Wednesday, October 23, 2013

Pulangnya Seorang Haji

 

Jemaah haji telah mula pulang.

Saya seronok seperti mana orang lain juga. Tapi seronok saya ada sedikit plusnya. Saya ada peranan yang tidak diberikan kepada orang lain!

Tokwan bertolak ke Mekah dengan menaiki kapal Malaysia Raya - kali terakhir TH @Tabung Haji [semasa itu dikenali sebagai Lembaga Urusan dan Tabung Haji] menggunakan kapal laut bagi menghantar bakal haji. Tahunnya 1975. Saya tidak berpeluang menghantar Tokwan ketika berangkat di Pulau Pinang dahulu. Entah apa sebabnya. {Rujuk entri Penangan Cabai Kering Giling}.

Ketika orang berbincang untuk menyambut kepulangan Tokwan pula, sekali lagi saya tidak termasuk di dalam senarai ahli rombongan yang akan ke Pulau Pinang. Saya tidak ingat sangat akan sebabnya dan tidak juga saya ingat setakat manakah darjah kekecewaan hati... Juga saya lupa siapa yang bertuah menyertai gerombolan menyambut Tokwan di pelabuhan Pulau Pinang serta dengan apa dan siapa Tokwan mula sampai semula ke depan rumahnya di Kampung Permatang Ibus.


Tetapi saya ingat sangat satu perkara.


Paktih ada membeli radio kaset jenama National @ Panasonic semasa pulang bercuti pada tahun sebelumnya. Masa itu dipanggil juga tape recorder - kerana biasanya juga digunakan untuk merakam lagu dari radio atau dari nyanyain sendiri. Banyaklah kaset lagu-lagu yang dibawa pulang atau dibeli di kedai rekod di Jalan Langgar, Alor Setar. Tetapi amat sukarlah mencari satu album penuh lagi asli. Kebanyakan lagu Paktih rakam di dalam kaset kosong mengikut lagu dan penyanyi yang digemari. Ada juga lagu yang Paktih rakam sendiri bersama rakan-rakannya di Sabah. Nyanyian beramai-ramai a la akuostika ...  [Jangan tak tahu! Tapi - meminjam gaya kata Orang Kaya Bakar kepada anaknya Osman Bakar di dalam filem Keluarga 69 - yalah, masa 'tu, Paktih belum sign kontrak dengan mana-mana recording company... Jadi tak dapatlah anak cucu dengar suaranya... Hanya saya dan insan yang ada ketika itu sahaja yang berpeluang!]

Kalau ada kaset album penuh pun - tapi belum tentu ori juga - adalah dari kumpulan Orkes El Suraya [pimpinan Ahmad Baqi] serta Orkes Al Wathan [pimpinan Muchlis] - kedua-duanya dari Medan, Indonesia.



Banyak lagu yang saya dengar dari pemain kaset itu. Paling saya suka adalah dari alunan suara J Mizan dan A Ramlie. Bagi menjimatkan entah kos atau masa, sambil mendengar satu kaset, saya menggunakan batang pen bagi memusing kaset, baik untuk ke depan atau ke belakang [fast forward/rewind] bagi memilih lagu kegemaran, yang belum tentu tepat tempat berhentinya. Lambat juga putaran dengan batang pen sehinggalah satu hari Paktam yang balik bercuti mencadangkan digunakan lidi bagi mempercepatkan putaran kerana batang lidi lebih 'dekat' dengan gigi tali kaset. {Entah hangpa faham ke tidak pencerahan ini....}

Semasa Tokwan mengerjakan haji, entah siapa - Paktam atau Paktih [hanya mereka yang memegang gelaran pembeli kaset] - membawa pulang kaset lagu nyanyian Hajjah Nur Asiah Jamil bersama grupnya dengan iringan Orkes Gambus Al Barkah. Tajuk album/kaset itu ialah Panggilan Ka'bah. Di dalamnya, selain lagu yang menjadi tajuk album itu, terdapat pula lagu Petani, Ya Asmar, Daw il Awtahn, Munajat dan Pahlawan. Semua lagu itu cepat terlekat di minda saya lengkap dengan liriknya pada masa itu, walaupun dua lagunya adalah dalam bahasa Arab.


{H Nur Asiah Jamil - atau Djamil, dalam ejaan lama bahasa Melayu Indonesia - merupakan bekas penyanyi kumpulan El Suraya. Maka lagu ciptaannya Panggilan Ka'bah terlebih dahulu dirakamkannya bersama kumpulan tersebut. Tetapi yang saya dengar ini adalah nyanyiannya bersama grup sendiri. Tidak lama kemudian, setelah ada pemain piring hitam - juga Paktih yang belikan - barulah saya tahu penyanyi latar grup hajjah ini. Satu album lain adalah Ibda' Binafsik. Sebagai penggemar bahan bacaan saya membaca semua yang tertulis di kulit album, termasuk pencetaknya yang cuma ditulis KMILPJ! Sekarang saya hanya ingat satu nama selain dari hajjah itu. Nama yang membuatkan saya tersengih seorang kerana tidak pernah mendengarnya sebelum itu. Hasibuan, namanya... Dalam album ini, selain lagu yang menjadi tajuk utama, ada satu lagu yang amat saya suka - Adikku Sayang.

adikku sayang
belahan jiwa
padamu seorang
kasih tertumpah

......

gelak tangismu
senyum manismu
tiada kulupa
seumur hidupku

gelak tawamu
senyum simpulmu
pelerai lelah 
ayah dan ibu

Selalu saya nyanyikan, bukan saja untuk adik, tapi juga di depan Tokwan!]

