Ayah |
Pada musim lepas menuai, biasanya kerbau akan dilepaskan untuk bersama kaum sejenisnya yang dimiliki oleh orang kampung yang lain.
Pada musim padi menghijau pula, ada dua cara untuk memberi makanan kepada kerbau: mengerat rumput di batas bendang lalu dikandar ke tempat kerbau ditambat atau mengendur kerbau ke mana-mana tempat berumput.
Semasa peringkat sekolah rendah, saya membantu ayah menjamu kerbau dengan menggunakan kaedah kedua. Petang-petang, bersama kawan yang juga ada kerbau, kami membawa ke batas bendang yang agak besar atau berhampiran alur, membiarkan kerbau meragut rumput sepuasnya. Yang perlu diawasi hanyalah agar kerbau tidak meragut padi orang. Sambil itu kami bolehlah berbual hal-hal ekonomi dan politik dunia semasa......
Pengandar |
Akan kisah segala proses di sawah bendang dan cerita hilirnya eloklah ditulis dalam entri-entri lain. Kali ini mahu diimbau satu ketika tatkala kerbau ayah hilang pada tahun 80an, ketika kerbau menjadi peliharaan untuk dijual atau disembelih, tempatnya di sawah telah lama diambil oleh jentera....
Biasanya kerbau diberi makan sekali sehari. Ayah selalunya menimbunkan rumput yang dikerat pada paginya atau pada petang sebelumnya, waktu selepas solat Zohor. Sebelum itu kerbau dibiarkan berkubang seharian di keliling pokok Baru yang menjadi tempat kerbau ditambat. Pokok Baru itu terletak di antara telaga berhadapan rumah ayah dan hutan nipah yang memenuhi kampung di depan rumah Tokwan, di bahagian matahari naik.
[Pokok 'Baru' mungkin nama yang aneh bagi sesetengah orang. Tetapi bagi orang-orang yang biasa memakan tapai tentu telah biasa dengan daun dari pokok ini. Daun pokok baru selalu emak gunakan untuk membalut tapai dan rasa tapai lebih enak jika dibalut dengan daun baru berbanding dengan daun pisang. Pokoknya mudah ditanam, hanya pangkasan ranting cukup untuk dicacakkan di atas tanah. Rantingnya yang dipacakkan sebagai tiang pagar bekas semai saja biasanya bertunas segar serentak dengan pertumbuhan anak padi.Di sekeliling kampung kami, pokok Baru boleh ditemui dengan senang ketika itu]
Satu awal petang, ayah terkejut. Ketika mahu menjamu rumput kepada kerbau kesayangannya, ayah hanya melihat kubang, kerbau telah ghaib. Tiada juga tali tambatan di pokok baru. . Sahlah bukan terlepas tali atau terlucut kili, yakni simpulan berlapik getah selipar yang dipotong bulat, dibuat simpulan bagi dimasukkan tali pada hidung kerbau.
Tokwan segera dimaklumkan. Saya yang sedang makan di rumah bersama emak dan adik-adik juga diberitahu. Nampak kehampaan pada wajah ayah. Bukan sedikit budi kerbau itu dan bukan juga sedikit nilai harganya di pasaran daging.... Kini ia telah hilang. Memang di kampung kami dan kampung berhampiran, kes hilang kerbau dan lembu agak kerap berlaku, terutamanya menjelang musim raya. Apa lagi ada dalang yang pernah beberapa kali dicekup polis tinggal di kejiranan kami.[Tetapi dalam kes kerbau ayah, dalang berkenaan bersumpah dengan nama Allah, di dalam satu perbualan ketika bersama-sama saya di atas Bangunan Tunku, Alor Setar bahawa beliau tidak terlibat.... Walaupun saya tidak mengulas apa-apa ketika itu - kerana kerbau tersebut milik ayah - lama kemudian memang sah, kehilangan tersebut bukan berkait langsung dengannya.]
