Saturday, July 13, 2013

Paktam Hilang!



Paktam [Ibrahim Zakaria] memasuki Pusat Latihan Belia Pelopor Negara di Dusun Tua, Selangor pada tahun 1972. Paktam mengambil jurusan pertukangan perabot.

Sebulan setelah berada di situ, Paktam menghantar surat beserta 3 keping gambarnya di dalam pakaian seragam sedang berkawad dan bertukang. Saya membaca surat itu untuk Tokwan walaupun tahu bukan orang pertama berbuat begitu. Tokwan menyembunyikan rasa bangganya di sebalik wajah tegang. Berkali-kali dia membelek gambar-gambar hitam putih Paktam.

Kemudian seringlah lagi Paktam menghantar surat. Ada nada gembira pada setiap kirimannya, mungkin kursus yang diikuti amat sesuai dengan jiwanya. Tokwan tidak bercakap banyak, masih cuba menyembunyikan kebahagiaan hati mendengar anaknya mengikut bakat bertukangnya.


Namun, suatu ketika, sekitar setahun kemudian, seluruh keluarga gempar. Ada surat dari pihak Pusat Latihan berkenaan memaklumkan bahawa Paktam telah ghaib dari tempat berkenaan - ertinya hilang atau menghilangkan diri.

Tokwan paling terperanjat. Wa, Paknjang, Paklang segera datang berkumpul di rumah Tokwan. Ayah yang tinggal di sebelah rumah Tokwan ikut serta. Saya seronok. Kalau berkumpul begitu, Tok dan Ndak  pasti menyediakan makanan yang banyak dan sedap-sedap....

Mereka berbincang. "Belia pelopor, kita yang kelupur...."Saya masih ingat kata seloka Paklang itu yang bernada geram ketika selesai acara makan-makan pada satu tengah hari. 

Emak hanya menyabarkan mereka sambil mencadangkan diadakan solat hajat.

Selain berdoa, usaha yang ada ialah mencari bomoh untuk menengok di mana Paktam berada. Setiap orang mempunyai keyakinan kepada bomoh cadangan kenalan masing-masing, maka ramailah bomoh yang ditemui keseluruhannya. Maka bertebaranlah pula anak-anak lelaki Tokwan mendapatkan jawapan di manakah Paktam...

Saya tidak ingat semuanya namun tidak dapat melupakan seorang bomoh yang nampak Paktam tinggal bersama seorang perempuan kaya di Kuala Lumpur. Apabila diberitahu kepada Tokwan, saya tahu tidak sepicing pun Tokwan lena sepanjang beberapa malam.... Tokwan menggelisah dan seluruh badannya menjadi lenguh-lenguh. Saya menjadi salah seorang panel pemijak badan Tokwan. Sambil memijak itulah saya dapat mendengar dengusan, keluhan dan erangan Tokwan. Ada unsur geram, sedih, bimbang dan sakit hati!


Seminggu berlalu.

Petang itu,Tokwan, Tok, Cik, Ndak dan saya sedang duduk di atas beranda rumah Tokwan, menghadap matahari naik. Masing-masing diam, pastinya sedang memikirkan tentang Paktam. 

Tidak semena-mena, di depan tangga, melintas Che Ani [Kamaruddin Basari] anak jiran kami yang pulang bercuti sebagai anggota tentera. Dia menggalas beg besar berwarna hijau. Dia tersenyum ke arah kami. Selepas berbual sepatah dua berbasa-basi, dia pun berlalu ke rumahnya yang terletak di sebelah rumah Tokwan - dipisahkan oleh sebuah parit buatan manusia. Tidak diungkapkan hal Paktam kepada Che Ani. Semua yang di atas beranda kembali membatu.

Saya sedang hendak sebak melihatkan Che Ani dengan begnya berlalu. Che Ani dan Paktam hampir sebaya. Melihat Che Ani, saya segera teringatkan Paktam. 

Saya tidak jadi sebak itu kerana dari celah jendela dinding beranda saya nampak kelibat Paktam! Paktam menjinjing dua beg besar. Saya pun menjerit kuat menyebut nama Paktam. Semua yang ada terpempan. Rupa-rupanya Paktam balik sama bas dengan Che Ani. Selamba sahaja Paktam meletakkan beg-begnya di atas tangga beranda sebelum bersalam dengan Tokwan.

"Hang pi mana?" tanya Ndak, separuh marah separuh gembira.

"Pi mana?"tanya Paktam balik.

"Depa hantaq soghat kata hang hilang...."kata Ndak sambil menyambut beg dan salam Paktam.

"Hilang apa, dok kursus macam biasala...." balas Paktam. 

Maka Ndak pun menceritakan dari awal sejak menerima surat dari Pusat Latihan sehinggalah ketika itu. Paktam terperanjat. Memanglah sepatutnya begitu kerana kata Paktam, sepanjang masa dia berada di dalam pusat berkenaan, kecuali ke luar ke bandar pada hujung minggu bersama kawan-kawan.....

Tokwan bangun. Sambil memegang jenang beranda, Tokwan meludah tiga kali ke tanah, sebelum naik ke rumah. Saya menafsirkan ludahan pertama untuk pihak yang menghantar surat tentang kehilangan Paktam. Ludahan kedua untuk masa tidurnya yang terlepas. Ludahan ketiga, rasanya paling kasar dan pekat, pastilah untuk bomoh yang begitu yakin nampak Paktam sedang bersama perempuan kaya di KL!

Malam itu, walaupun saya tidak tidur di rumah Tokwan, saya tahu Tokwan tidak lagi melenguh sambil mata terbuka memandang bumbung kelambu.....

No comments:

Post a Comment