Wa |
Vespa yang bernombor plat PF 5259* itu sampai di laman rumah Wa ketika ayam telah masuk ke reban......
Wa Sarah menyambut kami dengan sengihan
yang saya cukup suka lihat. Tokwan yang nampak gayanya baru selesai mandi ikut
muncul di muka pintu. Riak wajah keringnya saya tidak dapat tafsirkan samada
suka atau tidak dengan kemunculan saya.
"Awat Tokwan buat lagu tu? Awat
Tokwan tinggai chek macam tu?" tanya saya sebaik nampak muka Tokwan. Tapi
pertanyaan itu hanya saya yang dengar, keluar dari hati saya...
Kemudian muncul Amiroh - panggilan Wa
Sarah kepada gadis kecil yang tua sekitar dua tahun dari saya. Wajahnya pun
saya tidak boleh tafsirkan. Tidak tahu samada dia sedang tersenyum atau
sebaliknya sebaik melihat saya. Wajahnya kering juga.
[Saya tidak faham sangat hubungan dengan
Amiroh ketika itu. Kami jarang berjumpa.Kata emak, pada satu hari - ketika
berada di dapur rumah kami - saya kena memanggilnya Chu, kerana dia juga adik
emak dan ayah. Saya keliru. Kalau adik emak, tentulah adik ipar ayah. Kalau
adik ayah, tentulah adik ipar emak. Emak kehilangan kata yang agak lama.
Kemudian dia menerangkan duduk perkara. Tetapi saya makin keliru. Apalah sangat
yang boleh saya faham tentang Besan Sebantal* yang emak cuba ceritakan. Lagi pula, kalau dia anak Tokwan,
adik kepada Chik, kenapa Amiroh itu tidak tinggal di rumah Tokwan?
Emak kehilangan kata lagi. Ayah dari awal
lagi langsung tidak berkata apa-apa. Hanya mendengar kami berbual. Emak
bercerita lagi - cerita yang kemudiannya diulang berkali-kali sehingga saya
baligh - tentang kematian Tok Mah [ibu kepada emak, Ngah, Paktih, Paktam, Chik
dan Chu] selepas melahirkan Chu. Tentang anak bongsu yang masih bayi itu
diserahkan kepada Toksu Nab [Zainab Lebai Isa], adik Tokwan yang tinggal di
Kandai. Tentang kerana Wa Isa dan Wa Sarah tidak ada anak selepas agak lama berkahwin -
malah hingga ke akhir hayat Wa Sarah - Chu diserahkan pula kepada mereka.
[Kisah pertukaran hak jagaan ini berkali-kali juga emak
ceritakan dengan detail dan
kadangkala bersama linangan air mata, yang sesekali saya pun menumpang sama...
Tidak dapatlah saya pula detailkan kepada anda ketika ini tapi percayalah, jika
diberi kesempatan menerbitkan drama yang ditayangkan pada waktu Maghrib seperti
di TV3 sekarang ini, dengan cerita yang emak sampaikan itu, silap-silap solat
Maghrib anda bukan sahaja sentiasa terlewat, tapi langsung terlepas ……]
Saya tidak ingat sangat apa yang berlaku pada malam itu, serta
hari-hari berikutnya. Yang masih ada pada secarik memori ini adalah bagaimana tiga
empat hari saya mengikut Tokwan ke tempatnya bertukang rumah. Berjalan kaki
sahaja walaupun jauhnya dari rumah Wa, boleh tahan lumayannya… Sekali dua juga
saya makan tengah hari bersama Tokwan dan tuan rumah dan hanya balik bersama Tokwan pada
petangnya. Ada sekali dua yang lain, Wa akan datang mengambil saya dengan
Vespanya. Balik makan bersama di rumahnya. Petangnya? Saya lupa, carikan memori
tentang itu telah reput, cuma ingat ada seorang anak saudara Wa Sarah akan datang
mengajak saya bermain di rumahnya yang terletak sepelaung dari rumah Wa.…
Satu lagi yang saya ingat adalah pada suatu malam, Wa
membawa saya melihat ghazal parti di sebuah rumah kenduri. Pengalaman pertama yang
melekat hingga kini di minda. Yang dipanggil Amiroh itu, Wa Sarah dan Tokwan tidak ikut serta.
