Friday, August 9, 2013

Misteri Subuh 1 Syawal


1 Syawal.

Awal pagi. Sesudah subuh.

Ada lauk apa pun di rumah, ayah tetap akan bersarapan di rumah Tokwan. Setiap kali raya demikianlah. Hingga emak kadang-kala tidak memasak apa-apa pada pagi begitu. Cukup kami bersarapan dengan juadah raya. Tetapi ayah tidak kisah.
Nasi 'rendang'

Awal-awal lagi ayah ke rumah Tokwan. Tok biasanya memasak nasi. Paling tidak pun dengan lauk berbaki berbuka puasa semalamnya, tok membuat nasi rendang*. Pada era Ndak dan Chik masih anak dara pun, demikianlah juga. Ayah tetap akan bersarapan di rumah Tokwan. Saya, apa lagi adik-adik, seingat saya tidak pernah sekali pun diajak sama…..

Kalau tidak ada walau nasi rendang pada pagi itu, emak akan pastikan anak-anaknya tetap bersarapan di rumah. Banyak mana sangatlah yang kami mahu masukkan ke dalam mulut. Apatah lagi pada waktu yang sama kami perlu bersiap dengan baju baru untuk berjalan bersama kawan-kawan, sesuai dengan seruan Junainah M Amin dalam lagu rayanya.

Apabila kami sudah bersiap untuk memulakan acara kutip duit raya, barulah ayah akan muncul, datang dari rumah Tokwan. Ayah masih tidak berbaju, hanya berkain pelikat serta lilitan kain basahan di lehernya. Tidak perlu pakai kemas-kemas macam pelakon di dalam tv untuk kami bersalam dengannya…..

Sekali peristiwa, hendak dijadikan cerita, emak menyuruh kami menghabiskan lauk – termasuk gulai ekor kerbau kegemaran ayah – pada waktu berbuka terakhir Ramadan. Saya yang kekenyangan ,kehairanan. “Ayah hangpa bukan ‘nak makan ‘dah pagi esok….” Kata emak sambil menjeling ke arah ayah. Ayah yang sedang menggigit ketul ekor lembu hanya terkerising. “Tengah hari boleh makan lagi…” balas ayah, selamba. Saya lega. Masih banyak lagi isi gulai dan goreng kunyit. Jenuhlah kalau terpaksa dihabiskan pada masa perut sedang penuh pula….

Saya fikir emak tentu berkecil hati kerana setiap pagi 1 Syawal, selesai mandi dan solat subuh, dapur rumah Tokwanlah destinasi aula ayah. Baik zaman Ndak serta Chik masih belum berkahwin hinggalah era Tok berseorangan memasak untuk Tokwan.  Malam itu, sebelum tidur, saya tanyakan hal itu kepada emak. Emak menafikan berkecil hati. Walaupun lega mendengarnya tetapi timbul pula pertanyaan lain: apakah istimewanya masakan Ndak atau Chik  atau Tok sehingga menjadi kemestian ayah bersarapan di dapur rumah Tokwan begitu. Bukan tidak hafal lidah saya dengan masakan mereka. Lauk pauk, nasi – termasuk nasi rendang – mereka bukan asing pada saya. Sedap memanglah tetapi tentulah sama sahaja dengan hari-hari lain. Saya mesti bertanya ayah… atau sesiapa yang lain.

Pagi besoknya, seperti seluloi, ayah ke dapur rumah Tokwan. Saya cuba mengekori tetapi terdengar panggilan emak menyuruh saya memakai baju raya, lalu berpatah balik…. Tak  apa, ada lain kali…

Petang itu, selesai mengira duit raya, dalam bersembang dengan Tok, saya sempat bertanyanya di dapur rumah Tokwan tentang ayah bersarapan pagi tadi serta pagi raya sebelum-sebelum ini. Tok hanya berkata: “Taktaula. ‘Dah besa macam tu kut dari dulu….”

“Awat?” Tiba-tiba muncul suara Tokwan dari ruang tengah rumah.  Tok berkata sesuatu kepada Tokwan. Saya tak ingat apa yang dikatakan atau diceritakan Tok itu. Saya menjengah dari jenang dinding pemisah di antara dapur dengan ruang tengah, Tokwan sedang bersandar pada tiang seri rumahnya itu. Sesekali Tokwan menggerak-gerakkan belakang badannya yang tidak berbaju ke tiang tersebut. Satu cara biasa Tokwan menggaru kegatalan pada bahagian belakang….

Saya boleh bertanya pada Tokwan soalan yang saya ajukan kepada Tok tadi. Bukan tidak pernah saya bertanya-sembang dengan Tokwan. Tapi ini tentang ayah. Segan pula mahu bertanya dengan Tokwan. Ayah dengan Tokwan bukannya rapat dalam ertikata boleh duduk bersembang berdua. Memang tidak pernah saya nampak ayah dan Tokwan berbuat begitu. Selalunya kalau ada Paklang atau Paknjang atau ahli keluarga lain bersembang dengan Tokwan, barulah ayah ikut bersama dan ikut bersuara. Sebabnya? Tidak sempatlah pula saya bertanya sendiri kepada mereka. Mungkin pembawaan masing-masing demikian….

