Friday, April 3, 2015

Jodoh Dan Ajal

Delapan tahun saling mengenali hati budi. Berkenal, lalu kemudiannya saling menyesuaikan, saling meluahkan, saling menyayangi dan mencintai...


Persefahaman terbentuk akhirnya. Ikatan kukuh hingga ke jannah dipaterikan, dalam restu keluarga masing-masing.

Jumaat, 13 Mac 2015, petang yang indah, mereka disatukan. Mereka sedondon mengenakan busana rona cerah - melambangkan kecerahan yang bakal mewarnai kehidupan masa muka.

Seluruh keluarga bersyukur.

Mereka bergambar kenangan sebaik dirasmikan sebagai pasangan suami-isteri. Bersimpuh dan bersila di atas peterana khas di dalam rumah pengantin perempuan. Kedua-duanya tersenyum, mengingat kasih yang dianyam sejak di alam persekolahan kini berada di landasan yang diimpikan bersama.

Besok, Sabtu, 14 Februari, kenduri di rumah itu, manakala lusanya, 15 Februari, Ahad, acara menyambut menantu di pihak lelaki.

Demikian moleknya perancangan. Kebanyakan keluarga pihak lelaki yang menyaksikan acara akad nikah itu, kekal di sekitar pekan berhampiran rumah pengantin perempuan. Selain rumah keluarga, disewa juga rumah inap untuk bermalam. Selepas kenduri di rumah pengantin perempuan esoknya, barulah mereka akan bertolak pulang, menyediakan apa yang patut di rumah pihak lelaki...

Malam.

Di penghujungnya, suami yang baru mendapat status itu menerima panggilan. Gadis yang belum 12 jam menjadi isterinya tiba-tiba berada dalam keadaan tidak bermaya. Bergegas ke rumah mertua, dibawanya si isteri ke hospital. Diperiksa dan dimasukkan dua liter 'air'. Kemudian dibenarkan pulang.

Mertuanya adalah ibu tunggal manakala si isteri adalah anak sulung. Suami baru itulah pusat harapan mereka.

Jam 7.56 pagi Sabtu, si isteri menghubungi suami. Memikirkan terlalu awal untuk ke rumah mertua, sementelah melayan keluarga yang berada di rumah inap - termasuk mengendalikan sarapan mereka - dia mengabaikan dahulu panggilan isteri.

Lama kemudian, ketika hampir bersiap untuk ke majlis bertandang, barulah dia tahu duduk perkara.

Dia sampai dengan disambut esak tangis ahli keluarga si isteri.  Isteri yang berinai di jari tangan dan kaki makin tidak bermaya. Unduk sekadar didudukkan di atas peterana pengantin bagi dihadapi oleh keluarga terdekat juga sudah tidak mungkin.



Majlis yang dijangkakan meriah bertukar suasana. Tetamu perempuan, terutama dari keluarga terdekat, masing-masing menahan hiba melihat wajah pucat pengantin puteri. Tiada senyuman seperti lazimnya pada wajah mempelai. Hanya merahnya inai di jari tangan dan kaki menunjukkan orang yang mereka sayangi itu telah bersedia awal meraikan majlis nikah dan kendurinya...

Suami yang belum pun 24 jam mendapat status itu merasai sesuatu yang tidak pernah terjangkakan akan berlaku pada detik demikian. Dia dibaluti sebak, hiba, pilu dan entah apa lagi.

Petang itu keluarga pihak lelaki berangkat pulang dengan semangat yang datar. Esok kenduri di pihak mereka tetapi melihat keadaan pengantin perempuan, mereka tahu peterana di depan rumah di kampung - menghadap khemah jemputan - pasti tidak akan berpenghuni.

Ahad, 15 Mac.

Tengah hari.

Ada serombongan membawa beberapa hantaran. Mereka duduk - dan menjamah makanan - di meja yang dikhaskan untuk rombongan pengantin.

Beberapa tetamu di bawah khemah di sekeliling saya bertanya: mana pengantinnya?

Soalan itu kemudiannya berulang dari mulut lain. Singgah ke telinga saya.

Lebih sejam berada di situ, saya pula yang dijadikan tempat bertanya. Sedang saya tidak tahu apa-apa.

Saya bercakap dengan bapa pengantin lelaki, kemudiannya. Hj Sehabudin memang saya temui pada hari Jumaat sebelum itu. Tatkala acara akad nikah dijadualkan berlangsung di masjid bersebelahan rumah besan barunya di Karangan, Kulim.

Dia dan isteri tidak ikut bersama kerana menguruskan rumah yang tidak berorang - kebetulan dua minggu sebelumnya, adik iparnya meninggal dunia dan Maklang serta Maklong yang menjadi penghuni setia di situ masih berada di rumah anak perempuan mereka, di Selangor. Merka dijangkakan bertolak pulang pada petang berkenaan.

Malam sebelum kenduri itu, ada sekali saya melintas di sisi rumahnya, tetapi tidak jadi singgah bertanya khabar kerana kelihatan beberapa pekerja sedang menyiapkan ruang untuk rombongan pengantin serta hiasan serba sedikit di belakang kerusi buat raja sehari menghadap santapan...

