Tuesday, August 20, 2013

Lawak Kering Paknjang

Paknjang 
Sekitar November 1990, Paknjang datang ke rumah dengan membawa khabar yang membuatkan saya terbatuk-batuk.

Paknjang memberitahu emak bahawa dia telah menjumpai calon menantu. Mereka bersembang di depan tangga di dalam rumah, manakala saya sedang melengkar di dalam bilik di rumah atas. Setiap butir perbualan mereka saya dengar, atau memang mereka mahu saya mendengarnya dengan berbual hanya beberapa meter di bawah  tempat saya berada. Kerana mendengar perkhabaran itulah, tiba-tiba batuk menyerang tenggorok saya….

Saya dipanggil untuk bersama mereka.  Duduk di atas anak tangga yang dibuat dari bancuhan simen yang menjadi asas tangga kayu ke rumah atas  itu, saya hanya diam mendengar sambil terbatuk-batuk kecil.

“Orang Kubor Panjang!” kata Paknjang, mukanya menghala kepada emak, ekor matanya ke arah saya. Saya terbatuk.

“Habibah, nama dia…” kata Paknjang lagi, mukanya masih menghala kepada emak, tetapi pandangannya sembilan puluh  peratus terarah kepada saya. “… ada dua beradik saja. Sepasang, lelaki perempuan. Habibah tu yang sulung..…… “ Batuk saya makin menjadi-jadi….

“Hang ‘ni batuk sungguh ka?” Kali ini muka serta pandangan serta soalan Paknjang memang diarahkan kepada saya.

Saya tersentak dan batuk pun terhenti!

“Sapa tolong cari?” Tanya emak dan saya rasa bagai dibantunya…..

“Orang dekat rumah saya – Shadah dengan Man….” Balas Paknjang.

Maka kemudiannya saya mula kenal Kak Shadah dan Bang Man ini – pasangan suami isteri yang baru bertemu jodoh setahun dua sebelum itu, pada usia masing-masing melepasi 40 tahun. Mereka tinggal sekitar 3 batu dari rumah Paknjang, menghala ke Bukit Selambau.

Kak Shadah boleh dikatakan kakak angkat Habibah, orang Kubor Panjang yang kemudiannya menjadi isteri saya itu. Habibah pernah tinggal di rumah keluarga Kak Shadah di sekitar Seberang Perai, semasa menjadi guru sementara di Pasir Gebu. Khabarnya mereka cukup rapat, maklumlah sama-sama masih solo dan berkongsi bilik pula . Ayah Kak Shadah pernah menjadi YB pada era 70-an dahulu.

Maka tidak hairanlah sebarang acara sepanjang proses dari menengok / merisik sehingga perkahwinan kami pasti melibatkan Kak Shadah – dan sudah tentu bersama suaminya, Bang Man. Saya tidak akan lupa pada malam pernikahan kami. Sebaik selesai dinikahkan, Habibah dibawa keluar dari biliknya, untuk bersalam dengan saya serta menandatangani surat nikah di hadapan Imam Masjid Kg Belat, Cu Haji Ahmad. Itulah pertama kali saya melihat Habibah, itupun setelah sah menjadi isteri. Siapakah pengiringnya keluar dari bilik? Siapa lagi kalau bukan Kak Shadah…..

[Pertama kali? Mungkin ada kepelikan sedikit bagi sesetengah makhluk ….. Sebenarnya demikianlah. Habibah dijumpai oleh Paknjang, melalui Kak Shadah/ Bang Man. Mereka yang mengatur semua pertemuan keluarga dan risikan serta peminangan. Saya berjanji kepada diri untuk menjadi suami kepada sesiapa yang emak  ayah restui…. Maka apabila emak ayah mewakilkan Paknjang untuk mencari seorang gadis untuk saya nikahi, saya terima sajalah hasil carian itu. Mustahil Paknjang akan mencarikan seorang gadis senget rupa,akhlak dan akal untuk anak saudaranya….

Semasa orang hendak pergi menengok di Kubor Panjang, ketika anggota rombongan bersedia untuk bertolak, saya menyelinap ke asrama AlFalah, menghendap dari cermin tingkap pergerakan dua tiga buah kereta…. Salah seorang pemandunya adalah arwah Paksu [Hazizan Sahak], suami Cu. Berbakul seranahnya di dalam hati melihat ketiadaan saya di dalam rombongan itu. Paksu mempunyai sebab kuat untuk memarahi saya. Sepanjang berada di rumah Habibah, di Kampung Tok Dam, Kubor Panjang, pada hari itu, dia yang tidak berteman sebaya, hanya diam membisu bersendirian. Tambahan lagi, penduduk di situ berbual sedikit-sedikit akan menggunakan bahasa yang memerlukan sarikata – bahasa Siam. Kerana diamnya, dan kebetulan hanya dia yang muda sedikit dari semua lelaki yang datang dari Kg Permatang Ibus, sepanjang masa dia dianggap sebagai  ‘anak teruna’, yakni saya. Sehinggalah waktu hampir balik,  barulah siapa dirinya diperkenalkan…… Terangguk-angguklah pihak di sebelah ‘sana’. Mereka telah tersalah terka….Anak teruna tidak ikut sama!

