertanyaan lanjut tentang apa yang ingatkan itu terpaksalah diurungkan dulu.

Semasa masing-masing belumpun berkahwin, Paktam atau Paktih memanggil Chik  tidak dengan nama betulnya, sebaliknya dengan menggunakan nama Syed. Kalau semasa mood tidak berapa baik sedikit nama Syed itu ditambah pula dengan kudung – jadilah Syed Kudung. Saya tidak tahu siapa Syed yang kudung [entah kaki atau tangan kudungnya itu] juga tidak tahu kenapa Chik yang digelar begitu. Bolehlah ditanya kepada Chik kalau dia mahu bercerita…

Setakat yang saya tahu, Syed adalah seorang  yang mahu dijodohkan  dengan Chik.  Kalau tidak silap Syed berkenaan merupakan pelajar sekolah agama Al Falah yang terletak bersempadan dengan kampung Tokwan.

Biasalah, mungkin semasa bercakaran sedikit antara adik-beradik, akan adalah giat-menggiat serta ejek- mengejek. Lalu dipasangkanlah Chik dengan seorang berpangkal nama Syed yang kudung itu. Masakan semasa bercakaran itu akan dipasangkan Chik dengan seorang Syed yang serba sempurna sifatnya!

Lama juga saya mendengar Chik dipanggil begitu. Mungkin setelah Chik berkahwin barulah secara perlahan panggilan begitu hilang. Agaknya kerana jodoh Chik bukan dengan seorang Syed…

Ndak pula, Paktih dan Paktam mahu jodohkan dengan seorang yang rasanya pernah saya jumpa. Seorang lagi pelajar di sekolah agama itu. Namanya [maaf kalau tuan tubuh membacanya] Abdul Hamid Junus [Mid Junuih]. Mungkin kerana hamba Allah ini sering melintasi sekitar rumah Tokwan atau merupakan rakan sekelas Ndak, maka sebagai sebuah sakatan, Ndak pun dipanggil Mid Junuih

Yang peliknya sedikit kepada saya, walaupun disakat begitu, baik Chik mahu pun Ndak tetap akan menyahut atau memberi respons walaupun masing-masing dipanggil Syed dan Mid Junuih. Tiada bantahan malah seakan senang dengan panggilan demikian.

Akan Paktam pula, saudara-saudaranya itu memanggilnya sebagai Pak Itam Dongga. Saya tidak pernah melihat Pak Itam Dongga yang betul walaupun khabarnya memang wujud individu terbabit. Atau memang saya pernah bertemu dengannya tetapi saya tidak mengenalinya. Almaklum saya masih terlalu kecil untuk mengenali semua warga sekampung, apalagi yang berasal dari luar kampung. [Pak  Itam Dongga kahabrnya tinggal di pesisir laut Kangkong/ Alor Pulai] Tidak diketahui kenapa Paktam dipanggil begitu. Mungkin kerana kebetulan Paktam agak gelap kulitnya berbanding Paktih, Ndak dan Chik. Kalau mahu dikatalkan berkait dengan dongga, rasanya Paktam tidaklah kepalanya menjendol sangat. Normal sahaja. Seperti tadi, dalam menggelar orang, sekadar untuk menyakat, jarang kita akan temui yang dikatakan sebagai baik, elok, cantik atau sempurna…

Bagaimana dengan Paktih?

Saya tidak ingat kalau ada saudara-saudaranya menggelar atau memangggilnya dengan nama yang dijadikan sebagai giatan atau ejekan.

Namun saya tetap teringat satu nama yang Paktih sendiri pilih untuknya. Tidak kena mengena dengan giatan atau ejekan. Ndak mungkin tidak pernah tahu kerana nama tersebut tidak pernah disebut secara lisan. Chik dan Paktam mungkin tahu kerana mungkin terjumpa pada kulit buku Paktih.

Saya sendiri mulanya tercari-cari siapa tuan punya buku yang Paktih bawa balik. Bukan nama Paktih tapi nama orang lain. Saya pernah terlihat nama itu misalnya pada buku Filsafat Ketuhanan [karangan Hamka] serta antologi sajak Duri Dan Api [Usman Awang], selain pada buku-buku tulis yang Paktih selitkan pada rak bukunya  yang  istimewa, yang tidak lagi saya temui di tempat lain, di rumah lain, sehingga kini – rentangan tali plastik hijau berpintal yang diikat pada dua paku di dua kayu terdapatnya ‘tangga’ bagi disusun dinding rumah.

