Wednesday, July 23, 2014

Hari Engkau Pergi...

23 Julai.

Ya, mana mungkin dapat dilupakan tarikh 23 Julai 1995.

Setiap peredaran hari itu masih tersimpan elok dalam memori.

Habibah Hj Abd Hamid
[1964 - 1995]
Paginya, setelah semalaman bersandar di dinding bilik ICU, sambil sesekali menyertai ahli keluarga membaca ayat-ayat suci terutamanya surah Yasin, aku dibenarkan masuk sekejap menjengahmu. Engkau terkedang di atas katil. Berselirat saluran plastik dari hidungmu, macam yang sering kita lihat dalam adegan drama di tv sebelum ini.

Engkau tidak mampu berkata lagi. Matamu merenungku. Bergenang. Aku cuba menahan sebak. Cuba untuk menunjukkan ketabahan menghadapi keadaan. Mataku tidak dapat bertahan. Tidak sekadar menggenang. Sedetik dua sahaja ia sudah berlinang.  Aku capai tanganmu yang kecut, sejuk. Aku usap rambutmu. Sehelai dua melekat di tapak tangan. Kulihat di atas cadar di hujung kepalamu. Banyak sekali rambutmu yang telah gugur. Aku raup sedapatnya  dan masukkan ke dalam poket baju.

Doktor memanggilku ke mejanya yang terletak hanya 10 meter dari hujung katilmu. Aku gelabah. Aku tidak mendengar sepenuhnya. Suara Ngah Mas, emak saudaramu yang garau meraung di sisimu mengganggu kami. Yang sempat aku dengar, doktor brkata telah mencuba. Ada lagi katanya yang cukup aku ingat: 50 – 50!

Aku melangkah gontai keluar. Sampai hari ini aku kesal kerana tidak melangkah terlebih dahulu ke katilmu. Manalah aku menyangka…

Sedang membuat suapan pertama sarapan yang bagai dipaksakan oleh beberapa ahli keluarga di gerai di luar hospital, ada anak buah kita termengah datang. “Doktor panggil!” katanya.

Mana mungkin aku lupakan tarikh 23 Julai 1995.

Di dalam bilik ICU, Ngah Mas sedang meraung. Engkau sedang di hujung hayat, Habibah. Aku gelabah. Tidak pernah ada pengalaman menghadapi kematian orang secara mendekat. Orang terdekat pula. Orang tersayang.
 Kita pernah mengambil gilir menjaga Tokwan semasa hujung hayatnya dua tahun sebelum itu. Banyak malam juga kita bersamanya. Kita balik ke kampung Tok Dam pada satu tengah hari dari hospital dan selepas Maghrib Paktam sampai dengan khabar Tokwan telah tiada, meninggal di rumahnya…

Aku gelabah, Habibah. Yang pernah kulihat hanyalah lakonan dalam drama tv. Kini aku menghadapimu yang sedang di hujung usia. Aku bisikkan kalimah syahadah. Engkau terengah. Nafasmu terhenti setelah beberapa kali engkau seperti  menarik dan menghembusnya sehingga terangkat bahagian dada. Ngah Mas meraung. Lututku menggigil, dadaku sebak. Doktor menggunakan alat bagi mengembalikan denyutan atau degupan. Tidak berkesan. Setelah dua tiga kali mencuba, doktor memandang ke arahku. Seorang doktor lain menepuk bahuku. Engkau telah pulang, Habibah. Ngah Mas terus meraung. Aku longlai dalam pelukan salah seorang sepupumu, anak Njang Lid.

Sekali lagi aku di bawa ke meja doktor. Kata-kata takziah darinya hanya melintas di telinga. Aku teringat anak yang baru enam bulan usianya, di rumah. Aku teringat keterujaanmu tatkala disahkan mengandung oleh Dr Rahimah, Pendang pada satu hari yang cukup indah dalam bulan April 1994. Aku meraung di dalam hati. Begitu cepat engkau pergi, Habibah…

Di luar, tak siapa menyentuh aku. Semuanya memerhati pergerakanku. Agaknya mereka telah diberitahu hal di dalam wad ICU itu. Aku melangkah turun. Aku ingin meraung kuat-kuat!