“Celaka! Hari ni Paksu marah sungguh kat hang….” Kata Paksu pula dalam bercerita ketika kami berjumpa pada petangnya. Saya ketawa bersama Paksu!

Ketika pihak sana datang membalas lawatan pula, [pertengahan Disember 1990], saya memanglah ada, walaupun hanya sekejap. [Ketika itu saya sedang mengikuti kursus dalam cuti di Maktab Mahmud, Alor Setar. Itulah alasan pula bagaimana saya hanya sekejap berjumpa keluarga bakal mertua]. Kira sempatlah mereka ‘menengok’saya… Tetapi dalam rombongan itu hanya ada beberapa pasang saudara yang berusia emas serta emak, ayah dan adik kepada Habibah. Habibah hanya menunggu khabar di rumahnya…. Maka tidaklah kami saling mengenal muka…..

Sebab itulah, saya catatkan di atas,  pada malam pernikahan itulah kali pertama saya melihat wajah isteri dan dia melihat wajah suami…. Pertukaran gambar/foto? Tiada. Perbualan melalui telefon? Tiada, ditambah lagi dengan tiada juga talian telefon. Mengutuskan surat? Pun tiada. Malaslah kalau setakat mahu menulis ‘makan apa hari ini? Pakai baju warna apa hari ini? Pecah kaca pecah gelas…..’dan yang seumpamanya…. Facebok? Hehehehe. Halo, kawan. Semasa itu, kalau Mark Zuckerberg tinggal di Malaysia, dia masih berhingus di dalam kelas tadika atau darjah satu!]

Kerana rapatnya hubungan dengan Kak Shadah – dan Bangman, maka rumah mereka termasuk di antara yang paling awal kami kunjungi sebaik selesai kenduri-kendara. Berada bersama senarai rumah saudara-mara terdekat. Sementelah, rumahnya tidak jauh dari rumah Paknjang, jadi kunjungan hari itu dikategorikan sebagai dua dalam satu…. Er … tiga dalam satu. Yang teruk sedikit hanyalah perut. Di rumah Paknjang dijamu nasi tengah hari, di rumah Kak Shadah/Bangman dijamu nasi menjelang Asar – berselang dua setengah jam. Selepas Asar, kami diajak ke rumah emak Kak Shadah [merangkap emak angkat Habibah] di pinggir sungai selepas jambatan di Pekan Jeniang. Di situ, dalam menjangkakan hanya dihidangkan teh dan pisang goreng, rupanya mereka juga menyediakan nasi beriani dengan  -antara lainnya - ayam goreng…..

Saya pun….

“Nak menjaga hati orang, konon.  Aku yang teruk!”demikian sebahagian  leteran usus besar saya sepanjang perjalanan pulang, apabila dia mendengar dua tiga kali saya memberitahu isteri akan rasa sengkak yang amat sangat. Hati sendiri hanya diam walaupun ada sedikit rasa tersindir…..

Demikianlah.

Selang tiga empat bulan kemudian, kami jengahi lagi rumah mereka setelah berkunjung ke rumah Paknjang. Lebih santai kali ini dengan sela masa yang selesa. Sembang-sembang dan makan-makan…..

Selepas itu lama kami tidak saling berkunjung. Lebih setahun, rasanya. Paknjang/Maknjang pula kerap kami temui dalam kunjungannya ke rumah Tokwan atau di rumah saudara-mara jika ada kenduri-kendara atau sakit-demam.

Pada 1994, suku pertamanya, kami berniat untuk menziarahi rumah Paknjang/Maknjang dan rumah Kak Shadah/Bang Man.

Demi keselamatan usus, kami bercadang ke rumah Kak Shadah hanya selepas masuknya waktu Asar.  Namun, perancangan di atas motor itu tinggal begitu sahaja. Selesai makan di rumah Paknjang dan selepas solat Zuhur, Habibah telah bersiap untuk berjumpa kakak angkatnya itu.

Puncanya?

Semasa menunggu waktu makan, Paknjang mengatakan Kak Shadah dan Bang Man buat sementara ini tinggal di rumah keluarga mereka yang di tepi sungai selepas jambatan di Pekan Jeniang itu.

“Dia ‘dah dapat anak …..” kata Pakjang.

Alhamdulillah! Hampir serentak saya dan isteri mengucapkan syukur…..Dapat juga Kak Shadah seorang anak….