Maka. saya tidak tahu duduk perkara...

Di tengah hari itulah, di celah kesibukan Hj Sehabudin, abang sulung Ustaz Fairose dan Cikgu Ahmad Amminy, menyambut dan melepaskan tetamu, saya difahamkan bahawa pengantin memang tidak akan ada di kerusi khas di depan rumahnya. Menantu barunya mengalami kemerosotan kesihatan secara tiba-tiba. Demikianlah yang dapat saya sampaikan kepada sesiapa juga yang bertanya kemudiannya.

Demikianlah.

Hj Sehabudin berjanji untuk bersama saya ke kenduri rumah sahabat kami - bekas ustaz di AlFalah - Zubaidi Ariffin, di Teluk Rambong, Baling, pada 19 Mac [ Selasa]. Tengah hari berkenaan, saya menelefonnya bertanyakan tentang itu. Hj Sehabudin membatalkan hasrat untuk memeriahkan kenduri pertama menyambut menantu bagi bekas pegawai polis serta pasangannnya - Budak Falah - Rubiah Baharom.

Dia perlu bergegas ke Kulim. Menantu barunya dalam keadaan kritikal.

Kami tidak berhubung lagi selepas itu.

Jumaat lalu ada panggilan dari Hj Sehabudin. Saya tidak menjawabnya mahu pun kembali menghubungi. Telefon saya memang bermasalah atau penggunanya ini yang tidak begitu mahir  menggunakan telefon....

Pagi tadi, dalam perjalanan pulang dari kampung, bersama empat lima biji kelapa tua berkupas di dalam 'bonet' motor, Hj Sehabudin menhubungi saya. Sekali lagi saya lambat mengendalikan telefon...

Saya menghentikan motor. Menekan punat, menghubungi semula Hj Sehabudin.

"Bini Munif takdak dah..." saya mendengar suara Hj Sehabudin di hujung talian. Saya terperanjat. Seperti berapologi, Hj Sehabudin menyatakan telah dua orang memarahinya kerana tidak menyatakan khabar itu lebih awal...Atau saya juga bersalah kerana mengabaikan panggilannya tengah hari Jumaat lalu...

Saya berpatah balik ke kampung, tepatnya ke AlFalah.

Ada tiga buah kereta di depan rumah. Hj Sehabudin berdiri di bawah pokok jambu air, tempatnya menyambut tetamu pada hari kenduri - dua minggu dahulu.

Di muka pintu dapur, Maklang @KakYah duduk di atas kerusi. Sebentar kemudian muncul Ahmad Munif.

Saya tinggalkan motor di bawah pokok jambu itu.

"Nasib cek sama dengan nasib Wa Din ....."kata Ahmad Munif. [Munif, anak kedua Hj Sehabudin, serta adik beradiknya yang lain memanggil saya Wa Din...].

Saya yang hanya berniat menyalaminya terus memeluknya, menyampaikan takziah dan memintanya bersabar. Ahmad Munif tenang tetapi saya yang diserbu sebu dan sebak!

Ahmad Munif merujuk kematian isteri pertama saya pada 23 Julai 1995 dahulu. Dia kini makin faham bagaimana rasanya kehilangan isteri tercinta. Bezanya, saya kehilangan setelah empat tahun bersama, manakala Ahmad Munif kehilangan setelah dua minggu bergelar suami....Tapi, seperti dimaklumkannya kemudian, telah lapan tahun mereka saling mengenal...

Kami masuk ke dalam rumah.

Di ruang tamu itu, bersama Ahmad Munif, Hj Sehabudin dan Maklang@KakYah, saya berenang dalam sebak yang terlindung. Cerita tentang kematian isteri Ahmad Munif - juga diselangi dengan cerita kematian Dr Ridwan [menantu Maklong, adik ipar Hj Sehabudin, Ustaz Fairose dan Cikgu Ahmad Amminy] pada 3 Mac lalu - membuatkan dada bergetar. Sambil mendengar dan bersoaljawab, diri teringat tentang kematian isteri , yang meski telah hampir dua dekad berlalu, tetapi rasanya masih basah ingatan tentangnya...

Ada takungan di mata ini mendengar detik awal pernikahan sehinggalah saat Ahmad Munif melepaskan isterinya pergi. Dia tidak ke mana-mana sepanjang dua minggu itu. Selain bacaan Ya sin yang entah berapa kali... Dia bacakan talkin, dia imami solat jenazah. "Itu saja yang cek mampu buat..."katanya. Allah....

Bulan ini, hanya sempat dia bekerja selama tujuh hari. Mujurlah majikannya amat prihatin - mengizinkan dia menunggu isteri selama mungkin. "Rupanya sampai habis umoq..."celak KakYah.

Nurhayatul Akmar binti Md Nasir. Umur 24 tahun.

Itu yang tercatat pada sijil kematian yang ditunjukkan kepada saya. Arwah Yat [ panggilan manjanya] seorang eksekutif [saya terlupa di bahagian mana] di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Dia disahkan mengidap batuk kering [tuberkulosis] tahap akhir. {Saya baru tahu batuk itu pun ada tahapnya seperti kanser...}Ada jangkitan lain juga, khabarnya. Yang tertulis di sijil kematian - dalam lima patah kata - tidaklah saya fahami sangat kecuali ada perkataan meningitis.

