Showing posts with label Wa. Show all posts
Showing posts with label Wa. Show all posts

Saturday, October 12, 2013

Rumah Wa, Alor Gandak Dan Vimto


sedikit sambungan Rokok Tembak, Tv Dan Wa Sarah


File:Vimtologo.png



Tahun itulah -1970 - saya pergi ke rumah Wa di Alor Gandak, pada cuti sekolah. Bukan sebab mahu tonton filem Dr Rushdi , seperti yang saya harapkan – apabila difikir balik, mana mungkin filem yang sedang ditayangkan di pawagam boleh segera berada di tv! [Filem zaman itulah, maksud saya - zaman sekarang mudah. Filem yang diputarkan di pawagam pada raya puasa, tak sampai raya haji sudah boleh ditonton di tv…Terkini, filem yang belum ditayangkan di pawagam pun sudah boleh ditonton di rumah. Tak percaya, sila tanya Yusof Haslam…]

Saya pergi memang untuk bercuti.

Semenjak bersekolah, setiap cuti biasanya saya tidak banyak hari berada di rumah, bermain dengan kawan sekampung. Kerapnya, saya dibawa dan ditinggalkan di rumah Toktam di Batu Enam, Simpang Empat – berkawan dengan seorang anaknya, Jawahir [muda setahun dari saya dan panggilan untuknya, Makcik…] sambil mengitari rumah tok saudara yang lain [Toktih Mah dan Toksu Minah], semuanya ibu/bapa saudara emak. {Ini akan menjadi entri lain, Insyaallah]. Selain itu, selepas Tokwan membeli tanah dan berpindah ke Jalan Bukit Selambau, saya juga ‘bercuti’ di situ. {Ini pun akan muncul di dalam entri lain…}

Ini kali kedua saya berlama di rumah Wa, kali pertama pastilah ketika Tokwan bertukang di sekitar situ dahulu. 

Kali ini , saya pergi dengan menaiki Vespa Wa juga. Bezanya, kali ini saya sudah matang….. Duduk di belakang – tempat yang biasanya hak Wa sarah - tidak lagi berdiri di atas lantai Vespa … Wa Isa juga tidak lagi bimbang saya ketiduran…

Kematangan teserlah lagi kerana sekitar sejam setelah sampai – basa-basi sedikit dengan tuan rumah - saya terus mencari anak saudara Wa Sarah – Mohd Rodhi. Berkawan, bermain dan berbual dengannya. [Sejak kedatangan pada zaman pra-matang dahulu, ada tiga empat kali kami berjumpa di rumah Tokwan atau di kampungnya (pergi balik hari dengan ahli keluarga), jadi rasa kekok telah tiada].

Dengan Amiroh, seperti yang dipanggil oleh Wa Sarah, saya tidak menjadi asing seperti dahulu. Saya sudah boleh memahami duduk perkara. Dia adalah ibu saudara saya juga – anak bongsu Tokwan dan Tok Mah, sebapa dengan ayah, seibu dengan emak – yang ditakdirkan kena tinggal bersama Wa. Emak memainkan peranan yang besar bagi memastikan saya memandang dan menerima Chu sama dengan pandangan dan penerimaan saya terhadap Chik, anak Tokwan yang rapat dengan saya di kampung – teman berbual dan berkelahi…

Malah sepanjang di situ, malamnya, saya ditumpangkan di dalam kelambu Chu - situasi yang tidak dikongsi oleh sepupu-sepupu lain!

Sepanjang di situ juga saya kenal dan baik dengan dua rakan sebaya Chu merangkap anak saudara Wa Sarah – Che Jam Md Nor [kakak Mohd Rodhi] dan sepupunya, Che Bunga Hashim. Mereka rajin menyakat saya, maklumlah saya anak kampung yang jauh dari bandar, manakala mereka orang bandar yang duduk di kampung….[Kg Alor Gandak mengikut penilaian saya, berdasarkan kemudahan air dan elektrik, berbeza hampir sedekad dengan kampung kelahiran saya… Baru teringat bab air paip…., nantilah saya catatkan…]

Saya tidak berapa ingat sangat kegiatan secara rinci semasa di situ. Cumanya yang rutin, bermain di rumah Mohd Rodhi dalam kebanyakan masa siang. Layanan Maklang Ma [emaknya] terhadap saya hampir tidak berbeza dengan yang diberikan kepada Mohd Rodhi. Itu pastilah episod yang masih segar di ingatan. (Satu lagi yang cukup berbekas – untuk dikongsi - bagaimana buat pertama kali, saya melihat seorang lelaki, yang membantu keluarga mereka menuai padi, apabila ternampak telur ayam di atas lipatan beberapa guni di bawah rumah, terus mencapai, memecahkan dan menelan isinya…. Saya berlari balik ke rumah Wa dan terus termuntah!)

Malam-malam di rumah Wa saya melepaskan geram. Menonton tv sehingga tamat siaran, walaupun yang ditayangkan sepatah pun tidak saya fahami dialognya. Pada masa itu, sebelum jam 12, siaran tv akan ditamatkan…

Kemudian tidur, dan bangun pada paginya untuk sepanjang siang dihabiskan bersama Mohd Rodhi….. Pelbagai yang kami lakukan: bermain, mengitari kampung dan paling seronok, mengunjungi kedai!

Saya dibekalkan sedikit wang oleh emak. Tanpa mengharapkan huluran dari Wa, saya boleh ke kedai bersama Mohd Rodhi.

