Tuesday, July 30, 2013

"Higih-higih Bagi Ke Dia!"

Razi, anak tunggal dari perkahwinan pertama Paknjang, terlalu kecil. Saya tidak ingat walaupun banyak kali saya dibawa bermalam di Bukit Besar.. Yang saya ingat sampai kini adalah wajah Razi pada sekeping foto yang Paknjang bawa balik setelah hubungannya dengan Maknjang Zainab sebagai suami isteri telah terlerai. Di dalam foto tersebut, Razi berada di atas sebuah kerusi bertatih kanak-kanak - milik kedai gambar - tetapi wajahnya tidak ke arah kamera. Dia berpaling, tentunya ke arah pembawanya untuk bergambar di kedai foto berkenaan.

Mungkin kerana anaknya sendiri masih terlalu kecil, Paknjang sering membawa saya ke beberapa tempat - termasuk bermalam di tempat-tempat berkenaan. Yang paling saya ingat adalah di Guar Chempedak, di Kg Jawa serta di Bukit Besar. Di Guar Chempedak itu ada saudara dekat keluarga sebelah Paknjang [dan tentunya sebelah ayah saya juga]. Di Kampung Jawa, saya tidak tahu apa hubungan orang di situ dengan keluarga kami. Di Bukit Besar tentulah rumah mertua Paknjang sendiri - Tok Deris dan... Tok Leha (kalau tidak silap).

Dalam banyak kali kunjungan itu - sehinggalah lama kemudian emak kata Paknjang tidak lagi akan ke rumah tersebut seperti selalu dan saya pula terus bertanya dan tetap tidak faham kenapa begitu keadaannya - saya terkenang pada kunjungan pertama.

Sampai di depan rumah, kedua mertua Paknjang menyambut mesra saya. Malah Tok Deris [Hj Idris] terus mendukung saya, menyambut dari dukungan Paknjang yang tersengih melihat saya keletihan berjalan dari jalan besar, selepas turun dari bas UTC dari Simpang Empat, merentasi batas bendang yang rumputnya di kiri kanan setinggi pinggang saya.

Tok Deris dan Tok Leha memang peramah. Namun petang itu, pertama kali saya mendengar orang Melayu bercakap di dalam dialek yang 60% tidak saya fahami! Siapalah saya untuk bertanya sesiapa yang lain akan sarikata perbualan mereka. Maka saya mempunyai dua pilihan - tersengih atau terlopong..

Entah apa yang menjadi pokok perbualan mereka. Kedengarannya ceria. Hairannya, Maknjang Zainab pula bercakap dalam bahasa yang biasa saya dengar - tidak mengikut rentak emak dan ayahnya. Paknjang pun rasanya tidak dapat menangkap semua yang kedua-dua mertuanya bicarakan...

Selepas Maghrib, Maknjang memimpin saya ke bahagian dapur. Sudah tiba waktu makan. Di dapur, saya nampak seorang adik Maknjang serta Tok Deris siap duduk menghadap makanan yang telah terhidang. Tok Leha masih mengambil sesuatu di atas dapur. Kemudian dia ikut duduk. Saya tertawa terkekeh melihat gaya duduk pasangan warga emas itu, yang seragam - macam bersila tetapi lutut sebelah kanan didirikan. Hujung lengan [ketiak] kanan masing-masing berada di atas kepala lutut sendiri-sendiri. [Bagi anda yang tidak tahu, lakukanlah sendiri aksi itu, lebih 'hidup' jika diajak seorang yang lain melakukannya sama...] Bukan saya tidak pernah melihat gaya itu dari Tokwan, tetapi saya tidak pernah melihat sepasang orang serentak duduk begitu....

Paknjang yang muncul kemudian duduk di sebelah saya. Bertanya dengan mengangkat kening sahaja. Saya menjawab dengan meneruskan mengekeh tertawa.

Pinggan saya siap diisi nasi dan lauk. Lauk daging! Kalau bukan musim raya dan musim kenduri, lauk jenis itu amat payah untuk saya temui....

Saya sudah pandai menyuap sendiri. Selalunya di rumah, kalau lauk daging, biasanya emak akan menyiat-nyiat terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam pinggan saya. Kalau pedas pula rasanya, emak akan mengulum dahulu bagi menghilangkan rasa itu.

Tapi kali ini, di rumah orang, daging yang diberikan kepada saya dua tiga ketul terasa sukar disiat oleh set gigi di dalam mulut saya. Saya memandang muka Paknjang tetapi dia sedang dalam kekuhusyukan menikmati keenakan juadah yang disediakan oleh emak mertua, ipar serta isterinya. 

Saya cuba menarik perhatiannya dengan sengaja berbunyi kuat serentak dengan menarik sekuat hati daging yang saya kepit dengan pasangan geraham kanan. Tetapi Paknjang seperti tidak faham. [ Setiap kali menonton Ajis dalam filem Bujang Lapok mengunyah daging ayam tanpa peduli kepada Ramli dan Sudin yang mengomel tentang masakan itu di dapur Cik Norma, saya akan teringat kepada Paknjang di acara makan di rumah mertua sulungnya itu!]

Namun bunyi kuat berde-eh yang saya sengajakan itu menarik perhatian Tok Leha. Dia tersenyum. Sambil itu saya mendengar dan melihat dia mengarahkan sesuatu kepada adik Maknjang Zainab. Saya tidak faham apa yang dilafaznya tetapi kalau mahu ditulis oleh sesiapa yang faham, pastilah lafaz itu mempunyai tanda seruan yang banyak....Adik ipar Paknjang itu bangun dan datang bersimpuh semula di sebelah Maknjang sambil memegang papan tebal sebesar buku nota sekolah di tangan kiri. Di tangan kanannya ada pula pisau bermata putih.

Tok Leha memerhatikan anaknya itu mengambil ketulan daging di dalam pinggan saya. Demikian pula dengan Tok Deris dan Maknjang. Paknjang? Seperti Ajis, dia terus menyuap....

Kerana  mereka sekeluarga sememangnya peramah, terjadilah perbualan sesama mereka sambil adik Maknjang lincah jejarinya menggunakan pisau di atas papan tebal. Saya pastilah tidak faham juga.

Namun, ada satu frasa dari Tok Leha di dalam perbualan itu yang saya ingat sampai hari ini. Frasa itu saya ulang berkali-kali tanpa jemu sebaik balik ke rumah sehari dua kemudian. Setiap waktu makan terutamanya, makin kerap saya sebut. Tokwan, dalam sengihnya, akan menyuruh saya membuat aksi sambil melafazkannya....

"Higih-higih bagi ke dia!" demikian kata Tok Leha sambil dua tangannya digayakan seperti memegang daging dan pisau. Saya ternganga. Banyak kali dilafazkan dan serentak digayakan.

Sampai kini saya tidak tahu dialek apa yang digunakan oleh Tok Leha dan Tok Deris dan saya tidak pernah bertanya. Namun pada waktu itu saya rasa cukup pelik. Maklumlah, setelah sebati denga loghat Permatang Ibus, berada di Bukit Besar pada penghujung dekad 60-an itu seakan saya berada di negeri asing....

"Higih-higih bagi ke dia!" bermaksud ' hiris-hiris bagi kepada dia ..... Demikian mafhum yang emak berikan ketika itu.

No comments:

Post a Comment