akucucupakya.blogspot.com
mempersembahkan
Piala Malaysia Dan Vw Itu... [versi penuh]
(Khas untuk pembaca yang tidak menggemari cerita rantaian)
Awal November 1988.
Kejayaan Kedah melepasi peringkat separuh akhir hujung bulan Oktober itu makin heboh diperkatakan di mana-mana.Inilah kali kedua berturut-turut Kedah berjaya ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Tahun sebelumnya,dengan pasukan Kedah dianggap sebagai kampungan, Kuala Lumpur berjaya menjuarainya menerusi jaringan tunggal.
Masih terkenang bagaimana marahnya warga Kedah kepada media ketika itu. Sebelum dan selepas perlawanan.
Para pemain Kuala Lumpur digambarkan mewah apabila ke tempat latihan dengan kereta masing-masing, sementara kebanyakan pemain Kedah hanya mampu bermotorsikal – sebahagiannya adalah pemain dan staf Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). Foto dan cerita di sebalik tabir dua darjat pasukan itu terpampang di muka belakang kebanyakan akhbar utama. [Malaysia masih dalam proses menubuhkan liga professional menjelang 1990].
Pada tahun 1987dan 1988 [serta 1989 di mana Kedah mencipta hattrick ke perlawanan akhir], pemain semi-pro yang hampir sama menjadi anggotanya – sebahagiannya menjadi idola rakyat Kedah – Ahmad Sobri Ismail, Mohd Radhi Md Din, Lee Kin Hong, Mohammad Ramli, K Ravichandran, Koet King Keong, Chan Keat Swee, Ng Chew Beng, NorAzam Ishak dan Hussin Jaafar
Keadaan turut menjadi semakin hangat apabila ketika perlawanan akhir itu, pengulas RTM (Dato’) Hj Hasbullah Awang dikatakan seolah-olah telah memperlekehkan pemain-pemain Kedah dalam komen secara langsungnya. Hingga kini, ada yang masih berpendapat Dato’ Hasbul sentiasa bias setiap kali mengulas perlawanan di antara Kedah dengan pasukan elit terutama dari Lembah Kelang – Kuala Lumpur dan Selangor!
Maka perlawanan akhir 1988 amat dinantikan dan menarik untuk diperhatikan. Lawannya pula kebetulan lagi adalah pasukan yang sama – Kuala Lumpur, di bawah
bimbingan Chow Kwai Lam! Cuma dari senarai pemainnya kali ini tiada kelibat Kannan Kunjuraman, yang tahun sebelumnya terlibat mengecewakan rakyat dan penyokong setia Kedah. [ K Kannan cuma muncul semula pada musim 1989 untuk membantu KL sekali lagi mendera rasa penyokong tegar skuad Hijau Kuning….]
Semua warga Kedah merasakan inilah saat terbaik bagi membalas dendam – inilah masanya bagi budak kampung membenamkan ego warga kota!
Menjelang hari perhitungan itu, pasukan Kedah tidak menang tangan dan mulut memenuhi undangan kelompok rakyat di seluruh negeri – ada yang berkenduri sakan, serta bercukur kepala, dengan pemain idola mesti menjadi tetamu dan saksi… Masing-masing sentiasa membuka dada ketika berjalan…
Zaman di mana banner plastik masih jauh dari jangkauan fikiran, kain rentang dengan tulisan tangan, hasil kreativiti sendiri, terdapat hampir di segenap pelosok kampung. Siap dengan pantun dan seloka pembakar semangat berselang-seli dengan frasa memperlekehkan pula skuad lawan..
Sesiapa yang melalui jalan persekutuan dari Sungai Petani hingga ke Alor Setar akan mendapati betapa di kedua-dua sisi, hampir setiap kilometer terentang kain memberi semangat kepada pemain, sekali gus menaikkan semangat warga Kedah. Bagi kawasan dan daerah lain, bolehlah dirujuk ceritanya dari Tuk-tuk ayah di kawasan masing-masing. Tidaklah berani saya terlalu ghairah bercerita tentang kawasan orang. Saya hanya dapat mencatatkan apa yang dilihat oleh mata di kepala sendiri di tempat yang pernah dilalui ……
Dato' Ahmad Basri |
Di lebuhraya, berbondong-bondonglah penyokong setia Kedah ikut berangkat ke Kuala Lumpur. Dari Alor Setar sahaja pelbagai kelompok penyokong disebut, termasuklah geng Pekan Rabu dang geng Pasar (Market) Besar. Di peringkat daerah juga tidak kurang riuhnya. Semuanya bersatu bagi menggamatkan Stadium Merdeka dan seterusnya berharap dapat meraikan kejayaan Kedah begerlar juara.
Bergelak sakan tauke bas sewa, pengendali rombongan dan peniaga baju-t hijau kuning serta cenderahati berkaitan bola sepak pasukan yang selepas itu bergelar juga Sang Kenari.. Tauke tiket pasar gelap, yang membeli di Alor Setar dari kuota tiket yang diperuntukkan oleh FAM, agak istimewa gelak mereka – siap tersembur huruf R dan M bergilir-gilir…… Masih di Kedah tetapi sudah mampu menghitung untung!
Yang berkereta sendiri tidak kurang ghairahnya. Ada yang bertolak pada malam menjelang hari perlawanan akhir dan ada juga yang berangkat jauh lebih awal dengan rumah saudara-mara dan rakan sekampung di KL menjadi destinasi pertama…..
Di AlFalah, demam yang melanda seluruh negeri turut berjangkit.
Semenjak meraikan jaringan Hussin Jaafar pada peringkat suku akhir membenamkan keegoan Singapura, setiap hari kami membelek bahagian sukan semua akhbar berbahasa kebangsaan dan Inggeris. Tiada tajuk lain pula yang diketengahkan dalam perbualan selain dari bola, bola dan bola.
Apabila Hussin meledak lagi dengan gol pertama pada perlawanan yang berkesudahan seri 1 - 1 dengan Sarawak di Stadium Darulaman, diikuti gol tunggalnya pada perlawanan di Kuching, untuk agregat 2 - 1, pada peringkat separuh akhir, kami sudah tidak boleh duduk. Demam makin kuat. Hingga tergigil-gigil! Sementelah pada tahun sebelumnya tiada siapa antara kami yang berpeluang menyaksikan Kedah di final.
Semua telah diatur. Keluarga terdekat telah diberitahu. Orang yang jauh di KL telah dihubungi - untuk tempahan tiket serta tempahan tempat tinggal....
Beberapa budak Falah yang sedang dalam fasa terakhir menghadapi SPM – kebanyakannya menumpang di asrama - hanya memerhati gelagat kami.
Volkswagon Beetle warna krim telah bersedia. Terbeliak matanya siang dan malam!
Kereta ‘kura-kura’ model hujung enampuluhan itu dibelai setiap hari. Semua yakin jentera ciptaan Jerman itu tidak akan mengecewakan.
Cuma seorang mekanik di Jalan Limbong Kapal, yang dikunjungi beberapa hari sebelumnya, bagi mendapatkan alat gantian terpakai, memanjangkan kalimat ‘Haiya’ tatkala diberitahu kami akan ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan final Piala Malysia. “Boleh sampai ka?” tanyanya separuh mencabut keyakinan.
Tetapi berdasarkan perbatuan yang dilalui sebelum itu, pemandu utama merangkap tuannya, Ustaz Fairose mengesahkan tiada kerenah pernah dihadapi.Setakat enjin terbatuk-batuk, biasalah….. Keyakinan beliaulah sebenarnya yang menjadi faktor penentu untuk kami ikut mengenderai vw itu. Lagi pula kami bukannya mahu ke Gunung Fujiyama atau puncak Himalaya, bukannya ingin ke Kampuchea [Kemboja] atau Ethiopia! Apalah sangat jarak ke KL jika mahu dibandingkan dengan perjalanannya dari benua asal di Eropah sinun…
4 November. Jumaat malam Sabtu, jam sebelas, kami pun bertolak. Riuh di depan rumah Maklong/Maklang beberapa budak Falah menyaksikan keberangkatan kami. Mereka mengiringkan doa agar kami selamat pergi dan sampai balik ke Kedah, khususnya ke AlFalah….Ada yang membantu mengangkat beg pakaian kami ke dalam bonet di depan… Ada yang sambil bersalam menitipkan salam pula kepada pemain kegemaran masing-masing - macamlah kami yang akan duduk di tempat vvip di stadium kelak. Ada yang tanpa silu menzahirkan rasa cemburu kepada keberuntungan kami dapat menyaksikan perlawanan akhir di stadium, dengan menyepak-nyepak perlahan roda kereta….
Dengan bismillah kami masuk ke dalam kereta. Saya yang memulakan langkah kerana akan duduk di tengah, di bahagian belakang. diikuti oleh Cikgu Non dan Cikgu Rahim yang masing-masing masuk melalui pintu kiri dan kanan. Kemudian, sesudah kusyen depan dikembalikkan ke kedudukan asal, barulah Cikgu Ahmad Amminy masuk di kiri, hampir serentak dengan adiknya Ustaz Fairose mengambil tempat di bahagian pemandu.
Semua yang ada melambai dan bersorak. Ketika melintasi asrama puteri, kelihatan tingkap menghadap ke ‘padang kita’ dikerumuni lembaga manusia di samping sebahagian lain turut melambai dari tangga atas beranda asrama……
Selamat tinggal AlFalah.
KUALA LUMPUR……..TUNGGULAH…..KAMI DATANG!