Di kedai yang terletak di tengah-tengah kampung itu, saya membeli makanan rencam seperti kanak-kanak sekarang. Namun ada sesuatu yang cukup cantik terbenam di memori….

Semasa itu, di dalam tv ada iklan minuman botol. Vimto namanya. Minuman perisa anggur. Tidak terdapat di kedai sekitar kampung saya. Mungkin kerana tiada tv, iklan juga tiada, tidak siapa sekitar kampung saya terasa ingin meminum Vimto…

Di dalam iklan itu, pelakonnya melagakan botol sesama mereka sambil menyebut ‘Vimto!’, sebelum meneguknya dengan penuh gaya. Bagi saya, iklan itu saja telah cukup mengujakan, maka beranganlah untuk melakukan seperti itu.

Saya dan Mohd Rodhi membeli air itu seorang sebotol. Dibawa balik. Di sisi rumah Wa, ada kereta sorong berwarna biru. Kami duduk berdua di pinggir kereta sorong itu – seperti duduknya sepasang kekasih di dalam iklan tv. Kami lagakan botol yang sebelumnya telah dibuka tudungnya, memercik air perisa anggur ke muka kami. “Vimto!” kami berteriak serentak lalu meneguk air dengan punggung botol menegak ke udara….. Setelah puas melanggah, kami sapu mulut masing-masing, penuh kepuasan. Kemudian barulah kami sedar ada empat pasang mata sedang memerhatikan kami dari pintu dapur –  mata milik Wa Sarah, Chu, Che Jam dan Che Bunga. Mereka tersengih. Sengihan Wa Sarah cukup saya faham, maka saya pun ikut tersengih semakna dengannya. Sebelum ke kedai tadi, saya naik ke atas rumah untuk mengambil duit di dalam beg saya dan menyatakan kepada Wa Sarah bahawa saya sekadar ingin membeli gula-gula…

Sungguh manis detik itu, tersimpan elok di balik memori.

Saya juga tidak pun tahu minuman yang enak itu serta botolnya berasal dari luar negara, tidak seperti air lemonad yang dijual di kedai sekitar kampung saya

Saya tidak ingat harga sebotol minuman itu walaupun masih ingat harga majalah URTV pada masa itu – URTV mula terbit Januari 1970 - adalah 30 sen [menjadi 40 sen beberapa bulan kemudian apabila ada tambahan empat muka surat dan poster muka tengah…].

a bottle of Vimto with a straw placed on a table near a swimming pool on a sunny day
Vimto [kini]
Tetapi harganya sekarang RM60 sebotol! Ya, satu botol! Saya meminta tolong Pakcik Google carikan botol Vimto lama baru-baru ini. [Sekarang minuman ini ada dalam pelbagai bekas, khabarnya masih terkenal di Negara Arab – terutama pada bulan Ramadan -  dan Negara lain, tidak pasti sama ada terjual lagi di Malaysia]. Satu blog menunjukkan botol lama yang spesiesnya pernah saya gunakan dahulu. Harganya RM60 satu botol kosong! Kalaulah saya dapat simpan semua botol yang terbiar di tepi kedai di Kg Alor Gandak dahulu…..

Demikianlah secebis ingatan kepada Kg Alor Gandak, dan terutamanya terhadap Wa Sarah. Wa Sarah telah lama meninggal, ketika tidak lagi tinggal di kampung itu – setelah lama berpindah ke rumah di Jalan Langgar. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Limbong. Saya tidak ingat masa sakitnya tetapi akan sentiasa ingat detik-detik bersamanya. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat Ilahi. Diampun segala dosa, diterima dan diganjarkan segala amalan. Aamin.

Akan Mohd Rodhi, Che Jam dan Che Bunga, tidak lagi saya temui walaupun berada di sekitar Kota Setar – mungkin kami tidak lagi saling mengenali jika pun terserempak. Kampung Alor Gandak juga hanya dua kali saya jejaki dalam tempoh empat dekad ini – menghadiri dua kenduri di situ.

Chu?

Dia lainlah. Dia anak Tokwan. Dia anak Tok Mah. Dia adik ayah saya, sebapa. Dia adik emak saya, seibu. Dia emak saudara saya.

Saya cucu Tok Mah. Saya cucu Tokwan. Aku Cucu Pakya!

Keliru?

Kenalah baca semula entri berkait di dalam blog ini, bermula dari Mengungkit Janji, dan terutamanya Bertemu Tokwan Dan .... Amiroh  …..



Friday, October 11, 2013

Rokok Tembak, Tv dan Wa Sarah

sambungan dari Bertemu Tokwan Dan ... Amiroh



Wa Sarah.

Saya tidak tahu bila dia mula hadir di dalam keluarga Tokwan. Sama halnya dengan kehadiran Tok, sedar-sedar sahaja Wa Sarah adalah isteri Wa Md Isa. Lama juga untuk saya memahami kenapa anak Wa, Hassan, tidak tinggal bersama ayahnya; kenapa Wa Lin [panggilan lain untuk Wa Aishah – isteri pertama Wa Isa] tinggal berasingan di rumah lain di dalam kampung kami. Sama juga masa yang saya ambil untuk memahami kenapa Chu, anak Tokwan, tidak tinggal sekali dengan ayahnya, seperti abang-kakaknya – Paktih, Paktam dan Chik.

