Satu hari, ayah pulang dengan cerita yang membuatkan saya
ternganga. Katanya, ada empat buah kenderaan sebesar dapur rumah kami datang ke
hujung simpang Permatang Ibus – Kangkong. Bentuknya pun seperti dapur rumah
kami – empat persegi. Saya terlena awal malam itu agar dapat bangun awal untuk
mengajak kawan-kawan melihat benda alah itu esoknya.
Kami berjalan kaki ke tempat itu sebaik masing-masing
selesai ‘menyorok’. Rasanya kamilah yang paling awal, tetapi sebaik sampai,
selain beberapa orang yanglebih dewasa yang ikut berjalan dengan kami tadi,
telah ada sekitar 50 orang di sekeliling
empat kenderaan berwarna kuning muda itu. Kebanyakannya wajah – wajah
asing bagi saya. Mungkin orang dari Kangkong, Alor Pulai, Padang Jambu atau
Selarong Batak….
Yang pasti semua terpegun pada keempat-empat kenderaan yang
di dindingnya ada tiga huruf itu – JKR.
Seperti diatur, kami seakan bertawaf
dengan masing-masing bergerak perlahan melingkungi semua kenderaan tersebut. Ketika itu, ‘tuan’
kenderaan itu tidak ada di situ. Pelbagai tafsiran dan komen saya dengar. Yang
paling saya ingat adalahlah dari seorang tua berkopiah, sekitar 60 tahun
usianya. “Ni la yang orang dok kata yakjuj dan makjuj tu… ni anak dia la kut…..’’
Katanya sambil menepuk salah satu dinding benda alah tersebut. Saya ingat
kata-katanya itu kerana sebaik sampai di rumah terus ditanyakan apa yang
dikatakan yakjuj dan makjuj kepada emak. Emak, walaupun belum lagi melihat empat kenderaan tersebut,
tersenyum lalu menyatakan itu bukanlah
yakjuj dan makjuj. Saya meyakini dan menyebelahi emak, walaupun saya sendiri
tidak tahu apa pula bendanya yakjuj dan makjuj itu…
Dipendekkan, bermulalah acara penurapan jalan Batas Paip.
Setiap petang saya bersama kawan-kawan akan pergi ke tempat
kenderaan itu diparkir – mengikut di mana kerja penurapan itu selesai pada hari
berkenaan. Waktu pagi – ertinya waktu
kenderaan itu sedang berbunyi – kami dilarang oleh emak masing-masing agar
tidak berada dekat dengannya, nanti ditelannya kami. Seorang kawan siap dengan
cerita dari emaknya tentang batu belah-batu bertangkup yang boleh menelan luluh
badan manusia…Eiiii… tak mahulah kami menjadi bahan luluran benda alah itu……
Maka dari hujung Permatang Ibus [berhampiran Tabika Kemas
sekarang] hingga ke Kampung Perlis, kawasan yang diizinkan emak ayah untuk kami
litupi. setiap pergerakan kenderaan tersebut – secara tidak langsung penyiapan proses
penurapan tar – kami ketahui.
Setiap tempat kerja terhenti, akan diubah juga bangsal
kanvas penjaga semua kenderaan itu, ke situ, yang sentiasa tertutup siang
malam. Apa yang ada di dalam bangsal tersebut tidaklah kami tahu. Yang kami
nampak dari situ, jika kami riuh sedikit berbual, akan muncul seorang lelaki
berusia sekitar 50 tahun dari dalam bangsal. Melihat wajahnya yang bengis –
serta misainya yang tebal melintang – kami akan terdiam dan dia akan masuk
semula ke bangsal tanpa bersuara apa-apa.
Demikianlah.
Ketika kerja melepasi
sebuah alur berhampiran jalan masuk ke sekolah alFalah [juga ke rumah kami],
barulah saya berpeluang melihat keadaan di dalam bangsal penjaga itu. Itu pun
secara kebetulan kerana ketika itu datang satu jip bertulis JKR di dindingnya,
membawa satu kotak. Ketika pekerja dari atas jip itu mahu meletakkan kotak
berkenaan di dalam bangsal, dia menyelak
pintu bangsal yang dibuat dari kanvas juga. Sempatlah saya nampak satu pangkin,
sebuah radio kecil, lampu suluh, pelita ayan dan susunan kotak sebesar peti tv
14 inci. Itulah saja yang sempat dilihat kerana sebentar kemudian muncul si
muka bengis bermisai tebal berbual dengan pekerja yang baru datang itu…..
Petang besoknya sekali lagi saya sengaja duduk dekat pintu
bangsal itu namun tidak ada jip atau pekerja lain yang masuk ke dalam bangsal
berkenaan……
Tiba-tiba si muka bengis bermisai tebal muncul, menyelak
‘daun’ pintu bangsalnya. Saya terketar. Si muka bengis tidak berkata apa-apa.