Sengaja kami memilih untuk bertolak awal. Sebahagiannya sebagai langkah berjaga-jaga dengan keadaan tidak terjangka kereta dan perjalanan. Kalau tiada masalah dan takdirnya kami sampai pada pagi Sabtu, kami mempunyai cukup banyak masa berehat atau berjalan-jalan. Tempat persinggahan telah kami tetapkan – rumah sewa adik Maklong, Khairi Hj Ibrahim, yang kebetulan rakan seasrama saya di Sekolah Menengah Dato’ Syed Omar sedekad sebelumnya. Tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir itu turut ditempah awal melalui bapa saudara Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy itu.
Sampai di pekan Simpang Empat, Ustaz Fairose membelok ke kiri, lalu membelok lagi, masuk ke Stesen Minyak Caltex.
“Kasi penuh!” katanya kepada atendan pam.
Sambil itu, dia pergi ke kaunter, membantu mengayakan pemegang saham Alfred Dunhill of London dengan membeli dua kotak rokok. Ketika berpatah balik, dia digamit oleh atendam pam tadi yang menunjuk-nunjuk ke arah bawah kereta. Ustaz Fairose duduk mencangkung sebelum menggamit kami pula seketika kemudian..
Kami keluar dari kereta, ikut sama mencangkung sepertinya dan atendan pam.
Di bawah kereta, di atas lantai simen stesen itu, ada kesan basah yang agak banyak, kian membesar lingkungannya. Di tengah-tengahnya, kami melihat ada aliran seperti tirisan dari kereta. Sahlah ada kebocoran pada tangki minyaknya…Atendan pam telah menghentikan pengisian minyak.
Berdiri semula kemudiannya, kami memandang sesama sendiri. Dua beradik anak Ustaz Azizan berbual-bual sambil disertai oleh atendan pam. Ada riak tegang pada wajah mereka. Merasakan yang dibualkan itu berkaitan hal-hal teknikal , saya tidaklah cuba untuk mengambil tahu.
Agaknya tangki minyak itu tidak pernah menerima pengisian minyak dalam kuantiti yang banyak sebelum ini……
Cikgu Non dan Cikgu Rahim yang juga tidak terkata apa-apa, mencapai kotak rokok di tangan Ustaz Fairose. Mencucuh hujung rokok lalu meniru perlakuan tuan rokok itu – menyedut dalam-dalam dan menghembus asapnya sekuat hati. Saya dan Cikgu Amminy terpaksa membantu menyedut sama asap itu sebelum hilang dalam udara malam…..
“Kita kena patah balik…..” kata Ustaz Fairose, setelah lama berbual, “esok kita tengok apa yang patut…..”
Adusss!
Apa lagi yang dapat kami katakan. Dengan langkah yang separuh longlai, masing-masing kembali ke dalam kereta, duduk diam-diam di tempat yang awal tadi…..
KUALA LUMPUR……SABARLAH …..KAMI KENA PULANG!
Sepanjang berpatah balik itu, hampir tiada yang boleh dikategorikan sebagai satu perbualan sesama kami. Kebanyakan perkataan yang muncul adalah dalam bentuk luahan kesal dan rungutan – lebih sekadar untuk pendengaran persendirian.
Benarlah seperti yang sering saya fahami: Patutlah kereta, motor, bas, bot, kapal laut atau kapal udara, serta yang seumpamanya mendapat imbuhan khas di dalam bahasa Melayu. Inilah satu-satunya kelompok objek yang diberi awalan ken dan akhiran an bagi menghimpit perkataan dera. Maka padanlah kami kini sedang terdera….dengan hati yang ikut cedera!
Alangkah dekatnya Pekan Simpang Empat dengan AlFalah.
Sekejap sahaja kami sudah sampai ke jalan masuk ke AlFalah. Melepasi ban dan taliair di jalan mini itu, seseorang menyuruh Ustaz Fairose mematikan enjin kereta. Serentak dengan pemadaman lampu kereta.
Kami semua turun, cuma membiarkan si pemandu di tempatnya.
Suasana sunyi menyerkup sekitar. Bau jerami yang baru dituai padinya di bendang yang terletak di kedua-dua sisi jalan menerpa ke hidung, menggantikan bau asap yang memenuhi kereta sebentar tadi. Langit cerah, tetapi tiada kerlipan bintang yang memagari bulan yang sedikit terlindung di balik segumpal besar awan kelabu. Bulan pun seolah sedang tersenyum ke arah kami. Manis sekali senyuman itu……
Kalaulah ada satelit yang merakamkan pergerakan kami pada malam itu tentu meletup perut operatornya menahan ketawa. Lebih satu jam yang lalu, sebuah kereta bergerak di jalan mini berkenaan membawa lima orang yang keriangan. Kini, sekitar jam 12:30 malam, kelihatan pula empat lembaga menolak perlahan kereta vw itu menuju ke kawasan AlFalah sebelum memarkirnya di bawah bumbung kantin, yang ketika itu terletak di tepi pagar, di hadapan rumah Maklong/Maklang….
Suasana sepi berterusan. Sesuatu yang sebenarnya amat kami harapkan. Cuma terdengar mengahan kami berempat, itu pun telah dikawal sebaik mungkin agar tidak mencemarkan kesepian dinihari….
Mujurnya, lampu di asrama puteri telah dipadamkan. Demikian pula di rumah Maklong/Maklang dan asrama putera. Bilik Ustaz Wan Osman Wan Mat bersebelahan asrama putera itu sememangnya gelap sejak awal lagi kerana beliau sedang bercuti di bumi kelahirannya, Kampung Dok Rak, Pattani, Thailand. Yang masih menyala hanyalah dua lampu di tiang elektrik – satu berhampiran bucu bangunan melintang dewan muhadhoroh dan satu lagi yang terletak di antara rumah Maklong/Maklang dan blok asrama putera.
Kami berjalan perlahan ke asrama putera. Supaya tidak mengejutkan sesiapa, saya yang cukup arif dengan plan asrama, bergerak ke belakang dapur, membuka satu tingkap yang sememangnya tidak pernah dikunci, melangkah masuk tergagau-gagau, membuka pintu asrama dan mempersilakan semua masuk. Masing-masing memilih katil yang tidak berpenghuni dan berbaring perlahan-lahan. Pertama kali saya sendiri berjaya meletakkan badan dengan bunyi lantai katil paling perlahan ….
Semua tindakan kami, bermula dari mematikan enjin kereta, menolak serta memarkirnya dan melangkah ke asrama putera itu dilakukan secara senyap demi untuk tidak mengganggu lena semua warga AlFalah. Kalau mahu dicatatkan, itulah sebabnya. Tetapi hakikatnya, kami menyorok malu kerana selamat sampai di AlFalah semula seperti sebahagian doa budak-budak sebelum kami bertolak tadi. Hakikat yang lebih besar pula adalah kami tidak mahu ada sesiapa yang tercedera terkena sepakan salah seorang kami jika mereka mereka terbangun dan bertanya hal kami lalu tertawa beramai-ramai……
Di dalam kegelapan malam itu, tiada yang bersuara. Hanya kelihatan api dari tiga puntung rokok, berselang seli terang dan malap. Tidak tahulah sama ada masing-masing melayan hati yang sakit kerana masih di tapak pelancaran rombongan ke KL, atau terpesona mendengar dengkuran puspanada dari warga asrama putera yang bersahut-sahutan itu……
Tidak tahulah siapa yang terlena dahulu dan pada pukul berapa pula orang yang terakhir terlelap. Dan saya sendiri tidak sedar bila pula waktu Ustaz Fairose dan abangnya membuang peluang keemasan bermalam di katil asrama lalu menyelinap masuk ke rumah mereka…..
-2-
Pagi Sabtu.
Seperti dijangkakan, semua penghuni asrama putera AlFalah gempar melihat kami sedang tercegat di asrama putera. Lebih gempar lagi apabila melihat vw yang sedang terlena di bawah bumbung kantin di tepi pagar sekolah. Penghuni asrama puteri pula menggawang tangan dari jauh setiap kali nampak kelibat kami.
Kami tahu, tanda soal yang banyak sedang bergumpal menerawang di angkasa AlFalah
Kami menceritakan apa yang patut kepada semua yang berani bertanya – baik secara berkumpulan ataupun secara individu. Tidak tahulah apa yang dikatakan oleh Maklong/Maklang sebaik Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy memberitahu duduk perkara. Namun, di pihak penghuni asrama, kebanyakannya sekadar memuncungkan mulut, menghasilkan ‘o’ tanpa bunyi, sebagai tanda memahami situasi yang kami hadapi pada malamnya. Tiada yang terkekeh-kekeh mengetawakan kami. Maka selamatlah semuanya pagi itu dari bersarapan sekehan percuma……
Selepas sarapan, Ustaz Fairose bermotorsikal ke Simpang Empat, tiada lain tujuan kecuali berjumpa dengan mekanik yang selalu menguruskan kesihatan kebanyakan kereta yang pernah digunakannya. Kerana sering mengikut pergerakan di sisi Ustaz Fairose, saya juga kenal dan biasa dengan mekanik keturunan Tionghua itu.