“Bila?” Tanya Habibah yang teruja.

“Dalam dua minggu lebih kut….” Balas Paknjang  sambil menyedut  rokok daun.

“Kiranya tak lepas pantang lagilah…..” Habibah berkata sambil mengangguk-angguk dan tersenyum. Paknjang  ikut tersenyum. Maknjang pun.

“Anak lelaki ka perempuan?” Tanya  Habibah seterusnya.

“Orang dapur…..” jawab Paknjang  tanpa menoleh; merenung asap rokok yang berjaya dikeluarkan melalui dua lubang hidungnya…. Maknjang hanya mengiakan.

Masalah komunikasi menjadi sebab khabar bahagia itu tidak kami terima lebih awal. Salah kami juga kerana seolah membiarkan tali silaturahmi dengan Kak Shadah dan Bang Man makin longgar ikatannya….

Ketika menuju ke Pekan Jeniang, tidak henti-henti, isteri saya bercerita  - betapa perancangan Kak Shadah jika dan apabila mempunyai keluarga dan anak sendiri  -  semasa mereka masih solo beberapa tahun dahulu. Meski berada di usia penghujung 30-an ketika itu, Kak Shadah tetap yakin Allah akan memberikannya jodoh yang baik serta anak  yang demikian juga sifatnya.

Sebagai pendengar yang baik pula, saya memang hanya mendengar. Tidak berkata sepatah pun, membiarkan Habibah bermonolog kepada saya dan angin yang menerpa ke arah kami di atas motor. Hati saya yakin menyatakan bahawa keterujaan Habibah menerima berita Kak Shadah mendapat zuriat itu  ada memberinya harapan pula – kerana kami sendiri belum dikurniakan peluang bergelar ayah ibu meski usia perkahwinan telah menginjak ke tahun ketiga. Maka saya biarkan isteri terus bermonolog dan berilusi…… 

Di Pekan Jeniang , kami singgah di hadapan dua kedai. Kedai yang menjual set pakaian bayi serta kedai buah-buahan yang juga menjual makanan ringan dan biskut.  Selain set pakaian siap berbungkus itu, Habibah membeli dua jenis buah import . Di kedai buah itu dia dapatkan juga dua jenis biskut yang selalu dimakan oleh wanita di dalam pantang – satu bungkus biskut  empatsegi bulat [acahan saya untuk memeningkannya] serta satu bungkus lagi biskut bulat kering, rapuh dan tawar yang boleh menyerap secawan air dengan hanya satu rendaman…..

Hujan renyai mula turun ketika kami melintasi jambatan Jeniang. Bang Man, yang hanya berkain pelikat dan bersinglet putih, keluar menyambut kami, sebaik mendengar  lafaz salam saya. Lebar senyumannya – senyuman  seorang yang baru bergelar ayah. Makin lebar lagi apabila sambil berjabat tangan, saya ucapkan ‘tahniah’kepadanya. Belumpun sempat disempitkan sedikit senyum itu, Habibah yang mahu melangkah masuk ke rumah pula ikut mengucapkan tahniah. Makin meluaslah senyum di wajah Bang Man…

Di ruang tamu, berhampiran sofa berdekatan tingkap, terdapat buaian mudah alih. Habibah menerpa ke situ. Diletakkannya bungkusan yang dibawa bersama tadi ke atas meja kopi di sebelah sofa itu. Betul-betul teruja isteri saya itu, sambil melafazkan frasa yang sudah klise – sering didengar di wad hospital kanak-kanak, di klinik serta di dalam drama tv: “Amboi comelnya……” Dia mengacah-acah ke arah bayi di dalam buaian, sambil menggeleng-geleng kepala. Sebiji seperti aksi seorang opah di dalam drama yang kami tonton beberapa hari sebelumnya… 

Saya menghampiri buaian itu. Menatap wajah bayi yang sedang kehairanan , agaknya, melihat wajah dua orang asing di atasnya. Saya tidaklah sampai melafazkan juga baris skrip seperti Habibah tadi. Comel memanglah, tapi comel itu bukankah subjektif sifatnya.  Di Somalia, anak yang baru lahir seperti itu pun tentulah dianggap comel oleh jiran-jiran, apa lagi saudara-mara ibu-bapanya.  Namun, supaya tidak terdapat vakum pada watak saya, saya pun melafazkan, “Jantina mungkin ikut Kak Shadah tapi matanya mengikut Bang Man….” Terus terang, saya hanya membina kalimat itu, tidak pasti pun bagaimana dikatakan persamaan mata seorang bayi dengan seorang dewasa separuh abad… Tetapi saya cukup bahagia melihat Bang Man yang berdiri berdekatan saya tersenyum lagi lebar…

“Hmmm! Bertubuh seketul! “ kata isteri saya lagi.