Hobi saya sejak pandai membaca dulu adalah mencari nama sebenar serta latar belakang penulis atau seniman yang menggunakan nama samaran atau nama pena. Apabila saya dapat, saya akan tuliskan pada sebuah buku khas. Maka banyaklah yang sempat saya simpan. Ada juga penulis [misalnya Usman Awang] yang mempunyai sehingga setengah dozen nama pena!

Maka akrablah saya dengan nama serta tempat asal/kelahiran Awam -il Serkam, Keris Mas, Masuri SN, Kasajiza AS, Rawan Hiba, Kala Dewata, Nora,  Noorjaya, Akhdiat Hadimaja, Hamka, Salmi Manja, Sabda S, Zaihasra,Malungun, Dharmala NS, Dharmawijaya, Wadi Leta S A serta ramai lagi. Dengan itu, tidak hairanlah saya terus mengangkat ‘pembohong’ kepada seorang kawan yang dengan yakin menyatakan di dalam kelas, bahawa WAHBA adalah nama samaran bagi seorang yang bernama Abd WAHAB, kerana sejak lama saya tahu itu adalah nama pena bagi WAn Hamzah Bin Awang….

Jadi, apabila tahu yang tertulis di buku-buku itu adalah nama samaran Paktih, saya mereka dan memadankan  sendiri kenapa namanya begitu. Adakah cantuman nama Paktih dan seseorang yang ada di hatinya? [Seperti misalnya, kelak  - sekitar empat dekad kemudian -  saya terjumpa nama samaran Jafni Ateen? Hehehehe…. ]

Seseorang yang mungkin rakan sekolah atau rakan fp….. 

[ fp? Jangan tak tahu, sebelum ada fb, sudah lama orang menggunakan fp sebagai satu alat bagi mendapatkan teman atau kenalan atau jantung hati. fp? Sengajalah direka bagi mengikut rentak…fp kependekan Fountain Pen. Selain ball point pen [pena mata bulat], fp sering digunakan untuk berhubung sesama rakan /sahabat pena [penpal], bukan? Maksud mudahnya, digunakan untuk menulis atau membalas suratlah....]

Namun carian dan rekaan cantuman nama tidak berjaya. Terutamanya kerana tidak pernah dibawa ke sekolahnya, saya tidak mengenali rakan sekolah Paktih yang berlawanan jenis. Rakan-rakan yang selalu datang ke rumah Tokwan hanyalah yang satu gender dengan Paktih. Takkanlah Paktih sengaja mencantumkan namanya dengan kawan yang sebegitu? Belum ada sejarahnya [meminjam kata orang terlanjur kaya yang low profile , Ma’dit Musyawarah,  dalam drama berantai dari seberang -  Islam KTP] orang mendapatkan nama samaran daripada cantuman nama dengan rakan karib sejantina…

Saya tidak pula terfikir untuk bertanya.  Tetapi kalau pun saya bertanya, akankah Paktih memberikan jawaban kepada budak yang baru hendak tamat sekolah rendah ketika itu?

Lagi pula, apa guna samaran jika didedahkan?

Hamisma Zakri.

Itulah nama samaran Paktih pada awal dekad 70-an dahulu.

Zakri  tentulah nama Tokwan  - Zakaria - yang disamarkan sedikit. [Ada penulis bernama pena Zakri Abadi].

Bagaimana dengan Hamisma?

Ada sesiapa yang boleh berikan makna nama itu?

Atau ada sesiapa yang mahu tahu dengan tepat?

Bertanyalah kepada Paktih!



Thursday, November 28, 2013

S A B A H Di Rumah Tokwan



Saya tidak ingat sama ada piringhitam ep [45rpm] ini dibeli oleh Paktih atau Paktam. Mungkin juga Paktam dapatkan dari simpanan rakannya, Ismail Hassan, yang banyak memberikan koleksinya, termasuk album De Westerlies, Sharifah Aini dan M Shariff serta beberapa album lagu hindi.