Dia memang agak pakar dalam membetulkan enjin kereta, sebarang model. Namun, satu kelemahan yang tidak mampu dibaiki adalah pertuturannya sendiri. Saya tidak mahir dalam bahasa Hokkien atau Mandarin, jadi tidaklah saya tahu kekurangan dalam perbualannya dengan rakan-rakan seketurunannya. Tetapi, jika di dalam bahasa kebangsaan, dia agak pelat. Bukan pelat seperti kebanyakan bukan Melayu berbahasa Melayu, tetapi lebih dari itu, pelat a la budak berusia tiga atau empat tahun. Misalnya, suku kata ada huruf ‘k’ akan bertukar kepada ‘t’. Makan akan jadi matan, kayuh akan dilafazkan tayuh… Cara pertuturanya ditambah pula dengan pergerakannya yang lincah, mengubat kebosanan kami ketika terpaksa berlama di bengkel miliknya yang terletak bersebelahan kuaters pekerja JKR di Simpang Empat. {Kini menjadi sebahagian tapak tempat meletak kenderaan bersebelahan Restoran Nasi Kandar Haji Ramli, Simpang Empat}.
Sekitar jam 9.30 pagi Ustaz Fairose pulang ke AlFalah, diikuti oleh mekanik kesayangannya itu yang menunggang satu benda yang berenjin berbentuk basikal. Ada raga kecil di bahagian depan antara tempat duduk dan handle, yang dindingnya dibuat daripada bekas tempaan anak kunci.Tempat duduknya berlapik akhbar Nanyang Siang Pau atau Sin Chew Jit Poh, agaknya, yang tebal dilapisi di sebelah atasnya beg plastik kepunyaan salah satu pasaraya – dengan kemasan akhirnya adalah lilitan tali raffia yang culang-caling. Hendak dikatakan motorsikal, tiada mana-mana pegawai JPJ atau PUSPAKOM akan mengesahkan status itu walaupun di bahagian belakangnya tergantung kertas tebal kotak buah yang dipotong empat segi, bertulis besar nombor plat!
Selepas berbasa-basi dengan cara tersendiri kepada kami yang terpegun memerhati kenderaannya itu, dia menunjukkan taraf profesionalisme yang tinggi. Selepas menanggalkan topi keledar yang tidak mempunyai lapik polisterenenya, segera dia melangkah ke bawah bumbung kantin - membuka kotak enjin kereta, melihat-lihat keadaan luaran. Dia bergerak lima enam langkah mengitari bahagian belakang kereta itu. Agaknya mencari titik permulaan untuk merawat…
“Cemua otey, cemua elok…” katanya.
“Itu aa.. cenang caja. Nanti wa bitin…” selamba dia memberitahu ketika bangun semula sambil menggosok kedua-dua tapak tangan.
Ternganga kami kehairanan. Semalaman kami dibuai resah dan pagi ini dia berkata itu perkara senang! Fuh!
“Ladi apa mau bitin?” tanyanya, seselamba tadi juga, sambil mata tidak lepas dari enjin kereta.
Kami berpandangan. Salah seorang mencadangkan dia melihat-lihat keadaan enjin memandangkan dia sanggup meninggalkan bengkel semata-mata menyelesaikan masalah kami yang sedang terlonjak-lonjak untuk bertolak ke KL.
“Lu pi cetat!” Mekanik itu menyuruh Ustaz Fairose menghidupkan enjin kereta. Deruman enjin memecah keheningan penghujung pagi di AlFalah.
Sang mekanik membongkok di bahagian enjin. Tiba-tiba dia menggawangkan tangannya ke arah Cikgu Non dan Cikgu Rahim yang sedang merokok di kedua-dua sisinya – yang turut ingin menjenguk sama.
“Api jangan mali oo…!” katanya kuat, melawan bunyi enjin sambil mengarahkan dua pemerhati tersebut menjauhinya. Cikgu Non ketawa sambil menjauhi kereta. Dituruti Cikgu Rahim.
Tidak lama kemudian sang mekanik berdiri sambil menggeliat, membetulkan pinggangnya. Beriring senyuman, dia menunjukkan tanda bagus dengan kedua-dua ibu jari tangan.
Di bahagian hadapan, didapati salah satu lampu kecil tidak menyala. Sang mekanik membetulkannya seketika.
“Ada waya tacau….” tatanya …..ops… katanya serius dan disambut kekehan tawa Cikgu Non yang kini bersandar di tiang kantin. Kami yang lain menumpang sama…..
“Itu tangki bocor nak buat macam mana?” Tanya Ustaz Fairose, di hujung hilaian tawa itu.
“Lu antat mali itu sabun cap tapak ….”
“Nak buat apa?” Tanya Ustaz Fairose penuh kehairanan. Kami yang lain menumpang sama…..
“Antat mali loo!” tegas sang mekanik.
Seorang daripada beberapa budak asrama yang sejak tadi turut memerhatikan cara kerja di situ diminta segera mendapatkan seketul sabun cap kapak di rumah Maklong/Maklang.
Sang mekanik membongkok lalu mengusap-usap dan kemudian menenyeh satu bahagian pada tangki minyak dengan ibu jari, sebelum menghembus kuat tempat usapan itu beberapa kali. Belum pernah saya tahu elemen perbomohan juga boleh digunakan ketika merawat kereta….
Sebaik mendapat sabun berwarna hijau itu, sang mekanik mencubit hujung lembut sabun bekas digunakan, sebesar ibu jari. Cubitan itu digumpalkan bulat dengan tiga jarinya. Kemudian dia membongkok lalu menempelkan gumpalan sabun tersebut ke tempat berlubang pada tangki minyak. Ditekan dan ditenyehnya sekeliling tempelan berkenaan. Kernyihannya sambil mengenyit mata selepas menyelesaikan tugas itu saya ingat jelas hingga saat ini!
“Siap! Sikalang boleh jalan!” katanya sambil menuju ke kenderaan uniknya, mengambil tuala kecil yang kelabu dan mengesat bekas sabun di tangan.
Kami memandangnya hampir serentak. Budak-budak asrama yang mengelilingi kereta itu juga ikut memerhati wajah sang mekanik.
Boleh bertolak? Dengan secubit sabun cap kapak?
Sang mekanik membalas tenungan kami. Dia memahami apa yang sedang berlegar di kotak fikiran kami.
“Kawan aa…” dia menepuk bahu Ustaz Fairose, “itu sabun manyak tahan ooo. talau tumpah ladi, lu balik, lu hantam tandang sama wa punya ni!” Dia menunjukkan ke arah punggungnya yang sedikit ditonggekkan, berbalut seluar tebal dipenuhi pelbagai saiz tompokan minyak hitam. Budak-budak asrama menahan tawa melihat aksi dan mentafsirkan kata-katanya.
Kami berbincang seketika bagi mendapatkan keyakinan. Sang mekanik berdecit dua tiga kali, sambil menggayakan tangannya menyuruh kami bertolak. “Talau ada tumpah aaa, lu balik hantam sama wa…..” ulangnya.
Jam melepasi pukul 11 pagi. Kalau perjalanan elok semalam agaknya ketika itu kami sudah menyedut bahang udara KL……
Akhirnya kami yang masih berpakaian semalam, bersetuju untuk bertolak.
Kami mengucapkan terima kasih kepada sang mekanik. Saya mencapai lebihan ketul sabun cap kapak tadi lalu memasukkan ke dalam beg plastik dan meletakkannya di lantai bahagian kiri depan kereta. Ada dua sebab utama saya teringat untuk berbuat begitu. Pertama, jika berlaku kebocoran di tengah-tengah perjalanan, buat sementara bolehlah ditampal dengan cebisan sabun itu. Kedua, jika kebocoran berulang, orang lain mungkin akan menghentam, menendang punggung sang mekanik tadi, tapi bagi saya yang tidak akan sampai hati berbuat begitu, cukuplah dengan menyumbat sabun itu ke mulutnya!
Setelah mengadakan upacara pelancaran yang lebih ringkas, bertolaklah kami pada jam 11.30 pagi. Kali ini kami mengikut gerak hati pemandu – tidak lagi melalui jalan ke Simpang Empat, sebaliknya, melalui jalan Yan, kami menembusi Guar Chempedak sebelum memasuki lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Petani. Sempatlah kami melihat sekumpulan guru-guru sekolah agama sedang bermesyuarat di SMA Sungai Limau – majlis yang sepatutnya disertai oleh Ustaz Fairose selaku pengetua sekolah dan Cikgu Non sebagai guru di bawah Majlis Agama Islam Kedah.
KUALA LUMPUR … TUNGGU …. KAMI TETAP DATANG!
Tiada apa yang menarik sangat sepanjang kembara hari itu. Sesekali kami mengharungi hujan manakala sebahagian besarnya suasana membahang dalam terik matahari dalam perjalanan yang panjang itu.
[Cikgu Non yang saya tanyakan ketika catatan ini dibuat, menyatakan sepanjang perjalanan, pemain kaset dari kereta vw itu memang berfungsi baik. Sayangnya, kami yang duduk di bahagian belakang terpaksa membiarkan telinga melayan deruman enjin kereta yang terletak hanya beberapa jengkal dari kepala kami. Bagi yang tidak tahu di bahagian mana pencipta Jerman meletakkan enjin vw beetle, silalah rujuk kepada Encik Google ……]
Cuma sekali kami berhenti makan di Perak Tengah. Manakala selain rehat untuk solat dan mengisi minyak serta memeriksa radiator atau bertukar pemegang stereng antara Ustaz Fairose dengan abangnya, Cikgu Amminy, kebanyakan waktu kami berada di dalam vw yang menunjukkan prestasi terpuji – tanpa kebocoran yang mulanya agak membimbangkan.
