Saturday, October 12, 2013

Piala Malaysia dan VW Itu...


    


Awal November 1988.

Kejayaan Kedah melepasi peringkat separuh akhir hujung bulan Oktober itu makin heboh diperkatakan di mana-mana.Inilah kali kedua berturut-turut Kedah berjaya ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Tahun sebelumnya,dengan pasukan Kedah dianggap sebagai kampungan, Kuala Lumpur berjaya menjuarainya menerusi jaringan tunggal.

Masih terkenang bagaimana marahnya warga Kedah kepada media ketika itu. Sebelum dan selepas perlawanan. 

Para pemain Kuala Lumpur digambarkan mewah apabila ke tempat latihan dengan kereta masing-masing, sementara kebanyakan pemain Kedah hanya mampu bermotorsikal – sebahagiannya adalah pemain dan stafPerbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). Foto dan cerita di sebalik tabir dua darjat pasukan itu terpampang di muka belakang kebanyakan akhbar utama. [Malaysia masih dalam proses menubuhkan liga professional menjelang 1990]. Pada tahun 1987dan 1988 [serta 1989 di mana Kedah mencipta hattrick ke perlawanan akhir], pemain semi-pro yang hampir sama menjadi anggotanya – sebahagiannya menjadi idola rakyat Kedah – Ahmad Sobri Ismail, Mohd Radhi Md Din, Lee Kin Hong, Mohammad Ramli, K Ravichandran, Koet King Keong, Chan Keat Swee, Ng Chew Beng, NorAzam Ishak dan Hussin Jaafar 

Keadaan turut menjadi semakin hangat apabila ketika perlawanan akhir itu, pengulas RTM  (Dato’) Hj Hasbullah Awang dikatakan seolah-olah telah memperlekehkan pemain-pemain Kedah dalam komen secara langsungnya. Hingga kini, ada yang masih berpendapat Dato’ Hasbul sentiasa bias setiap kali mengulas perlawanan di antara Kedah dengan pasukan elit terutama dari Lembah Kelang – Kuala Lumpur dan Selangor!

Maka perlawanan akhir 1988 amat dinantikan dan menarik untuk diperhatikan. Lawannya pula kebetulan lagi adalah pasukan yang sama – Kuala Lumpur, di bawah bimbinganChow Kwai Lam! Cuma dari senarai pemainnya kali ini tiada kelibat Kannan Kunjuraman, yang tahun sebelumnya terlibat mengecewakan rakyat dan penyokong setia Kedah. [ K Kannan cuma muncul semula pada musim 1989 untuk membantu KL sekali lagi mendera rasa penyokong tegar skuad Hijau Kuning….]

Semua warga Kedah merasakan inilah saat terbaik bagi membalas dendam – inilah masanya bagi budak kampung membenamkan ego warga kota! 

Menjelang hari perhitungan itu, pasukan Kedah tidak menang tangan dan mulut memenuhi undangan kelompok rakyat di seluruh negeri – ada yang berkenduri sakan, serta bercukur kepala, dengan pemain idola mesti menjadi tetamu dan saksi… Masing-masing sentiasa membuka dada ketika berjalan…

Zaman di mana banner plastik masih jauh dari jangkauan fikiran, kain rentang dengan tulisan tangan, hasil kreativiti sendiri, terdapat hampir di segenap pelosok kampung. Siap dengan pantun dan seloka pembakar semangat berselang-seli dengan frasa memperlekehkan pula skuad lawan..

Sesiapa yang melalui jalan persekutuan dari Sungai Petani hingga ke Alor Setar akan mendapati betapa di kedua-dua sisi, hampir setiap kilometer terentang kain memberi semangat kepada pemain, sekali gus menaikkan semangat warga Kedah. Bagi kawasan dan daerah lain, bolehlah dirujuk ceritanya dari Tuk-tuk ayah di kawasan masing-masing. Tidaklah berani saya terlalu ghairah bercerita tentang kawasan orang. Saya hanya dapat mencatatkan apa yang dilihat oleh mata di kepala sendiri di tempat yang pernah dilalui ……

Dato' Ahmad Basri
Ketika menghantar pasukan di Lapangan Terbang Kepala Batas, ramai sekali peminat berhimpun dan sempat lagi memberikan kata-kata perangsang kepada pemain, baik secara lisan mahupun tulisan. Malah kepada arwah Dato’ Ahmad Basri Akil, pengurus pasukan, ketika melangkah ke tangga kapal terbang, ada yang menjeritkan, “Tolong bawa balik Piala Malaysia mai Kedah, Dato’!” Bapa pembangunan bolasepak Hijau Kuning itu mengakui kemudiannya, dia cukup terharu dengan harapan itu….. Pengalamannya itulah yang menjadi sebahagian pencetus ilham bagi lirik Hijau Kuning Kedah Pantang Kalah yang menaikkan roma pengunjung Stadium Darulaman kemudiannya.

