Wa |
Tokwan mahir bertukang kayu. Membuat dan mengubahsuai rumah
merupakan keutamaannya. Teliti dan bersungguh dalam tugas itu. Selain rumah
sendiri, beberapa rumah di dalam kampung adalah hasil kerja Tokwan. Rumah Hj Sudin – salah seorang ada-ada,
juga sahabat Tokwan – serta rumah Pakndak Non adalah di antaranya. Selain itu, hampir
semua bangunan awal sekolah rakyat di kampung – Madrasah AlFalah – yang Tokwan
terlibat dalam perencanaan dan mengasaskannya, turut mendapat sentuhan
pertukangan Tokwan.
Kebolehan Tokwan itu turut dibawanya ketika berpindah ke
Batu 30, Jalan Bukit Selambau, Jeniang pada awal 70-an.
Senak Perut |
Tetapi awal dari itu pun, keupayaan Tokwan telah diterima
oleh orang luar – luar daerah. Saya masih ingat, saya belum bersekolah rendah,
tatkala Tokwan dilamar untuk bertukang di Alor Gandak, kampung kelahiran Wa Hjh
Sarah Ariffin, isteri kedua Wa Hj Md Isa. Saya tidak mengerti apa-apa apabila
melihat Tokwan berkemas dengan peralatannya pada satu hari. Saya berada dekat bekas
peralatan tersebut, sekadar memerhati Towan memilih peralatan perlu lalu
dimasukkan ke dalam satu beg usang serta satu uncang kain yang muat kalau
dimasukkan kepala saya…... Meski semuanya milik Tokwan, saya tidak pernah
diizinkan menyentuh apa-apa, termasuklah yang paling saya ingini dan minati –
alat penebuk kayu, yakni penggerudi, atau lebih dipanggil Senak
Perut, mungkin kerana ketika menggunakannya, satu bahagian
hujung yang bulat sebesar kuih pau ditekankan
ke perut manakala matanya diletakkan ke tempat yang mahu ditebuk/digerudi.
Saya ke rumah kawan ketika Tokwan dibawa oleh Wa ke Alor Gandak.
Balik dari bermain dengan kawan-kawan pada petangnya barulah saya tahu Tokwan
tiada di rumah. Emak yang memaklumkan apabila saya bertanya tentang ketiadaan
kelibat Tokwan seperti selalu.
Maka hingga terlenalah saya mengadunkan ragam sejak hujung petang - menangis,
meraung, teresak dan mengamuk! Puas juga emak dan ayah memujuk tapi tidak berjaya. Emak sebut tentang cuti sekolah
sudah dekat. Ayah menambah bahawa Wa akan datang nanti untuk mengerjakan bendangnya. Tapi saya tidak boleh
hubungkan apa yang mereka cakapkan itu dengan rasa marah yang sedang memuncak…..
Saya marahkan dua orang.
Pertamanya, Tokwan. Dia telah berjanji kalau akan pergi ke
rumah Wa – seperti yang diceritakan kepada jiran-jirannya sejak lebih dua
minggu sebelumnya - dia akan membawa
saya bersama….
Saya cukup lama memasang keinginan untuk ke situ. Wa Sarah
selalu mempelawa setiap kali datang ke rumah Tokwan. Banyak keseronokan di Alor
Gandak, berdasarkan cerita Wa Sarah. Rumahnya dua tingkat, ada banyak
kedai, ada basikal kecil, dekat dengan pekan – dekat pula dengan tapak pesta….. Saya
hanya ternganga dan menelan liur mendengarnya. Semua itu tiada di kampung
kelahiran saya…… Walaupun kerap Wa Sarah mengajak, namun setiap kali mahu
balik, tidak pula saya dibawa bersama. Bukannya payah,saya boleh berdiri di atas lantai skuter Wa. Wa sarah duduk saja di belakang Wa Isa seperti biasa….