Ternyata, sang mekanik yang sanggup mempertaruhkan punggungnya untuk disepak telah bercakap berdasarkan pengalamannya yang jenuh!
Saya dan Cikgu Amminy kenyang berkongsi asap rokok yang seolah tidak putus ke luar dari muncung mulut dan mancung hidung Ustaz Fairose, Cikgu Non dan Cikgu Rahim. Kadang-kala seorang sahaja merokok tetapi secara kerapnya mereka merokok secara berjemaah – dengan diimami oleh Ustaz Fairose! Demi rasa cinta terhadap pasukan Kedah, apalah sangat pengorbanan peparu kami ketika itu……Lagi pula kami tumpang berbangga kerana jenama rokok yang mereka hisap itulah yang menaja kejohanan pada tahun tersebut!
Sepanjang jalan, kami bergerak diekori atau mengekori kenderaan dari Kedah, berdasarkan sengihan pemandunya, warna baju penumpangnya, nombor plat keretanya mahu pun gaya percakapan mereka. Walaupun apa yang dicakapkan sesama mereka tidak didengari, berdasarkan bahasa badan, kami tahu mereka juga peminat pasukan Kedah. Mana ada orang negeri lain, ketika itu, bercakap di dalam kereta sambil menggayakan tangan mengarah a la pengambil tendangan sudut atau melakonkan adegan mengangkat piala…..
Sampai di satu bandar, tiba-tiba vw kesayangan dilanggar dari belakang. Kami terkejut dan tersedak.
Ustaz Fairose segera memberhentikan kereta. Semua kami turun. Ada sedikit bekas berlanggar pada bumper kereta. Di belakang, ada sepasang anak beranak sedang ketakutan di dalam kereta yang bahagian depannya kemik agak teruk. Si anak yang memandu, teragak-agak untuk keluar sebelum diarahkan oleh emaknya yang turut membuka pintu kiri. Permintaan maaf dalam bahasa Inggeris tidak terkira terhambur dari mulut mereka. Ustaz Fairose berdecit-decit, kami yang lain ikut sama tetapi dalam nada yang sedikit perlahan. Salah seorang mengusap bahagian kereta yang sedikit kemik itu.
“We are Malaysian….kira cincailah” rayu si emak. Anaknya di sisi terangguk-angguk.
Ustaz Fairose menunjukkan karismanya. Berdehem sekali, dia membuat keputusan: kalau tidak mahu buat laporan polis, kenalah diselesaikan dengan kadar yang dipersetujui bersama.
Si emak mengulangi ‘we are Malaysian’ sekali lagi. Mujurlah pada waktu itu slogan 1Malaysia belum digunakan. Kalau tidak agaknya itulah pula yang diulang oleh dua beranak tersebut. Ustaz Fairose tetap mahukan penyelesaian dan menyertakan kelewatan kami untuk ke Stadium Merdeka sebagai pengukuh tuntutan. Akhirnya, dia mendapat seratus ringgit. Banyak juga nilainya dalam tukaran semasa. Dapatlahlah menampung sedikit kos minyak dan rokok…..Terimakasih kepada ketahanan keluli pada badan kereta dari Jerman itu….
Selepas itu, semasa asyik memandu, masih di negeri Perak, Ustaz Fairose tersentak melihat cover rim kereta tiba-tiba memotong kereta yang kami naiki! Lajunya bukan main sebelum dipintas semula dan kami dapati cover rim itu terbalik di tepi jalan di belakang kami. Ketawa kami berderai. “Cover rim kereta siapalah agaknya yang jatuh dengan laju tu….” Kami bertukar-tukar soalan yang sama. Disambung kekehan tawa.
Lama kemudian, ketika terhentak pada hujung satu jambatan, kami nampak cover rim vw yang kami naiki terjatuh dan juru pandu segera diberitahu. Kami turun mengutip cover tersebut dan mendapati pengelipnya telah patah, tidak boleh lagi diletakkan ke tempat asalnya. Terpaksalah ditinggalkan di situ, tanpa sempat menjengah perkarangan Stadium Merdeka…. Ketika melalui sebelah lagi tayar, salah seorang dari kami mengesan cover di sebelah itu juga telah tiada. Rupanya yang kami kekehkan tadi adalah cover rim kenderaan kami sendiri!
Menyedari diri sebagai penumpang yang tidak mahu menyusahkan tuan rumah, kami mengisi perut di kedai makan di pinggir Kuala Lumpur. Kedai itu dimiliki oleh orang Kelantan yang baru sehari dua itu belajar bercakap loghat Kedah! Di dalam kedai tersebut, saya yakin amat pelanggan semuanya adalah pelancong dari negeri Jelapang Padi!. Penilaian yang saya gunakan mudah sahaja dan banyak pula:
· saiz longgokan nasi yang super
· saiz setiap suapan yang sebesar penumbuk
· warna kuning atau hijau pada sebahagian atau seluruh baju
· berbual dengan rakan walaupun duduk berselang empat lima meja
· menggamit pelayan sambil mengulang cepat perkataan ‘ayaq….’
· kerap meraba poket yang ada tiket masuk stadium
· mata asyik melilau mengikut pergerakan ketua/pemandu
Kami sampai di Kuala Lumpur, tepatnya ke rumah tumpangan kami sekitar jam 9.30 malam
Di situ kami tidak berbual lama kerana keletihan. Berbasa-basi ala kadar dengan tuan rumah – Khairi, adik Maklong dan rakannya.
Khairi paling teruja kerana dapat tidur sebumbung dengan dua anak saudara yang lebih tua darinya itu. Ini didasarkan kepada caranya merenung anak-anak kakaknya itu setiap kali ada pergerakan atau pertuturan mereka. Kemudian, untuk kami semua, dua tiga kali dia mengesahkan telah mendapat tempat duduk dengan sudut pandangan terbaik bagi perlawanan malam esok.
Rakannya pula, apakenama, seorang tauke ayam di Pasar Chow Kit. Hanya sesekali mencelah, lebih banyak tersenyum. Dia bukan orang Kedah atau KL, maka tidaklah ikut ghairah untuk ke stadium kelak. Lagi pula perniagaannya memang membataskan masanya untuk dihabiskan dengan menyorak hampir dua dozen orang berlari mengejar bola nan sebiji. Namun dia mengatakan difahamkan ada sebahagian stadium telah menunjukkan tanda retak hasil hentakan kecewa penyokong Kedah pada tahun sebelumnya dan meminta kami berhati-hati esoknya. Melawaklah tu….
Setelah dipastikan tiket perlawanan telah tersedia, selesai membersih diri dan yang relevan dengannya, kami pun tidur di ruang tamu, berbantalkan beg pakaian atau penyandar sofa.
Semuanya berharap mendapat mimpi yang paling indah. Apa lagi kalau bukan menjulang Piala Malaysia di atas bumbung kereta volkswagon, mengelilingi stadium bersama pemain-pemain dan ribuan penyokong pasukan Kedah!
KUALA LUMPUR……LIHATLAH……. KAMI SUDAH SAMPAI!
-3-
Kuala Lumpur, Ahad, 6 November 1988.
Inilah tempat, hari dan tarikhnya!
Penggemar bolasepak seluruh negara sedang menunggu dengan penuh minat akan keputusan perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini. Adakah akan muncul pasukan baru selaku juara, atau kedudukan seperti tahun lalu berulang, menyaksikan Kedah pulang hampa selaku naib juara?
Pagi itu kami tidak ke mana-mana. Masih belum sepenuhnya pulih dari keletihan setelah melalui dua hari yang menyenakkan. Lagi pula kami memerlukan mental dan fizikal yang benar-benar segar untuk turut membingitkan suasana di stadium pada malamnya. Daripada membazirkan tenaga melilau sekitar KL, seperti kebanyakan penyokong Kedah yang menganggotai rombongan dengan bas, lebih baiklah kami menyimpannya untuk digunakan demi nawaitu asal …..
Tuan rumah pula sejak malam tadi berkali-kali berpesan agar kami “buatlah seperti rumah sendiri” di rumah itu. Kalau hanya Khairi, dipanggil Paktam oleh Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy, yang berkata demikian, kesannya tidaklah seberapa. Tetapi ini, kawannya si tauke ayam itu juga berkata dengan nada dan frasa yang hampir serupa. Malah, tatkala akan bertolak ke pasar sebelum Subuh, dan kami pula sedang mamai, sekali lagi dia mengulang pesanan itu.
Kami sedar diri. Kami hanyalah penumpang. Siapalah kami untuk melawan cakap mereka….
Supaya mereka tidak berjauh hati, dan dikatakan tidak menghargai pesanan tersebut, terpaksalah kami meletakkan diri masing-masing sebagai tuan rumah. Kami mengeliat sepuas hati membetulkan urat dan otot yang keletihan. Bergolek-golek serta bergelak-gelak. Yang ingin mengayakan penaja utama liga bolasepak semi-pro Malaysia, berkelun-kelun asap dilepaskan menerawang ke segenap ruang rumah. Yang bersubahat menyedut asap, kembang kempis hidung menariknya ke trakea untuk dibawa oleh tiub bronkus ke paru-paru [bronkiol dan alveolus]. Tuan punya hidung itu seperti tidak peduli lagi, maklumlah telah terbiasa sejak bertolak dari AlFalah….
Apabila terasa lapar, kami hanya menjeling ke meja di tengah-tengah ruang tamu itu. Di situ telah tersedia nasi berbungkus. Minuman pun demikian pula. Cukup menghairankan. Entah bagaimana bungkusan nasi dan minuman itu boleh tumbuh di situ……
Selesai makan, kami kembali berlingkar.