Tetapi saya ingat jelas, semenjak Sabah datang ke rumah Tokwan, hampir setiap hari dia disuruh menyanyi. Ndak cukup menggemari lagu itu. Tokwan pun. Mungkin kerana lirik berbahasa  Arab. Makna liriknya? Entahlah.

Yang pelik sedikit tentang tentang kulit album dengan dua lagu sahaja itu, di bahagian belakang ada lirik lagu yang tersalah cetak. Dicetak terkalih walaupun album itu ori. Maka untuk membaca liriknya, saya letakkan kulit album itu di depan cermin ‘biru’ [almari] rumah Tokwan. Dapatlah dibaca lirik tersebut sambil mendengar suara Sabah – walaupun lirik tulisan jawi/arab biasa, tiada baris [I’rab] seperti  al Quran.

Bukan saya tidak mencuba bertanya Ndak atau emak tentang makna lirik lagu berkenaan, tetapi sampai ke sudah saya tidak temui jawabannya. Mungkin lirik bertemakan cinta maka mereka tidak mahu sebutkan di depan saya… Atau mereka tidak faham sepenuhnya makna lirik tersebut. Entahlah.

(Lagu arab , serta lagu ala arab seperti dari Orkes ElSurayya, pun banyak bertemakan cinta, bukan hanya lirik ketuhanan.  Dengar saja lagu Takdir, Pusara Kasih, Usah Dikenang  dan Selamat Jalan nyanyian kumpulan berasal dari Medan itu, misalnya. Orang kita pula pada masa itu, terutamanya ,asalkan bahasa arab sahaja atau ada a la- a la sedikit saja iramanya terus meminatinya tanpa mengerti makna. Lagu hindi pun demikian. Macam anak bangsa saya yang terhegeh-hegeh minat lagu Korea sekaranglah. Cuma bezanya sekarang mudah dijumpai terjemahannya…)

Lagu El Dini Doulab yang terdapat pada sebelah lagi piring hitam hampir tidak pernah saya diminta pasangkan setelah mereka mendengarnya ketika mula-mula Sabah sampai ke rumah Tokwan dulu. Mungkin tidak sedap di pendengaran mereka. Atau jarang terdengar di rumah-rumah kenduri, berbanding lagu yang satu ini – Ramani El Hawa.

Sebagai penyedap hati saya reka sendiri makna lirik itu semasa memainkan lagu tersebut.

Bang Mi
Ingat catatan tentang kenduri di rumah Tokngah Jaafar di dalam entri Dudur: Kegatalan Yang Terlampau?

Wa
Tokngah Jaafar ada empat anak perempuan [kalau tidak silap, dan itu pun yang saya pernah kenal] serta seorang anak lelaki – Paktam Chin {Hashim] suami Maktam Nab, emak saudara Bang Mi. {Kiranya Wa dengan Paktam Chin pernah berbiras…}

Anak sulung bernama Long [ relevan sungguh!], yang kedua tinggal di Alor Pulai tetapi saya lupa namanya waktu ini, yang ketiga – dipanggil Maklang – bernama Hawa, manakala seorang lagi yang dipanggil Maktih, bernama Romani. Maklang Hawa adalah emak kepada Mid Chek Ne yang saya catat dalam entri Selamat Berbahagia…. Bujang Bertemu Janda.

Maka saya reka dan teka tentulah lagu nyanyian Sabah itu ada kena mengena tentang dua anak Tokngah Jaafar – Romani dan Hawa…..

Chik terkekeh semasa saya terjemahkan untuknya lagu arab tersebut…. Matanya terpejam kerana tahu saya mereka-reka, sedang sayapula semacam terlupa Chik juga lepasan sekolah arab – pondok Haji Talib [Ihya’ Ul Ulum Ad Diniah] Simpang Empat… Sebelumnya pun saya pernah terjemahkan kalimat afa hina ka isma’u  [lebih kurang, dalam lagu Ibda’ Binafsik – nyanyian H Nur asiah Jamil] sebagai apa hinakah Id Saud…. Merujuk Said bin Saud, orang kampung kami yang kini tinggal di Charok Kudong.  Itulah kesannya kalau saya tanya makna, orang tak mahu jawab….