Nama kumpulan ghazal itu ialah Al Masriah, dari Bukit Raya. Ahli
muzik dan penyanyinya tak dapat saya ingat walau seorang. Cuma pelawaknya tidak
saya lupa salah seorangnya – Yaakob Tok Arab. Dia muncul berlawak pada
pertengahan persembahan dan orang keliling ketawa sedang saya tidak tahu apa
yang mereka ketawakan. Dalam satu sketsa itu, muncul seekor harimau di atas
pentas. Saya meraung! Wa cuba mendiamkan saya dengan mengatakan itu hanyalah
manusia yang dipakaikan kostum harimau – merangkak mengitari pentas. Yaakob Tok
Arab melompat ketakutan, mana mungkin saya boleh percaya cakap Wa, walaupun
penonton sekeliling semuanya tertawa melihat aksi di atas pentas itu. Saya
terus meraung dan memeluk lengan dan badan Wa.
“Aku bubuh penampaq budak ni, baru tau!” kata Wa, agaknyalah di
dalam hati, berdasarkan caranya mengheret saya balik…..
Pagi esoknya, Wa Sarah terkekeh-kekeh tertawa bersama
saudara-maranya ketika bersembang di luar rumah, bercerita tentang raungan saya
tatkala terlihat harimau di atas pentas itu. Saya terkerisin dan tersipu. Wa
Isa hanya tersenyum. Begitu juga Tokwan.
Tapi hari itu rupanya merupakan hari paling sedih dalam hidup –
setakat umur begitu. Wa menyuruh saya bersiap untuk balik. Saya terpempan,
tidak tahu berkata apa-apa. Saya tidak tahu bagaimana hancurnya hati. Saya
tidak tahu kenapa begitu tiba-tiba Wa mahu menghantar saya balik ke kampung
kelahiran. Saya tidak tahu menghuraikan bagaimana perasaan yang ada. Sebak.
Sebal. Sedih. Tokwan pula tiada kerana sudah keluar bertukang. Kalaupun Tokwan
ada, bolehkah suruhan bersiap oleh Wa diubah? Saya melihat muka Wa. Tidak ada
sebarang tanda pelik – masih seperti biasa. Wa Sarah pula melepaskan saya
pulang dengan senyuman yang saya suka lihat dulu juga. “Nanti mai lain na…”katanya
sambil memasukkan wang kertas seringgit ke dalam poket seluar saya. Saya tidak
tahu untuk tersengih atau apa. Saya tidak ingat semasa Vespa Wa mula bergerak, adakah yang dipanggil Amiroh ikut menghantar dengan matanya atau tidak. Mohd Rodhi Md Nor, anak saudara Wa, sebaya saya, yang
menjadi kawan angkat saya sepanjang di situ juga tidak kelihatan.
Seperti waktu datang dahulu, saya ditugaskan memegang handle Vespa Wa sambil berdiri. Tetapi
tidak seperti waktu datang dahulu, saya tidak teruja langsung sepanjang
perjalanan pulang. Keseronokan saya semacam direnggut tiba-tiba. Tidak pasti Tokwan
tahu atau tidak akan kepulangan saya pada hujung pagi itu.
Tidak seperti waktu datang dahulu, Wa
tidak pun bersuara walau berkali-kali membelok. Agaknya kerana saya sudah tahu
sampai atau belum kami ke kampung.
Sampai di rumah, saya tidak banyak cakap. Ketika Wa
bertolak balik pun – pada petangnya – saya tidak mahu melihatnya. Malah
panggilan Wa ketika dia mahu menghidupkan enjin Vespanya, tidak saya peduli.
Panggilan itu bukan ajakan lagi. Sekadar mahu menambah kelukaan hati…
Emak yang tahu detak hati anaknya mengurut belakang,
memujuk saya. “Lain kali Wa mai ambik pulak….” Saya tidak terbujuk pun. Saya
teresak.
Mulai senja hari itu, berulang dua tiga senja
kemudian, Tok, Ndak dan Chik agaknya jemu mendengar raungan saya di atas tangga
rumah Tokwan. Modus operandinya
mudah. Saya akan duduk di atas anak tangga kedua dari atas menghadap pintu rumah tengah Tokwan. Saya
letakkan lengan di atas anak tangga paling atas. Letakkan dahi di atas lengan itu.
Memandang ke tanah. Pejamkan mata. Bayangkan wajah Tokwan. Maka mudah sahaja
esakan bermula. Saya teruskan dengan meraung sambil menyebut Tokwan….