Ada yang meniarap, ada yang bersandar di sofa; membelek-belek bahagian sukan tiga akhbar mingguan. Sambil membaca ulasan dan berita tentang perlawanan akhir nanti, kami turut membuat analisis sendiri. Lama juga kami kekal pada topik utama itu. Masing-masing menunjukkan kepakaran sebagai penilai. Senarai barisan berkemungkinan pasukan Kedah dan Kuala Lumpur yang dipetik dari semua akhbar diperkatakan. Semua bahagian dalam pasukan – pertahanan, tengah dan serangan – diulas, dikupas atau dikopek.
Cikgu Hj Ahmad Shafie |
Chow Kwai Lam |
Setelah berhujah tentang kekuatan dan kelemahan setiap pasukan, kesimpulan yang kami dapati cukup menggembirakan: Skuad bimbingan Cikgu Ahmad Shafie mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan pasukan kendalian Chow Kwai Lam itu! Kesimpulan yang dibuat secara sebulat suara tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak itu membuatkan kami cukup teruja untuk ke stadium…… Mujurlah Khairi cepat membawakan lima gelas minuman sejuk sambil mengingatkan bahawa perlawanan akan bermula pada pukul 8.45 malam – lebih sembilan jam lagi….
Selepas mengosongkan gelas masing-masing, kami merendahkan diri dengan kembali melingkar di ruang tamu itu. Mengeliat lagi berkali-kali dan berguling-gantang semula. Sekiranya si tauke ayam tuan rumah balik ketika itu, tentulah dia akan tersenyum seperti yang sedang dilakukan oleh rakannya, Khairi. Ternyata pesanan mereka agar kami membuat suasana seperti di rumah sendiri, tidak dipersiakan….
Pelbagai perlakuan dan gelagat dapat dilihat. Letih berbaring, kami bangun semula membelek akhbar untuk sekian kalinya. Fakta baru ditokok untuk mengukuhkan kesimpulan yang telah disepakati tadi. Sambil itu rokok tetap dinyalakan.Andai ada saudara-mara Alfred Dunhill dari London datang ke rumah kami ketika itu, dia pun pasti tersenyum bangga!
Petang hari tiba juga akhirnya!
Selesai Asar, kami memulakan langkah ke medan juang. Sebelum itu, kami mandi sepuasnya, berlangir apa yang patut dan mengenakan kemeja-t kain kapas aneka corak.
Berdiri di luar rumah, melihat diri masing-masing, terasa ada sedikit kejanggalan. Tiada seorang pun di antara kami yang berpakaian seperti penyokong pasukan Kedah - tiada secalit pun warna hijau atau kuning.
Khairi, yang masih duduk di dalam rumah, dan masih berkain pelikat hanya memerhati. “Baju KL pun ada ‘ni…hehehe. Sapa ‘nak pakai?” katanya sambil menepuk baju merah-putih yang dihampar pada penyandar sofa di sebelahnya. Tiada yang menyanggupi waimma dua anak saudaranya itu. Sia-sialah kami berkelana beratus-ratus kilometer, jika mengenakan baju berwarna pasukan lawan! Appara!
Oleh kerana ‘kura-kura’ yang kami naiki telah mencapai muatan maksimum, tidaklah kami mempelawa Khairi menumpang sama.
Kami tidak pula rasa bersalah melihatnya makin menjauh ditinggalkan di muka pintu rumah. Berulang-kali dia menyatakan “KL ‘ni aku yang punya!”, tentulah dia ada cara untuk sampai ke stadium yang sahihlah juga kepunyaannya! Dia sempat berjanji untuk berada di sisi kami, ketika perlawanan bermula nanti. Walaupun yakin janji itu akan ditepati, sebagai langkah berjaga-jaga, Ustaz Fairose tetap menggenggam lima dari enam tiket yang dibeli oleh Paktamnya itu. Manalah tahu, memasuki stadium bukannya seperti memasuki surau AlFalah…..
Seperti dijangka, masalah utama kami adalah mendapatkan tempat meletakkan vw sedekat mungkin dengan stadium. Setelah berputar-putar hampir setengah jam, supir kami yang baik dan cekap berjaya menempatkan vwnya di sisi pagar sebuah bangunan. Jaraknya dengan stadium….lumayan juga. Jika setiap langkah kami diganjarkan pahala, pastinya kami tergolong di antara yang paling banyak menerimanya……
Di perkarangan stadium penyokong Kedah mula bersesak. Penyokong pasukan lawan tidak begitu kelihatan, maklumlah Kuala Lumpur sejak lama ketandusan penyokong berbanding pasukan negeri-negeri lain. Kalau Kedah menentang Kelantan, misalnya, barulah bilangan penyokong berkedudukan seimbang.
Kami melilau seketika di sekitar stadium, melihat gelagat rakan-rakan senegeri berkeliaran memperagakan semangat Hijau Kuning menerusi baju, topi, mafla,rambut a la pengesat lantai dan contengan muka serta mengheret lipatan sepanduk. Nampak sangat kami yang tidak patriotik – menjadi seperti sekumpulan yang amat berbeza, berbusana seperti pergi menonton wayang pacak – berdiri di tengah-tengah mereka. Walaupun mungkin tidak mengenali antara satu grup dengan grup lain, ternampak kemesraan mereka setiap kali bertembung atau berselisih. Masing-masing menegur dengan keupayaan sendiri – mengangkat tangan, menyebut ‘hai’ atau menjeritkan ‘Hidup Kedah!’. Yang ramah sedikit akan bertanya grup yang ditemui datang dari daerah mana atau datang dengan apa.Tetapi grup yang tidak bercirikan penyokong Kedah tidak mendapat sapaan begitu. Satu daripada grup begitu adalah kami berlima. Terasa ‘tau dibuat begitu - apabila kehadiran kami bagai tidak dipedulikan langsung oleh penyokong Kedah berkulit hijau kuning itu. Lebih-lebih lagi mengenang diri yang hanya lima batang kara di tempat orang….hehehehe.
Kemudian kami bergerak menyusuri puluhan gerai berpayung. Di satu gerai menjual nasi bersambal ayam, kami membeli lima bungkus. Tuan gerai di sebelahnya yang menjeling-jeling ke arah kami turut mendapat habuan apabila membekalkan pula lima bungkus air bercampur gula yang diserikan oleh pencelup merah.
Kami mencari bibir jalan untuk duduk bagi mengosongkan bekas polisterene dan bungkusan air itu. Sambil mengunyah, kami masih memerhatikan gelagat penyokong Kedah berhampiran stadium. Ramai juga yang telah berada di dalamnya, berdasarkan gema keriuhan yang terhasil.
Setelah mengagak nasi bersama lauknya telah sampai ke usus besar masing-masing dan tiga perlima daripadanya telah puas membebaskan karbon monoksida berkepul-kepul ke udara, kami pun menuju ke pintu stadium. Dalam beratur dan bergerak perlahan itu, sempat juga saya nampak kelibat beberapa orang yang saya kenali dari sekitar Simpang Empat, Kangkong. Semuanya kelihatan ceria dan begitu yakin akan pulang dengan kemenangan pada kali ini. Tengok gaya lenggang pun dapat dikenal akan keyakinan itu.
Rupa-rupanya tempat duduk kami adalah di belakang gol, di sebelah kanan tempat duduk VIP. Biarlah, asalkan ada di dalam stadium dan dapat menyaksikan perlawanan secara terus.
Penonton kian ramai. Sorakan makin gemuruh. Seluruh stadium diserikan oleh Mexican Wave – penonton bangun dan duduk secara bergilir mengikut peringkat yang bersambungan, menghasilkan ‘ombak’ beralun yang cantik. Semua ini berdasarkan corak formasi yang dihasilkan oleh para penonton di stadium-stadium semasa Piala Dunia 1986 di Mexico, di mana Maradona mengetuai pasukan Argentina menjuarainya. Supaya tidak dipandang serong, terpaksalah kami bangun beberapa kali apabila ‘ombak’ itu sampai ke tempat kami duduk…..
Ketika pemain masuk ke padang untuk memanaskan badan, suasana di stadium sudah terbakar dengan gegak gempita. Ketika itulah Khairi menghampiri kami, membawakan beberapa bungkus kacang dan kuaci. Gagah sungguh dia dalam baju yang agak tebal, meminta laluan untuk sehampir mungkin dengan kami. Sebelum duduk, dia menghulurkan sebahagian bungkusan makanan rencam itu kepada kedua-dua anak saudaranya untuk kami kongsi bersama. Dia kelihatan cukup ceria dan ramah. Semua yang dilihat memandangnya dibalas dengan lambaian atau anggukan bersadur senyuman manis. Ramai juga yang mendapat balasan berbentuk itu. Agaknya betullah, KL ini kepunyaannya……
Gegak gempita bagai berganda menjelang sepak mula. Barisan pemain yang berbaris untuk diperkenalkan kepada tetamu utama, baginda Sultan Kedah kelihatan bersemangat. Selepas bergambar kenangan pasukan masing-masing, Ahmad Sobri Ismail selaku kapten pasukan Kedah bersama kapten Kuala Lumpur, Razip Ismail dipanggil pengadil. Kedah akan bermula dari kiri tempat duduk VIP, ertinya jika Hussin Jaafar dan rakan-rakannya membuat jaringan pada separuh masa pertama, kamilah di antara penonton terdekat yang menyaksikannya…….
