Thursday, September 26, 2013

Bermula Dengan Wa, Berakhir Dengan Chu


Saya bertuah sebab sempat mengenali dan masih mengingat wajah Toktam Yah [Arbaayah], bersama seorang lagi kakak Tokwan – Toktih Ah [Che Ah].  Selain itu saya juga sempat kenal dan tahu serta biasa dengan dua adik Tokwan, iaitu Toksu Nab [Zainab] dan Toklong Li [Hambali].

Tokwan ada sepuluh beradik. Mengikut aturan panggilan orang Melayu, satu pusingan ada Sembilan orang – Long[ atau Wa], Ngah, Lang, Njang, Ndak, Tih, Tam, Chik dan Chu. Maka kerana ada yang kesepuluh, diulang semula dari Long. Sebab itulah adik Tokwan, anak kesepuluh, dipanggil Long [ dipanggil Paklong oleh anak saudara atau Toklong oleh cucu saudara…]. Ini menjawab kekeliruan Tokwan berpangkat Pakcik manakala adiknya, Hambali, dipanggil Paklong Li oleh anak-anak saudara.

Demikian yang saya catat di dalam entri Toni, Tentang Sebuah Nama

Setelah lama sedikit, agaknya kerana baru membacanya, anak saya meminta huraian lanjut tentang pusingan sembilan orang dari anak sulung hingga anak kesembilan, serta andaian ada pula anak kesepuluh hingga lapan belas....

Saya pun membuat huraian secara lisan sehinggalah yakin si anak faham.

Saya mengambil contoh keluarga sendiri yang terdiri dari sembilan beradik. Cukuplah satu set Long [Wa]   hingga Usu [Ucu atau Cu]. Kalau ada yang kesepuluh [meski dari emak yang berlainan...], maka dia dipanggil Pak/Mak Long atau Pak/Mak Caq. Demikianlah seterusnya jika ada tambahan lagi - diulang Pak/Mak Ngah, Pak/Mak Lang.....

Info:-  Kepada sesetengah keluarga Long atau Wa juga dipanggil Chaq, singkatan bagi BESAQ[BESAR] - merujuk anak tertua atau yang paling besar, yakni yang awal. Sebab itu Wa Hj Md Isa dipanggil Bang Caq oleh adik-adiknya. Demikian pula panggilan buat sepupu saya Saleh Hj Mansor dari adik-adiknya....

Di kalangan anak cucu Tokwan hanya keluarga saya mempunyai set yang cukup - sembilan adik beradik. 

Keluarga Paklang [Hj Mansor] pula lain sedikit ceritanya: ada Long hingga Cu/Usu tetapi tiada Tam. Menurut Maklang Hjh Halimahton, gelaran Tam mungkin disimpan untuk adik kepada  Tih [Napishah]  dan abang kepada Cik [ Zulkifli],  yang meninggal semasa dilahirkan. Paklang/Maklang juga mempunyai anak kembar [lelaki] yang juga meninggal semasa dilahirkan, yakni anak kedua dan ketiga, selepas Abang Chaq Saleh, tetapi kedua-duanya tidak diberi gelaran Ngah dan Lang. Sebaliknya gelaran itu diberikan kepada Sabariah a.k.a Ton dan Ismail. Jika semua anak Paklang masih hidup, maka Zulkifli serta adiknya, Ridzuan tentulah dipanggil Paklong dan Pakngah, bukan Pakcik dan Paksu seperti sekarang...Manakala Ton, Ismail, Mashitoh, Ahmad Tarmizi dan Nafishah kenalah diturunkan masing-masing dua takah daripada gelaran/panggilan kini......

Bagi keluarga yang tidak sampai sembilan beradik, ada yang mengikut susunan itu setakat yang ada. Misalnya, keluarga arwah Paktam. Setakat ini empat anaknya dipanggil oleh anak saudara sepupu, sebagai Paklong, Makngah, Paklang dan Paknjang masing-masing kepada Khiruddin, Shahida, Mohd Nizar dan Mohd Fitri.

Bagi keluarga Paktih [Hj Abdul Hamid], juga begitu. Rasanya keluarga Ngah [Hjh Andam@ Azizah] pun demikian pula.

Saya kurang pasti tentang keluarga Paknjang [Ahmad Hj Zakaria] kerana ketika Paknjang menikahi Maknjang Fatimah Hj Sulaiman, masing-masing mempunyai seorang anak dari perkahwinan terdahulu. Hasil perkongsian hidup mereka, Paknjang/Maknjang dikurniakan lima cahayahati - M Nasir, Nasriah, Abdullah, Mohd Yusoff dan Rohani. Tidak perasan panggilan anak-anak saudara kepada mereka. [Mohd Yusof dan Abdullah tidak menjawab panggilan telefon untuk pengesahan ketika saya menaip entri ini.....hehehehe ... Entri ini akan diedit jika ada makluman lain.....]

Keluarga Wa, kerana Hasan a.k.a Bang Mi adalah anak tunggal, pastilah dia dipanggil Paklong atau Wa.

Cuma yang mungkin berbeza adalah pada anak-anak Chu [Hjh Ommus Shafakoh] yang terdiri daripada dua beradik. Yang sulung, Hjh Nurul Nadia dan samatuanya Mohd Farimi pastilah dipanggil Maklong/Paklong atau Wa, tetapi yang kedua dan terakhir, Hj Mohd Afif, dimesrai oleh anak saudara dengan panggilan Paksu......

Demikianlah.

Ketika ingin menutup entri ini, tiba-tiba saya teringat akan anak Tokwan bersama Tok Satariah [Tayah]. . Jika usianya panjang - tidak meninggal ketika dilahirkan pada tahun 1967 - maka anak cucu Pakya pastilah memanggilnya Mak Chaq atau Maklong....... 

No comments:

Post a Comment