Sunday, August 25, 2013

Aku Kehilanganmu

Malam 29 Mac 2012 - beberapa jam sebelum kehilangan pertama ......



Alah bisa tegal biasa. Demikian kata orang dulu-dulu.

Memang raya kali ini, saya sudah terbiasa kerana menghadapi kehilangan kali kedua. Suasana pastilah tidak dapat disamakan dengan waktu mereka berdua masih ada.

Kekok sedikit menghadap ketupat atau lemang serta pasangan masing-masing - rendang dan gulai. Namun hidup mesti diteruskan. Tanpa mereka, saya terpaksa menghadapi hari raya dengan sedikit penyesuaian. Sememangnya amatlah terasa kehilangan itu....

Kehilangan kali kedua. Menghadapi raya kali kedua tanpa yang tersayang, yang sejak lebih empat dekat bersetia...

Raya tahun lalu, kerana pertama kali menghadapi suasana demikian, kekekokan itu masih saya ingat. Kehibaan dalam meratapi pemergian pertama masih terasa, terpaksa pula menghadapi raya....... Alangkah payah menghadapinya!

Tak akan saya lupa detik kehilangan itu....

Kalaulah malang itu berbau.....

Lebih empat dekad kami saling mengenali. Dalam tempoh itu terlalu banyak yang kami kongsi. Merasai kehidupan masam-masin-manis-pahit-payau. Menikmati saat keras dan lembut, liat dan rapuh. Menongkah detik cemas dan takut. Meraikan kegembiraan dan kejayaan. Semuanya bersama. Hanya kami berdua!

Tiba-tiba ini yang terjadi. Sesuatu yang tidak sanggup saya dengar apa lagi mengalami dengan persaksian mata sendiri.

Mudahnya orang menyuruh saya bersabar - memujuk dengan menyatakan bahawa tiada yang kekal di dunia. Tetapi tiada siapa pun yang dapat menyelami kedukaan ini. Dia terlalu istimewa dalam hidup saya. Bayangkan, hatta berbanding isteri dan anak-anak sendiri, dia lebih mengenali diri saya. Faham gigil dan getar. Tahu marah dan sabar.

Kalaulah malang itu berbau.....

Rabu 28 Mac 2012, saya ke Muar bersama Paktih/Maktih dan Maksu untuk menziarahi anak bapa saudara itu yang baru seminggu menimang cahaya mata sulung. Semuanya lancar. Perjalanan pergi (singgah makan di dua tempat), semasa di sana, menikmati mi bandung dan nasi ambeng, perjalanan balik, singgah dan dijamu laksa di rumah sepupu di Bandaraya Melaka. Semuanya berjalan seperti dirancang.

Singgah di rumah adik di Sri Damansara pada malam 30 Mac juga sempurna pada mulanya. Pada mulanya! Berkumpul bersama beberapa sepupu dan anak saudara, suasana meriah dan mesra seperti biasa. Makan-makan sambil pula menyaksikan di tv,Perak dikalahkan Kedah dalam perlawanan Liga Super Malaysia.Kemudian kami tidur dalam keletihan dan kepuasan.

Paginya, 31 Mac, menjelang Subuh, saya terbangun. Dada berdebar. Suatu perasaan ganjil menular. Tiba-tiba saya teringat waktu di AlFalah. Sebagai bekas pengajar Kesusasteraan Melayu, saya tahu itu dinamakan imbas muka (foreshadow)! Sebagai bekas pengajar Sains, saya tahu demikianlah hukum alam. Sebagai bekas pengajar Bahasa Melayu, saya kehilangan kata-kata!

Saya tahu saya akan kehilangannya. Tapi kenapa harus terjadi ketika saya menjengah  ke rumah adik? Tidak sanggup berlama meratapi nasib, saya bangun ke bilik air. Kehibaan saya luahkan di situ sepuas-puasnya. Lama kemudian, saya membasuh muka, lalu menatap cermin. Wajah saya benar-benar berubah.

Saya cuba mengukir senyum sambil menyeka air di dahi dan pipi. Senyum dalam saat duka begini? Gila!
Saya gagahi juga. Berjaya. Namun senyuman ciptaan itu hanya mampu bertahan 3 saat. Saya tidak sanggup menipu hati. Timbul rasa sayu yang tidak terungkapkan.

Selepas solat Subuh, saya terpaku di sofa. Doa agar saya tabah yang diucapkan di sejadah tadi saya ulang berkali-kali di dalam hati.

Mestikah saya menelefon isteri dan memberitahu petaka ini? Bagaimana jika dia tidak dapat menerimanya atau bertanya panjang lebar pula? Adakah saya mampu dengan selamba bercerita kepadanya? Saya keliru.

Dalam suram pagi di ruang tamu rumah adik itu, tiba-tiba saya teringat hadis nabi yang menasihati Ummu Salamah agar bersabar dengan musibah kematian suami........

Insya Allah saya akan tabah. Tetapi Ummu Salamah mendapat pengganti yang lebih baik.... dalam kes saya, akankah mendapt pengganti walaupun yang tidak baik? Saya berfikir sendiri...

Saya tersentak ketika Chu melintas di depan saya sambil menjinjing bantal dan hamparan tidur yang digunakan malam tadi. Rasanya, sebelum saya memberitahu isteri, biarlah saya mengukur ketabahan dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada Chu.

"Satu gigi bawah saya gugur masa ambil wuduk tadi......"

"Kena apa?"

"Dah lama longgar...."

***************************************************************************

Kini saya dapat merasakan bakal kehilangan kali kedua. Selepas empat bulan. Benarlah seperti yang diseloka orang::

Apabila tua,
Mata kabur,
rambut gugur,
kulit kendur,
telinga luntur,
gigi bertabur!

Saya rupanya sedang menghadapi tua!


Nota: 

Menjelang pertengahan September 2012, berlakulah kehilangan kali kedua..... Makin sukarlah proses awal menghadamkan lemang dan ketupat atau menyiat daging lembu dan ayam pada raya lalu.......

Memori kehilangan kali pertama di atas saya muatkan di dalam blog lain pada 1 April 2012. Ada pembaca menyangka itu adalah permainan April Fool. Tetapi saya tertarik pada komen seorang pembaca dari Jerantut, berasal dari Felda Sungai Tiang. Tulisnya: Takpa....Takpa.....


Hehehehe..........

No comments:

Post a Comment