Percaturan Cikgu Ahmad Shafie adalah dengan menurunkan kesebelasan utama yang terdiri daripada Ahmad Sobri, K.Ravichandran, Lee Kin Hong, Ng Chew Beng, Mohamad Ramli,Naina Mohamad, Koet King Heyong, Chan Keat Swee,Radhi Mat Din, Hussin Jafar dan Norazam Ishak. Benar-benar 1Malaysia.
Kwai Lam pula meletakkan Abd Rashid Hassan, Tang Siew Seng, Razip Ismail, See Kim Seng, Chow Siew Yai, Malek Awab, Mohd Zan Mat Aris, Fandi Ahmad,Saidin Osman, Subadron Aziz dan S.Balachandransebagai pertaruhan awalnya. 1Malaysia + 2Singapura kerana kehadiran Fandi Ahmad dan Malek Awab, warga Kota Singa…….
Kedah berjersi keramat Hijau Kuning manakala KL memilih warna merah garang.
Penyokong Kedah lebih ramai dari penyokong Kuala Lumpur berdasarkan sorakan ketika nama-nama pemain diperkenalkan oleh juruacara. Namun bilangan yang sedikit itulah yang lebih riuh kemudiannya apabila Malek Awab menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit kelima.
Terkedu seketika ribuan penyokong Kedah sebelum kembali bersorak memberi semangat kepada para pemain kesayangan mencari gol penyamaan.
Dalam mengharapkan Kedah mampu memecahkan kebuntuan, muncul pula gol kedua KL. Kali ini menerusi penyudahan kemas Subadron Aziz, kira-kira setengah jam selepas gol pertama.
Bukan Kedah tidak pernah mengejar dua gol……. Mungkin itulah ungkapan yang tersemat di dada kesemua penyokong semasa permainan memasuki separuh masa kedua.
Semasa rehat sebelumnya pun kalimat itu bersambung sesama penyokong – tidak lebih sebagai penyedap hati …..
Kedah menyerang seperti yang biasa mereka lakukan di dalam perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir. Namun gol semangat yang dicari-cari tidak muncul. Hussin Jaafar sentiasa dirantai, Norazam Ishak ketandusan idea di bahagian sayap untuk memecahkan benteng kukuh lawan manakala penguasaan Radhi MdDin di tengah sedikit tenggelam diserap oleh saingan Mohd Zan dan Malek.
Namun sorakan kami bersama ribuan penyokong lain tidak pernah putus. Tinggal sepuluh minit permainan pun, kami yakin skuad Kedah masih berupaya berbuat sesuatu untuk menggembirakan kami. Bukan tidak pernah Kedah menjaringkan dua gol dalam masa 10 minit…….
Namun harapan kami berkecai pada minit ke-82. Ramlan Askolani yang baru empat minit masuk menggantikan Balachandran, mendapat peluang, lalu menewaskan Ahmad Sobri. Betul-betul di hadapan kami dari tempat duduk di belakang pintu gol Kedah. Jaringan beserta kelonglaian dan kekesalan pertahanan Kedah tatkala melihat bola melepasi garisan gol masih berbekas di minda hingga kini. Salah seorang pemain yang terduduk sambil menepuk bumi seakan mewakili hati kami menzahirkan kekecewaan.
Bersorak sakanlah penyokong KL kerana sah juga Piala Malaysia sekali lagi menjadi milik warga kota dengan masa perlawanan tinggal hanya 8 minit. Memang Kedah, malah Brazil, tidak pernah menjaringkan 4 gol dalam masa sesingkat itu pada peringkat genting pula. Lainlah kalau pemain amatur di padang AlFalah……Sepetang saja berpuluh-puluh gol tercipta!
Untuk tahun kedua berturut-turut, kami, ribuan penyokong pasukan Kedah terpaksa menelan kepahitan. Perit lagi rupanya apabila menelan pula di dalam stadium perlawanan…..
Ramlan Askolani [kini] |
Namun pahit dan perit itu membentuk luka yang cukup pedih apabila ada seseorang berhampiran kami berbaju merah putih melompat riang sambil mengibar-ngibar sehelai baju. Kami menoleh serentak ke arahnya. Insan yang sedang meraikan jaringan oleh Ramlan, pemain sebaya Ustaz Fairose yang pernah sama-sama belajar di Maktab Mahmud, Alor Setar, rupa-rupanya tidak lain dari Khairi!
Paktam Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy itu rupanya memakai baju keramat KL di bahagian dalam. Baju biasa yang saya lihat agak tebal pada awal tadi itulah yang dilucutkannya lalu dikibarkan dengan riang….
Kami tidak terkata apa-apa. Kami hanya penumpang manakala dia tuan punya KL…… Tapi kalau saya tahu demikian sudahnya, baju merah putih yang diletakkan di sofa petang tadi, akan saya sumbatkan ke dalam mangkuk tandas!
Kami melangkah keluar stadium belum pun wisel penamat dibunyikan. Hampa sungguh oooo. Pedih lagi apatah mendengar kekekan Khairi yang bertanya ke mana gerangan kami berderet berlima…….
Di luar, ramai penyokong Kedah telah mula mencari ketua dan bas rombongan. Nampak jelas kemurungan pada wajah mereka. Saya tahu mereka sedang merasakan betapa jauhnya untuk sampai ke rumah di Kedah……
Kami berjalan ke tempat kereta diletakkan. Terasa amat jauh perlu diatur langkah untuk sampai. Sepanjang jalan kami mengiringi atau memintas ramai penyokong Kedah yang datang bersendirian – turut menuju ke kereta masing-masing. Melihat mereka bermuram durja sambil melangkah, timbul kesyukuran juga di dalam hati. Dengan memakai baju biasa tidaklah kami terasa apabila terserempak dengan penyokong KL. Saya tidak dapat bayangkan apa yang ada di hati peminat yang berbaju petak-petak hijau kuning atau jalur-jalur kuning hijau ketika melihat peminat KL tersenyum-senyum…..
Sampai di kereta, wajah vw pula kelihatan seperti sedang tersenyum – dengan dua mata terbeliaknya……Cet!
Kami masuk dan dibawa pak supir keluar dari hiruk-pikuk sekitar stadium. Tidak banyak yang kami ulas sebaliknya diganti dengan dengusan dan keluhan.
Kami singgah di sebuah kedai makan untuk memenuhkan perut. Pelanggan semuanya sedang menyaksikan acara penyampaian hadiah kepada finalis Piala Malaysia di tv. Tiada siapa yang pedulikan kami selain tuan punya kedai – orang Kelantan yang mungkin sedang mengasah semula kemahiran dialeknya setelah dua hari terkehel lidah bergebang dalam loghat Kedah…..
Sekali lagi saya bersyukur ketika menunggu pesanan tiba. Kerana memakai baju biasa-biasa tiada siapa pedulikan kami. Kalaulah ada di antara kami yang memakai baju bercirikan pasukan Kedah, agaknya kenalah kami menyedut minuman dari bawah meja….
Memandang ke luar, sekali lagi saya bersyukur. Baru saya perasan vw Ustaz Fairose pula bukannya bernombor pendaftaran dari negeri kelahiran kami!
Lama juga kami menunggu makanan sampai. Maklumlah tuan kedai juga berminat untuk melihat Razip Ismail menjulang piala.Ada antara kami yang terlalu lapar sudah mula berang tetapi demi tidak mahu mendedahkan identiti, terpaksalah keberangan itu diluahkan di bawah meja! Ptuih!
Sambil itu, kami berbincang tentang plan untuk esoknya. Sepakat kami tidak mahu pulang lekas ke Kedah. Kehampaan perlukan sehari dua untuk pulih dan kami tidak mahu bergerak pulang bersama dengan rombongan dan individu yang sedang sekecewa kami. Lagi pula takut juga ada yang cedera di AlFalah jika banyak bertanya ketika menyambut kami kelak!
Tetapi sehari dua itu tidaklah mahu diisi dengan duduk melingkar sahaja di rumah Khairi – orang Kedah yang telah luntur cinta pada tanah tumpah darahnya!
“La ‘ni kita balik tidoq dulu…..”
“La ‘ni kita balik tidoq dulu…..”
Saya tidak ingat siapa yang melontarkan kata-kata demikian.
Yang pasti, maksudnya adalah pulang ke rumah tempat kami berlingkar dari malam hingga petang tadi.
Kerana di situ, masih tersimpan beg-beg pakaian kami.
Tetapi di situ, ada seseorang sedang meraikan kejayaan pasukan warga
kota membelasah skuad dari negeri kelahirannya…
Di situ!
Tetapi siapalah kami untuk ke situ hanya untuk mendapatkan beg dan keluar semula di tengah-tengah malam buta. Bukan takut tetapi tidak pernah diajar untuk berbuat biadap kepada tuan rumah.....
Kami mesti bersikap semi-pro seperti juga liga Malaysia ketika itu - pulang dan tidur di situ menunggu pagi.
-4-
Di rumah, kami disambut oleh si tauke ayam yang berkain pelikat, gayanya seperti baru bangun dari tidur. Selepas membuka pintu, dia menjabat tangan Cikgu Rahim. “’Nak buat macam mana nooo. Tak dak luck jugak…”katanya. Sebahagian kami mengangguk. Sekurang-kurangnya dia memadamkan sedikit bara di hati…
Kami duduk-duduk seketika sambil mendengar ulasannya sebagai penonton berkecuali. Sambil itu, secara bergilir kami ke bilik mandi – memanjakan diri dan yang relevan dengannya. Sekurang-kurangnya mandian meredakan sedikit lagi bara di hati…
Setengah jam melewati tengah malam, Khairi pulang. Ceria sekali wajahnya dengan tubuh masih dibaluti baju-t berwarna rasmi pasukan KL.