Sebab itulah apabila Tokwan berjanji akan membawa saya, hanya Tuhan yang tahu kembangnya
hati ini. Dari cakap-cakap Tokwan dengan rakan-rakannya, Tokwan akan lama
berada di rumah Wa. Ertinya lamalah juga saya akan di sana. Puaslah menonton
tv, berulang-alik ke kedai, menunggang
basikal kecil serta mengunjungi pesta…..
Tapi Tokwan telah pergi tanpa membawa saya.…Sampainya hati Tokwan. Saya tidak boleh
berhenti menangis bila teringatkan Tokwan dan lebih-lebih lagi pada janjinya!
Orang kedua yang saya marah malam itu tentulah Wa!
Pandai-pandai melarikan Tokwan dari saya. Tidak mahu menunggu sehingga saya
balik dari bermain. Kalau tidak, malam itu saya mungkin sedang tidur dengan Tokwan……
Saya mengamuk kerana teringatkan Wa!
Esoknya, meski ada esak sedikit ketika dipakaikan baju, saya
tetap ceria bermain bersama kawan-kawan….. Seperti biasa, bersama mereka, saya leka lalu lupa tentang
hal semalam. Cuma apabila berlabuhnya
senja, berjuntai kaki di tangga rumah Tokwan, saya teresak semula. Saya begitu
rindukan Tokwan…..
Demikianlah.
Sepanjang minggu itu, menjelang senja sahaja, tidak siapa boleh menghalang
saya duduk menjuntaikan kaki pada tangga kedua dari atas, menghadap muka pintu,
lengan diletakkan pada anak tangga paling atas dan di atas lengan itu saya
letakkan dahi, lalu menangis…….
Satu hari, apabila balik dari rumah kawan merangkap jiran sekampung, saya nampak Vespa
Wa berwarna biru muda di bawah pokok kelapa di depan rumah. Saya tidak terus
naik ke rumah, sebaliknya melompat ke dapur rumah Tokwan. Mahu saya lepaskan
geram bersalut rindu pada Tokwan. Tetapi Tokwan tiada. Tok mengatakan Tokwan
tidak balik. Ndak mengesahkannya. Chik yang baru balik dari sekolah, tidak kelihatan. Yang ada hanya Wa Isa – seorang – sedang bersandar
pada tiang seri rumah tengah, tempat selalu Tokwan. Saya tidak pun melihat ke arah
Wa walaupun dua tiga kali dia memanggil nama saya. Saya tak suka Wa memanggil nama saya.... Agaknya Wa yang tidak membenarkan Tokwan membawa saya dulu.Pandai-pandai melarikan Tokwan dari saya.
Saya melompat semula ke tanah. Melangkah ke rumah. Mahu pergi
ke ruang dapur untuk menyertai ayah menghadap makan tengahari. Emak sedang duduk antara ruang depan dengan pintu ke dapur,
melipat pakaian yang dikutip dari penyidai. Baju dan seluar saya tidak
ketinggalan. Tetapi diletakkan berasingan dari pakaian ayah, emak dan adik. Ada beg kertas kelabu yang ayah dapatkan dari Kedai Hean Tai di Simpang Empat, di tepi lipatan baju dan seluar saya itu.
“Wa mai nak ambik chek pi rumah dia…..” kata emak. Saya
terpempan. Alangkah tak patutnya saya tidak menjawab panggilan Wa tadi! Saya cuba menyimpan senyum dengan segala susah payah. Masa
makan bersama ayah pun terasa payah pula untuk menelan nasi. Maklumlah
mengunyah sambil tersengih…..
Selepas makan, saya turun ke bawah rumah. Saya pandang Vespa
Wa yang masih di tempat tadi – menumpang bayang pokok kelapa. Awalnya saya terfikir Wa hanya datang untuk melihat-lihat bendangnya.....
Sesuai dengan suruhan emak, saya pergi ke telaga di celah pokok nipah di belakang di antara rumah ayah dengan rumah Tokwan. Emak yang sedia menunggu memandikan saya, menggosok seluruh badan saya dengan pulur sabut yang dicalitkan sedikit sabun cap kapak. Pada bahagian belakang telinga dan buku lali, emak sental cukup-cukup sehingga terasa pedih kulit. "Jangan bagi ada daki..." kata emak. Saya terkernyih - antara seronok dan sakit.