Wa Sarah yang saya kenal dan ingat cukup ramah. Saya paling suka tengok senyumnya. Wajahnya cantik. Kalau ikut keadaan sekarang, Wa Sarah mungkin dikatakan anak mami berdasarkan wajah serta warna kulitnya. [Maaflah, kerana cantik itu sendiri subjektif. Laila mungkin cantik di mata Qais – majnunnya - tetapi tidak pada orang lain. Tapi bukan saya saja yang kata Wa Sarah cantik. Menurut sumber saya - Ndak - Toklang Teh, tok guru Quran terkenal di kampung, emak kepada Ustaz Azizan dan Ustaz Fauzi, pengasas bersama Madrasah AlFalah dekat rumah Tokwan itu, pernah berkata “pandai Pak Ya cari menantu – cantik dan ramah pula…”]. 

Wa Sarah sering datang dengan membonceng Vespa Wa Isa, kepalanya yang mempunyai secotet sanggul ditutup dengan sehelai kain kelumbung jarang...


[Barang diingat, ketika itu pemakaian topi keledar masih tiada di dalam kepala pembuat dasar dan penggubal undang-undang. Ketika itu juga, pemakaian tudung bagi wanita seperti sekarang masih terlalu asing. Lama kemudian baru 'dikuatkuasakan' oleh individu dan masyarakat. Buktinya, anda tentu ingat header blog ini pada peringkat awal - sekeping foto keluarga Tokwan sempena satu kenduri arwah pada hujung tahun 1982. Kecuali Tok, semua ahli keluarga - perempuan - tidak bertudung. 1982! Satu bukti kecil, bahawa dunia yang kita lihat sekarang bukan terus begini sejak dahulu..... Ada evolusinya]



Wa Sarah seorang perokok tegar. Jenama yang paling dekat dengannya adalah Rough Rider atau dipanggil rokok tembak - agaknya berdasarkan gambar di kotak berwarna putihnya: koboi yang menunggang kuda sambil beraksi menembak. 


Setiap kali datang ke rumah Tokwan – seingat saya Wa Sarah akan balik hari, tidak tidur di rumah mertuanya – Wa Sarah akan membawa bekal sekotak rokok itu. Sambil berbual, Wa Sarah akan menikmati keenakan tembakaunya, termasuklah menghembus asap dengan caranya yang saya – sebagai kanak-kanak – kagumi. Berbeza dengan cara hembusan oleh perokok wanita lain , misalnya, Toklong Hatiah – jiran kami – yang menghisap rokok daun…

Kalau berada di rumah Tokwan, Wa Sarah selalu duduk di muka pintu rumah dapur – yang dipisahkan dengan pintu dapur rumah ayah oleh sepokok jambu itu. Dari situ, dia boleh berbual dengan ipar duai di atas rumah [dapur] atau yang berada di depan rumah serentak. Dengan Tokwan dan Tok, Wa sarah membahasakan dirinya ‘Sarah’, manakala dengan ipar-duai, sebagai isteri abang besar [sulung], dia pastilah membahasakan dirinya ‘kak’. Dengan saya? Tentulah ‘Wa’.

Saya tidak ambil tahu sangat apa yang Wa Sarah selalu bualkan dengan mertua dan ipar duainya - sama seperti saya tidak peduli dengan pandangan mereka terhadap Wa Sarah.Tetapi saya masih ingat topik yang selalu Wa Sarah bualkan dengan saya. Topik yang boleh membuatkan saya ternganga…

Siaran TV!

Wa Sarah selalu melihat saya membaca akhbar yang Paktih bawa balik. Pakngah Jusoh [Changlon] juga, setiap kali datang ke rumah Tokwan akan berbekalkan akhbar – kata orang, sebagai peneman kerana Pakngah dikategorikan sebagai pendiam; kalau tidak ada yang mahu dibualkan atau tidak ada lawan berbual, akhbar itulah temannya…

Semua akhbar itu selalunya saya simpan untuk dibaca kemudiannya. Allah memberi saya kebolehan membaca rumi dan jawi secara ‘fasih’ semenjak  darjah dua lagi.

Wa Sarah pandai memilih subjek untuk berkomunikasi dengan saya. Dia bercerita tentang rancangan tv. Ketika itu, bukan setakat tv, bekalan elektrik juga masih tidak terjangkau di kampung saya. Kalau mahu menonton tv, kena berkayuh ke Simpang Empat atau ke rumah orang ada-ada  di kampung berhampiran yang mempunyai generator. [Banyak yang akan saya catatkan kemudian tentang tv ini – satu isu yang sentiasa melekat, bersalut dengan dendam, tetapi satu daripadanya telah saya masukkan di dalam entri ‘Sukan Olimpik Munich’ yang berlangsung pada tahun 1972 – bayangkan semasa itu pun tv masih menjadi benda asing di kampung….]

Intisari rancangan tv [hanya ada stesen RTM] – saya tahu berdasarkan bacaan akhbar – tidak banyak terbitan tempatan. Drama, rasanya, hanya ada satu slot sekali seminggu – Potret Pekerti. Tayangan gambar Melayu juga seminggu sekali. Ada beberapa rancangan muzikal yang bermusim– semasa itu Juara Kugiran, Muzik Muzik Muzik dan Bintang Radio serta Bakat Tv [lama selepas itu baru ada Bintang RTM]. Selain itu ada drama Mandarin Tiga Sekawan yang orang Melayu juga tonton…

Wa Sarah akan bercerita tentang drama Melayu yang ditontonnya. Kiranya dia bagi sinopsis ceritalah. Saya ternganga mendengarnya. Wa Sarah pencerita yang baik. Dia sebut nama pembawa watak yang saya kenal hanya dari akhbar tapi tidak pernah melihat aksinya…  Wan Noraini, Aziz Abdullah, Goh Swee Leong, N Sivaguru...Dia tunjukkan kembali pergerakan watak, jika perlu. Kalau dua minggu dia tidak datang, dua dramalah yang akan diberikan sinopsis secara lisan. Dua kalilah nilai ngangaan saya!  Bayangkan kalau sebulan kemudian baru Wa Sarah datang…

Selain novel, cerpen - di dalam akhbar dan antologi - serta drama radio,  sinopsis yang saya dengar dari Wa Sarah ini memperluaskan daya imaginasi saya. Saya kenal Kuala Lumpur, Singapura, Jakarta, malah London dan New York - tetapi mengikut acuan imaginasi itulah....