“Apa macam?”dia memanjangkan sebutan sukukata ‘cam’ semasa mengeluarkan soalan yang memang kami tidak akan menjawabnya. Cikgu Amminy, dalam nada perlahan, meluahkan kekesalan dengan sikap Paktamnya yang melompat sakan ketika meraikan gol ketiga perlawanan.
“Hangpa jangan silap!” Khairi bersuara sambil melucutkan baju-t yang dipakainya. Baju itu dilambungnya ke meja kopi yang terletak di tengah-tengah ruang tamu. Kemudian dia mencapai kain pelikat petang tadi yang dihampar pada penyandar sofa, melondehkan seluar di depan kami dan menyarungkan kain pelikat itu, juga di depan kami.
“Hangpa dengaq dulu…”
Setelah merasa selesa, dia duduk bersila, membentuk separuh bulatan bersama-sama kami dan rakan serumahnya – si tauke ayam yang beberapa kali menguap – sambil menghadap tv.
“Tahun lepas aku pakai baju hijau kuning. Masa balik puas aku kena bantai dengan kawan-kawan yang semua sokong KL dalam kereta. Tahun ‘ni depa suruh aku sokong KL. Aku ikut saja, ‘nak bagi seronok kekawan. Bila aku pakai biasa tadi, depa tak percaya aku dah ubah sokongan. Aku memang harap Kedah pukui KL. Bolehla aku bantai depa.Hangpa pun ‘tau, aku dok sorak untuk Kedah walaupun ‘dah kena dua gol.”
Khairi berhenti sejenak, mengisyaratkan kepada anak saudaranya yang merokok agar dihulurkan kotak rokok. Anak saudara itu bukan setakat menghulurkan, malah siap menolong membakar rokok yang terletak di antara dua bibir Paktamnya.Khairi pula menyedut dalam-dalam hingga berlopak kedua-dua pipi…
“ Tapi bila si Ramlan bubuh gol ketiga ‘tu, aku ‘tau Kedah tak boleh pi ‘dah…. Aku pun cabut baju luaq laaa. Untungnya, hingga sampai depan rumah tadi, takdak sapa kutuk aku. Depa percaya aku sokong KL…”
Tiada siapa bersuara. Barangkali semua faham duduk perkara. Barangkali semua membayangkan berada di dalam ‘kasut’ Khairi. Perantau yang mencari rezeki di Kuala Lumpur…..
Maka ruapan marah dengan tindakan Khairi di stadium akhirnya macam dikutil – hilang begitu sahaja….
Hendak dipanjang-panjangkan pun tiada gunanya. Kami sedang berlindung di bawah bumbung rumahnya. Menggunakan bilik mandinya. Menyantap seadanya yang disediakannya. Buatnya dia menyuruh kami mengangkat kaki tengah-tengah malam begitu, ke manakah akan dibawa kaki-kaki kami?
Kemudian, ketika masing-masing merendahkan seluruh badan hingga ke karpet, berbantalkan penyandar sofa dan beg pakaian, kami bersembang perancangan untuk siang nanti. Pelbagai cadangan dikemukakan, termasuk usul oleh Khairi. Saya hanya mendengar kerana tahu cadangan yang tersimpan di dada kalau dimuntahkan pun tiada yang akan akur. Secara peribadi – tolong jangan beritahu kepada sesiapa, ya - saya ingin ke tempat di mana khabarnya terdapat ramai orang baik-baik di kalangan janda, di Pahang. Duduk di situ barang seminggu dua, menanti cerita bola ditenggelami oleh bah di Kedah sambil dipujuk lara hati oleh para janda tadi…….
“Kita pi Port Dickson!”
Demikian cadangan Cikgu Amminy. Siapalah kami, terutama saya, untuk membantah cadangan supir kedua itu jika supir pertama merangkap tuan punya vw merupakan orang terawal menyatakan persetujuannya……….
Ketika matahari melebarkan cahayanya di bumbung Kuala Lumpur, kami sudah bersedia. Walaupun kalau boleh mahu disambung lena, kami tetap teringat kepada orang yang mengaku KL itu kepunyaannya. Apa pula kata warga kota jika tuan KL tidak masuk kerja semata-mata melayan tetamu kecewa di rumahnya…..
Bersalam-salamanlah kami dengan Khairi. Dia memeluk dua anak saudaranya. Itulah momen paling menyebakkan selama di KL. Lebih dari ketika melihat bola sepakan Ramlan bergolek….. Apa pula masih diingat benda malang itu? Cis! Cis! Cis! Saya menepuk-nepuk kepala agar ingatan tentang perlawanan semalam luruh terus.
Saya tidak teringat siapa yang mewakili memberi ucapan pendek kepada tuan rumah yang diwakili Khairi. Kawannya, apakenama, sebelum subuh lagi sudah berangkat ke lokasi niaganya. Selain titipkan salam untuknya, kami sempat berpantun: Terima kasih daun padi, tahun depan kami mai lagi…..
Keluar dari KL, vw nan gagah membawa kami ke Seremban. Di situ kami berjalan-jalan di dua tiga deret kedai. Tiada apa-apa yang kami beli kerana memang tiada niat untuk membeli apa-apa.
Agak lama berjalan dan melihat-lihat, menyedut udara bandar Seremban, perut pun berdehem. Terdengar jelas dialognya yang separuh menyindir dengan tekak yang kemudiannya dihantar ke otak untuk ditafsirkan. Tangan yang turut terasa, hanya menggosok perut dari luar menyuruhnya bersabar sedikit.
Kemudian mata kami tertumpu ke sebuah kedai makan. Tekak menelan liur dan sebaik liur itu sampai ke perut, terloncat-loncatlah ia kegembiraan sambil menyanyikan lagu keroncong dengan kuatnya…..
Kami makan dengan menunjukkan ciri orang Kedah. Longgok sakan, lauk pun sakan, suapan lagilah sakan. Biarlah, di Seremban, tiada orang akan menyangka kami dari negeri pengeluar beras, yang baru tewas dalam pertarungan semalam. Lagi pula vw yang kami naiki bukan berdaftar di JPJ Kedah….
Perut meminta ampun kerana terlalu kenyang. Tekak menyindirnya. Tangan kiri menggosok perut manakala tangan mengusap halkum, meminta kedua-duanya bertenang. “Kita jauh di tempat orang ‘ni…..”pujuknya.
Saya terkenang orang tua-tua yang menghantar anak ke sekolah. Hasrat mereka: Paling kurang, dapat membaca nama destinasi bas, pun cukuplah. Kini, kami berlima di dalam vw, dengan fasih dapat membaca papan tanda di sepanjang jalan. Selesalah pak supir mengendalikan stereng apabila terjumpa penunjuk arah…
Kami sampai di plaza tol, apakenama. Ustaz Fairose memberhentikan vwnya betul-betul di sisi pondok tol paling kiri. Di dalamnya sedang tersenyum juru tol berusia awal duapuluhan. Semua mata kami bertumpu ke arahnya. Salah seorang sempat memanggilnya, mendasarkan pada nama di tag yang dipakai di kanan dada.
Si dia hanya tersenyum.
“Jom ikut pi PD!” pelawa seseorang. [Saya ingat seseorang itu tetapi demi tidak mahu diketahui oleh anak-cucu kami kelak, terpaksalah dirahsiakan. Hehehehe. Jurutol itu pun kini pasti sudah berada di penghujung empatpuluhan usianya….]
Si dia hanya tersenyum.
“Bye-bye!” hampir semua dan serentak kami bersuara dan melambai sebaik pak supir mendapat tiket tol dari si dia.
Bagai diprogramkan, si dia hanya tersenyum. Tidak pun membalas lambaian kami yang masih tertoleh-toleh ke arah pondok tol.
Gembira sungguh kami. Ustaz Fairose memecut vwnya melatam lebuhraya….
Sepuluh minit kemudian, ada di antara kami yang perasan. Papan tanda di pinggir lebuhraya tidak satu pun tertulis Port Dickson. Vw diperlahankan. Seorang pula berkata, rasanya kami telah melintasi satu simpang ke kanan tidak jauh dari plaza tol tadi - semasa kami sedang mencari penutup kepada gelak-gelak kepada jurutol itu. Sudah! Libang-libu jadinya.
Vw dihentikan di bibir jalan akhirnya. Salah seorang menahan sebuah kenderaan, bertanya arah ke PD. Sahlah kami telah terlepas simpang tadi…..
Vw bergerak semula dengan perlahan. Pada satu tempat yang hanya diletakkankan beberapa kon oren berantaikan gantungan plastik pelantun cahaya berwarna merah, memisahkan dua arah laluan lebuhraya, sekali lagi vw dihentikan. Kami turun berempat.
Dengan meniru lagak pekerja PLUS, kami mengangkat empat lima kon dan rantai penyambung sesamanya, memberi ruang yang cukup untuk Ustaz Fairose mengemudi vw membuat pusingan U. Kereta yang lalu-lalang tercengang melihat ‘kura-kura’ besar melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh spesies mereka di tempat begitu. Ada di antara pemandunya membunyikan hon, agaknya bertanya: Apakah halnya? Tetapi kebanyakannya hanya memperlahankan kereta seketika sebelum terus memecut, meninggalkan deru yang kalau diterjemahkan bermaksud: Adakah perlu aku kisahkan?.....