Entah bagaimana Sabah menghilang dari rumah Tokwan. Ketika menggeledah di internet, saya difahamkan album itu mempunyai nilai yang tinggi. Lihatlah harga awal ini:

o    $43.00 USD
o    $48.99 AUD
o    $43.63 CAD
o    €32.80 EUR
o    £27.89 GBP
o    ¥3595.35 JPY


Kalaulah dia masih ada… 

Dan kalau ia banyak keping pula. Dengan kulit yang sedikit ganjil yang mungkin kerana salah cetak, harganya mungkin lebih...

Wednesday, October 23, 2013

Pulangnya Seorang Haji

 

Jemaah haji telah mula pulang.

Saya seronok seperti mana orang lain juga. Tapi seronok saya ada sedikit plusnya. Saya ada peranan yang tidak diberikan kepada orang lain!

Tokwan bertolak ke Mekah dengan menaiki kapal Malaysia Raya - kali terakhir TH @Tabung Haji [semasa itu dikenali sebagai Lembaga Urusan dan Tabung Haji] menggunakan kapal laut bagi menghantar bakal haji. Tahunnya 1975. Saya tidak berpeluang menghantar Tokwan ketika berangkat di Pulau Pinang dahulu. Entah apa sebabnya. {Rujuk entri Penangan Cabai Kering Giling}.

Ketika orang berbincang untuk menyambut kepulangan Tokwan pula, sekali lagi saya tidak termasuk di dalam senarai ahli rombongan yang akan ke Pulau Pinang. Saya tidak ingat sangat akan sebabnya dan tidak juga saya ingat setakat manakah darjah kekecewaan hati... Juga saya lupa siapa yang bertuah menyertai gerombolan menyambut Tokwan di pelabuhan Pulau Pinang serta dengan apa dan siapa Tokwan mula sampai semula ke depan rumahnya di Kampung Permatang Ibus.


Tetapi saya ingat sangat satu perkara.


Paktih ada membeli radio kaset jenama National @ Panasonic semasa pulang bercuti pada tahun sebelumnya. Masa itu dipanggil juga tape recorder - kerana biasanya juga digunakan untuk merakam lagu dari radio atau dari nyanyain sendiri. Banyaklah kaset lagu-lagu yang dibawa pulang atau dibeli di kedai rekod di Jalan Langgar, Alor Setar. Tetapi amat sukarlah mencari satu album penuh lagi asli. Kebanyakan lagu Paktih rakam di dalam kaset kosong mengikut lagu dan penyanyi yang digemari. Ada juga lagu yang Paktih rakam sendiri bersama rakan-rakannya di Sabah. Nyanyian beramai-ramai a la akuostika ...  [Jangan tak tahu! Tapi - meminjam gaya kata Orang Kaya Bakar kepada anaknya Osman Bakar di dalam filem Keluarga 69 - yalah, masa 'tu, Paktih belum sign kontrak dengan mana-mana recording company... Jadi tak dapatlah anak cucu dengar suaranya... Hanya saya dan insan yang ada ketika itu sahaja yang berpeluang!]

Kalau ada kaset album penuh pun - tapi belum tentu ori juga - adalah dari kumpulan Orkes El Suraya [pimpinan Ahmad Baqi] serta Orkes Al Wathan [pimpinan Muchlis] - kedua-duanya dari Medan, Indonesia.



Banyak lagu yang saya dengar dari pemain kaset itu. Paling saya suka adalah dari alunan suara J Mizan dan A Ramlie. Bagi menjimatkan entah kos atau masa, sambil mendengar satu kaset, saya menggunakan batang pen bagi memusing kaset, baik untuk ke depan atau ke belakang [fast forward/rewind] bagi memilih lagu kegemaran, yang belum tentu tepat tempat berhentinya. Lambat juga putaran dengan batang pen sehinggalah satu hari Paktam yang balik bercuti mencadangkan digunakan lidi bagi mempercepatkan putaran kerana batang lidi lebih 'dekat' dengan gigi tali kaset. {Entah hangpa faham ke tidak pencerahan ini....}

Semasa Tokwan mengerjakan haji, entah siapa - Paktam atau Paktih [hanya mereka yang memegang gelaran pembeli kaset] - membawa pulang kaset lagu nyanyian Hajjah Nur Asiah Jamil bersama grupnya dengan iringan Orkes Gambus Al Barkah. Tajuk album/kaset itu ialah Panggilan Ka'bah. Di dalamnya, selain lagu yang menjadi tajuk album itu, terdapat pula lagu Petani, Ya Asmar, Daw il Awtahn, Munajat dan Pahlawan. Semua lagu itu cepat terlekat di minda saya lengkap dengan liriknya pada masa itu, walaupun dua lagunya adalah dalam bahasa Arab.