Mengenang kembali, macam tidak percaya bagaimana seorang budak berusia sembilan atau sepuluh tahun boleh berbual santai dengan Wanya begitu. [Dan si Wa pula boleh melayan perbualan tersebut…] Mungkin, kerana itu merupakan di antara cara pengisian masa yang ada pada era tersebut.

Pada suatu hari – pada tahun 1970, saya pasti tahunnya – Wa Sarah bersembang dengan saya di lepau rumah Tokwan. Hanya kami berdua. Mungkin sesudah Wa Sarah berbual dengan mertuanya dan ipar duainya yang lain. [Rumah Tokwan banyak kali dilakukan transformasi, termasuk beberapa kali perubahan susun atur rumah Kedah – ada era hanya ada lepau, ada era beserta dengan beranda.]

Saya sedang membaca akhbar keluaran dua tiga hari sebelumnya [kerana akhbar bukan dibeli hari-hari…] Wa Sarah bercerita seperti selalu – tentang Potret Pekerti yang disiarkan beberapa malam sebelum itu. Saya juga seperti selalu – ternganga mendengarnya. Selepas itu, Wa Sarah bercerita tentang tayangan gambar Melayu hari Jumaat malam Sabtu minggu lepas. Sebuah filem P Ramlee – Penarek Becha, kalau tidak silap. Terngangalah lagi saya mendengar Wa Sarah berkisah pula akan jalan cerita filem itu. Saya tidak pernah menonton filem itu lagi. Maklumlah, orang yang ada tv pun dapat menonton filem melayu seminggu sekali, orang yang tiada tv ?


Sambil meniarap di lepau, berbual dengan Wa Sarah serta membaca akhbar itu, saya terjumpa iklan filem-filem yang sedang ditayangkan di panggung wayang gambar [kemudiannya P Ramlee ringkaskan menjadi PAWAGAM]. Saya tertarik pada iklan sebesar tapak tangan tentang filem Dr Rushdi, arahan P Ramlee. [Saya catat dalam entri terdahulu bahawa saya ingat tahun 1970 itu, kerana filem ini diterbitkan pada tahun tersebut…] Saya tunjukkan kepada Wa Sarah. Lama Wa Sarah merenung iklan itu, sebelum berkata, “Nanti dia masuk tv, Din pi tengok di rumah Wa…”

Saya menggangguk, seronok...dan penuh harapan...


>bersambung sedikit lagi, Insya Allah >

Tuesday, October 8, 2013

Bertemu Tokwan Dan ... Amiroh

Sambungan dari Mengungkit Janji.

Wa
Wa

Vespa yang bernombor plat  PF 5259* itu sampai di laman rumah Wa ketika ayam telah masuk ke reban......


Wa Sarah menyambut kami dengan sengihan yang saya cukup suka lihat. Tokwan yang nampak gayanya baru selesai mandi ikut muncul di muka pintu. Riak wajah keringnya saya tidak dapat tafsirkan samada suka atau tidak dengan kemunculan saya.

"Awat Tokwan buat lagu tu? Awat Tokwan tinggai chek macam tu?" tanya saya sebaik nampak muka Tokwan. Tapi pertanyaan itu hanya saya yang dengar, keluar dari hati saya...

Kemudian muncul Amiroh - panggilan Wa Sarah kepada gadis kecil yang tua sekitar dua tahun dari saya. Wajahnya pun saya tidak boleh tafsirkan. Tidak tahu samada dia sedang tersenyum atau sebaliknya sebaik melihat saya. Wajahnya kering juga.

[Saya tidak faham sangat hubungan dengan Amiroh ketika itu. Kami jarang berjumpa.Kata emak, pada satu hari - ketika berada di dapur rumah kami - saya kena memanggilnya Chu, kerana dia juga adik emak dan ayah. Saya keliru. Kalau adik emak, tentulah adik ipar ayah. Kalau adik ayah, tentulah adik ipar emak. Emak kehilangan kata yang agak lama. Kemudian dia menerangkan duduk perkara. Tetapi saya makin keliru. Apalah sangat yang boleh saya faham tentang Besan Sebantal* yang emak cuba ceritakan. Lagi pula, kalau dia anak Tokwan, adik kepada Chik, kenapa Amiroh itu tidak tinggal di rumah Tokwan?