Di lebuhraya, berbondong-bondonglah penyokong setia Kedah ikut berangkat ke Kuala Lumpur. Dari Alor Setar sahaja pelbagai kelompok penyokong disebut, termasuklah gengPekan Rabu dang geng Pasar (Market) Besar. Di peringkat daerah juga tidak kurang riuhnya. Semuanya bersatu bagi menggamatkan Stadium Merdeka dan seterusnya berharap dapat meraikan kejayaan Kedah begerlar juara.

Bergelak sakan tauke bas sewa, pengendali rombongan dan peniaga baju-t hijau kuning serta cenderahati berkaitan bola sepak pasukan yang selepas itu bergelar juga Sang Kenari.. Tauke tiket pasar gelap, yang membeli di Alor Setar dari kuota tiket yang diperuntukkan oleh FAM, agak istimewa gelak mereka – siap tersembur huruf R dan M bergilir-gilir…… Masih di Kedah tetapi sudah mampu menghitung untung!

Yang berkereta sendiri tidak kurang ghairahnya. Ada yang bertolak pada malam menjelang hari perlawanan akhir dan ada juga yang berangkat jauh lebih awal dengan rumah saudara-mara dan rakan sekampung di KL menjadi destinasi pertama…..

Di AlFalah, demam yang melanda seluruh negeri turut berjangkit. 

Semenjak meraikan jaringan Hussin Jaafar pada peringkat suku akhir membenamkan keegoan Singapura, setiap hari kami membelek bahagian sukan semua akhbar berbahasa kebangsaan dan Inggeris. Tiada tajuk lain pula yang diketengahkan dalam perbualan selain dari bola, bola dan bola. 

Apabila Hussin meledak lagi dengan gol pertama pada perlawanan yang berkesudahan seri 1 - 1 dengan Sarawak di Stadium Darulaman, diikuti gol tunggalnya pada perlawanan di Kuching, untuk agregat 2 - 1, pada peringkat separuh akhir, kami sudah tidak boleh duduk. Demam makin kuat. Hingga tergigil-gigil! Sementelah pada tahun sebelumnya tiada siapa antara kami yang berpeluang menyaksikan Kedah di final.

Semua telah diatur. Keluarga terdekat telah diberitahu. Orang yang jauh di KL telah dihubungi - untuk tempahan tiket serta tempahan tempat tinggal.... 
Beberapa budak Falah yang sedang dalam fasa terakhir menghadapi SPM – kebanyakannya menumpang di asrama - hanya memerhati gelagat kami. 

Volkswagon Beetle warna krim telah bersedia. Terbeliak matanya siang dan malam!

Kereta ‘kura-kura’ model hujung enampuluhan itu dibelai setiap hari. Semua yakin jentera ciptaan Jerman itu tidak akan mengecewakan. 

Cuma seorang mekanik di Jalan Limbong Kapal, yang dikunjungi beberapa hari sebelumnya, bagi mendapatkan alat gantian terpakai, memanjangkan kalimat Haiyatatkala diberitahu kami akan ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan final Piala Malysia. “Boleh sampai ka?” tanyanya separuh mencabut keyakinan. 

Tetapi berdasarkan perbatuan yang dilalui sebelum itu, pemandu utama merangkap tuannya, Ustaz Fairose mengesahkan tiada kerenah pernah dihadapi.Setakat enjin terbatuk-batuk, biasalah….. Keyakinan beliaulah sebenarnya yang menjadi faktor penentu untuk kami ikut mengenderai vw itu.  Lagi pula kami bukannya mahu ke Gunung Fujiyama atau puncak Himalaya, bukannya ingin ke Kampuchea [Kemboja] atau Ethiopia! Apalah sangat jarak ke KL jika mahu dibandingkan dengan perjalanannya  dari benua asal di Eropah sinun…


4 November. Jumaat malam Sabtu, jam sebelas, kami pun bertolak. Riuh di depan rumah Maklong/Maklang beberapa budak Falah menyaksikan keberangkatan kami. Mereka mengiringkan doa agar kami selamat pergi dan sampai balik ke Kedah, khususnya ke AlFalah….Ada yang membantu mengangkat beg pakaian kami ke dalam bonet di depan… Ada yang sambil bersalam menitipkan salam pula kepada pemain kegemaran masing-masing - macamlah kami yang akan duduk di tempat vvip di stadium kelak. Ada yang tanpa silu menzahirkan rasa cemburu kepada keberuntungan kami dapat menyaksikan perlawanan akhir di stadium, dengan menyepak-nyepak perlahan roda kereta….

