Belum pun sampai pukul 11 pagi seorang rakan siap menyenaraikan menu untuk berbuka pada petang nanti. Empat jenis semuanya, tidak termasuk kuih.Saya hanya mendengar dia menyebut satu persatu sambil melipat empat jari satu persatu. Tidak satu pun yang mengundang selera saya.
Seorang rakan lain bercerita tentang lauk beliannya petang kelmarin. Tidak juga senarai tiga jenis lauk yang disebutnya menimbulkan kecur liur saya.
Seorang lagi yang agak pendiam bercerita betapa dia membeli asam pedas di Simpang Kuala yang elok masamnya tetapi terkurang pedas pula."
Asam pedas? Beli asam pedas?
"Asam pedas apa?"tanya saya yang tiba-tiba tertarik pada masakan pilihannya itu.
"Ikan pari...."balas rakan tadi, sambil menokok ketidakpuasan hati dan seleranya."Timun pun ada sehiris, sebesar ibu jari kaki."
Ooooo...
Saya biarkan tiga rakan tadi terus berbual tentang makanan untuk berbuka. Semua nampak bersemangat bercerita. Agaknya mereka termasuk sepupu-sepapat Abdul Wahub di dalam filem Tiga Abdul - menghidu sahaja boleh menjadi kenyang, apa lagi kalau bercerita...
Asam pedas? Beli asam pedas?
Saya teringatkan emak. Kata emak, selain ikan rebus dan sayur air, asam pedas adalah masakan orang segan atau pemalas! Sebabnya? Itu adalah masakan yang paling senang disediakan....
Saya tertawa mendengar jawapan emak. Betullah. Ikan hanya perlu direbus dan dimasukkan sedikit garam serta asam keping. Sayur air pula, hanya masukkan sebarang sayur dengan hirisan bawang dan cabai besar, kalau mahu dan kalau rajin, diikuti garam secukup rasa, ke dalam air di dalam periuk.
Asam pedas?
"Macam ikan rebus dan sayur air, cuma tenyeh sedikit cabai kering sikit sama kunyit hidup, bubuh asam keping, garam....."
Beli asam pedas?
Itulah yang tidak pernah saya lakukan. Rasa macam sama tua saya pemalas sangat kalau asam pedas pun kena dibeli.....
Apabila teringatkan emak serta asam pedas, saya menjadi rindu pada masakan emak dulu.
Di tepi dapur rumah kami yang terletak di gigi parit besar, ada pokok nipah yang tumbuh di dalam kawasan ditakungi air itu. Selain telur gondang, batang nipah ditumpangi juga oleh jalaran pokok lakum. Merimbun dan berjuntaian daunnya. Kadangkala diselak daun lakum baru ternampak daun nipah.... Buka tingkap dapur sahaja sudah boleh dicapai pokok lakum itu.
Kalau emak memasak asam pedas, walau ubi keledek atau timun atau kacang bendi sebagai rampainya, atau tanpa sebarang bahan rampai, mesti pula emak masukkan sama buah lakum yang belum masak atau separa masak - dipetik terus dari ladang.....
Terus terang, sampai sekarang saya tidak tahu apa rasanya buah lakum, selain tahu dari orang tua-tua kononnya buah itu boleh mengakibatkan gatal pada kulit atau tenggorok.
Selalunya emak menggunakan ikan haruan atau puyu ketika memasak asam pedas. Dengan asap berkelun sebaik diangkat dari dapur, bersama aroma yang tidak boleh dilukiskan di sini, beserta nasi yang masih panas, ditambah keadaan perut yang sedang lapar, asam pedas emak bagi saya tiada tandingannya.... [Apologi untuk samatua yang sekian lama menyediakan asam pedas dengan cara yang dia tahu....]
Akan buah lakum itu saya tidak pernah tahu yang manakah rasa yang dihasilkannya ketika menghirup kuah asam pedas tersebut. Mungkin pada masamnya kerana pasti mustahil buah itu mengeluarkan rasa pedas.
Tentang emak dan masakan lagi, saya teringat bagaimana kreativiti emak dalam mempelbagaikan rampai asam pedas atau gulainya. Emak pernah masukkan batang telipuk yang dikupas kulitnya dan dipotong seperti memotong kacang panjang. Emak pernah masukkan kulit buah rambai yang dihiris halus. Kedua-dua rampai terakhir ini pernah saya sediakan di bawah pengawasan emak....
Rasanya?
Mana mungkin ada tandingan sehingga kini!
Kenapa ada entri hanya tentang asam pedas buah lakum kali ini?
Sebenarnya saya rindu kepada emak dan masakannya, terutamanya yang dimasak dengan penuh kasih sayang dalam milennium lalu......
No comments:
Post a Comment