Emak akan datang memujuk. Frasa yang paling kerap disebut: “Lain kali Wa mai
ambik pulak….” Tetapi saya tetap tidak
terbujuk. Bagaimanapun, raungan itu saya bawa balik ke rumah sedikit, selepas
Ndak atau Tok menutup pintu rumah tengah Tokwan. “Waktu ni oghang sembahyang,
bukan teghiyak…” kalau Ndak yang menutup pintu, itu yang disebutnya. Kalau Tok?
Saya lupa.
Di rumah, saya sambung sedikit lagi esakan, sebelum
terjaga pagi esoknya dengan ceria…
Demikianlah.
Sejak itu saya tidak lagi dibawa ke rumah Wa,
hinggalah setelah saya berada di dalam
darjah tiga pada tahun 1970. Saya ingat sangat tahun itu. Kenapa?
Nantilah.
[Amiroh yang saya
sebutkan di dalam catatan ini adalah nama lain untuk Chu – Ommus Shapakoh. Chu
tinggal dengan Wa sehingga selepas tamat persekolahan menengah. Kemudian Chu
bekerja di Pulau Pinang. Majlis perkahwinan Chu dengan Paksu [Hazizan bin
Ishak] turut dilangsungkan di rumah Wa, tetapi bukan lagi di Kg Alor Gandak,
sebaliknya di rumah di tapak baru di Jalan Langgar, seperti yang ada sekarang.
Tahunnya, 1982. Cukup mudah untuk mengingat tahun itu kerana pada malam Chu
akan bersanding, saya menonton siaran ulangan perlawanan akhir badminton beregu
All England di rumah bersebelahan rumah Wa. Razif Sidek dan adiknya, Jalani
muncul juara. Lebih kurang dua jam selepas selesai menonton anak-anak Pak Sidek
itu menjulang kemenangan, saya bersama kaum keluarga menonton pula persandingan
Chu-Paksu…..]
*Besan Sebantal.
Tokwan duda beranak
lima, berkahwin dengan Fatimah binti Mustaffa [Tok
Mah], ibu tunggal beranak dua. Salah seorang anak Tokwan itu, Mohd Jusoh bin Zakaria, dikahwinkan dengan salah
seorang anak Tok Mah tersebut, Habsah binti Ishak. Maka, selain bertaraf
suami-isteri, Tokwan dan Tok Mah juga merupakan besan. Lalu dipanggil besan
sebantal. Cumanya, semasa perkahwinan Mohd Jusoh dan Habsah itu, Tok Mah telah
meninggal dunia.
Ada juga besan sebantal
yang masih hidup semasa anak-anak mereka disatukan. Contoh dekat dan mudah
adalah dalam keluargaTokwan kepada samatua saya, Sakinah. Tokwan ini [Hj Wahab namanya] mengahwinkan anak lelakinya dari
isteri pertama dengan anak perempuan isteri kedua yang terhasil dari
perkahwinan terdahulu isteri kedua tersebut. Dan sampai ke mati Tokwan itu tidur sebantal dengan besannya…..
***********************************************************
* PF 5259
Akan Vespa Wa yang bernombor plat seperti di atas masih dibawanya ke rumah di tapak baru di Jalan Langgar itu. Kemudian, lama terbiar tersadai setelah Wa menggunakan motorsikal cub serta kereta. Khabar terakhir diterima ialah Vespa itu diberikan oleh Wa kepada penggemar Vespa dari Kg Perlis, bersebelahan kampung kami. Namanya Shuib bin Hanafi, saudara jauh saya dan anakcucu Tokwan merangkap besan Makndak Faridah, kakak arwah Pakcik Abd Halim, kakak ipar Chik. Walaupun dekat, tetapi tidak pernah teringat untuk bertanyakan khabar terkini Vespa tersebut. Nantilah...
***********************************************************
* PF 5259
Akan Vespa Wa yang bernombor plat seperti di atas masih dibawanya ke rumah di tapak baru di Jalan Langgar itu. Kemudian, lama terbiar tersadai setelah Wa menggunakan motorsikal cub serta kereta. Khabar terakhir diterima ialah Vespa itu diberikan oleh Wa kepada penggemar Vespa dari Kg Perlis, bersebelahan kampung kami. Namanya Shuib bin Hanafi, saudara jauh saya dan anakcucu Tokwan merangkap besan Makndak Faridah, kakak arwah Pakcik Abd Halim, kakak ipar Chik. Walaupun dekat, tetapi tidak pernah teringat untuk bertanyakan khabar terkini Vespa tersebut. Nantilah...
No comments:
Post a Comment