Dengan bismillah kami masuk ke dalam kereta. Saya yang memulakan langkah kerana akan duduk di tengah, di bahagian belakang. diikuti oleh Cikgu Non dan Cikgu Rahim yang masing-masing masuk melalui pintu kiri dan kanan. Kemudian, sesudah kusyen depan dikembalikkan ke kedudukan asal, barulah Cikgu Ahmad Amminy masuk di kiri, hampir serentak dengan adiknya Ustaz Fairose mengambil tempat di bahagian pemandu.

Semua yang ada melambai dan bersorak. Ketika melintasi asrama puteri, kelihatan tingkap menghadap ke ‘padang kita’ dikerumuni lembaga manusia di samping sebahagian lain turut melambai dari tangga atas beranda asrama……
Selamat tinggal AlFalah. 
KUALA LUMPUR……..TUNGGULAH…..KAMI DATANG!

Sengaja kami memilih untuk bertolak awal. Sebahagiannya sebagai langkah berjaga-jaga dengan keadaan tidak terjangka kereta dan perjalanan. Kalau tiada masalah dan takdirnya kami sampai pada pagi Sabtu, kami mempunyai cukup banyak masa berehat atau berjalan-jalan. Tempat persinggahan telah kami tetapkan – rumah sewa adik Maklong, Khairi Hj Ibrahim, yang kebetulan rakan seasrama saya di Sekolah Menengah Dato’ Syed Omar sedekad sebelumnya. Tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir itu turut ditempah awal melalui bapa saudara Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy itu.

Sampai di pekan Simpang Empat, Ustaz Fairose membelok ke kiri, lalu membelok lagi, masuk ke Stesen Minyak Caltex.

“Kasi penuh!” katanya kepada atendan pam. 

Sambil itu, dia pergi ke kaunter, membantu mengayakan pemegang saham Alfred Dunhill of London dengan membeli dua kotak rokok. Ketika berpatah balik, dia digamit oleh atendam pam tadi yang menunjuk-nunjuk ke arah bawah kereta. Ustaz Fairose duduk mencangkung sebelum menggamit kami pula seketika kemudian.. 
Kami keluar dari kereta, ikut sama mencangkung sepertinya dan atendan pam. 

Di bawah kereta, di atas lantai simen stesen itu, ada kesan basah yang agak banyak, kian membesar lingkungannya. Di tengah-tengahnya, kami melihat ada aliran seperti tirisan dari kereta. Sahlah ada kebocoran pada tangki minyaknya…Atendan pam telah menghentikan pengisian minyak.

Berdiri semula kemudiannya, kami memandang sesama sendiri. Dua beradik anak Ustaz Azizan berbual-bual sambil disertai oleh atendan pam. Ada riak tegang pada wajah mereka. Merasakan yang dibualkan itu berkaitan hal-hal teknikal , saya tidaklah cuba untuk mengambil tahu.

Agaknya tangki minyak itu tidak pernah menerima pengisian minyak dalam kuantiti yang banyak sebelum ini……

Cikgu Non dan Cikgu Rahim yang juga tidak terkata apa-apa, mencapai kotak rokok di tangan Ustaz Fairose. Mencucuh hujung rokok lalu meniru perlakuan tuan rokok itu – menyedut dalam-dalam dan menghembus asapnya sekuat hati. Saya dan Cikgu Amminy terpaksa membantu menyedut sama asap itu sebelum hilang dalam udara malam…..

“Kita kena patah balik…..” kata Ustaz Fairose, setelah lama berbual, “esok kita tengok apa yang patut…..”

Adusss!

Apa lagi yang dapat kami katakan. Dengan langkah yang separuh longlai, masing-masing kembali ke dalam kereta, duduk diam-diam di tempat yang awal tadi…..

KUALA LUMPUR……SABARLAH …..KAMI KENA PULANG!

Sepanjang berpatah balik itu, hampir tiada yang boleh dikategorikan sebagai satu perbualan sesama kami. Kebanyakan perkataan yang muncul adalah dalam bentuk luahan kesal dan rungutan – lebih sekadar untuk pendengaran persendirian.