Entah di mana kekuatan, aku menuju ke pondok telefon. Semua nombor dalam kepala kudail. Sekolah Falah, Paknjang, emak yang memang sedang bersiap untuk ke hospital, serta seorang dua kawan.

Pemberitahuan kepada  ayah emak serta keluarga semua di Kampung Tok Dam diuruskan oleh bang Non. Cuma satu pintaku kepadanya yang turut menguruskan van jenazah serta bayaran yang sepatutnya: Mesti dikebumikan malam ini juga!

Mana mungkin aku lupakan tarikh 23 Julai 1995.

Aku naik van jenazah, bersila di sisimu. Sepanjang jalan aku mengenang detik pertama kita hingga engkau menutup usia. Empat tahun cuma tapi cukup bermakna dan indah.

Engkau terlalu baik Habibah. Bukan kuada-adakan tetapi itulah seadanya. Aku tidak pernah mendengar engkau meninggi suara. Senyummu tidak pernah lekang. Suaramu lembut. Tidak pernah engkau melakukan sesuatu tanpa meminta pendapat atau izinku. Tiap kali mahu membelakangiku, kerana lenguh atau lainnya, di dalam tidurmu, kau pasti meminta izinku terlebih dahulu. Sehingga saat sakitmu, demikian jugalah. Engkau tidak henti meminta maaf kerana tidur di tempat lebih tinggi dariku, atau kerana sering membelakangiku.

Engkau terlalu baik. Tapi kini engkau di sisiku tanpa nafas…

Di rumah, di kampung, laman dipenuhi orang. Jiran, keluarga, rakan dan kenalan jauh dan dekat. Van diparkir di depan pintu. Engkau diusung ke dalam rumah. Aku ke dapur dan terus ke bilik air. Memang niat mahu mengambil wuduk. Tetapi sebelum itu aku raup dua kali air ke muka. Aku menangis sungguh-sungguh. Esakanku barangkali dapat didengar sesiapa yang berada di dapur.

 Tahukah engkau, ketika turun dari van tadi, aku melihat anak kita yang di atas dukungan ahli keluarga melambai ke arahku. Wajahnya ceria. Aku yang tidak dilihatnya dalam dua tiga hari ini ditatapnya. Habibah, sesungguhnya dia tidak tahu. Di muka pintu itu sedang dibawa masuk adalah engkau, ibunya yang belum puas menyusuinya. Ibunya yang dua tiga hari lalu dilepasnya dengan tangis untuk mengikut, ketika engkau dipapah ke kereta untuk ke klinik dan seterusnya ke hospital. Dia tidak tahu yang dibawa masuk adalah tubuhmu yang kaku yang belum sempatpun mendengar kalimah ‘mak’ dari mulut kecilnya.

Aku tidak kuat lagi, Habibah. Dadaku lemah. Mataku sarat bergenang. Ledakan raungan mungkin terjadi. Sebab itulah aku bergegas ke bilik air, mencekup air kolah lalu diraupkan ke muka. Aku tidak kuat.

Hampir sepuluh minit kemudian aku keluar. Mencuba melindungi tangis di balik basah muka bekas berwuduk. Tok menerkamku, meeluk dan menciumku. Aku tidak kuat, Habibah. Aku menangis. Airmataku bergabung dengan air wuduk.

Semua mata memerhati ke arahku ketika aku masuk ke bilik depan di mana jasadmu diletakkan. Aku tidak tahu apa yang harus aku sebagai suami  lakukan dalam keadaan itu. Sebab itulah aku berwuduk untuk membaca alQuran di sisimu. Tapi tidak lama aku membaca alQuran yang turut disertai beberap jiran perempua itu. Aku diajak keluar bertemu pengunjung lelaki.  Ada orang sekampung ayah emak. Ada jiran sekampung dan sekitar Kg Tok Dam. Aku tidak tahu macam mana mahu duduk. Sekejap aku berdiri, masuk ke rumah, berbual dengan beberapa kenalanmu yang datang sejauh Pasir Gebu, Seberang Perai. Sekejap aku berjalan ke luar rumah. Laman dipenuhi orang. Anak kita hanya sempat sekali aku dukung sebelum diambil oleh seseorang. Dia menangis dan dia tidak tahu hati ayahnya pula meraung!

