Thursday, August 8, 2013

Seekor Lembu Di Atas Pelantar Basikal

Saya tidak ingat sejak bila kelaziman itu bermula.

Setiap ‘hari buat ketupat’ iaitu hari terakhir puasa – juga pada 9 Zulhijjah – sekitar jam 10 pagi ayah akan sampai ke rumah setelah keluar pada awal paginya.

Selain barang keperluan dapur  serba sedikit, di atas pelantar  basikal tuanya akan ada satu ekor lembu atau kerbau. Satu ekor! 

Demikianlah sepanjang  yang saya ingat. Kalau lewat ayah balik pada hari-hari tersebut ertinya jauh sedikitlah tempat ayah mendapatkan  lembu atau kerbau itu. Mafhumnya di tempat yang selalu ayah pergi, telah ada orang lain yang mendahuluinya….

Satu ekor? Seekor?  Atas pelantar basikal?Tanya anak saya ketika saya baru membuat mukadimah tentang kelaziman datuknya itu pada satu ‘hari buat ketupat’  setelah lebih sedekad ayah meninggal. Anak saya terlopong mulut, terbelalak mata. Agaknya sedang berimaginasi…..

Benar.

Ayah selalunya mendapatkan bahagian tulang  punggung kerbau atau lembu bersekali dengan ekor. Kiranya saya berkata benar kepada anak yang mungkin sedikit terkeliru dengan permainan bahasa…..

Dari tulang punggung itu, masih diperoleh sekitar sekati daging pejal setelah disiat dengan teliti – cukup untuk emak menggulai atau menggoreng dengan palutan garam dan kunyit, atau juga masak kicap. Masa itu budaya makanan belum terjajah oleh masakan Thai - tidaklah kami kenal padprik atau masak merah…..

Akan ekor  pula – sekitar satu setengah atau dua kati hasilnya, bergantung saiz tulang punggung si empunya ekor itu – adalah bahagian kegemaran ayah yang diwarisi pula oleh anak-anaknya. Sekarang orang selalu sebut tentang sup ekor, sekali lagi terima kasih kepada kehadiran warga dari negara jiran di utara semenanjung,  tetapi ayah – dan tentu juga anak-anaknya – amat menggemari gulai ekor.

Nampak jelas kepuasan pada wajah ayah setiap kali mengangkat tulang punggung lembu dari pelantar basikalnya untuk diletakkan di atas lantai dapur. Kepuasan itu makin teserlah tatkala ayah selesai memotong kecil ekor lembu – selalunya mengikut ruas sendinya -  lalu dimasukkan ke dalam satu bekas, sebelum emak mengambil alih bagi proses seterusnya.

Emak tidak akan bertanya apa-apa tentang ekor itu. Emak sudah maklum. Gulai adalah menu yang ayah tahu dan mahu. Dibantu oleh kerisik yang banyak, santan perahan terawal kelapa, serta rempah gilingan emak  – sebelum dijajah pula oleh serbuk rempah paket -  setiap kami tahu, petang nanti, waktu berbuka, gulai ekor itulah yang paling sibuk menjadi tumpuan... Ayah akan menghirup kuah gulai sepuasnya waimma kuah itu masih mengeluarkan asap nipis kerana baru diangkat periuknya dari atas dapur... Slurpppp dari mulut ayah pastilah pula kepuasan pada hati emak. Keletihan seharian berpuasa sambil menyediakan juadah raya - dengan ketupat, gulai, rendang, mengemas rumah, menguruskan pakaian dan keletah anak-anak, tidak langsung tergambar pada detik itu...

Tidak ada pendua bagi masakan dari air tangan emak kita masing-masing... Hargailah atau rinduilah....

Petua saja-saja:

Daging yang anda beli keras dan boleh menanggalkan gigi palsu ketika bertarung di mulut? Ini ada satu petua mudah. Tetapi sayangnya hanya untuk daging lembu. Daging lain tentulah dengan petua yang lain pula.

Agar daging lembu menjadi daging lembut, tambahkan satu abjad ketika memasaknya. Kalau anda selesa dengan huruf jawi, tambahkan huruf ‘ta’. Jika anda senang dengan huruf roman, tambahkan huruf ‘T’. Itu sahaja. Selamat mencuba.


Hehehe.

No comments:

Post a Comment