Dia hanya membaling sebuah tin kosong ke dalam parit ‘gila’ di belakang
bangsalnya. Kemudian dia masuk semula tetapi tidak pula menutup pintu bangsal.
Sambil bersandar di pangkin, dia membuka kotak di sisinya. Dicapai sebuah tin,
ditarik penutupnya, dicapai isinya lalu dimasukkan ke dalam mulut. Dia
mengunyah perlahan tanpa mempedulikan saya dan dua kawan lagi yang sedang
memerhati. Dicapai isi tin kali kedua, dimasukkan ke dalam mulut lalu dikunyah.
Saya menelan liur. Ada bau aneh dan
asing dihantar ke hidung saya. Kembang kempis hidung kecil kami untuk meneka
aroma apakah itu…. Dicapainya sekali lagi dan lagi…..
Lama kemudian si muka bengis bermisai tebal bangun. Kami
mengelak jauh sedikit dari bangsalnya.
Sekali lagi dia membuang tin ke dalam parit ‘gila’. Kemudian dia masuk sambil
menutup pintu bangsal….
Seorang kawan saya, Lin [panggilan manja, sedangkan nama
sebenarnya Muhyidin, kini menetap di JB] turun ke parit tersebut setelah
pasti si muka bengis bermisai memang
tidak akan muncul lagi. Rupanya Lin juga seperti saya darjah ingin tahunya. Di
sebalik rumput setinggi dada kami di dalam parit ‘gila’itu Lin mencari tin yang
baru dibuang oleh penjaga kenderaan pelik itu. Jumpa. Tersengih dia
mengunjukkan kepada saya setelah dibeleknya sekejap tin tersebut. Saya segera
mencapainya.
Aroma yang kami hidu tadi masih ada di tin tersebut. Saya
menelan liur. Saya nampak gambar tiga ekor sotong pada tin tersebut. Sotong?
Itulah pertama kalinya saya tahu sotong pun ada ditinkan. Ingatkan ikan sardin
sahaja …..
Dalam menelan liur, saya membawa pulang tin yang kosong itu.
Saya tunjukkan pada emak. Meminta emak membelikan sotong tin begitu esoknya.
Emak terpempan, sedangkan sotong yang tidak ditinkan pun jarang singgah ke
rumah kami, apa lagilah yang sebegitu. Emak tidak berkata apa-apa dan saya mula
merengek mengharap. Emak tunduk menggosok belakang saya. Selalunya gosokan itu
bererti permintaan saya akan ditunaikan.
Besoknya, awal-awal lagi saya sudah memberitahu Lin – tengah
hari nanti saya dapat makan sotong di dalam tin yang kami lihat berselera
diratah oleh si muka bengis bermisai tebal, penjaga kenderaan di jalan yang
sedang diturap itu. Lin tersengih, menumpang gembira.
Tengah hari itu saya bersemangat untuk makan. Tapi sebelum bersila di dapur lagi emak
memaklumkan sotong tin tidak terjual di kedai runcit sekitar Kangkong. Saya
meraung. Ayah yang bersila di depan nasi dan sepiring gulai telur itik serta
sepiring ikan tamban kering bakar memerhati muka saya. Agaknya terputus selera
untuk menjamah nasi di bawah iringan raungan saya yang panjang….
Petang itu, ayah menyuruh saya mandi dan bersiap. Kemudian,
setelah saya siap berbedak oleh emak, ayah mencempung saya ke atas pelantar
basikal tuanya. Terkangkang saya di situ sambil ayah mengayuh perlahan. Saya
seronok memegang pinggang ayah sambil mendengar ayah menjawab pertanyaaan
beberapa orang kampung yang berselisih dengan basikalnya.Kami hendak ke Simpang Empat….
Ayah membawa saya bergunting rambut di kedai milik seorang
India, betul–betul di seberang jalan berhadapan
Balai Polis Simpang Empat. Seronok juga dapat duduk di kerusi empuk khas untuk
kanak – kanak sambil melihat dari cermin besar di hadapan, akan lenggok kepala
si tukang gunting mengikut rentak lagu Tamil dari radio transistor using yang
terletak di atas satu para kecil berhampiran pintu masuk ke belakang kedai itu.
Selesai bergunting, kami masuk ke kedai runcit Ah Yu, diikuti
Kedai Pek Hong, Chip Aik Chan hinggalah Kedai Pokok Gurah berdekatan tokong. Di
semua kedai itu, ayah bertanyakan tentang sotong di dalam tin….. Tapi semua
tauke kedai memberi jawapan yang sama,
baik secara lisan atau sekadar bahasa isyarat: TIADA. Seorang tauke yang agak
ramah malah berkata dia sendiri tidak pernah melihat sotong di dalam tin atau
tin yang berisi sotong. “Kalau ada pun sapa mau beli?” tokoknya sebelum kami
meninggalkan kedainya.