Sambil itu, emak tidak berputus berpesan tentang etika duduk di rumah Wa. Jangan begitu, buat begini. jangan ke situ, duduk di sini. Bla...bla..
Di atas rumah kemudiannya, sambil memakaikan baju seluar, sambil menempekkan bedak sejuk ke muka dan leher saya, serta sambil mengetip kuku kaki dan tangan, pesan emak belum lagi habis..... Saya hanya terkerising.
Sesuai dengan suruhan emak, saya pergi ke telaga di celah pokok nipah di belakang di antara rumah ayah dengan rumah Tokwan. Emak yang sedia menunggu memandikan saya, menggosok seluruh badan saya dengan pulur sabut yang dicalitkan sedikit sabun cap kapak. Pada bahagian belakang telinga dan buku lali, emak sental cukup-cukup sehingga terasa pedih kulit. "Jangan bagi ada daki..." kata emak. Saya terkernyih - antara seronok dan sakit.
Sambil itu, emak tidak berputus berpesan tentang etika duduk di rumah Wa. Jangan begitu, buat begini. jangan ke situ, duduk di sini. Bla...bla..
Di atas rumah kemudiannya, sambil memakaikan baju seluar, sambil menempekkan bedak sejuk ke muka dan leher saya, serta sambil mengetip kuku kaki dan tangan, pesan emak belum lagi habis..... Saya hanya terkerising.
Siap dilangiri emak, saya melangkah turun, mula-mula ke bawah rumah Tokwan. Terdengar Ndak sedang berbual dengan Tok di ruang rumah tengah, tempat Wa bersandar tadi. Saya berdehem kemudian sengaja terbatuk di bawah rumah. Banyak kali dan agak lama. Saya tidak mengharapkan Ndak atau Tok perasan. Saya tujukan batuk dan dehem tadi kepada Wa yang tadinya memanggil saya berkali-kali. Namun hinggalah deheman sengaja itu diakhiri, Wa tidak pun memberikan sebarang respons…..
Saya melangkah naik tangga rumah tengah Tokwan. Menjengok di
muka pintu. Ndak dan Tok memang sedang berbual. Chik ada di sebelah Ndak. Saya nampak rebahan badan Wa. Wa sedang terpejam berbantalkan dua lengannya. Patutlah……
“Mak lipat baju ‘dah?” Tanya Tok. Saya mengangguk sambil
tersengih.
“Dok sana jangan dok qeyau [keriau] nak balik pulak!” Ndak berkata,
entah berpesan entah sedang marah….. Tapi saya terus mengangguk dan terus
tersengih….
Perjalanan dengan Vespa yang Wa tunggang masih seperti baru di memori saya. Satu pengalaman yang cukup indah. Tidak sedikit pun rasa lenguh meski berdiri agak lama, dek pemandangan di sepanjang jalan yang semuanya baru di mata saya. Saya tidak ingat jalan-jalan yang diambil tapi tidak lupa setiap kali dia membelok, Wa akan berkata: "Sampai dah....Sampai dah." disusuli dengan pertanyaan "Yang mana rumah Wa?". Wa mungkin menyedapkan hati saya serentak cuba memberikan kejutan kerana tahu saya tidak pernah ke rumahnya.
[Tiga puluh tahun kemudian, ketika membawa anak sendiri berusia dua tahun, menaiki motor dari Kubor Panjang ke Permatang Ibus, makinlah saya faham tindakan Wa itu. Merasakan anak seperti tersengguk dalam dakapan sebelah tangan kiri, sedang tangan kanan memegang handle motor, saya pun berkata: "Sampai dah..... Sampai dah......" walau ketika itu belum pun motor melepasi Pekan Tokai........]
No comments:
Post a Comment