Saturday, November 23, 2013

Dudur: Gatal Yang Terlampau

Buah Dudur
Puas saya meminta Pakcik Google tolong carikan. Akhirnya terjumpa satu foto buah dudur. Katanya dijumpai di Kedah.  Alhamdulillah. 

Di kampung kami, buah dari pokok spesies palma ini dipanggil kedudur [kedudoq]. Tak kisahlah. 

Seluruh pokok ini boleh mendatangkan kegatalan - kata oranglah, kerana saya tidak pernah mencuba untuk menggatal dengan sengaja..

Getah dari buahnya yang sebesar buah cermai itu sahaja yang saya tahu memang boleh menyebab kegatalan kulit.  Tidak pula pasti adakah umbut pokoknya boleh dibuat kerabu seperti umbut rembia atau umbut kelapa. 

Ini pengalaman peribadi tentang buah yang tidak juga saya tahu samada boleh dimakan atau tidak.

Hari itu ada kenduri di rumah Tok Ngah Hj Jaafar sempena perkahwinan cucunya Ramli bin Ahmad, yang lebih dikenali di kalangan orang kampung sebagai Md Nor [Not], dan menempuh sebahagian usia pula sehingga akhir hayat dengan nama Wak. Jodohnya adalah seorang gadis putih serlah bernama Fatimah Taib. {Barang diingat putih itu kalau mahu disebut dalam cara generasi emak ke atas,  suku kata pertamanya mestilah sekurang-kurangnya tiga harkat, manakala suku kata kedua semoleknya dieja dalam huruf jawi dengan menggantikan 't' itu bukan dengan huruf ta sebaliknya huruf tha [ ط }

Saya tidak ingat sangat akan kemeriahan kenduri itu. Tetapi rasanya seperti kelaziman kenduri lainlah pada era itu - sekampung warga berkumpul sejak sehari dua, saling membantu termasuk membawa ayam seekor dua atau gula sekati dua atau susu setin dua atau beras segantang dua.

Era itu acara malamnya kadangkala lebih hebat. Dijemput orang berdikir, bernasyid, membaca alQuran dan kemuncaknya, bersanding pada dini hari [ini biasanya pada rumah pengantin perempuan]. Di kalangan keluarga saya, Chik dan Chu masih bersanding pada waktu malam, tidak pada dini hari. Chik bersanding di rumah Tokwan manakala awal sedikit tarikhnya, Chu bersanding di rumah Wa Isa/Wa Sarah [di Langgar]. Kedua-duanya pada tahun 1982.

Saya tidak tahu acara apa pada malam hari di rumah Tok Ngah Jaafar itu kerana buat pertama kalinya saya ditahan di rumah pada malam tersebut dengan alasan yang munasabah, yang akan saya ceritakan ini.

Abu Hassan Taha dari Kampung Perlis ,yang berjiran dengan kampung kami adalah ketua saya di segala bidang. Rumahnya boleh dilihat dari rumah saya. Hanya tujuh lapan petak sawan memisahkan rumah kami. Tapi kami warga kepada kampung yang berbeza. Dia ketua saya [dan rakan sebaya lain] kalau mahu menangkap ikan di kubang, mahu bermain bola di bendang ketika musim kemarau, menonton tv di sebuah rumah di tengah kampung....dan pelbagai lagi aktiviti.

Hassan ketua yang cukup adil dan tegas. Saya bagi satu contoh yang cukup membekas.