Emak kehilangan kata lagi. Ayah dari awal lagi langsung tidak berkata apa-apa. Hanya mendengar kami berbual. Emak bercerita lagi - cerita yang kemudiannya diulang berkali-kali sehingga saya baligh - tentang kematian Tok Mah [ibu kepada emak, Ngah, Paktih, Paktam, Chik dan Chu] selepas melahirkan Chu. Tentang anak bongsu yang masih bayi itu diserahkan kepada Toksu Nab [Zainab Lebai Isa], adik Tokwan yang tinggal di Kandai. Tentang kerana Wa Isa dan Wa Sarah tidak ada anak selepas agak lama berkahwin - malah hingga ke akhir hayat Wa Sarah - Chu diserahkan pula kepada mereka. [Kisah pertukaran hak jagaan ini berkali-kali juga emak ceritakan dengan detail dan kadangkala bersama linangan air mata, yang sesekali saya pun menumpang sama... Tidak dapatlah saya pula detailkan kepada anda ketika ini tapi percayalah, jika diberi kesempatan menerbitkan drama yang ditayangkan pada waktu Maghrib seperti di TV3 sekarang ini, dengan cerita yang emak sampaikan itu, silap-silap solat Maghrib anda bukan sahaja sentiasa terlewat, tapi langsung terlepas ……]

Saya tidak ingat sangat apa yang berlaku pada malam itu, serta hari-hari berikutnya. Yang masih ada pada secarik memori ini adalah bagaimana tiga empat hari saya mengikut Tokwan ke tempatnya bertukang rumah. Berjalan kaki sahaja walaupun jauhnya dari rumah Wa, boleh tahan lumayannya… Sekali dua juga saya makan tengah hari bersama Tokwan dan tuan rumah  dan hanya balik bersama Tokwan pada petangnya. Ada sekali dua yang lain, Wa akan datang mengambil saya dengan Vespanya. Balik makan bersama di rumahnya. Petangnya? Saya lupa, carikan memori tentang itu telah reput, cuma ingat ada seorang anak saudara Wa Sarah akan datang mengajak saya bermain di rumahnya yang terletak sepelaung dari rumah Wa.…

Satu lagi yang saya ingat adalah pada suatu malam, Wa membawa saya melihat ghazal parti di sebuah rumah kenduri. Pengalaman pertama yang melekat hingga kini di minda. Yang dipanggil Amiroh itu, Wa Sarah dan Tokwan tidak ikut serta.

Nama kumpulan ghazal itu ialah Al Masriah, dari Bukit Raya. Ahli muzik dan penyanyinya tak dapat saya ingat walau seorang. Cuma pelawaknya tidak saya lupa salah seorangnya – Yaakob Tok Arab. Dia muncul berlawak pada pertengahan persembahan dan orang keliling ketawa sedang saya tidak tahu apa yang mereka ketawakan. Dalam satu sketsa itu, muncul seekor harimau di atas pentas. Saya meraung! Wa cuba mendiamkan saya dengan mengatakan itu hanyalah manusia yang dipakaikan kostum harimau – merangkak mengitari pentas. Yaakob Tok Arab melompat ketakutan, mana mungkin saya boleh percaya cakap Wa, walaupun penonton sekeliling semuanya tertawa melihat aksi di atas pentas itu. Saya terus meraung dan memeluk lengan dan badan Wa.

“Aku bubuh penampaq budak ni, baru tau!” kata Wa, agaknyalah di dalam hati, berdasarkan caranya mengheret saya balik…..

Pagi esoknya, Wa Sarah terkekeh-kekeh tertawa bersama saudara-maranya ketika bersembang di luar rumah, bercerita tentang raungan saya tatkala terlihat harimau di atas pentas itu. Saya terkerisin dan tersipu. Wa Isa hanya tersenyum. Begitu juga Tokwan.

Tapi hari itu rupanya merupakan hari paling sedih dalam hidup – setakat umur begitu. Wa menyuruh saya bersiap untuk balik. Saya terpempan, tidak tahu berkata apa-apa. Saya tidak tahu bagaimana hancurnya hati. Saya tidak tahu kenapa begitu tiba-tiba Wa mahu menghantar saya balik ke kampung kelahiran. Saya tidak tahu menghuraikan bagaimana perasaan yang ada. Sebak. Sebal. Sedih. Tokwan pula tiada kerana sudah keluar bertukang. Kalaupun Tokwan ada, bolehkah suruhan bersiap oleh Wa diubah? Saya melihat muka Wa. Tidak ada sebarang tanda pelik – masih seperti biasa. Wa Sarah pula melepaskan saya pulang dengan senyuman yang saya suka lihat dulu juga. “Nanti mai lain na…”katanya sambil memasukkan wang kertas seringgit ke dalam poket seluar saya. Saya tidak tahu untuk tersengih atau apa. Saya tidak ingat semasa Vespa Wa mula bergerak, adakah yang dipanggil Amiroh ikut menghantar dengan matanya atau tidak. Mohd Rodhi Md Nor, anak saudara Wa, sebaya saya, yang menjadi kawan angkat saya sepanjang di situ juga tidak kelihatan.

Seperti waktu datang dahulu, saya ditugaskan memegang handle Vespa Wa sambil berdiri. Tetapi tidak seperti waktu datang dahulu, saya tidak teruja langsung sepanjang perjalanan pulang. Keseronokan saya semacam direnggut tiba-tiba. Tidak pasti Tokwan tahu atau tidak akan kepulangan saya pada hujung pagi itu.

Tidak seperti waktu datang dahulu, Wa tidak pun bersuara walau berkali-kali membelok. Agaknya kerana saya sudah tahu sampai atau belum kami ke kampung.