Ketika berdiri di dalam rumah, Ustaz Man, guru dan rakan sekerja di AlFalah, datang menerpa. Memelukku sambil mengucapkan takziah lantas menciumku. Aku menahan sebak. Kemudian masuk pula adikku, Fahrul. Dia tidak dapat menahan raungan tatkala melihat jasadmu,hingga aku pula yang terpaksa menenangkannya. Dia keluar tetapi berpusing keluar rumah dan menjengukmu melalui tingkap kaca pula. Aku nampak dia menahan tangisnya sebelum mataku sendiri kabur dibaluti air…

Kemudian ayah yang sedang dalam sakitnya dibawa seseorang dari kampung di Permatang Ibus masuk. Tidak kuat berjalan, tetapi ayah gagah dipimpin ke pintu bilik untuk melihat menantu sulungnya buat kali terakhir. Engkaulah itu, Habibah. Empat tahun engkau menjadi menantunya. Ayah tenang dan ketenangan ayah ketika bersalam denganku sekadar menjadikan kerongkong bagai disekat, melekit-lekit. Mata pula terus bergenang. Aku memeluk ayah dalam masing-masing ketiadaan kata-kata.

Ramai sungguh yang datang menziarahimu. Termasuk anak-anak muridmu di kelas KAFA SK Pokok Asam – sekolah terakhirmu dari empat sekolah yang pernah engaku berkhidmat. Ada rakan sekerjamu semasa bertugas sementara di Seberang Perai. Ada keluarga kita di kedua-dua pihak. Sepupu sepapat juga. Ada rakan-rakanku sendiri yang tidak pun engkau kenali. Sehingga senja jenazahmu diziarahi.

Mana mungkin aku lupakan tarikh 23 Julai 1995.

Selesai solat Maghrib, persediaan untuk memandikanmu buat kali terakhir bermula. Ikut perancangan, solat untuk jenazahmu akan dilakukan di dalam rumah juga. Sibuklah semua orang. Keluarga menguruskan segala-galanya termasuk menerima ketibaan jemaah solat jenazah dari beberapa kampung jauh dan dekat.

Aku terduduk di bilik atas, tempat engkau sepanjang tempoh berpantang dahulu, diikuti sebagai tempat engkau tidur sepanjang tempoh sakit-sakit kemudiannya. Dalam enam bulanlah engkau menghuni bilik itu. Aku tenung siling yang memang dibuat sebagai persediaan kita menyambut cahayamata. Tok menggosok rambutku dan berkata-kata yang tidak aku ingat kerana memang aku tidak mendengarnya. Fikiranku menerawang ketika  perutmu memboyot sambil melihat tukang memasang siling. Ada harapan, doa dan niat dalam tuturmu tentang anak yang bakal lahir. “Kalau jadi apa-apa…” katamu dan aku segera menutup mulutmu dengan telapak tanganku. Banyak kali aku membaca novel yang ada adegan sebegitu. Aku tidak mahu engkau habiskan kalimat itu. Engkau tersenyum, terkulum. Bang Mad, si tukang, yang melihat situasi itu dua tiga hari menggiat kita…

Tapi kini ‘kalau’ itu telah terjadi. Aku menahan sebak. Apa ayat yang cuba engkau habiskan itu kekal menjadi misteri.

Menjelang solat Isyak, jenazahmu dikafankan. Aku melihat wajah tenangmu. Aku nantinya dibolehkan mencium dahimu [setelah bertanya seseorang]. Mataku bergenang ketika itu. Bukan sekali dua kita bercakap tentang satu hadis yang terdapat dalam satu bab di dalam kitab Tanbihul Ghafilin buah tangan Abul Laits AsSamarqandi, yang kubacakan untukmu dalam waktu senggang ketika sakitmu.

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya isteri jika sembahyang lima waktu, dan puasa bulan Ramadan, dan menjaga kemaluannya,dan taat kepada suaminya, maka dipersilakan masuk dari pintu yangmana ia suka dalam syurga. (Dalam satu versi lain, ditambah lagi dengan jika suami reda atasnya)

“Abang reda dak?”begitu tanyamu selalu.

Aku selalunya tidak mahu menjawab kerana memikirkan tidak mahu kehilanganmu…

“Abang tak reda?” tanyamu lagi.