Benarlah seperti yang sering saya fahami: Patutlah kereta, motor, bas, bot, kapal laut atau kapal udara, serta yang seumpamanya mendapat imbuhan khas di dalam bahasa Melayu. Inilah satu-satunya kelompok objek yang diberi awalan ken dan akhiran an bagi menghimpit perkataan dera. Maka padanlah kami kini sedang terdera….dengan hati yang ikut cedera!

Alangkah dekatnya Pekan Simpang Empat dengan AlFalah. 

Sekejap sahaja kami sudah sampai ke jalan masuk ke AlFalah. Melepasi ban dan taliair di jalan mini itu, seseorang menyuruh Ustaz Fairose mematikan enjin kereta. Serentak dengan pemadaman lampu kereta. 

Kami semua turun, cuma membiarkan si pemandu di tempatnya.

Suasana sunyi menyerkup sekitar. Bau jerami yang baru dituai padinya di bendang yang terletak di kedua-dua sisi jalan menerpa ke hidung, menggantikan bau asap yang memenuhi kereta sebentar tadi. Langit cerah, tetapi tiada kerlipan bintang yang memagari bulan yang sedikit terlindung di balik segumpal besar awan kelabu. Bulan pun seolah sedang tersenyum ke arah kami. Manis sekali senyuman itu……

Kalaulah ada satelit yang merakamkan pergerakan kami pada malam itu tentu meletup perut operatornya menahan ketawa.  Lebih satu jam yang lalu, sebuah kereta bergerak di jalan mini berkenaan membawa lima orang yang keriangan. Kini, sekitar jam 12:30 malam, kelihatan pula empat lembaga menolak perlahan kereta vw itu menuju ke kawasan AlFalah sebelum memarkirnya di bawah bumbung kantin, yang ketika itu terletak di tepi pagar, di hadapan rumah Maklong/Maklang….

Suasana sepi berterusan. Sesuatu yang sebenarnya amat kami harapkan. Cuma terdengar mengahan kami berempat, itu pun telah dikawal sebaik mungkin agar tidak mencemarkan kesepian dinihari…. 

Mujurnya, lampu di asrama puteri telah dipadamkan. Demikian pula di rumah Maklong/Maklang dan asrama putera. Bilik Ustaz Wan Osman Wan Mat  bersebelahan asrama putera itu sememangnya gelap sejak awal lagi kerana beliau sedang bercuti di bumi kelahirannya, Kampung Dok Rak, Pattani, Thailand. Yang masih menyala hanyalah dua lampu di tiang elektrik – satu berhampiran bucu bangunan melintang dewan muhadhoroh dan satu lagi yang terletak di antara rumah Maklong/Maklang dan blok asrama putera.

Kami berjalan perlahan ke asrama putera. Supaya tidak mengejutkan sesiapa, saya yang cukup arif dengan plan asrama, bergerak ke belakang dapur, membuka satu tingkap yang sememangnya tidak pernah dikunci, melangkah masuk tergagau-gagau, membuka pintu asrama dan mempersilakansemua masuk. Masing-masing memilih katil yang tidak berpenghuni dan berbaring perlahan-lahan. Pertama kali saya sendiri berjaya meletakkan badan dengan bunyi lantai katil paling perlahan ….

Semua tindakan kami, bermula dari mematikan enjin kereta, menolak serta memarkirnya dan melangkah ke asrama putera itu dilakukan secara senyap demi untuk tidak mengganggu lena semua warga AlFalah. Kalau mahu dicatatkan, itulah sebabnya. Tetapi hakikatnya, kami menyorok malu keranaselamat sampai di AlFalah semula seperti sebahagian doa budak-budak sebelum kami bertolak tadi.  Hakikat yang lebih besar pula adalah kami tidak mahu ada sesiapa yang tercedera terkena sepakan salah seorang kami jika mereka mereka terbangun dan bertanya hal kami lalu tertawa beramai-ramai……

Di dalam kegelapan malam itu, tiada yang bersuara. Hanya kelihatan api dari tiga puntung rokok, berselang seli terang dan malap. Tidak tahulah sama ada masing-masing melayan hati yang sakit kerana masih di tapak pelancaran rombongan ke KL, atau terpesona mendengar dengkuran puspanada dari warga asrama putera yang bersahut-sahutan itu……

Tidak tahulah siapa yang terlena dahulu dan pada pukul berapa pula orang yang terakhir terlelap. Dan saya sendiri tidak sedar bila pula waktu Ustaz Fairose dan abangnya membuang peluang keemasan bermalam di katil asrama lalu menyelinap masuk ke rumah mereka…..

bersambung......

No comments:

Post a Comment