Friday, October 11, 2013

Rokok Tembak, Tv dan Wa Sarah

sambungan dari Bertemu Tokwan Dan ... Amiroh



Wa Sarah.

Saya tidak tahu bila dia mula hadir di dalam keluarga Tokwan. Sama halnya dengan kehadiran Tok, sedar-sedar sahaja Wa Sarah adalah isteri Wa Md Isa. Lama juga untuk saya memahami kenapa anak Wa, Hassan, tidak tinggal bersama ayahnya; kenapa Wa Lin [panggilan lain untuk Wa Aishah – isteri pertama Wa Isa] tinggal berasingan di rumah lain di dalam kampung kami. Sama juga masa yang saya ambil untuk memahami kenapa Chu, anak Tokwan, tidak tinggal sekali dengan ayahnya, seperti abang-kakaknya – Paktih, Paktam dan Chik.

Wa Sarah yang saya kenal dan ingat cukup ramah. Saya paling suka tengok senyumnya. Wajahnya cantik. Kalau ikut keadaan sekarang, Wa Sarah mungkin dikatakan anak mami berdasarkan wajah serta warna kulitnya. [Maaflah, kerana cantik itu sendiri subjektif. Laila mungkin cantik di mata Qais – majnunnya - tetapi tidak pada orang lain. Tapi bukan saya saja yang kata Wa Sarah cantik. Menurut sumber saya - Ndak - Toklang Teh, tok guru Quran terkenal di kampung, emak kepada Ustaz Azizan dan Ustaz Fauzi, pengasas bersama Madrasah AlFalah dekat rumah Tokwan itu, pernah berkata “pandai Pak Ya cari menantu – cantik dan ramah pula…”]. 

Wa Sarah sering datang dengan membonceng Vespa Wa Isa, kepalanya yang mempunyai secotet sanggul ditutup dengan sehelai kain kelumbung jarang...


[Barang diingat, ketika itu pemakaian topi keledar masih tiada di dalam kepala pembuat dasar dan penggubal undang-undang. Ketika itu juga, pemakaian tudung bagi wanita seperti sekarang masih terlalu asing. Lama kemudian baru 'dikuatkuasakan' oleh individu dan masyarakat. Buktinya, anda tentu ingat header blog ini pada peringkat awal - sekeping foto keluarga Tokwan sempena satu kenduri arwah pada hujung tahun 1982. Kecuali Tok, semua ahli keluarga - perempuan - tidak bertudung. 1982! Satu bukti kecil, bahawa dunia yang kita lihat sekarang bukan terus begini sejak dahulu..... Ada evolusinya]



Wa Sarah seorang perokok tegar. Jenama yang paling dekat dengannya adalah Rough Rider atau dipanggil rokok tembak - agaknya berdasarkan gambar di kotak berwarna putihnya: koboi yang menunggang kuda sambil beraksi menembak. 


Setiap kali datang ke rumah Tokwan – seingat saya Wa Sarah akan balik hari, tidak tidur di rumah mertuanya – Wa Sarah akan membawa bekal sekotak rokok itu. Sambil berbual, Wa Sarah akan menikmati keenakan tembakaunya, termasuklah menghembus asap dengan caranya yang saya – sebagai kanak-kanak – kagumi. Berbeza dengan cara hembusan oleh perokok wanita lain , misalnya, Toklong Hatiah – jiran kami – yang menghisap rokok daun…

Kalau berada di rumah Tokwan, Wa Sarah selalu duduk di muka pintu rumah dapur – yang dipisahkan dengan pintu dapur rumah ayah oleh sepokok jambu itu. Dari situ, dia boleh berbual dengan ipar duai di atas rumah [dapur] atau yang berada di depan rumah serentak. Dengan Tokwan dan Tok, Wa sarah membahasakan dirinya ‘Sarah’, manakala dengan ipar-duai, sebagai isteri abang besar [sulung], dia pastilah membahasakan dirinya ‘kak’. Dengan saya? Tentulah ‘Wa’.

Saya tidak ambil tahu sangat apa yang Wa Sarah selalu bualkan dengan mertua dan ipar duainya - sama seperti saya tidak peduli dengan pandangan mereka terhadap Wa Sarah.Tetapi saya masih ingat topik yang selalu Wa Sarah bualkan dengan saya. Topik yang boleh membuatkan saya ternganga…

Siaran TV!

Wa Sarah selalu melihat saya membaca akhbar yang Paktih bawa balik. Pakngah Jusoh [Changlon] juga, setiap kali datang ke rumah Tokwan akan berbekalkan akhbar – kata orang, sebagai peneman kerana Pakngah dikategorikan sebagai pendiam; kalau tidak ada yang mahu dibualkan atau tidak ada lawan berbual, akhbar itulah temannya…

Semua akhbar itu selalunya saya simpan untuk dibaca kemudiannya. Allah memberi saya kebolehan membaca rumi dan jawi secara ‘fasih’ semenjak  darjah dua lagi.