Tahu atau pernah lihat bola plastik berjalur hijau putih atau merah putih sebesar bola baling itu? Kami berkongsi seorang lima duit [lima sen] untuk membelinya di Kedai Ah Piang di Kangkong. Petangnya, kami bermain dengan puas di dalam bendang yang tunggul padinya kami cangkul buang bersama. Dua petang begitu. Seronok tidak tercerita. Petang ketiga, ada perkelahian sengit. Puncanya, seorang rakan sepasukan saya tidak mengaku bola terkena tangannya ketika berada semeter dari pintu gol kami. 'Lawan' yang ternampak, berkeras mahukan tendangan penalti.Saya dan beberapa lagi rakan sepasukan juga nampak kesalahan itu. Tetapi hingga sudah ditumbuk beberapa das oleh 'lawan' yang berang, rakan kami yang boleh tahan keras kepalanya, tetap tidak mahu mengaku. Hassan yang berada dalam pasukan saya, pulang ke rumahnya setelah pujukannya agar kedua-dua pihak berdamai, tidak diendahkan. Terjadi pergulatan yang kami sendiri hanya mampu menengok. Bergulingan badan dua kawan kami ini di atas tanah bendang, dengan kepala dipenuhi jerami padi...Sambil bertukar tumbukan dan kutilan, mereka berduet menangis!

Hassan datang semula. Di tangannya ada pisau lipat berharga lima sen yang selalunya di dalam bilik darjah, kami gunakan untuk mengasah pensil atau paling brutal, mengasah/mengukir pembaris kayu menjadi sebilah keris... Hassan tidak pedulikan dua rakan yang terus bergomol dan menangis itu. Dia mengambil bola yang adiknya, Ali, pegang, lalu duduk di atas batas bendang. Dibenamkan mata pisau ke tengah-tengah bola. Kemudian dia melangut sambil jari ditunjukkan ke arah setiap yang ada di kelilingnya - membilang ahli kumpulan. Maka dihirisnya bola plastik itu menjadi juraian sebanyak ahli kumpulan kami. Dapatlah kami seorang sejurai - termasuk dua rakan yang tiba-tiba berhenti bergumpal. Saya sendiri mendapat juraian berwarna merah.... Berjurai air mata kami ketika masing-masing melangkah pulang pada petang  hening itu....

Besoknya, kami berkumpul seperti biasa di rumah Tok Ngah Taha, ayah Hassan. Hassan menyuakan tapak tangannya dan kami yang seperti beratur meletakkan syiling lima duit seorang ke atas tapak tangan itu. Mengikut ranking, saya adalah orang kanan Hassan, yang kami panggil Chan. Sebagai orang penting, banyak kegiatan yang kami lakukan bersama. Berbasikal ke Kangkong [saya pemboncengnya] adalah yang paling lumrah. Maka petang itu kami berdua ke Kedai Ah Piang untuk membeli bola baru....

Namun petang hari kenduri perkahwinan Wak itu saya tersilap besar. Keseronokan sebagai orang nombor dua tidak bertahan lama...

Budak-budak sebaya saya berlarian gembira di laman rumah Tok Ngah Jaafar. Dari gigi bendang di depan sehingga ke bawah rumah, membawa ke gigi bendang di belakang rumah menjadi medan permainan. Walaupun sebaya, saya lupa apa yang menyebabkan kami berlarian gembira begitu. Lari saja-saja. Aku kuit hang, aku lari, hang ligan. Dia kuit dia tu, dia lari, dia tu ligan. Tetapi semuanya ketawa, baik yang menguit atau yang dikuit.

Begitulah.

Hassan yang tua dua tahun dari saya, muncul bersama setangkai buah dudur yang diambil dari pokok di kampung Tok Hj Seman - sebelah kampung Tok Ngah Jaafar. Dia berikan beberapa biji buah itu kepada saya. Dia tunjukkan sekali, secara manual, cara 'bermain'. Sambil berlari-lari, kami tekapkan bahagian bergetah pada buah itu ke mana-mana bahagian kanak-kanak lain. Dada, perut bagi yang tidak berbaju dan tengkuk bagi yang berbaju. Jika tidak ke bahagian tersebut, paling 'koman' kami tekapkan ke bahagian lengan atau pipi.

Kesannya tidak lama untuk dilihat. Semua yang terkena getah itu akan menggaru-garu. Hassan dan saya tertawa bersama kanak-kanak lain yang belum 'gatal'. Tidak lama kemudian, hampir semua tergaru-garu. Misi saya dan Hassan untuk melihat situasi sedemikian telah berjaya. Terkekeh-kekehlah kami ketawa melihat pelbagai gaya kanak-kanak lelaki perempuan menggaru tempat yang gatal.