Petang itu, dalam perjalanan ke tempat empat ‘anak yakjuj
dan makjuj’ [seperti kata orang tua dulu] direhatkan, Lin bertanya soalan yang
saya cukup berharap tidak dibangkitkan: “Sedap dak sotong tin?” Wajahnya polos
tetapi saya rasa seperti dia sedang menyindir …. Saya bercerita hal sebenar
termasuk apa yang dicakapkan oleh tauke kedai di Simpang Empat. Lin mengangguk
dan cerita sotong di dalam tin itu pun diselatankan
– tidak diutarakan oleh sesiapa lagi….
Pertengahan Ramadan tahun itu, saya dibawa ayah membeli pakaian raya di Alor Setar. Ketika membayar untuk baju serta seluar jenama
Sadleking untuk saya, di Kedai Emporium
Timor [ di rumah kemudian ayah berkata tidak pernah dia membeli untuknya
pakaian yang dipamer di dalam cermin…..] di Jalan Langgar, ayah bertanya penjaga
kaunter itu: “Tang mana ada juai sardin sotong?” Penjaga kaunter, seperti saya,
terkejut juga sambil menggeleng. Ayah….
Kemudian, kami berjalan dari Jalan Langgar ke pasar besar
berhampiran Sungai Kedah untuk membeli sedikit lauk. Di setiap gerai menjual barangan
runcit yang kami lewati, ayah akan bertanyakan tentang sardin sotong…. Semua
penjual menggeleng, mafhumnya TIADA di dalam senarai jualan mereka. Akhirnya, di
dalam senarai belian ayah, terselit sekitar setengah kati sotong sebesar ibu jari
saya. Sambil menunggu bas UTC di tepi Jalan Sungai Korok berhampiran sebuah
kedai pajak gadai, saya mendengar ayah berkata, “ Tak sedap kut sotong tin ‘tu.
Pasai ‘tu depa tak juai…… Sat gi kita suruh mak buat sambai sotong hidup. Lagi
sedap….”
Saya tahu ayah seperti tidak puas kerana tidak dapat
memenuhi kehendak saya. Sedang saya pula sudah tidak begitu ingat akan tin berisi
sotong itu…. Apatah lagi pada petang tersebut dapat berbuka puasa dengan sambal
sotong yang cukup istimewa dari air tangan emak. Bersama hirisan bawang besar
dan sedikit asam keping, cabai giling emak cukup untuk berpadu elok dengan
anak-anak sotong yang mengecut di dalam periuk berbentuk gantang itu. Ketika
menghantar sepiring kecil masakan itu bersama sepiring lagi kuih ke rumah Tokwan, tidak terkata
bagaimana kelenjar liur saya cuba mengepung lenjaan airnya….
Lama kemudian, ketika saya mula memasuki sekolah menengah,
saya ternampak tin berisi sotong itu terjual di sebuah kedai di Simpang Empat.
Ada gambar sotong tetapi tulisannya hampir sepenuhnya Mandarin. Saya ceritakan
kepada emak yang mengesyaki makanan itu tidak halal kepada kita. Sekali lagi,
kemudiannya, hasrat untuk meratah sotong dari tin saya lupakan.
Pertengahan Ramadan tahun ini, ketika sama tua kehabisan idea
untuk membuat juadah berbuka, kami
bercadang untuk mencuba makanan di dalam tin pula. Bersama anak bongsu, saya ke
pasar mini di kejiranan kami. Anak memilih semua yang perlu yang dipesan umminya.
Ketika melintasi rak sardin saya berfikir untuk mencuba sotong tin. Ketika di
kaunter bayaran, tatkala penjaganya memegang tin sotong, saya menahannya,
meminta semula tin tersebut untuk dikembalikan ke rak asalnya. “Tak jadi yang ‘ni…”
kata saya. Gadis di kaunter itu terpinga-pinga bersama anak bongsu saya.
Ketika meletakkan kembali tin sotong ke raknya, sebak yang
saya sembunyikan di kaunter bayaran tadi tidak dapat ditahan lagi. Kerongkong
saya berduri. Saya benar-benar teringatkan ayah serta emak. Mereka tidak pernah merasa sotong
di dalam tin. Biarlah saya juga, selagi sedar, tidak merasanya…..
Sungguh. Sampai hari ini saya tidak tahu apa dan bagaimana
rasanya sotong di dalam tin itu. Dan biarlah begitu.
Kalau Lin balik beraya tahun ini, soalan saya yang tersimpan
untuknya ialah: pernah dak hang makan sotong di dalam tin dan kalau pernah,
apakah rasanya?
No comments:
Post a Comment