 Saya tersentak.Sudah lama saya ingin mendengar ayat itu dan dapat menyoal balik secara vokal.  Selalunya saya mendengar frasa tersebut dari orang lain, terutamanya orang tua-tua, sebaik melihat bayi yang baru dilahirkan. Kerana mereka ‘orang lain’ dan tua-tua pula, terpaksalah saya simpan soalan mudah saya.

Kali ini saya berpeluang untuk bertanya terus: “Awat, anak orang Ethiopia atau Somalia ‘nu tak ‘bertubuh’ka?” Bang Man tergelak kuat. Isteri saya menjeling suaminya…. “Dah orang dok sebut macam ‘tu….budak-budak sihat elok depa panggil ‘bertubuh’la….”katanya di hujung jelingan.

Betul, kan? Isteri saya hanya menghafal frasa yang diturunkan dari generasi ke generasi apabila melihat bayi atau anak kecil….  Saya hanya mengangkat bahu dan Bang Man tersengih melihat saya.

Ketika itu muncul Kak Shadah bersama emaknya dari arah dapur. Mereka menyalami serta memeluk isteri saya. Kepada saya mereka mengangguk-angguk, tersenyum. “Tahniah nooo, Kak Shadah.”kata saya.  Kak Shadah tersengih. Nampak dia sihat seperti dahulu, berhias kemas, memakai kemeja t lengan panjang berkain tanpa corak berwarna hijau pucuk pisang. Rambutnya dibungkus skaf hijau muda. Tidak seperti wanita baru bersalin lain yang tipikal – muka bertempek bedak sejuk, rambut ditocangkan, memakai sweater di bahagian luar, berkain batik kusam serta berstokin……

Habibah mengambil tiga bubgkusan yang dibawa tadi. Diserahkannya kepada Kak Shadah yang kemudian menghulurkan pula kepada emaknya. Ketika memegang bungkusan ketiga – berisi biskut kering – dua berana itu tertawa agak kuat. Bang Man ikut serta setelah sejak tadi mengulum senyum. Saya terpinga-pinga. Habibah tentulah juga demikian, malah mungkin lebih lagi.

“Paknjang tak habaq ka? “Tanya Kak Shadah sebaik tawanya sedikit reda.

“Awat?” saya dan isteri bersuara hampir seirama. Darjah kehairanan makin meningkat.

“Kak hangpa ‘ni bukannya bersalin……” kata emak mertua Bang Man  yang mula duduk di sofa bersebelahan buaian mudah alih tadi. Tawanya masih ada walaupun nipis.

Kami masih terpinga-pinga.

Bang Man yang ikut duduk tidak jauh dari situ dalam tawa yang tidak berbunyi kemudiannya menerangkan duduk perkara. Katanya, anak itu diberikan oleh seorang ibu beranak ramai yang baru melahirkan bayi itu dua minggu lalu. Orang Langkawi. Bukan orang ‘ada-ada’.  Malah berjanji jika melahirkan lagi, pun akan diberikan juga kepada Kak Shadah… Tentang bagaimana mereka boleh berjumpa dengan orang Langkawi itu tidak perlulah saya perincikan….

Saya terlopong seketika sebelum ikut ketawa. Patutlah mereka tertawa kuat tadi terutama tatkala melihat bungkusan biskut untuk ibu bersalin….. Patutlah saya nampak Kak Shadah seperti ‘biasa-biasa’ sahaja.

Isteri saya terduduk. Dalam tawa juga, dia menyebut dua kali nama satu watak:  Paknjang, Paknjang…..

Selepas kematian Habibah pada 23 Julai 1995, hubungan saya dengan pasangan suami isteri yang baik itu menjadi cukup renggang. Hanya tiga kali saya ke rumah Kak Shadah/ Bang Man di jalan Bukit Selambau [satu darinya pada hari kematian Paknjang ], serta sekali bersama arwah emak ke rumah emaknya di Pekan Jeniang itu kerana majlis kenduri kahwin adik Kak Shadah….

Maknjang
Kak Shadah dan Bang Man mendapat seorang lagi anak dari orang Langkawi itu kemudiannya, dan mereka juga dikurniakan Allah seorang zuriat sendiri yang kini berusia 12 tahun….

Jumaat, 16 Ogos lalu, saya bersama samatua yang kedua ke rumah arwah Paknjang. Dalam berbual dengan Maknjang serta anaknya Yusof, timbul cerita tentang Kak Shadah yang sudah mendapat menantu. Anak kecil yang saya dan Habibah ziarahi dahulu itulah yang menjadi pengantinnya. Kendurinya berlangsung pada hari raya keempat baru lalu [11 Ogos 2013] di rumah adik Kak Shadah di Taman Indah, Jeniang.










No comments:

Post a Comment