{H Nur Asiah Jamil - atau Djamil, dalam ejaan lama bahasa Melayu Indonesia - merupakan bekas penyanyi kumpulan El Suraya. Maka lagu ciptaannya Panggilan Ka'bah terlebih dahulu dirakamkannya bersama kumpulan tersebut. Tetapi yang saya dengar ini adalah nyanyiannya bersama grup sendiri. Tidak lama kemudian, setelah ada pemain piring hitam - juga Paktih yang belikan - barulah saya tahu penyanyi latar grup hajjah ini. Satu album lain adalah Ibda' Binafsik. Sebagai penggemar bahan bacaan saya membaca semua yang tertulis di kulit album, termasuk pencetaknya yang cuma ditulis KMILPJ! Sekarang saya hanya ingat satu nama selain dari hajjah itu. Nama yang membuatkan saya tersengih seorang kerana tidak pernah mendengarnya sebelum itu. Hasibuan, namanya... Dalam album ini, selain lagu yang menjadi tajuk utama, ada satu lagu yang amat saya suka - Adikku Sayang.

adikku sayang
belahan jiwa
padamu seorang
kasih tertumpah

......

gelak tangismu
senyum manismu
tiada kulupa
seumur hidupku

gelak tawamu
senyum simpulmu
pelerai lelah 
ayah dan ibu

Selalu saya nyanyikan, bukan saja untuk adik, tapi juga di depan Tokwan!]

Berbalik kepada lagu Panggilan Ka'bah itu.

Hampir setiap hari lagu itu dimainkan di rumah Tokwan. Berkali-kali pula dalam setiap hari itu. Ndak suka, Tok suka, Chik suka dan emak - walau agak jauh mendengar dari rumah kami - juga suka. Agaknya kerinduan masing-masing kepada Tokwan serta melodi dan lirik yang relevan, tergaul sekali.

Dalam suka itulah, Ndak memberi peranan penting kepada saya. Peranan yang tidak diberikan kepada orang lain!

Pagi itu suasana sunyi. Ndak yang ada di dapur sedang sibuk dibantu oleh beberapa orang termasuk Chik dan emak. Yang lain, saya tidak begitu ingat. Apologi untuk mereka...

Saya berada di  ibu.rumah Tokwan. Meniarap membaca sebuah buku yang diambil dari dalam almari. Bosan dan berdebar. Sepatutnya waktu begitu saya akan memainkan kaset lagu kegemaran. Tapi atas perintah Ndak, tidak dibenarkan hal demikian saya lakukan.

Petang semalam telah bertolak rombongan mengambil Tokwan di Pulau Pinang. Jika tiada lintangan aral, menjelang tengah hari, rombongan itu akan sampai, membawa Tokwan yang kami rindui. Tokwan yang akan mulai dipanggil Haji Zakaria...

Bosan dan berdebar serta rindu bergaul sebati.

Sedang membaca itulah, tiba-tiba Chik berlari ke arah saya. 

"Depa sampai 'dah!" kata Chik kegirangan.

Kami menerpa ke tingkap, menghadap rumah emak ayah. Ada dua kereta tetapi hanya sebuah berhenti paling hampir laman rumah Tokwan. Tidak sabar rasanya ingin melihat wajah Tokwan berserban... 

Pintu depan kiri dibuka. turun seorang anak Tokwan yang saya lupa siapa. Yang pasti bukan Wa. Bukan juga ayah, yang naik kereta lain. Mungkin Paknjang atau Paklang. 

Debar memang ada tetapi sebak entah dari mana datangnya...

Pintu belakang kanan dibuka. Turun Tok. 

Debar menjadi-jadi tetapi sebak dan keharuan menumpang sama. Tokwan telah bergelar haji. Bagaimanakah rupa Tokwan yang telah tiga bulan meninggalkan kami...

