Wednesday, July 9, 2014

Walau Sebiji Kurma...

Untuk beberapa tahun, bulan puasa di rumah emak cukup berseri.

Tiga minggu pertama Ramadan, setiap petang emak menyediakan juadah ala kadar untuk berbuka. Ala kadar kerana memang tiada yang boleh dikatakan istimewa dan menjadi kelaziman di meja rumah lain…

 Tiada ayam percik, apalagi kambing panggang. Tiada juga kebab atau roti John. Tiada murtabak atawa burger tiga lapis. Tiada pula siakap tiga rasa mahupun terubuk bakar. Tiada minuman 5-6 jenis.

Yang ada cuma sepiring buah kurma. Yang ada semangkuk masak lemak ikan kering. Atau semangkuk gulai ikan. Atau sesekali gulai ayam. Sesekali lain ayam masak kicap. Ikan goreng. Sambal belacan. Sedikit ulam. Sedikit kuih ‘orang tua-tua’. Atau hirisan tembikai.

Tetapi emak puas. Sebahagian besarnya adalah dari air tangannya sendiri. Tiga minggu pertama Ramadan begitulah emak. Menu mungkin berubah sedikit tetapi kekal dengan ala kadar juga.

Kepuasan emak berganda kerana bukan ahli keluarganya yang ada sahaja yang akan menjamah juadah tersebut.

Tiga minggu pertama Ramadan, emak ada tetamu. Tetamu istimewa. Tiga empat orang. Ketuanya adalah Ustaz Man [Wae Samae Wae Mat], diiringi oleh dua tiga pelajar pilihan yang tinggal di asrama AlFalah…

Demikianlah.

Emak cukup seronok kerana tiga minggu pertama Ramadan itu, hujung petangnya ruang depan rumah tinggalan ayah, diisi dengan bacaan tahlil oleh Ustaz Man dan pelajar pilihannya itu. Di balik dinding menghadap ke dapur, setelah selesai menghidang juadah di atas satu hamparan ‘safra’ di ruang tamu, emak ikut bertahlil dan khusyuk mengaminkan doa.

[Minggu terakhir Ramadan, biasanya Ustaz Man balik kampung di negeri Pattani, Selatan Thailand. Minggu terakhir itu biasanya emak menjadi wakil kepada Ustaz man bagi menerima beras fitrah yang diberikan oleh orang kampung, terutamanya murid tua yang belajar dengan  menggunakan kitab kuning di surau AlFalah atau surau Lebai Mat, Kg Perlis].

Saya kadang-kala turut serta bersama Ustaz Man. Kadang-kala kerana biasanya saya selesa berbuka dengan samatua dan anak-anak di rumah di Simpang Empat. Selesa tentunya kerana boleh hanya berkain pelikat tanpa baju dan pulun hingga memercik peluh…

Maka keraplah saya dileteri emak. “Orang usaha mai buat tahlil di rumah kita, kita dok kalut nak cari jalan tak mau tahlil….” Begitu lebih kurang sebahagian intipati leteran emak. Saya menjadi serbasalah. Di sana menunggu, di sini menanti. Walaupun samatua faham dan tidak sekali pun pernah berkata apa-apa, kerapnya saya tetap balik berbuka puasa di Simpang Empat.

Paling emak marah [biasanya diluahkan keesokannya] ialah apabila saya menghidupkan enjin motor ketika rombongan Ustaz Man sudah pun menjejak gigi kampung. Saya melambai ke arah Ustaz Man, mengisyaratkan mahu pulang dan Ustaz tersenyum sambil mengangguk atau mengangkat sedikit tangannya.

“Dia boleh buat sorang-sorang di rumah dia. Tapi dia rai kita. Mai rumah kita. Makan ikut apa yang kita hidang. Berjemaah Maghrib di rumah kita.Yang kita start motor pi macam ‘tu… Buat malu saja!”

Saya tunduk sahaja. Memang salah serta serba salah.

“Macam bongkak sangat. Dok saja-saja kita dok tahlil berapa ratus? Toksah harap!”

Dan saya bersedia untuk mendengar lagi.

“Tak tau ka pahala bagi makanan berbuka kat orang berpuasa. Walaupun sebiji kurma! Sebiji kurma! Tau hadis saja tak guna, kalau tak mau amal!”

Apalah yang boleh disanggah lagi. Saya hanya mendengar hadis popular pada bulan puasa itu yang emak bunyikan juga versi bahasa Arabnya. Dua kali emak – bekas budak Falah penghujung dekad 50-an dan awal 60-an itu - tekankan tentang walau sebiji kurma, baik ketika dalam versi Arab mahupun dalam versi Melayunya.

Saya tunduk terus sambil bersandar di pintu dapur, melihat emak menyiang ikan di kakilima dapur. Adik-adik tidak kelihatan.

Saya faham fiil emak. Kalau mahu memarahi saya, dia akan pastikan tiada sesiapa mendengar. Bukan sekali dua, emak akan memulas telinga saya yang sudah berusia tiga puluhan pun, jika saya dinilainya buat tidak endah pada ajarannya atau ketika emak serius dan saya pula main.main. Tetapi pulasan atau piatan telinga itu hanya emak dan saya yang tahu sebab kebiasaannya berlaku ketika saya menghadap emak di atas sejadah seusai solat di biliknya… Pulasan itu semacam member motivasi. Ketika saya gagal pada mulanya  memperdengarkan hafalan Ma’thurat, misalnya, hanya sehari selepas telinga dipulas, saya boleh lafazkan hafalan Ma’thurat Sughra dengan lancar dan mengikut tertib!