Usaha mencari dijalankan bermula petang itu juga. Setiap kawanan kerbau yang berkubang dan di kawasan berpaya nipah, terutamanya, kami termasuk Paktam -yang dibantu oleh kawan-kawan ayah -jejaki. Sungai Nonang, Teluk Bulang, Teluk Bagan, Tebengau, Alor Ibus malah hingga ke Perpat, Kuala Sala dan Permatang Buluh.
Kerbau ayah tidak ke semua tempat itu, kalau pun talinya terlepas.
Satu yang saya cukup ingat, pada tempat sekeliling kampung kami, Tokwan sendiri ikut serta walaupun perginya hanya dengan menggunakan kaki. Saya masih mengenangkan, satu petang nampak Tokwan menapak pulang di tepi jalan Yan di antara ban Kampung Perlis dengan ban Sungai Nonang. Berkain pelikat tanpa baju, cuma di kepalanya dililit kain batik basahan.Di tangan kanannya ada sebatang kayu seperti tongkat. Saya yang baru pulang dari Tebengau bersama seorang kawan merangkap jiran - Mie Tok Mat - mengekorinya dari belakang dengan motosikal sebelum mengajaknya membonceng bertiga. Tokwan menolak, sekali pun kemudiannya Mie mencadangkan dia menghantar Tokwan balik dahulu. Peluh membasahi badan dan muka Tokwan. Tetapi wajahnya tetap keras bersemangat. Dia memberitahu telah ke hutan nipah tepi laut Sungai Papan - tempat yang ayah dan kawan-kawannya telah pergi sebelum itu - kerana ada orang memberitahu seakan nampak kerbau ayah di situ. Berjalan kaki pergi balik sekitar 6 kilo merentasi sama batas bendang. Kerana Tokwan tidak mahu membonceng, saya menyuruh Mie balik dahulu. Saya ikut berjalan bersama Tokwan. Berbual tentang jasa kerbau dan harga tubuhnya... Memori ini cukup mengesankan. Hingga kini, setiap kali lalu di jalan tersebut menghala pulang dari Tebengau menghampiri ban masuk ke Kampung Perlis saya akan ingat hari itu sekali gus mengingat Tokwan dan kecekalan di wajahnya!
Setelah berhari-hari mencari dan bertanya khabar orang, akhirnya ayah pasrah. Paktam pun begitu juga. Memang kerbau itu dicuri! Entah-entah sudah pun menjadi hidangan di beratus-ratus buah rumah...
Pun demikian Tokwan masih mempunyai satu usaha lagi. Menengok! Ayah memang tidak mahu dicuba pula cara itu. Tetapi Tokwan tetap mahu kerana baru saja berbual dengan Makndak Pah [Hajah Arfah] - jiran akrab keluarga kami - yang memberitahu ada seorang yang pandai menengok di Selengkoh, Sungai Daun.
Malam tersebut, bersama Paktam Aq [ Ishak Md Isa - jiran dari Kampung Perlis bersebelahan], saya dan Makndak Pah menaiki kereta yang dipandu Paktam saya [Ibrahim Zakaria] untuk ke Selengkoh.Ayah tidak mahu mengikut.Tokwan hanya menunggu khabar di rumah.
Kereta Mazda bernombor plat BAJ 2177 itu sampai di laman rumah bomoh berkenaan tepat jam 9. Makndak Pah yang sudah biasa dengan tuan rumah, memberi salam sekali. Rumah yang dihuni sepasang warga emas itu sunyi, dikelilingi sawah, berhampiran sekolah rendah.
Tuan rumah perempuan muncul di muka pintu, mempelawa kami masuk.Suaminya sedang bersolat, katanya.
Di ruang tamu yang luas ada sofa antik tetapi kami dipelawa duduk di atas tikar berdekatan laluan ke ruang tengah rumah - tempat untuk bersila menghadap penengok..