“Reda…. Toksah cakap bab ‘tu la… Lambat lagi…” Aku menjawab dalam mengelak sedang engkau tersenyum.

“Abang reda nuuu…” begitu sakatmu dulu.

Kini aku berdepan dahimu yang sejuk. Tiada lagi kerutan tanda sakit. Wajahmu tenang. Aku menahan sebak lagi sambil belakangku diusap Tok. Aku membongkok lalu memcium dahimu sambil memicit dua kelopak mataku serta membisikkan, “ Abang reda, Habibah!”

Benar, Habibah. Aku reda. Reda, sereda-redanya. Seikhlasnya. Engkaulah isteriku, dunia dan akhirat.

Seseorang menyuakan anak kita kepadaku yang kedengaran merengek-rengek. Aku cuba letakkan hidungnya ke pipi kakumu, Habibah. Tapi lihatlah anak yang tidak tahu apa-apa itu. Dia tidak mahu menciumnya. Dia mengelak. Dua kali aku mencuba. Akhirnya seseorang mencapai anak itu ke dukungannya. Anak itu merengek kecil. Ah, dia yang tidak tahu erti ciuman terakhir… Di sekeliling kita ada esakan yang banyak, turun naik dan bergilir ganti…

Wajahmu ditutup. Hilanglah wajah tenang redupmu buat selamanya secara zahir. Yang tinggal hanyalah bayangan atau imejan.  Yang dikenang adalah senyummu. Tawa kecilmu. Dan khas untukku, beliakan matamu yang tidak pernah aku suka, ketika bersenda. Anak kita mungkin dapat ditunjukkan beberapa fotomu. Itulah sahaja.

Tetapi engkau akan terus bersemadi di kalbuku. Ada bayang wajahmu dalam menyebut namamu di dalam bisikan semua doaku. Wajah sedang tersenyum kerana aku hampir tidak pernah melihat wajahmu dalam bentuk lain!

Mana mungkin aku lupakan tarikh 23 Julai 1995.

Engkau disembahyangkan di ruang depan rumah. Jemaahnya melimpah hingga ke ruang tengah sehinggakan kaum wanita terpaksa berelak ke luar dapur.
Anak-anak buahmu sekitar kampung mengusung jenazahmu sehingga ke tanah perkuburan. Ramai juga turut mengiringi. Ramai yang menunggu hingga selesai talkin dibacakan.

Pulang malam itu, selepas bersalam dengan sepupu sepapat yang mahu meminta diri, aku merasa kesayuan yang tidak mungkin dapat diungkapkan dengan tepat. Ada satu kehilangan  dari nyawaku sendiri.

Menjelang lena, setelah emak yang masih ada di rumah besannya, menyuruh dan memantauku bersolat hadiah untukmu, aku teresak. Halkumku bagai tersekat semula. Aku tidak kuat, Habibah. Aku lemah dengan pemergianmu, sedang kini di sisiku terbaring anak kita yang belum tahu apa-apa. Hanya kerana emak yang bersimpuh menghadap kami berdua, aku menelan perlahan raungan yang cuba kuzahirkan.

Sembilan belas tahun telah berlalu, Habibah. Tarikh ini sentiasa dalam ingatan. Tetapi jika tidak muncul catatan tentangmu pada tarikh 23 Julai di mana-mana sebelum dan selepas ini, tidaklah itu tandanya aku melupakan satu hari yang amat panjang pernah aku hadapi itu. Aku akan sentiasa ingat sebagaimana ingatnya aku pada setiap sesuatu tentangmu.

Buah cinta kita...

Sembilan belas tahun enambulanlah pula usia anak kita kini, Habibah. Meski tidak popular sekalipun di tengah keluarga, aku berdoa dan berusaha agar dia tidak tergelincir dari landasan untuk mencapai kebahagiaan di sini dan terutama di sana kelak – tempat di mana kita akan ditemukan dan disatukan untuk selamanya… Insyaallah.

Hanya Allah yang tahu betapa menggigilnya tanganku menekan papan kekunci, sesekali menyeka air di penjuru mata, menahan sebak di dada, bagi menyiapkan catatan ini.

Berbahagia dan damailah engkau di sana, Habibah. Sampai ke akhirat, akulah suamimu yang amat merinduimu dan senantiasa meredaimu.


No comments:

Post a Comment