Nama pemaklum yang tertulis di bahagian bawah sijil itu adalah Ahmad Munif sendiri.

[Saya meminta izin merakamkan sijil yang kita sendiri tidak akan melihatnya apabila tiba giliran kita... Ahmad Munif ikut mengelik menggunakan telefonnya yang bersaiz besar lalu menghantar ke akaun WhatsApp saya...]

Saya terharu membayangkan perjalanan hidup Ahmad Munif dalam tempoh dua minggu itu. Hampir semua perkara dari mula lagi diuruskan oleh bekas BF generasi terakhir [2002] itu. Bukan sedikit ketabahan yang diperlukan bagi menghadapi semua...

Saya sebak membayangkan bagaimana dia bacakan talkin...sebak lagi tatkala dia bercerita mengangkat takbir selaku imam bagi menyolati jenazah. Dalam takbir ada wajah isteri,  sedang dia tahu di belakangnya ada enam saf makmum...

Semoga Ahmad Munif sentiasa kuat. Bukan senang mendapat ujian sebegitu. Sekiranya ada pula, belum tentu dapat menghadapnya dengan tabah.

Saya meminta ditunjukkan wajah isterinya. Ada sekeping foto gadis bertubuh kecil berbaju merah berkacamata sedang tersenyum. "Itu masa kenduri Paksu..."kata Ahmad Munif merujuk foto bersaiz 4R dalam satu sampul plastik yang di belakangnya ada pula foto wajah solonya.

[Paksu yang dimaksudkan adalah Mohd Hizamy Hj Azizan, anak tunggal Maklang@Kakyah, bapa saudara Ahmad Munif. BF Kelas Peralihan 1984 itu berkahwin pada tahun lalu]

Dari skrin telefonnya, diunjukkan pula foto tunggal yang disimpannya - foto selepas pernikahan, duduk di atas peterana khas di rumah Yat. Ahmad Munif menggosok-gosok skrin itu. "Ini saja yang tinggal..."katanya, "setiap malam, selepas membelek gambar ini, baru boleh terlena..." Allah....Sebu menyerbu kalbu...

[Saya meminta Ahmad Munif menghantar ke akaun WhatsApp saya...]

Ahmad Munif bercerita betapa awal bulan lalu, Yat membersihkan rumah tempat mereka bakal menetap bersama di KL kelak. Yat juga berazam mahu menghantar ibunya mengerjakan umrah dalam waktu terdekat [sesuatu yang nampaknya akan diuruskan bersendirian kini oleh Ahmad Munif...]

...dan lagi...

Saya mendengar dengan sesekali mencelah.

Berkali-kali, dalam sendu yang disembunyikan ini, saya mengagumi Ahmad Munif. Sesekali ada sebak di butir bicaranya tapi dia tetap tenang.

Ketika saya menasihatkannya tidak mengabaikan ibu mertuanya, Ahmad Munif bergetar suaranya ketika berkata, "kubur isteri cek ada di situ, Wa Din...". Saya ikut bergetar dada mengenang kubur isteri sendiri di kampung mertua... Sebulan lebih tidak saya ziarahi...

Kata Ahmad Munif, tanah kubur bersebelahan masjid di kampung mertuanya itu hanya seratus meter dari laman rumah - malah sebahagiannya adalah wakaf keluarga mertua. dengan itu saya yakin, Ahmad Munif tidak akan jauh dari mertuanya...

Setelah lebih sejam, saya tinggalkan keluarga yang sedang diuji itu. Semoga semuanya menerima ujian ini dengan penuh keredaan.

Tabahlah Ahmad Munif.

AlFatihah buat Nurhayatul Akmar binti Md Nasir.

Benarlah, takdir untuk setiap hamba-Nya telah ditentukan.

Tambahan - lanjutan:

Ada sepupu saya bertugas di Pejabat Agama Islam Kulim. Dia, seperti sepupu sepapat yang membaca tentang kematian Yat melalui WhatsApp famili , memaklumkan keesokannya [sehari setelah entri tentang Yat dan Munif dinaikkan] bahawa pada hari muncul cerita lara itu, petangnya, Munif telah pergi ke Pejabat Agama bagi mengambil surat nikah. 

Munif
Saya tanyakan sepupu itu, adakah dia sempat bersembang dengan Munif. Ini jawapannya. {Tolong jangan betulkan mata anda – bagi yang akan menduduki sebarang peperiksaan bahasa ibunda, abaikan ejaan di dalam jawapan ini. ….Ini adalah lumrah orang ber’wasap’…]

xsmbng pown ngan dia..yg pngntin pmpuan xsain lg sjil nkah..staf pjbt tnya dia istri mai dk sbb kna sain sjil nkah..pastu dia gtw istri dia mnggal..berayaq jgk la mta dia wktu hbq tu..

Berayaq jgk la mta saya wktu membaca apa yang dihbq tu…krn sy knl dkt dgn slrh famili Munif.....

No comments:

Post a Comment