Huduh orang tua buat perangai macam budak-budak…”sambung emak lagi. Perkataan huduh itu dilafazkan dengan giginya diketapkan…

Petang hari berkenaan serta sepetang dua lagi saya pun tidak buat perangai budak-budak itu. Berkain pelikat, berkopiah putih bersila antara ruang depan dan dapur. Menunggu kedatangan tetamu istimewa emak. Ikut bertahlil dan berdoa bersama Ustaz Man dan dua tiga orang pilihannya. Kemudian ikut berbuka bersama serta ikut berjemaah solat Maghrib di depan almari di ruang depan rumah emak. Emak akan ikut berjemaah di belakang saf kami. Selesai solat, ikut berwirid dan berdoa. Emak mengaminkan doa dengan cukup khusyuk sambil menekup mukanya setiap kali saya memandang ke arahnya. Saya tahu emak bahagia kerana anak sulungnya ini mendengar kata…

Tapi selang dua hari itu,saya buat semula perangai, dan samatua pula yang marah kerana tentunya saya sekian kalinya menghampakan emak,

Demikianlah.

Lama kemudian [emak memberitahu sendiri pada satu hari] barulah saya tahu, setiap kali saya berbuat demikian airmata emak gugur…

“Nampak sangat takdak adab buat ustaz macam ‘tu…” kata emak ketika bercerita  betapa dia menangis itu, selain mengulang leteran semasa marah dahulu…

*********

Tahun ini sudah tiga kali Ramadan tanpa emak. Dua tiga Ramadan di penghujung hayatnya pun emak tidak sihat.

Ustaz Man
Ustaz Man kini kembali ke kampung halamannya, setelah diserang minor stroke awal tahun ini. Ada rakan berjumpanya baru-baru ini di sekitar Pendang, menghadiri kenduri keluarganya. Ustaz Man sudah baik sedikit kesihatannya. Teringin untuk kembali mengajar seperti dahulu tetapi tidak lagi diizinkan oleh isterinya, Kak Jah serta anak-anak. Keadaannya tidak mengizinkan lagi untuk menyebarkan ilmu dengan menunggang motor tujuh malam seminggu..

Saya terlupa siapa-siapa budak Falah yang ikut bersama Ustaz Man pada setiap petang Ramadan, berbuka di rumah emak. Saya terlupa adakah setiap petang orang yang sama atau sering bertukar-tukar.  Apa pun terima kasih kepada mereka kerana ikut menceriakan emak pada petang-petang tiga minggu pertama Ramadan pada ketika itu. Semoga Allah mengganjarkan rahmat-Nya buat mereka.

Saya tidak tahu bagaimana mahu menghubungkan semua ini. Sama seperti saya tidak tahu bagaimana mahu menamatkan catatan kali ini.

Dua malam lepas, saya bersama Cikgu Non serta dua budak Falah - Ahmad Nazri dan Malek Jamaluddin - menziarahi rumah arwah Helmi Zakaria, bekas budak asrama AlFalah penghujung 80-an, yang meninggal dunia pada petangnya, di kampung kelahirannya, Gajah Mati.

Asar kelmarin, saya jengah rumah emak yang tiada berorang kerana adik yang mendiaminya keluar bekerja. Tidak langsung berubah bahagian depan rumah itu. Sama seperti waktu menyambut Ustaz Man dan kumpulannya beberapa tahun dahulu. Tempat saya menghidupkan motor meninggalkan rumah emak tatkala Ustaz Man makin dekat dengan gigi kampung juga masih tidak berbeza. Cumanya sudah tidak ada pokok belimbing, lima enam langkah dari pintu depan…
Tapak asrama AlFalah

Saya lintasi kawasan asrama AlFalah yang dindingnya senget dan usang. Nampak sedikit tapak asrama kerana bangunan asalnya telah runtuh semua. Sunyi mencengkam kawasan bersejarah itu…

Teratak Ustaz Man
Melintasi Kg Perlis, di depan Surau Lebai Mat, di kanan jalan adalah teratak Ustaz Man. Berdiri kaku dan usang ditinggalkan tuannya. Di atas tangga, entah kucing tua siapa sedang dibuai mimpi.[Dikhabarkan, ketika datang ke Pendang hari itu, Ustaz Man turut menjengah teratak tersebut].

Sekali lagi: saya tidak tahu bagaimana mahu menghubungkan semua ini. Sama seperti saya tidak tahu bagaimana mahu menamatkan catatan kali ini.

Tapi sepanjang perjalanan melalui ban Kg Perlis hingga ke ban Tanah 100 sampailah ke pekan Simpang Empat, hati saya basah, dada saya sebu dan sebak. Juraian air dari dua penjuru mata, kering oleh libasan angin petang yang saya tantang dengan motor. Ada bekas jalurnya ketika saya melihat cermin tatkala singgah sebuah pasar mini di Simpang Empat untuk membeli kurma…

Saya tidak tahu kenapa…

Dan hati serta dada mengulangi hal sama sedang saya menghadap skrin dan menekan papan kekunci buat mencatat entri ini… Mata pula berkaca, bergenang…

Entah. Saya tidak tahu kenapa…


No comments:

Post a Comment