Sampai di rumah, saya tidak banyak cakap. Ketika Wa bertolak balik pun – pada petangnya – saya tidak mahu melihatnya. Malah panggilan Wa ketika dia mahu menghidupkan enjin Vespanya, tidak saya peduli. Panggilan itu bukan ajakan lagi. Sekadar mahu menambah kelukaan hati…

Emak yang tahu detak hati anaknya mengurut belakang, memujuk saya. “Lain kali Wa mai ambik pulak….” Saya tidak terbujuk pun. Saya teresak.

Mulai senja hari itu, berulang dua tiga senja kemudian, Tok, Ndak dan Chik agaknya jemu mendengar raungan saya di atas tangga rumah Tokwan. Modus operandinya mudah. Saya akan duduk di atas anak tangga kedua dari atas  menghadap pintu rumah tengah Tokwan. Saya letakkan lengan di atas anak tangga paling atas. Letakkan dahi di atas lengan itu. Memandang ke tanah. Pejamkan mata. Bayangkan wajah Tokwan. Maka mudah sahaja esakan bermula. Saya teruskan dengan meraung sambil menyebut Tokwan….

Emak akan datang memujuk. Frasa  yang paling kerap disebut: “Lain kali Wa mai ambik pulak….”  Tetapi saya tetap tidak terbujuk. Bagaimanapun, raungan itu saya bawa balik ke rumah sedikit, selepas Ndak atau Tok menutup pintu rumah tengah Tokwan. “Waktu ni oghang sembahyang, bukan teghiyak…” kalau Ndak yang menutup pintu, itu yang disebutnya. Kalau Tok? Saya lupa.

Di rumah, saya sambung sedikit lagi esakan, sebelum terjaga pagi esoknya dengan ceria…

Demikianlah.

Sejak itu saya tidak lagi dibawa ke rumah Wa, hinggalah setelah saya berada  di dalam darjah tiga pada tahun 1970. Saya ingat sangat tahun itu. Kenapa?

Nantilah.

[Amiroh yang saya sebutkan di dalam catatan ini adalah nama lain untuk Chu – Ommus Shapakoh. Chu tinggal dengan Wa sehingga selepas tamat persekolahan menengah. Kemudian Chu bekerja di Pulau Pinang. Majlis perkahwinan Chu dengan Paksu [Hazizan bin Ishak] turut dilangsungkan di rumah Wa, tetapi bukan lagi di Kg Alor Gandak, sebaliknya di rumah di tapak baru di Jalan Langgar, seperti yang ada sekarang. Tahunnya, 1982. Cukup mudah untuk mengingat tahun itu kerana pada malam Chu akan bersanding, saya menonton siaran ulangan perlawanan akhir badminton beregu All England di rumah bersebelahan rumah Wa. Razif Sidek dan adiknya, Jalani muncul juara. Lebih kurang dua jam selepas selesai menonton anak-anak Pak Sidek itu menjulang kemenangan, saya bersama kaum keluarga menonton pula persandingan Chu-Paksu…..]


*Besan Sebantal.

Tokwan duda beranak lima, berkahwin dengan Fatimah binti Mustaffa [Tok Mah], ibu tunggal beranak dua. Salah seorang anak Tokwan itu, Mohd Jusoh bin Zakaria, dikahwinkan dengan salah seorang anak  Tok Mah tersebut, Habsah binti Ishak. Maka, selain bertaraf suami-isteri, Tokwan dan Tok Mah juga merupakan besan. Lalu dipanggil besan sebantal. Cumanya, semasa perkahwinan Mohd Jusoh dan Habsah itu, Tok Mah telah meninggal dunia.


Ada juga besan sebantal yang masih hidup semasa anak-anak mereka disatukan. Contoh dekat dan mudah adalah dalam keluargaTokwan kepada samatua saya, Sakinah. Tokwan ini [Hj Wahab namanya] mengahwinkan anak lelakinya dari isteri pertama dengan anak perempuan isteri kedua yang terhasil dari perkahwinan terdahulu isteri kedua tersebut.  Dan sampai ke mati Tokwan itu tidur sebantal dengan besannya…..


***********************************************************


* PF 5259 

Akan Vespa Wa yang bernombor plat seperti di atas masih dibawanya ke rumah di tapak baru di Jalan Langgar itu. Kemudian, lama terbiar tersadai setelah Wa menggunakan motorsikal cub serta kereta. Khabar terakhir diterima ialah Vespa itu diberikan oleh Wa kepada penggemar Vespa dari Kg Perlis, bersebelahan  kampung kami. Namanya Shuib bin Hanafi, saudara jauh saya dan anakcucu Tokwan merangkap besan Makndak Faridah, kakak arwah Pakcik Abd Halim, kakak ipar Chik. Walaupun dekat, tetapi tidak pernah teringat untuk bertanyakan khabar terkini Vespa tersebut. Nantilah...



Monday, October 7, 2013

Mengungkit Janji

Wa
 Tokwan mahir bertukang kayu. Membuat dan mengubahsuai rumah merupakan keutamaannya. Teliti dan bersungguh dalam tugas itu. Selain rumah sendiri, beberapa rumah di dalam kampung adalah hasil kerja Tokwan.  Rumah Hj Sudin – salah seorang ada-ada, juga sahabat Tokwan – serta rumah Pakndak Non adalah di antaranya. Selain itu, hampir semua bangunan awal sekolah rakyat di kampung – Madrasah AlFalah – yang Tokwan terlibat dalam perencanaan dan mengasaskannya, turut mendapat sentuhan pertukangan Tokwan.

Kebolehan Tokwan itu turut dibawanya ketika berpindah ke Batu 30, Jalan Bukit Selambau, Jeniang pada awal 70-an.