Sebentar kemudian muncul tuan rumah lelaki, berbaju-t cap Pagoda dan berkain pelikat, berketayap serba putih. Dia bersila di atas satu tikar mengkuang kecil mirip sejadah selepas bersalam dengan saya dan dua Paktam itu.
Makndak Pah menyatakan hajat: ingin tahu di mana kerbau Usup[ayah saya]. Lelaki itu mengangguk, memanggil isterinya yang kemudian datang bersama sejag kaca air jernih. Itu saja. Lelaki tersebut bangun bersolat dua rakaat sebelum duduk menghadap kami semula sambil membaca doa yang boleh tahan panjangnya pada permukaan jag yang sentiasa digosok-gosokdengan tangan kanan.
Kemudian dia menjentik tiga kali jag tersebut.
"Tu!"kata lelaki itu kemudiannya sambil menunjuk sisi jag. Saya dan dua Paktam hampir berlaga kepala untuk melihat jag tersebut. Tapi kami tidak nampak apa-apa.
"Tu, duk mengubang dekat perdu nipah tu.. Tak nampak?"tanya lelaki tersebut sambil memandang kepada kami seorang demi seorang. Saya menggeleng bersama dua Paktam. Paktam Aq yang terkenal di kampung kerana petah berbicara, tidak mengeluarkan kata sepatah pun.
Kami diminta melihat sekali lagi. Sekali lagi juga kami sama-sama menggeleng. Lelaki penengok itu kemudian ikut menggeleng, tetapi tentulah dengan makna yang berbeza.
Mujur lelaki tersebut tidak mengatakan siapa yang tidak nampak tandanya ........ seperti Pak Blalang.
"Hang nampak, Aji Pah?"tanyanya kepada Makndak Pah yang kali ini ikut menjenguk jag itu bersama kami. Kami serentak memandang ke wajah Makndak Pah.
Makndak mengangguk! Hah, sudah!
Lelaki tadi tersenyum. Isterinya yang datang dari ruang dapur bersama sedulang cawan berisi teh o ikut menjenguk dan mengakui nampak kerbau ayah sedang berkubang berhampiran hutan nipah entah di mana.
Aik? Yang saya nampak cuma iar jernih di dalam jag itu!
Lelaki tadi membaca lagi tanpa kami dengar dengan jelas. Kemudian dia menyuruh kami melihat semula di sisi jag itu. Masih tidak kami nampak apa-apa sedang Makndak Pah dan isteri tuan rumah berkata mereka nampak kerbau ayah sedang bangun dari kubang!
Si penengok kembali menggeleng kepala.
"Tak pernah jadi lagu 'ni...." keluhnya.
"Kelmarin dulu budak mai tengok soalan periksa, depa nampak terbentang!"tokok isterinya pula.
Soalan periksa pun boleh tengok di dalam jag itu? Hebat! Fikir saya.
Paktam Aq dan Paktam saya mula berengsot jauh dari jag itu. Saya masih tidak mengubah kedudukan. Ingin sangat melihat kerbau ayah yang tidak pernah kami beri nama itu bergerak di dalam kubang. Tidak dapat melihat seluruh badannya, dapat melihat telinganya pun jadilah.
Lelaki tadi membaca sesuatu berdasarkan kumatan pada bibirnya. Dia menggamit Paktam Aq kemudiannya.
"Tengok, tu rumah Aq." kata si penengok. "Nampak?"
Paktam Aq menggeleng. Saya yang tumpang menjenguk ikut menggeleng walaupun tidak ditanya.
"Aji Pah nampak?" soalan muncul lagi.
Makndak Pah membelek sisi jag itu seketika sebelum mengangguk! Aik?
"Tapi gelapla sikit...." kata Makndak Pah.
Lelaki itu membaca sesuatu.
"Minta sapa-sapa dalam rumah tu pi buka lampu depan!"katanya dengan gaya seolah bercakap di dalam handphone sekarang ini. Entah kepada siapa ditujukan binaan ayat tersebut.