Berbalik kepada lagu Panggilan Ka'bah itu.

Hampir setiap hari lagu itu dimainkan di rumah Tokwan. Berkali-kali pula dalam setiap hari itu. Ndak suka, Tok suka, Chik suka dan emak - walau agak jauh mendengar dari rumah kami - juga suka. Agaknya kerinduan masing-masing kepada Tokwan serta melodi dan lirik yang relevan, tergaul sekali.

Dalam suka itulah, Ndak memberi peranan penting kepada saya. Peranan yang tidak diberikan kepada orang lain!

Pagi itu suasana sunyi. Ndak yang ada di dapur sedang sibuk dibantu oleh beberapa orang termasuk Chik dan emak. Yang lain, saya tidak begitu ingat. Apologi untuk mereka...

Saya berada di  ibu.rumah Tokwan. Meniarap membaca sebuah buku yang diambil dari dalam almari. Bosan dan berdebar. Sepatutnya waktu begitu saya akan memainkan kaset lagu kegemaran. Tapi atas perintah Ndak, tidak dibenarkan hal demikian saya lakukan.

Petang semalam telah bertolak rombongan mengambil Tokwan di Pulau Pinang. Jika tiada lintangan aral, menjelang tengah hari, rombongan itu akan sampai, membawa Tokwan yang kami rindui. Tokwan yang akan mulai dipanggil Haji Zakaria...

Bosan dan berdebar serta rindu bergaul sebati.

Sedang membaca itulah, tiba-tiba Chik berlari ke arah saya. 

"Depa sampai 'dah!" kata Chik kegirangan.

Kami menerpa ke tingkap, menghadap rumah emak ayah. Ada dua kereta tetapi hanya sebuah berhenti paling hampir laman rumah Tokwan. Tidak sabar rasanya ingin melihat wajah Tokwan berserban... 

Pintu depan kiri dibuka. turun seorang anak Tokwan yang saya lupa siapa. Yang pasti bukan Wa. Bukan juga ayah, yang naik kereta lain. Mungkin Paknjang atau Paklang. 

Debar memang ada tetapi sebak entah dari mana datangnya...

Pintu belakang kanan dibuka. Turun Tok. 

Debar menjadi-jadi tetapi sebak dan keharuan menumpang sama. Tokwan telah bergelar haji. Bagaimanakah rupa Tokwan yang telah tiga bulan meninggalkan kami...

Pintu belakang kiri dibuka oleh insan yang turun dari pintu depan kiri tadi. Ada huluran kaki berseluar putih dan bercapal. Air mata saya berladung. Rupanya Chik lebih awal teresak - antara kerinduan dan kesyukuran.

"Laa.. hang tunggu apa lagi?" Tiba-tiba suara Ndak yang sedang berdiri di tingkap di sebelah kami memancung suasana. "Pasang lekaih!" sambungnya. 

Saya sempat melihat Ndak yang sedang berkaca di matanya sebelum melangkah ke tiang tengah dinding rumah ibu itu menghadap ke mentari naik, terletak bersebelahan pintu dari beranda. Saya hampir terlupa tugasan penting yang telah Ndak amanahkan sejak beberapa hari lalu.

Di tiang itu, pada paras bahu saya ada satu rak papan sekaki sepanjang dua kaki dengan dua sesiku besi. Di atasnyalah terletaknya pemain kaset. Di dalam lopak kaset telah tersedia lagu dari alunan suara Hajjah Nur Asiah Jamil - Panggilan Ka'bah. Telah saya setkan betul-betul pada permulaan muzik intronya.

Saya tekan kunci 'play'. Sesaat dua selepas itu berkumandanglah muzik untuk lagu itu. Tugas penting saya selesai. Ketika muncul suara Hajjah Nur Asiah, saya melangkah ke rumah tengah, bersesak dengan beberapa yang lain menyambut Tokwan di muka pintu. Dalam juraian airmata - seperti yang lain - saya peluk dan cium Tokwan - Haji Zakaria bin Lebai Isa.


Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah

Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah

Malam subuh dan senja
Pergi ke Kaabatullah

Sembahyang berjamaah
Tawaf saei dan umrah

Terdengar suara ( panggilan bergema )
" LabbaikAllah hummalabbaik
Labbaika la syarikala kalabbaik
Innal hamda wan niqmata lak
laka walmulka la syarika lak "

Tiba masanya kini
Wuquflah di Arafah
Terdengar sayup sampai
Tahmid takbir dan tasbih

Putih bersih berseri
Abdi pada Ilahi
Terbayanglah di sini
Tempat berhimpun nanti
(tempat.. berhimpun... nanti)

Dari padang Arafah
Lalu ke Muzdalifah
Bermalam di Mina
Melontar tiga jumrah

Syarat rukun haji sempurnalah sudah
Mogalah ibadah haji mabrurah
(haji.. mabrurah...)

Masjidil Nabawi terletak Makam Rasul
Taman Raudhah tempat himpun doa
Padamu pinta Wahai Junjungan
Selawat dan salam mohon syafa'at
(Selawat dan salam mohon syafa'at.... )

Ya sofwatAllah....

Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah

No comments:

Post a Comment