Pintu belakang kiri dibuka oleh insan yang turun dari pintu depan kiri tadi. Ada huluran kaki berseluar putih dan bercapal. Air mata saya berladung. Rupanya Chik lebih awal teresak - antara kerinduan dan kesyukuran.

"Laa.. hang tunggu apa lagi?" Tiba-tiba suara Ndak yang sedang berdiri di tingkap di sebelah kami memancung suasana. "Pasang lekaih!" sambungnya. 

Saya sempat melihat Ndak yang sedang berkaca di matanya sebelum melangkah ke tiang tengah dinding rumah ibu itu menghadap ke mentari naik, terletak bersebelahan pintu dari beranda. Saya hampir terlupa tugasan penting yang telah Ndak amanahkan sejak beberapa hari lalu.

Di tiang itu, pada paras bahu saya ada satu rak papan sekaki sepanjang dua kaki dengan dua sesiku besi. Di atasnyalah terletaknya pemain kaset. Di dalam lopak kaset telah tersedia lagu dari alunan suara Hajjah Nur Asiah Jamil - Panggilan Ka'bah. Telah saya setkan betul-betul pada permulaan muzik intronya.

Saya tekan kunci 'play'. Sesaat dua selepas itu berkumandanglah muzik untuk lagu itu. Tugas penting saya selesai. Ketika muncul suara Hajjah Nur Asiah, saya melangkah ke rumah tengah, bersesak dengan beberapa yang lain menyambut Tokwan di muka pintu. Dalam juraian airmata - seperti yang lain - saya peluk dan cium Tokwan - Haji Zakaria bin Lebai Isa.


Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah

Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah

Malam subuh dan senja
Pergi ke Kaabatullah

Sembahyang berjamaah
Tawaf saei dan umrah

Terdengar suara ( panggilan bergema )
" LabbaikAllah hummalabbaik
Labbaika la syarikala kalabbaik
Innal hamda wan niqmata lak
laka walmulka la syarika lak "

Tiba masanya kini
Wuquflah di Arafah
Terdengar sayup sampai
Tahmid takbir dan tasbih

Putih bersih berseri
Abdi pada Ilahi
Terbayanglah di sini
Tempat berhimpun nanti
(tempat.. berhimpun... nanti)

Dari padang Arafah
Lalu ke Muzdalifah
Bermalam di Mina
Melontar tiga jumrah

Syarat rukun haji sempurnalah sudah
Mogalah ibadah haji mabrurah
(haji.. mabrurah...)

Masjidil Nabawi terletak Makam Rasul
Taman Raudhah tempat himpun doa
Padamu pinta Wahai Junjungan
Selawat dan salam mohon syafa'at
(Selawat dan salam mohon syafa'at.... )

Ya sofwatAllah....

Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah

Monday, September 30, 2013

Secamca Tongyu......

Ahmad Yadziz (2013)
Adik saya, Ahmad Yadziz, baru boleh merangkak ketika itu. Dia sedang membelek pelita minyak tanah yang baru emak nyalakan – terletak tidak jauh dari tiang seri rumah. [ namanya memanglah pelita sebab rukunnya lengkap, ada tempat isi minyak, ada sumbu, tudung yang diletakkan tiang bagi lubang sumbu.tetapi sebenarnya ia diperbuat dari botol bekas minyak rambut yang pada tudung tinnya diletakkan tempat tiub tayar basikal sebagai lubang sumbu yang diperbuat pula dari pintalan carikan kain batik. Paling ‘mahal’ pun sumbu itu diperbuat dari tali rami….]

Selepas pelita itu menyala, emak bergegas ke dapur sambil menyuruh saya menemani adik. Yadziz tidak berbaju, samalah dengan abangnya ini. Saya seronok melihat adik merangkak hingga berhampiran pelita sebelum menyuruhnya membuat pusingan u…. merangkak lagi hingga tertampan ke dinding sebelah mentari jatuh, buat lagi pusingan u….. begitulah seterusnya.. Lantai papan tanpa tikar alas memang bersih dan licin – tiada selumbar.  Maklumlah, sekurang-kurangnya sebulan sekali emak [dan saya serta adik, bila mereka besar sedikit] akan menggosok keseluruhan lantai itu - yang disimbah terlebih dahulu dengan air - menggunakan berus tembaga [bagi yang senior] atau bata merah [bagi sang novis (novice)] – acara main air yang tidak dapat digambarkan keseronokannya……