Ada tangisan! Seorang menjadi dua, dan seterusnya makin ramai. Saya dan Hassan makin kuat ketawa. Ada yang berlari ke rumah Tok Ngah Jaafar, agaknya mencari ubat... Kami berdua terus ketawa ketika senja makin tua.

Tiba-tiba saya nampak telinga Hassan ditarik oleh sebuah tangan besar. Hassan berhenti ketawa. Saya pun.

Pakngah Lazim, menantu Hj Seman, yang rumahnya bersebelahan rumah kenduri mengheret telinga Hassan. Sebagai tanda kerjasama, seluruh badan Hassan pun ikut sahaja arah telinga ditarik - ke rumah Pakngah Lazim. Mulut Hassan mengaduh. Saya yang terkejut terus berlari sekuat hati apabila nampak Paktih Saad, adik ipar Pakngah Lazim, menghampiri saya pula dengan muka yang bengis.

Sup-sap-sup-sap. Saya berlari. Semua jalan pulang ada di dalam kepala. Saya berlari ke arah matahari naik, melompat parit kecil, melepasi rumah Pakcik Syup, sambil berpaling sekali dan melihat Paktih Saad seperti sedang mengejar. Saya lompat parit kecil lagi satu, melewati rumah Hj Seman/ Tok Hatiah, meniti titi buluh dua batang yang melintang di atas parit besar antara kampung Hj Seman dengan kampung Hj Yeh. Walaupun saya tahu tiada sesiapa lagi mengejar, saya tetap berlari terus, melintasi pula parit sebesar dua depa di antara kampung Hj Yeh dengan kampung Tokwan. Saya rasa selamat setelah berada di bawah rumah Tokwan. Sambil termengah-mengah, saya membuka baju lalu duduk di atas lesung di tepi tiang tengah rumah tengah Tokwan. Peluh membasahi badan. Mujur tidak sempat ditangkap Paktih Saad, fikir saya, kalau tidak......

Belum pun sempat saya selesai mensyukuri kemujuran serta memikirkan keberuntungan diri, telinga kanan saya terasa pedih akibat piatan dan pulasan dua jari kasar. Saya terkejut tetapi meronta akan hanya menambahkan kepedihan hati....errr... telinga. Dengan kepala yang terpaksa ditelengkan mengikut tarikan naik pada telinga, saya nampak wajah bengis ayah!

Ayah tidak berbaju, hanya sehelai kain cukin [basahan] melingkari tengkuknya. Kain pelikat yang dipakainya digulung sehingga ke paras lutut. Ada kesan selut pada hujung kain itu.

"Sapa ajaq tak senonoh 'ni?" kata ayah sambil mengheret telinga saya ke arah rumah. Seluruh badan telah berjanji untuk sehidup semati, maka semuanya mengikut telinga....

Emak yang sedang menaiki tangga dapur kehairanan. Mukanya basah tanda baru mengambil wuduk di telaga yang terletak di celah pokok nipah di belakang sedikit antara rumah Tokwan dengan rumah ayah. Emak bertanya sesuatu kepada ayah, yang menjawabnya sambil pulasan pada telinga rasanya macam dikuatkan. Ayah rupanya baru balik dari rumah Pakngah Lazim setelah berbual santai selepas hampir sekerat hari bergotong-royong di rumah kenduri. Dari situlah dia tahu duduk perkara...

Saya faham bahasa yang mereka gunakan tetapi tidak pun sempat saya berfikir, emak menggunakan bahasa tangan pula. Dipiatnya telinga kiri saya. Meski jarinya tidak sebesar jari ayah, tetapi pulasan tangan emak lebih menyakitkan. Maka jadilah saya seperti baton lari berganti-ganti. Sebaik saya mengaduh kuat hasil pulasan emak, ayah pun melepaskan jepitan jarinya ke telinga saya.