Tokwan menggamit saya sambil menunjuk ke arah dinding luar biliknya. Saya faham. Di situ tergantung ‘tangan ketiga’Tokwan – sebuah penggaru buatan sendiri. Pada satu batang buluh sepanjang satu kaki lebih sedikit,  diraut sebesar jari kelingking budak dua tahun Tokwan pakukan di satu hujungnya tudung botol lemonad yang telah diratakan. Itulah yang digunakannya bagi menggaru belakang terutama pada waktu malam. Saya sering meminjamnya kalau belakang badan terasa terengsa. Rasanya? Sedap……. Seperti kata Kasim Baba tatkala digaru sebelum dipancung di dalam gua oleh Chief  Penyamun di dalam filem Ali Baba Bujang Lapok….

“Hang tanya apa tadi?” Soal Tokwan ketika saya memberikan tangan ketiga itu kepadanya. Saya terkebil-kebil. Tidak sangka Tokwan ada di sebelah dinding sahaja ketika saya berbual dengan Tok. Kalau saya tahu Tokwan ada, tidak mungkin soalan untuk Tok juga muncul…. Siap pula dengan cerita emak menyindir ayah waktu berbuka semalam!

“Hang dok tang ni….” Suruh Tokwan separuh memerintah saya duduk di sebelah kanannya. Saya engkar suruhan atau perintah itu. Saya duduk di depannya. Hehehehe…

“Ayah hang ‘tu….”kata Tokwan terputus.  Memang Tokwan sengaja bertanyalah tadi sedangkan dia sudah tahu dari mulut saya secara tidak langsung atau dari mulut Tok secara langsung tadi…

“Lepas makan atau sebelum makan, dia mai jumpa aku. Mai minta maaf, beraya* dengan aku… “ kata Tokwan, “dia yang paling awai beraya dengan aku setiap tahun “

“Mau tak paling awai, lepas subuh dah mai dah…”kata saya. Tetapi sekadar di dalam hati….

Patutlah tidak pernah sekali pun saya nampak ayah pada acara beraya dengan Tokwan setiap kali raya….

“Dia malu nak mai beraya macam orang lain kut.“ kata Tok yang baru melangkah masuk ke ruang tengah.”Pasai dok dekat rumah sama kut… “

Saya mengangguk. Benarlah, ayah ‘pemalu’sedikit dengan Tokwan. Kalau anak-anak Tokwan yang lain, yang tidak tinggal berdekatan rumah Tokwan, maksud saya, akan bersalam dengan Tokwan setiap kali datang dan mahu pulang, ayah tidak pernah melakukan begitu. Sekali fikir, betul juga. Rumah ayah dan rumah Tokwan hanya dipisahkan oleh sepokok jambu batu di bahagian dapur dan sepohon kelapa di bahagian ibu rumah. Takkanlah setiap kali datang ke rumah Tokwan atau mahu balik ke rumahnya, ayah kena bersalam dengan ayahnya….. Kerana hal sedemikian, tentulah segok* ayah mahu bersalam dengan Tokwan temasuk pada hari raya. Maka dipilihnyalah waktu yang tidak ada orang…. Logiknya sesudah subuhlah, ketika orang lain belum bertandang ke rumah Tokwan, Takkanlah mahu dikejutkan Tokwan di waktu sahur untuk tujuan itu….

“Hangpa pulak waktu orang dok beraya dengan aku, baru hangpa nak mai beraya sama…” Tidak semena-mena Tokwan menghala perbualan ke arah Tok.

“Lupa, nak buat macam mana….”tingkah Tok, “tadi dah dok kalut kot ceghuk  dapoq ‘tu…” 

“Tadi apa?” balas Tokwan pula. “Tahun lepas dekat nak lohoq* baru mai beraya….”

“Mohong ‘ngat aih….”Tok mempertahankan diri.

Saya terkekeh lalu bangun. Membiarkan Tokwan dengan Tok bersenda-gurau di petang raya. Hehehehe. Bukan asing mereka berlawak sebegitu…..

Kalau tidak ada hal, mahu juga saya menunggu mendengar perbualan mereka. Tetapi saya ada perkara mustahak yang perlu dilakukan. Duit syiling yang saya hitung tadi belum disimpan di tempat sepatutnya. Satu lagi, saya mahu segera memberitahu emak tentang misteri  ayah bersarapan awal pagi raya di rumah Tokwan.

Tapi saya hampa sedikit. Setelah saya bercerita sebab utama ayah berada di rumah Tokwan bukan sahaja untuk bersarapan, berdasarkan apa yang Tokwan beritahu itu, emak hanya tersenyum dan sekadar berkata, "Saja pun....."

Rupa-rupanya selama ini emak memang tahu tentang itu dan faham sangat fi'il suaminya. Saya yang terlupa bahawa emak mengenali ayah lama sebelum mereka berkahwin - lagi lama sebelum saya lahir. Saya yang tersilap kerana ketika berbual dengan emak semalam, tidak sahaja bertanya tentang itu juga kepada emak. 

Dan saya seorang yang tidak pasal-pasal berfikir bahawa hal itu adalah misteri...


*Lohoq -  waktu Zuhur
*Nasi rendang – nasi goreng
*Segok - serba tak kena, janggal

*Beraya – dalam sesetengah keadaan beraya bermaksud bersalaman.

No comments:

Post a Comment