Entah bagaimana bentuk pusingan yang dilakukan semasa pergerakan dalam merangkak itu, kakinya tersangkut pada pelita minyak tanah. Pelita terbalik.  Minyak di dalam  botol terkeluar sedikit, segera disambar api dari sumbu pelita, menghasilkan nyalaan pada papan lantai. Saya panik. Saya heret adik jauh sedikit dari nyalaan itu sebelum mengangkat pelita yang telah terpadam api di sumbunya. Nyalaan di atas  papan lantai masih ada. Dalam panik rasa seronok tetap ada melihat nyalaan yang agak lain dari biasa… Saya menunggu sehingga lidah api menjilat semua minyak di atas papan lantai, tetapi nyalaan masih berterusan pada kawasan sebesar ibu jari kaki Yadziz. Saya memberitahu emak  yang segera menerpa dari dapur. Dipadamnya nyalaan di atas lantai dengan beberapa kali hembusan sekuat hati. Ada bekas hitam berlubang di papan lantai itu setelah asap dari nyalaan yang terpadam melarut di dalam udara. Emak memerhati bekas itu. Agaknya memikirkan ‘cacatlah’ sudah lantai yang selama ini licin bersih digosoknya setiap bulan.

Kemudian emak membawa botol pelita tadi ke dapur. Senja mula berlabuh. Terdengar ayah sedang berbual-bual di bawah rumah, entah dengan siapa – mungkin dengan Tok atau Ndak atau Tokwan.

Saya mengajak Yadziz bermain seperti tadi. Dia pun merangkak hingga terpampan ke dinding sebelah mentari jatuh sebelum mengikut arahan saya supaya membuat pusingan u. Yadziz kelelahan. Sesekali dia berhenti merangkak, sekadar meniarap bagi mengambil nafas. Kemudian kembali merangkak. Oleh kerana tiada halangan pelita seperti tadi, saya menyuruh Yadziz membuat pusingan u hanya setelah kepalanya bersentuh tiang seri rumah. Yadziz makin kelelahan. Sebaik membuat pusingan , dia kembali meniarap. i. Tiba-tiba Yadziz meraung sekuat-kuat kerongkongnya….. Saya panik lagi, tidak tahu apa puncanya. Emak menerpa pula. Yadziz makin kuat menangis walaupun sudah berada di atas dokongan emak yang menghembus-hembus bahagian perutnya. Rupa-rupanya ketika meniarap mengambil nafas tadi,  perutnya mendarat betul-betul di atas bekas api terakhir yang emak padam itu….. Yadziz terus meraung mengundang terpaan ayah, diikuti oleh Tokwan. Tok dan Ndak terdengar bertanya sesama sendiri di bawah rumah, sebelum ikut naik ke rumah.

Emak berkata sesuatu kepada ayah sambil mulutnya terus menghembus  perut Yadziz. Yadziz tidak pula kurang raungnya meski dibujuk ayah, Tokwan, Ndak dan Tok. Ayah mencapai pelita minyak yang baru emak nyalakan. Dibuka tudungnya sedang sumbu tetap menyala. Ayah tunggang sedikit, mengambil minyak tanah dari pelita itu. Dicuba sapu minyak itu pada perut Yadziz tetapi belum pun sampai tangannya ke destinasi, Tokwan menahan. 

“Bubuh tongyu!” kata Tokwan. Agaknya baru teringat bagaimana meredakan kelepuhan pada kulit secara orang kampung.

“Tongyu takdak…..” balas ayah. Emak mengangguk longlai. Yadziz meraung terus di atas ribaan.

“Pi ambik tongyu di rumah!” perintah Tokwan kepada entah Ndak atau Tok.

“Di rumah pun takdak tongyu…” kata Ndak.

“Lama dah aih tak beli tongyu…..”tambah Tok pula.

Tokwan terdiam, berfikir. “Hang pi minta rumah Chik sikit….!” Kata Tokwan sebentar kemudian, menghalakan arahannya kepada ayah. Ayah bergegas turun sedang Yadziz masih kencang raungnya.