"Ha, tu baghu nampak tangga...."kata Makndak tiba-tiba. Memanglah tangga kayu depan rumah Paktam Aq yang menghadap jalan ke surau Hj Md Alim di kampung itu secara realitinya hitam legam oleh sapuan minyak tanah setiap tahun.....
Saya menjenguk pula. Nampak lampu tapi bukan lampu bulat macam depan rumah Paktam Aq. Cuma lampu panjang, lantunan dari lampu di dalam rumah si penengok itu....
Paktam yang mengengsot bersandar ke dinding setelah mengosongkan secawan teh memberi isyarat kepada saya mengajak pulang, dengan kepala dan tengkoknya. Nampak sangat kehampaan pada wajahnya.
Namun tidak secepat itu kami dapat beredar. Tuan rumah sedang membaca sesuatu lagi. Menyuruh Paktam Aq melihat lagi. Kami hanya nampak gelengan kepala Paktam Aq sekali lagi.
Lama kemudian, si penengok mengaku kalah. Dia meminta maaf serta meminta izin untuk menutup upacara. Tetapi isterinya yang menerpa dari dapur meminta dia menangguhkan penutupan tersebut. "Nak tengok cucu di Pahang sat...."katanya.
Suaminya membaca sesuatu dan si isteri membelek sisi jag. Dia tersenyum. "Dah lena dah... Alahai, tergolek-golek..." Makndak Pah yang duduk di sisinya tidak pula berkata apa-apa. Saya menjenguk dari belakang mereka sambil berdiri dengan lutut. Yang saya nampak cuma macam air basuh tangan di rumah kenduri atau air yang hendak disiram di atas kubur!
Saya berengsot mendekati Paktam. Paktam Aq ikut sama. bersandar di dinding. Si penengok membaca sesuatu, agaknya doa penutup.
Malam itu kami pulang tanpa banyak berbual di dalam kereta. Mungkin kerana kami tidak nampak tetapi Makndak boleh pula melihat kerbau ayah. Cuma saya kesal tidak seperti Sultan Alam Syahbana yang bertanya Pa'Blalang, di mana gua yang dikatakan tempat pencuri menyimpan harta baginda? Ya, kalau mereka nampak kerbau dekat hutan nipah itu, di mana hutan tersebut? Di Hutan Kampungkah? Di Hutan Melintangkah?
Di rumah, saya tidak ikut Paktam dan Paktam Aq memberi laporan kepada Tokwan. Saya mahu bersendirian membayangkan alangkah seronoknya jika soalan peperiksaan apa pun boleh dilihat di sisi jag berisi air sejuk.....
Nota:
Kerbau ayah sebenarnya dicuri oleh dua orang dari Kampung Perlis. Ini diakui oleh seorang daripada mereka kepada sahabat saya secara bersahaja di Sekolah Falah. Itu pun setelah Tokwan dan ayah saya meninggal. Seorang lagi rakan subahatnya telah meninggal beberapa tahun setelah kenyataan ini diperolehi. Sebab itu saya nyatakan tadi, kehilangan kerbau ayah tidak berkait langsung dengan dalang yang selalu dicekup polis untuk kes kehilangan lembu kerbau di sekitar kampung kami.
Paktam Aq telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya di Jalan Kangkong-Simpang Empat, lama selepas Paktam saya yang meninggal pada tahun 1997, 40 hari selepas kematian ayah.
Makndak Pah masih ada di kampung,tetapi agak kurang sihat.Rumahnya masih berjiran dengan rumah mak ayah.
Akan bomoh itu, tidaklah saya tahu hidup matinya kini. Semalam semasa melintas di depan rumahnya dalam perjalanan pulang dari Sungai Yan, saya nampak rumahnya masih ada di tapak lama. Kerana terpandang rumah itulah saya teringat Tokwan, ayah, Paktam serta kerbau ayah dan watak-watak lainnya, lalu saya tulis entri ini.....
No comments:
Post a Comment