Senak Perut
Tetapi awal dari itu pun, keupayaan Tokwan telah diterima oleh orang luar – luar daerah. Saya masih ingat, saya belum bersekolah rendah, tatkala Tokwan dilamar untuk bertukang di Alor Gandak, kampung kelahiran Wa Hjh Sarah Ariffin, isteri kedua Wa Hj Md Isa. Saya tidak mengerti apa-apa apabila melihat Tokwan berkemas dengan peralatannya pada satu hari. Saya berada dekat bekas peralatan tersebut, sekadar memerhati Towan memilih peralatan perlu lalu dimasukkan ke dalam satu beg usang serta satu uncang kain yang muat kalau dimasukkan kepala saya…... Meski semuanya milik Tokwan, saya tidak pernah diizinkan menyentuh apa-apa, termasuklah yang paling saya ingini dan minati – alat penebuk kayu, yakni penggerudi, atau lebih dipanggil Senak Perut, mungkin kerana ketika menggunakannya, satu bahagian hujung yang bulat  sebesar kuih pau ditekankan ke perut manakala matanya diletakkan ke tempat yang mahu ditebuk/digerudi.

Saya ke rumah kawan ketika Tokwan dibawa oleh Wa ke Alor Gandak. Balik dari bermain dengan kawan-kawan pada petangnya barulah saya tahu Tokwan tiada di rumah. Emak yang memaklumkan apabila saya bertanya tentang ketiadaan kelibat Tokwan seperti selalu.

Maka hingga terlenalah saya mengadunkan ragam sejak hujung petang - menangis, meraung, teresak dan mengamuk! Puas juga emak dan ayah memujuk tapi tidak berjaya.  Emak sebut tentang cuti sekolah sudah dekat. Ayah menambah bahawa Wa akan datang nanti untuk  mengerjakan bendangnya. Tapi saya tidak boleh hubungkan apa yang mereka cakapkan itu dengan rasa marah yang sedang memuncak…..

Saya marahkan dua orang.

Pertamanya, Tokwan. Dia telah berjanji kalau akan pergi ke rumah Wa – seperti yang diceritakan kepada jiran-jirannya sejak lebih dua minggu sebelumnya -  dia akan membawa saya bersama…. 

Saya cukup lama memasang keinginan untuk ke situ. Wa Sarah selalu mempelawa setiap kali datang ke rumah Tokwan. Banyak keseronokan di Alor Gandak, berdasarkan cerita Wa Sarah. Rumahnya dua tingkat, ada banyak kedai, ada basikal kecil, dekat dengan pekan – dekat pula dengan tapak pesta….. Saya hanya ternganga dan menelan liur mendengarnya. Semua itu tiada di kampung kelahiran saya…… Walaupun kerap Wa Sarah mengajak, namun setiap kali mahu balik, tidak pula saya dibawa bersama. Bukannya payah,saya boleh berdiri di atas lantai skuter Wa. Wa sarah duduk saja di belakang Wa Isa seperti biasa….

Sebab itulah apabila Tokwan berjanji akan  membawa saya, hanya Tuhan yang tahu kembangnya hati ini. Dari cakap-cakap Tokwan dengan rakan-rakannya, Tokwan akan lama berada di rumah Wa. Ertinya lamalah juga saya akan di sana. Puaslah menonton tv,  berulang-alik ke kedai, menunggang basikal kecil serta mengunjungi pesta…..

Tapi Tokwan telah pergi tanpa membawa saya.…Sampainya hati Tokwan. Saya tidak boleh berhenti menangis bila teringatkan Tokwan dan lebih-lebih lagi pada janjinya!

Orang kedua yang saya marah malam itu tentulah Wa! Pandai-pandai melarikan Tokwan dari saya. Tidak mahu menunggu sehingga saya balik dari bermain. Kalau tidak, malam itu saya mungkin sedang tidur dengan Tokwan…… Saya mengamuk kerana teringatkan Wa!

Esoknya, meski ada esak sedikit ketika dipakaikan baju, saya tetap ceria bermain bersama kawan-kawan….. Seperti biasa, bersama mereka, saya leka lalu lupa tentang hal semalam.  Cuma apabila berlabuhnya senja, berjuntai kaki di tangga rumah Tokwan, saya teresak semula. Saya begitu rindukan Tokwan…..

Demikianlah.  Sepanjang minggu itu, menjelang senja sahaja, tidak siapa boleh menghalang saya duduk menjuntaikan kaki pada tangga kedua dari atas, menghadap muka pintu, lengan diletakkan pada anak tangga paling atas dan di atas lengan itu saya letakkan dahi, lalu menangis…….

Satu hari, apabila balik dari rumah kawan merangkap jiran sekampung, saya nampak Vespa Wa berwarna biru muda di bawah pokok kelapa di depan rumah. Saya tidak terus naik ke rumah, sebaliknya melompat ke dapur rumah Tokwan. Mahu saya lepaskan geram bersalut rindu pada Tokwan. Tetapi Tokwan tiada. Tok mengatakan Tokwan tidak balik. Ndak mengesahkannya. Chik yang baru balik dari sekolah, tidak kelihatan. Yang ada hanya Wa Isa – seorang – sedang bersandar pada tiang seri rumah tengah, tempat selalu Tokwan. Saya tidak pun melihat ke arah Wa walaupun dua tiga kali dia memanggil nama saya. Saya tak suka Wa memanggil nama saya.... Agaknya Wa yang tidak membenarkan Tokwan membawa saya dulu.Pandai-pandai melarikan Tokwan dari saya.