{Chik yang dimasudkan oleh Tokwan adalah Chik binti Haji Alias, jiran kampung bersebelahan kampung dan rumah Tokwan. Tokngah Haji Yeh [panggilan untuk Haji Alias] dan isterinya , Hajah Sara [kami panggil Tokngah Sara] adalah jiran Tokwan paling dekat, dan mungkin rapat sejak dari zaman muda mereka kerana kampung dan bendang Tokwan  serta kampung dan bendang Tokngah Hj Yeh ini, sampai sekarang masih di atas geran tanah yang sama…… Maktih [panggilan anak-anak saudara dan anak jiran-jiran] Chik, anak mereka itu berkahwin dengan Basir @ Basari @ Shaari, berumah bersebelahan rumah Tokwan, bersebelahan tanah kampung yang dipisahkan oleh parit selebar  lapan kaki. Kini kawasan rumah itu tinggal tapaknya sahaja setelah rumah mereka terbakar dijilat api tiga empat tahun yang lalu. Anak-anak pasangan Chik dan Shaari ini, kebanyakannya adalah kawan sepermainan saya…..]

Tidak lama kemudian ayah muncul semula di atas rumah, diekori oleh Paktih Shaari dan Maktih Chik. Nampak dari muka pintu lagi ayah berhati-hati berjalan. Di tangannya ada satu camca. Di dalam camca itu ada tongyu. Tokwan menadah tangan kanannya, mengisyaratkan ayah menuang tongyu  ke situ. Tokwan lekapkan tangan berisi tongyu itu ke tempat ada lecuhan pada perut Yadziz. Si empunya perut itu masih meraung di atas ribaan emak, dengan dikelilingi Ndak dan Tok yang tidak henti mengagah agar Yadziz sekurang-kurangnya menurunkan volume raungannya, pada ketika senja yang semakin tua itu. Maktih Chik mengikut perlakuan mereka.

Tokwan terus mengusap perut Yadziz.  Baki titisan tongyu pada camca di tangan ayah dimintanya. Diusap juga pada perut Yadziz. Tidak lama kemudian barulah raungan ditukar kepada esakan sebelum beberapa jam seterusnya – setelah selama itu pula semua yang ada bersurai -  ditukar lagi kepada dengkuran…….

Ahmad Yadziz, anak ketiga  kepada emak- ayah, lahir pada tahun 1966. Hitunglah berapa lama sudah kejadian yang dicatatkan di atas, berlaku.

Sehingga kini, parut di perut Yadziz itu, rasanya masih ada. Entahlah, kerana bukan penting sangat untuk saya memintanya menunjukkan selalu akan parut itu. Lagi pula, dari segi pandangan sisi, perutnya yang dulu bukanlah yang sekarang, dulu sebesar kompang, sekarang semacam gendang……

Lantai yang masih berbekas/berlopak hitam itu pun masih dapat dilihat, sehinggalah dilakukan pengubahsuaian rumah pada awal tahun 1980-an. Papan lantai itu entah digunakan sebagai apa, kerana ketika itu masih elok, berkat gosokan berus tembaga atau bata merah dahulu.....

Akan tongyu itu?

Tongyu!

Itulah panggilan seluruh warga kampung kami kepada KICAP!

Demikianlah taraf hidup keluarga kami pada era hujung 60-an. Kicap yang harganya tidak sampai seringgit semasa itu pun, mungkin masih berada di luar senarai barang keperluan harian. Masih di luar kemampuan. Tidak terjangkau kerana sedikit wang yang ada, digunakan untuk membeli barang yang lebih PERLU….. Sos tomato? Lagilah payah untuk berada di dalam rak atau di atas para di dapur. Kalau ada lebihan belanja, di antara kicap dan sos tomato atau sos cili, ayah lebih memilih sos kacang soya yang hitam legam itu..... Nantilah saya catatkan akan kisah tentang sos tomato pula - sesuatu yang tidak pernah menjengah rumah kami sekurang-kurangnya sehingga pertengahan dekad 70-an!

Lama juga masa yang saya perlukan untuk hanya mengakhiri entri ini. Sebak menyerbu qalbu. Hanya yang pernah merasa 'zaman' itu yang tahu nilai secamca tongyu..... Dan kebanyakan yang merasa itu pula telah lama pergi....