Tuesday, July 2, 2013

Sebelum Saya Pula Mati

Apabila mendengar berita kematian Tan Sri Dr Awang Had Salleh, pagi ini, hati menggebu.


Saya teringat memoirnya yang cukup menarik, terutama bagaimana kehidupannya semasa kecil di Alor Setar serta betapa dia menangis, tatkala sudah cerdik sedikit, kerana mempunyai nama yang pelik dari kawan-kawannya.Malah baru saja saya sebut tentang itu di dalam entri di blog lain.


Saya teringat kembali sebahagian isi novel tunggalnya, Biru Warna, yang saya baca sekitar awal 80-an dahulu. Bagaimana beliau melukiskan dengan indah latar Kedah pada zaman itu dengan berlatarbelakangkan sekitar sawah serta sekolah pondoknya. Dia bertuah kerana mampu bercerita begitu walaupun kini memoir dan novel tersebut amat payah ditemui lagi.

Saya terfikir tentang kematian diri. Banyak episod di dalam keluarga yang boleh dikongsikan.Kalau saya mati, pastilah episod tersebut terkubur bersama.

Siapa lagi yang akan bercerita, walaupun di dalam cerita itu watak mereka - sebahagiannya -  masih ada. Saya berfikir, tumpang masih elok, biarlah saya juga menulis tentang keluarga sendiri, dari sisi lain. Sekurang-kurangnya saya dapat ceritakan kepada anak-anak tentang keluarga besar saya secara harafiah. Dari situ bolehlah mereka mengenali susuk keluarga saya dengan sebahagian watak-watak yang hanya boleh mereka temui di akhirat......

Mahu berkarya seperti Lat, Ujang dan Rejabhad, bercerita tentang kehidupan masa lalu keluarga masing-masing, saya tidak dianugerahkan bakat melukis dan melakar......

Kepada sesiapa yang saya catatkan nama mereka di dalam blog ini, harap sangatlah jangan menyaman kalau ada yang tersentuh atau tersinggung.......

Catatan ini hanya dari sudut pandangan saya. Tidak mengikut kronologi, lebih kepada ingatan terhadap seseorang tentang sesuatu perkara.

Untuk insan yang telah pergi, marilah sering kita sedekahkah AlFatihah serta doa agar roh mereka sentiasa dicucuri rahmat, diterima segala amal, diampun segala dosa. Lama atau baru waktu kepergian mereka, di hati kita masih ada wajah itu....

No comments:

Post a Comment