Saya melompat semula ke tanah. Melangkah ke rumah. Mahu pergi ke ruang dapur untuk menyertai ayah menghadap makan tengahari. Emak sedang duduk antara ruang depan dengan pintu ke dapur, melipat pakaian yang dikutip dari penyidai. Baju dan seluar saya tidak ketinggalan. Tetapi diletakkan berasingan dari pakaian ayah, emak dan adik. Ada beg kertas kelabu yang ayah dapatkan dari Kedai Hean Tai di Simpang Empat, di tepi lipatan baju dan seluar saya itu.

“Wa mai nak ambik chek pi rumah dia…..” kata emak. Saya terpempan. Alangkah tak patutnya saya tidak menjawab panggilan Wa tadi! Saya cuba menyimpan senyum dengan segala susah payah. Masa makan bersama ayah pun terasa payah pula untuk menelan nasi. Maklumlah mengunyah sambil tersengih…..

Selepas makan, saya turun ke bawah rumah. Saya pandang Vespa Wa yang masih di tempat tadi – menumpang bayang pokok kelapa. Awalnya saya terfikir Wa hanya datang untuk melihat-lihat bendangnya.....

Sesuai dengan suruhan emak, saya pergi ke telaga di celah pokok nipah di belakang di antara rumah ayah dengan rumah Tokwan. Emak yang sedia menunggu memandikan saya, menggosok seluruh badan saya dengan pulur sabut yang dicalitkan sedikit sabun cap kapak. Pada bahagian belakang telinga dan buku lali, emak sental cukup-cukup sehingga terasa pedih kulit. "Jangan bagi ada daki..." kata emak. Saya terkernyih - antara seronok dan sakit.

Sambil itu, emak tidak berputus berpesan tentang etika duduk di rumah Wa. Jangan begitu, buat begini. jangan ke situ, duduk di sini. Bla...bla..

Di atas rumah kemudiannya, sambil memakaikan baju seluar, sambil menempekkan bedak sejuk ke muka dan leher saya, serta sambil mengetip kuku kaki dan tangan, pesan emak belum lagi habis..... Saya hanya terkerising.

Siap dilangiri emak, saya melangkah turun, mula-mula ke bawah rumah Tokwan. Terdengar Ndak sedang berbual dengan Tok di ruang rumah tengah, tempat Wa bersandar tadi. Saya berdehem kemudian sengaja terbatuk di bawah rumah. Banyak kali dan agak lama. Saya tidak mengharapkan Ndak atau Tok perasan. Saya tujukan batuk dan dehem tadi kepada Wa yang tadinya memanggil saya berkali-kali. Namun hinggalah deheman sengaja itu diakhiri, Wa tidak pun memberikan sebarang respons…..

Saya melangkah naik tangga rumah tengah Tokwan. Menjengok di muka pintu. Ndak dan Tok memang sedang berbual. Chik ada di sebelah Ndak. Saya nampak rebahan badan Wa. Wa sedang terpejam berbantalkan dua lengannya. Patutlah……

“Mak lipat baju ‘dah?” Tanya Tok. Saya mengangguk sambil tersengih.

“Dok sana jangan dok qeyau [keriau] nak balik pulak!” Ndak berkata, entah berpesan entah sedang marah….. Tapi saya terus mengangguk dan terus tersengih….

Maka petang itu, lama sedikit selepas masuk waktu Asar, dan lebih lama selepas saya bersiap/disiapkan, saya  berdiri di sebelah Vespa Wa. Wa masukkan beg kertas berisi pakaian saya ke dalam laci Vespanya. Saya? Wa yang sudah siap menghidupkan enjin skuternya itu,  menyuruh saya berdiri di ruang depan, di atas lantai Vespa. Dia arahkan saya memegang kedua-dua bahagian tengah handle. Dagu saya hampir bersentuh meter Vespa. Dan saya masih dalam keadaan tersengih tatkala Wa memulas handle – memasukkan gear. Kerana diarahkan memegang sama handle, tidaklah saya tinggalkan emak, ayah, adik, Tok, Ndak dan Chik dengan lambaian. Demikian juga kepada beberapa kawan merangkap jiran yang mulanya berniat mengajak saya bermain.Mungkin sengihan saya cukup untuk mereka kenang.....

Perjalanan dengan Vespa yang Wa tunggang masih seperti baru di memori saya. Satu pengalaman yang cukup indah. Tidak sedikit pun rasa lenguh meski berdiri agak lama, dek pemandangan di sepanjang jalan yang semuanya baru di mata saya. Saya tidak ingat jalan-jalan yang diambil tapi tidak lupa setiap kali dia membelok, Wa akan berkata: "Sampai dah....Sampai dah." disusuli dengan pertanyaan "Yang mana rumah Wa?". Wa mungkin menyedapkan hati saya serentak cuba memberikan kejutan kerana tahu saya tidak pernah ke rumahnya.

[Tiga puluh tahun kemudian, ketika membawa anak sendiri berusia dua tahun, menaiki motor dari Kubor Panjang ke Permatang Ibus, makinlah saya faham tindakan Wa itu. Merasakan anak seperti tersengguk dalam dakapan sebelah tangan kiri, sedang tangan kanan memegang handle motor, saya pun berkata: "Sampai dah..... Sampai dah......" walau ketika itu belum pun motor melepasi Pekan Tokai........]

- bersambung, Insya Allah -