Lega rasanya apabila menaiki semula kereta dan menghala ke Seremban semula….
Tetapi di pondok tol, seorang jurutol berusia sebaya kami tersenyum sebaik diunjukkan tiket tol oleh Ustaz Fairose. “Ini sudah salah, encik,”katanya tanpa meletak ke tepi senyuman itu.
Tidak tahulah samada orang Nogoghi itu sekadar menyakat atau tidak apabila mengatakan kami sepatutnya disaman. Kami semua bersuara hampir serentak yang tidaklah dapat saya perturunkan semuanya di sini akan buah butirnya.Tetapi dapatlah dirumuskan bahawa semua kami telah tersilap dan mohon dimaafkan.
“Tak apalah,” kata jurutol yang juga diprogramkan untuk sentiasa tersenyum itu, “kerana mood saya baik hari ini, encik bayar denda sepuluh ringgit sudahlah……”
Lega rasanya sebaik palang di hadapan terangkat setelah sepuluh ringgit digunakan untuk menebus kesalahan kami. Tidak sempat untuk melambai kerana tiba-tiba kami perasan rupanya hanya ada dua pondok tol yang berpenghuni di plaza tersebut pada ketika itu. Satu untuk masuk dan satu untuk keluar.
Ertinya………
Di hujung kawasan berpembahagi jalan bagi vw dipusingkan menghala ke Port Dickson semula, Ustaz Fairose memberhentikan kenderaan. Dia meminta Cikgu Amminy pula memandu. Setelah saling bertolakan seminit dua, akhirnya Ustaz Fairose tetap dikehendaki terus memandu….
Di pondok tol, gadis yang kami tinggalkan sambil berbye-bye tadi masih ada. Tersenyum manis menghulurkan tiket kepada Ustaz Fairose yang sedang terkunci mulutnya. Kami yang bertiga di tempat duduk belakang pula tunduk serapat mungkin hingga kepala badan bertemu kepala lutut! Malu woo……
Sehingga vw digerakkan semula, kami masih dalam keadaan sujud dalam solat orang uzur itu. Tidak siapa lagi yang berani melambai atau berkata ‘bye-bye’! Tapi saya cukup yakin, juru tol itu sedang tersenyum juga sambil mengekori dengan hujung mata akan keberangkatan kami…
Kali ini vw bergerak secara sederhana. Sepuluh biji mata terarah ke semua papan tanda yang ada di bahu jalan. Ketika terjumpa peringatan simpang keluar ke Port Dickson di hadapan, semua kami bersuara dan saling mengingatkan agar jangan terlepas lagi…..
Demikianlah.
Akhirnya kami sampai ke kawasan pantai yang terkenal itu. Berpakaian seperti orang makan kenduri di situ, apalah sangat yang kami dapat lakukan selain berjalan-jalan sepanjang pantai, melihat-lihat orang yang tidaklah begitu ramai memandangkan hari itu awal minggu (Isnin), melihat-lihat gerai yang sederet didirikan di kawasan lapang di bawah pokok dan menyepak-nyepak pasir….
Saya tidak ingat sangat sama ada kami berendam atau sebaliknya semasa di pantai Selat Melaka. Yang diingat hanyalah berjalan-jalan hingga melintasi satu kawasan dipenuhi batu besar dan tumbuhan – tempat pasangan insan berlainan jenis berjumpa, mengucapkan ayat-ayat cinta, berjanji bersaksikan laut dan pantai. [Mungkin sekarang kawasan itu telah dimurnikan oleh pihak berwajib atau peneroka haram. Kalau pula masih ada sebagaimana asal tempat itu, frasa ‘tempat pasangan insan berlainan jenis’ kenalah diubah atau ditambah sedikit kerana sekarang sudah ada pasangan insan sama jenis……]
Berpatah balik, kami berbual-bual sekejap dengan ‘budak-budak pantai’ yang menyewakan tayar dalam kereta dan lori untuk dijadikan pelampung, singgah melapik perut di satu gerai dan berjalan-jalan semula menyedut udara pantai.
Ternyata, berada di situ, kami benar-benar ingin melupakan kepedihan semalamnya. Tetapi walau hampir tidak disebut oleh sesiapa di antara kami tentang kegagalan kali kedua berturut-turut Kedah untuk menjulang kejuaraan sulung Piala Malaysia, kekecewaan itu tetap masih terasa…..
Petangnya, kami bertolak balik. Cerita perjalanan balik tidak perlulah saya catatkan. Tiada yang menarik. Lagi pula kami ditempat duduk belakang kebanyakan masa adalah dalam suasana lena yang amat asyik.
Tabik untuk Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy yang tabah mengharungi jalan pulang, bergilir-gilir berada di belakang stereng vw yang tidak sekalipun meragam itu.
Bagaimanapun ada sesuatu yang saya ingat secara peribadi semasa berada di Port Dickson…..
Di satu batu besar, kami duduk menghadap Selat Melaka. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Masing-masing memegang beberapa ketul batu
kecil, bergilir-gilir melontar kuat ke permukaan air…………
Ingat atau tahu cerita Semerluki? Saya pernah terbaca tentangnya yang merupakan seorang pahlawan handalan anak raja Negeri Mengkasar, bernama Raja Keraing Mancokok.
Semerluki, anak dari isteri pertama dari tujuh beradik yang dinikahi ayahnya, telah jatuh cinta kepada ibu tiri merangkap ibu saudara yang bongsu. Si ayah yang tahu keadaan, secara lembut menyarankan si anak merantau kerana di muka bumi ini banyak lagi wanita yang lebih cantik dari isteri bongsunya itu.
Dalam kehampaan, Semerluki, dibantu oleh orang kanan bernama Daing Segara, mengumpulkan angkatan lautnya yang terkenal kuat dan banyak.
Mula-mula dia menyerang Jawa demi mencari wanita secantik emak tiri bongsu itu. Kanak-kanak dan wanita tidak diapa-apakan, manakala kaum lelaki pula hanya dibunuh jika melawan. Harta yang mahal nilainya akan dirampas.
Kemudian dia menyerang Pasai, ketika itu jajahan Melaka. Dimusnahkan semua kapal di pesisir pantai Pasai lalu cuba pula menghala ke Melaka. Sultan Mansur Syah murka lalu memerintahkan Laksamana Hang Tuah membebaskan Laut Melaka dari gangguan Semerluki.
Terjadilah pertarungan yang maha dahsyat, hingga angkatan Semerluki berundur semula ke Pasai. Angkatan Hang Tuah tetap menanti di sekitar perairan. Di Pasai telah menunggu pula, Raja Kenayan, harapan Raja Pasai, yang ternyata lebih bersedia dengan kelompok besar menahan maruah Pasai yang diserang sebelum ini. Keberanian orang Pasai yang awalnya ingin dimusnahkan kerana merupakan takluk Melaka, menyebabkan Semerluki terpaksa berpatah balik.
Terjadilah pertarungan yang maha dahsyat, hingga angkatan Semerluki berundur semula ke Pasai. Angkatan Hang Tuah tetap menanti di sekitar perairan. Di Pasai telah menunggu pula, Raja Kenayan, harapan Raja Pasai, yang ternyata lebih bersedia dengan kelompok besar menahan maruah Pasai yang diserang sebelum ini. Keberanian orang Pasai yang awalnya ingin dimusnahkan kerana merupakan takluk Melaka, menyebabkan Semerluki terpaksa berpatah balik.
Tetapi dia bertembung pula dengan kumpulan pimpinan Hang Tuah.
Berlaku lagi pertarungan dahsyat. Akhirnya kapal Semerluki yang terpisah dari kumpulan asalnya terpaksa berundur, sambil membakar semua harta rampasan dan kapal-kapal kecil. Mungkin untuk melengahkan angkatan Hang Tuah atau biar sama-sama tidak mendapat harta…
Isteri cantik yang diingini tidak diperolehi, harta juga hilang. Dihambat oleh laksamana Melaka pula.
Semerluki sangat hampa dan marah. Dia terus belayar dari teluk ke teluk.
Sampai di satu teluk, dengan Daing Segara di sisi, Semerluki membuang seketul batu dan berkata, “Timbullah batu ini, maka aku akan datang ke laut Ujung Tanah[Melaka] ini!” Tempat itu hingga kini dipanggil Tanjung Batu.
Akan Semerluki pun terpaksa merantau ke kawasan lain, terus mencari isteri yang secantik ibu saudaranya itu….
Begitulah lebih kurang dari cerita Sejarah Melayu. Menarik kalau difilemkan, mungkin lebih hebat dari semua episod filem Lanun Caribbean itu…
Semasa berjalan menuju ke kereta, saya mengambil seketul batu di atas pantai Port Dickson. Saya lontarkan ke Selat Melaka, lalu berkata kepada angin yang berkeliling, “Timbullah batu ini, maka aku akan datang tengok Kedah dalam final Piala Malaysia lagi, di stadium!”
Maka itulah sebabnya selepas 1988, walau enam tujuh kali Kedah layak ke final malah memenangi Piala Malaysia, kelibat saya tidak ditemui di mana-mana stadium……
Batu yang saya buang itu makin terbenam di dasar pantai Port Dickson.
Semua ini, disebabkan pengaruh Semerluki!
Akan vw hebat tersebut, entah di mana dan bagaimana khabarnya sekarang……
No comments:
Post a Comment