2 atau 3 Syawal.
Paknjang dan keluarga |
Kami berkumpul di rumah ayah, menikmati kuih raya serta lebihan ketupat dan kari daging pencecahnya sambil bersembang. Tv sedang terpasang, entah ditonton atau tidak..Selain kami adik beradik serta ayah emak, ada Maktam dan Paktam sekeluarga. Ada juga Ngah Dah Changlon dan anak-anaknya yang baru sampai pada paginya. Tok dan Tokwan ada di rumah mereka, sedang melayan seorang dua cucu lain.....
Tiba-tiba sebuah motorsikal bersama dua orang penggunanya singgah di depan rumah, di tepi pokok belimbing. Pemboncengnya sedang menangis! Kami tepilanjat! Saya, Paktam dan ayah menerpa keluar. Penunggangnya yang gelabah. Tangisan pembonceng makin kuat.
"Bukan saya... jangan silap faham...."kata penunggang sambil mematikan enjin. Yang lain tidak tahulah, tetapi saya bukan silap faham, tapi memang tidak faham apa-apa.
Pembonceng yang terus menangis turun dari motorsikal diikuti penunggangnya.
Nasriah!
Rupanya yang sedang menangis berterusan itu Nasriah. Di mukanya ada lelehan darah! Si penunggang, lelaki seusia ayah, menghampiri kami bertiga sambil dua telapak tangannya mengisyaratkan agar kami bertenang. Emak, Maktam dan Ngah mendapatkan Nasriah.
"Jangan silap faham..."ulang lelaki yang asing bagi kami itu. Dia bersalam dengan ayah lalu menceritakan duduk perkara.
Dia sedang bermotorsikal di jalan Kota Sarang Semut ke Kuala Sala. Selepas jauh sedikit dari SM Muadzam Shah, dia melihat sepasang pengguna motorsikal mendapat kecelakaan, terdampar di tepi jalan. Dia bertanya, destinasi mereka. Penunggangnya memberitahu nama kampung kami, lalu dia mengajak Nasriah yang sedang menangis, memboncengnya untuk dihantar ke rumah kami.
Penunggang yang cedera itu?
"Abang!" kata Nasriah dalam esak dan raungnya.
Nasir!
Saya tidak ingat sama ada sesiapa bertanya nama lelaki yang menghantar Nasriah tadi. Juga tidak ingat adakah dia dipelawa masuk ke rumah.
Yang saya ingat, Paktam terus mengajak saya ke rumahnya, menaiki kereta bernombor plat BAJ 2177, terus ke lokasi kejadian. Akan hal Nasriah serta lelaki yang menghantarnya tadi, terserahlah kepada ahli keluarga lain megendalikannya....
Nasir yang mendapat sedikit kecederaan sedang berbual dengan seseorang ketika kami sampai. Motornya masih terbaring di atas rumput di sisi jalanraya.
Semua hal, baik bab motor atau punca kemalangan saya sudah lupa. Begitu juga tentang repot ke balai polis atau yang seumpamanya.
Yang masih basah di ingatan adalah kami - Paktam, Nasir dan saya - terus ke rumah Paknjang bagi memaklumkan hal.
Toktam Hj Sulaiman |
Paknjang tiada di rumah ketika itu. Sedang berbual di rumah Hj Ahmad, rakannya di seberang jalan, lepas sedikit dari rumah Toktam Hj Sulaiman.
Seseorang disuruh memanggil Paknjang balik. Tidak saya ingat siapa tetapi dititip pesan cuma bagi tahu kedatangan Paktam dan saya ke rumahnya.
Kami terus berbual sambil menjamah kuih raya yang Maknjang hidangkan.
Sebentar kemudian saya nampak Paknjang melintas jalan untuk pulang. Makin dekat, saya nampak wajahnya tenang, barangkali mengingatkan kami datang untuk beraya.
Melepasi rumah Toktam Hj Sulaiman, antara celahan pokok rambutan, Paknjang yang sedang memerhati ke arah kami, tiba-tiba berhenti. Dengan jelas saya nampak dia menggelongsor, jatuh terduduk di atas tanah! Paknjang pitam...
Beberapa orang menerpa ke arahnya. Mengangkat dan memimpinnya ke arah kami di dalam rumahnya. Di dalam rumah, sebaik tersedar, Paknjang menangis.
"Anak aku.... anak aku...."ulang Paknjang. Saya sebak. Waktu itu dan waktu menaip ini pun.....
Maknjang, dengan dibantu Paktam, cuba menenangkan Paknjang. Lama juga masa yang diambil mereka, sebelum Paknjang berhenti menangis.
Saya hairan. Tadinya dia masih tenang, sah tidak diberitahu hal kemalangan itu oleh seseorang yang diminta memanggilnya pulang. Bagaimana dia boleh tahu pula sehingga tersepuk di tanah?
Naluri seorang ayah! Itulah jawapannya.
Ketika Paknjang di dalam kereta bersama kami petang itu untuk ke rumah Tokwan bagi melihat Nasriah, saya ajukan pertanyaan tentang itu kepadanya. Kata Paknjang, dia memang tidak tahu pada awalnya, cuma seronok mendengar kami datang. Tetapi ketika melepasi rumah mertuanya itu, dia nampak kelibat Nasir di celah-celah ramai di dalam rumahnya. Dia tahu, mesti ada sesuatu yang tidak elok terjadi, kerana tidak pun nampak motor Nasir. Sementelahan Nasir dan Nasriah baru sangat bertolak ke rumah Tokwan untuk beraya....
Saya tidak ingat bagaimana kedudukan Nasriah, Nasir dan motor mereka selepas itu. Kejadian itu sudah lama. Lama sebelum Nasriah bertemu jodoh....
Namun, selagi sihat minda, tidak akan saya lupa bagimana Paknjang menggelongsor jatuh ke atas tanah, pitam seketika dan menangis pada petang itu.....
Paknjang!
No comments:
Post a Comment