Wa Sarah pandai memilih subjek untuk berkomunikasi dengan saya. Dia bercerita tentang rancangan tv. Ketika itu, bukan setakat tv, bekalan elektrik juga masih tidak terjangkau di kampung saya. Kalau mahu menonton tv, kena berkayuh ke Simpang Empat atau ke rumah orang ada-ada  di kampung berhampiran yang mempunyai generator. [Banyak yang akan saya catatkan kemudian tentang tv ini – satu isu yang sentiasa melekat, bersalut dengan dendam, tetapi satu daripadanya telah saya masukkan di dalam entri ‘Sukan Olimpik Munich’ yang berlangsung pada tahun 1972 – bayangkan semasa itu pun tv masih menjadi benda asing di kampung….]

Intisari rancangan tv [hanya ada stesen RTM] – saya tahu berdasarkan bacaan akhbar – tidak banyak terbitan tempatan. Drama, rasanya, hanya ada satu slot sekali seminggu – Potret Pekerti. Tayangan gambar Melayu juga seminggu sekali. Ada beberapa rancangan muzikal yang bermusim– semasa itu Juara Kugiran, Muzik Muzik Muzik dan Bintang Radio serta Bakat Tv [lama selepas itu baru ada Bintang RTM]. Selain itu ada drama Mandarin Tiga Sekawan yang orang Melayu juga tonton…

Wa Sarah akan bercerita tentang drama Melayu yang ditontonnya. Kiranya dia bagi sinopsis ceritalah. Saya ternganga mendengarnya. Wa Sarah pencerita yang baik. Dia sebut nama pembawa watak yang saya kenal hanya dari akhbar tapi tidak pernah melihat aksinya…  Wan Noraini, Aziz Abdullah, Goh Swee Leong, N Sivaguru...Dia tunjukkan kembali pergerakan watak, jika perlu. Kalau dua minggu dia tidak datang, dua dramalah yang akan diberikan sinopsis secara lisan. Dua kalilah nilai ngangaan saya!  Bayangkan kalau sebulan kemudian baru Wa Sarah datang…

Selain novel, cerpen - di dalam akhbar dan antologi - serta drama radio,  sinopsis yang saya dengar dari Wa Sarah ini memperluaskan daya imaginasi saya. Saya kenal Kuala Lumpur, Singapura, Jakarta, malah London dan New York - tetapi mengikut acuan imaginasi itulah....

Mengenang kembali, macam tidak percaya bagaimana seorang budak berusia sembilan atau sepuluh tahun boleh berbual santai dengan Wanya begitu. [Dan si Wa pula boleh melayan perbualan tersebut…] Mungkin, kerana itu merupakan di antara cara pengisian masa yang ada pada era tersebut.

Pada suatu hari – pada tahun 1970, saya pasti tahunnya – Wa Sarah bersembang dengan saya di lepau rumah Tokwan. Hanya kami berdua. Mungkin sesudah Wa Sarah berbual dengan mertuanya dan ipar duainya yang lain. [Rumah Tokwan banyak kali dilakukan transformasi, termasuk beberapa kali perubahan susun atur rumah Kedah – ada era hanya ada lepau, ada era beserta dengan beranda.]

Saya sedang membaca akhbar keluaran dua tiga hari sebelumnya [kerana akhbar bukan dibeli hari-hari…] Wa Sarah bercerita seperti selalu – tentang Potret Pekerti yang disiarkan beberapa malam sebelum itu. Saya juga seperti selalu – ternganga mendengarnya. Selepas itu, Wa Sarah bercerita tentang tayangan gambar Melayu hari Jumaat malam Sabtu minggu lepas. Sebuah filem P Ramlee – Penarek Becha, kalau tidak silap. Terngangalah lagi saya mendengar Wa Sarah berkisah pula akan jalan cerita filem itu. Saya tidak pernah menonton filem itu lagi. Maklumlah, orang yang ada tv pun dapat menonton filem melayu seminggu sekali, orang yang tiada tv ?


Sambil meniarap di lepau, berbual dengan Wa Sarah serta membaca akhbar itu, saya terjumpa iklan filem-filem yang sedang ditayangkan di panggung wayang gambar [kemudiannya P Ramlee ringkaskan menjadi PAWAGAM]. Saya tertarik pada iklan sebesar tapak tangan tentang filem Dr Rushdi, arahan P Ramlee. [Saya catat dalam entri terdahulu bahawa saya ingat tahun 1970 itu, kerana filem ini diterbitkan pada tahun tersebut…] Saya tunjukkan kepada Wa Sarah. Lama Wa Sarah merenung iklan itu, sebelum berkata, “Nanti dia masuk tv, Din pi tengok di rumah Wa…”

Saya menggangguk, seronok...dan penuh harapan...


>bersambung sedikit lagi, Insya Allah >

No comments:

Post a Comment