Semasa saya kecil dahulu, awal 70-an, kampung kami secara berkala didatangi sekumpulan pekerja Jabatan Kesihatan, menyembur ubat pembasmi nyamuk, DDT, kalau tidak silap. Biasanya selepas disembur, habis dinding rumah papan nampak seakan berkulat, berwarna putih. Baunya pula satu hal lain. Lama juga masa diambil untuk kesan itu benar-benar hilang.
Satu hari, selepas menyembur di rumah ayah, mereka berehat di bawah bangunan sekolah AlFalah yang kosong, kemudiannya menjadi bangunan asrama puteri.pada tahun 1984... Saya yang datang melangut di situ - lebih kerana meminati nasi bungkus yang mereka makan - mendengar perbualan mereka.
Salah seorang, yang berdasarkan perbualan mereka, adalah penyanyi kepada kugiran 'Midnite/Mid-night Sun' Alor Setar rancak bercerita. Ketika ditanya rakan akan kenangan sebagai penyanyi, dia bercerita: satu waktu ketika menyanyikan lagu Tarikan Nafasku Yang Terakhir nyanyian asal Tetty Kadi[Indonesia], dia nampak ada seorang makcik mengalirkan airmata.
Atas permintaan rakan-rakan, dinyanyikannya bait awal lagu tersebut, sebelum menyalakan sebatang rokok lalu menyedut dalam-dalam.
Saya ternganga.
Pertama, hairan kerana ketika menterjemah sendiri, nama band itu bermaksud Matahari Tengah Malam - sebelum lama kemudian saya terbaca ada kumpulan bernama 'Sweet Salt' {Garam Manis} dari Singapura, di mana salah seorang penyanyinya adalah Datin Rina Rahman yang kemudian lagi terkenal dengan lagu dari album solo Ku Ingin Bahagia......
Kedua, juga hairan, bolehkah dengan mendengar lagu sahaja, orang akan menangis? Kenapa begitu?
Kerana bukan zamannya rumah kami mempunyai pemain kaset atau piring hitam, lama juga saya terpaksa menunggu radio memutarkan lagu yang kononnya boleh membuatkan air mata seorang makcik itu berlinang. Setelah dua tiga kali mendengarnya, dapatlah saya ingat akan melodi dan liriknya.
TARIKAN NAFASKU YANG TERAKHIR
Kini saat yang terakhir
Ku pinta maaf kepadamu
Jauh dari lubuk hatiku
Tak pernah ku dendam padamu
Bila engkau tak percaya
Ku rela korban jiwa raga
Kini saat yang penghabisan
Ku harap kau datang kepadaku
Berulang kali ku nyatakan
Aku sayang padamu
Berulang kali ku meminta
Peluklah belailah daku
Oh itu tak pernah terjadi
Semua harapan belaka
Nafasku yang terakhir ini
Hanyalah ku tujukan padamu
Ku pinta maaf kepadamu
Jauh dari lubuk hatiku
Tak pernah ku dendam padamu
Bila engkau tak percaya
Ku rela korban jiwa raga
Kini saat yang penghabisan
Ku harap kau datang kepadaku
Berulang kali ku nyatakan
Aku sayang padamu
Berulang kali ku meminta
Peluklah belailah daku
Oh itu tak pernah terjadi
Semua harapan belaka
Nafasku yang terakhir ini
Hanyalah ku tujukan padamu
Saya sering melagukannya, perlahan. Tiada terasa apa-apa. Sekali, pada satu petang, ketika hanya berdua dengan kerbau ayah yang saya temani meragut rumput di batas bendang, agak jauh dari kampung, saya menyanyikannya sekuat hati. Juga tidak terasa apa-apa.Tiada air dari mata, cuma dari mulut......menyembur-nyembur!
Satu hari, ketika radio memutarkan lagu itu, sebaik mendengar muzik intronya, saya menguatkan suara radio. Kebetulan Ndak - emak saudara saya - berada di situ. Tapi saya lihat Ndak biasa sahaja - tiada pun linangan airmata.
Bagaimana makcik itu, yang penyanyi band Midnite Sun ceritakan, boleh pula menangis? Soalan itu tersimpan sendiri.
Satu hari, radio, teman setia satu-satunya, memainkan lagu Malam Ini Kita Berpisah nyanyian Habibah Yaakob - lama kemudian barulah saya tahu lagu berkenaan terdapat dalam filem Enam Jahanam lakonanP Ramlee dan Nor Azizah, kerana ketika itu saya belum pernah menonton filem tersebut. Maklumlah ketika itu peti tv masih jauh jaraknya dari keupayaan kebanyakan keluarga di kampung.... Kalaupun mahu menonton, terpaksa kami menapak ke tengah-tengah Kampung Permatang Ibus, di rumah seorang 'ada-ada'. Di situ, kami terpaksa memasukkan pula sekupang ke dalam tin Milo yang siap ditebuk sepanjang dua inci tudungnya, dipegang oleh anak tuan rumah di muka pintu, dengan mukanya sendiri keras seperti pintu.......
MALAM INI KITA BERPISAH
Malam ini kita berpisah
Rasa hati resah gelisah
Pulanglah kanda wahai pujaan
Tinggallah dinda keseorangan
Selamat Jalan
Mengapa kita berjumpa
Bercinta dan putus pula
Mengapa kita berjumpa
Bercinta dan putus pula
Kalau dah nasib
Apa nak dikata
Pulanglah kanda wahai pujaan
Tinggallah dinda keseorangan
Selamat jalan
Hatiku sudah berdarah
Asmara hancur dan musnah
Hatiku sudah berdarah
Asmara hancur dan musnah
Kalau dah nasib
Apa nak dikata
Rasa hati resah gelisah
Pulanglah kanda wahai pujaan
Tinggallah dinda keseorangan
Selamat Jalan
Mengapa kita berjumpa
Bercinta dan putus pula
Mengapa kita berjumpa
Bercinta dan putus pula
Kalau dah nasib
Apa nak dikata
Pulanglah kanda wahai pujaan
Tinggallah dinda keseorangan
Selamat jalan
Hatiku sudah berdarah
Asmara hancur dan musnah
Hatiku sudah berdarah
Asmara hancur dan musnah
Kalau dah nasib
Apa nak dikata
Dua kali Habibah Yaakob menarik kalau dah nasib......... apa nak dikata , dua-dua kali itu Ndak mengeluh, separuh berbisik, "Hai...Tak taulah Bibah oiiii...."
Lama. Terlalu lama kemudian, baru saya faham: Lain orang, lain pula lagu yang memberi kesan dalam hati.....
No comments:
Post a Comment