Lama telinga saya dipiat emak. Selama mulutnya tidak henti berkata-kata, memarahi saya. Saya mengaduh sambil menangis. Berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan bersama Hassan tadi. Tetapi emak tidak pula melepaskan tangannya sehinggalah datang penyelamat tidak terduga dari atas rumah. Ahmad Yadziz, anak ketiganya  yang berasa lama ditinggalkan menangis kuat secara tiba-tiba dan emak pun melepaskan telinga saya. Fuh!

Saya menggosok-gosok dua cuping telinga yang tidaklah cedera apa-apa bahagian dalamnya kerana masih boleh mendengar suara Tokwan dari atas tangga dapurnya. "Padan muka..." kata Tokwan. Saya memaling dan melangut, mendapati Ndak dan Chik terkernyih di tingkap rumah tengah Tokwan sedang Tok berada di belakng Tokwan di muka pintu dapur.

Saya mengesat airmata di pipi. Belum pun lama, sekali lagi ayah menggunakan bahasa tangannya. Seingat saya itulah kali pertama bahasa demikian digunakan Ditariknya telinga saya ke tepi telaga di celah pokok nipah, di bawah pokok keriang itu. Lantai papan tebal berkampuh tiga menerima badan saya tengan bunyi terkejut. Terpercik air limbahan di sekelilingnya. Tetapi ayah tidak berhenti di situ. Ayah menarik saya untuk duduk di atas kepingan konkrit sebesar almari lauk - tempat emak selalu gunakan sebagai alat menyental kain basuhan. Disentalnya seluruh badan saya dengan pulur sabut yang dipalit sedikit sabut Cap Kapak lembik yang emak tinggalkan di dalam timba terpakai, tergantung di satu tunggul nipah.

"Tang mana kena?" tanya ayah.

[Beberapa hari kemudian barulah saya faham, rupanya ayah menyangka badan saya juga terkena getah buah dudur seperti kana-kanak lain. Sebab itulah disentalnya seluruh badan saya apabila soalan tadi tidak berjawab. Mana boleh jawab sambil menangis .....]

Ayah tidak berkata atau bertanya apa-apa lagi. Dari hujung kaki sehingga ke tengkuk ditonyohnya pulur sabut bersama sabun basuhan itu. Saya teresak-esak menahan kepedihan serta ketakutan.

"Deen..."

Saya kenal bangat suara itu. Itu suara Hassan yang melintas di depan rumah kami untuk pulang ke rumahnya. Saya menghentikan esakan serta-merta. Takut kekananan saya di sisi Hassan terjejas kalau diketahuinya saya menangis...

Ayah pula secara tidak langsung membantu menghilangkan sedu-sedan yang berbaki dengan menjirus kuat air telaga ke atas kepala saya...Maka tidaklah dapat saya menyahut panggilan Hassan - sesuatu yang saya tidak mahu dan yang ayah tidak kan izinkan ketika itu.

[Beberapa hari kemudian juga barulah saya difahamkan bahawa Hassan mendapat pengajaran setimpal pada petang itu. Dagu dan dua sikunya dilumur getah buah dudur oleh seorang dewasa yang Hassan tidak kenal, di rumah Pakngah Lazim. Terkekeh-kekeh kami ketawa ketika Hassan menunjukkan cara dia menggaru dagu dan sikunya. Kalau tangan menggaru dagu, tangan kiri menggaru siku kanan. Kemudian bertukar servis, kata Hassan. Tangan kiri menggaru dagu, tangan kanan menggaru siku kiri.Bergilir-gilir servis bertukar. Sehingga melupas kulit dan sehingga terlena... Tapi saya bangga kerana kata Hassan, dia sedikit pun tidak menangis. Dan saya lebih bangga apabila di depan kawan-kawan kami, Hassan bercerita bahawa saya pun tidak menangis disental dan dipiat oleh ayah dan emak...]

Malam itu, selesai mandi, emak menyuruh saya masuk ke dalam kelambu. Buat pertama kali saya tidur dengan seluruh badan ditempek bedak sejuk. Tetapi mata sukar terpejam. Selain sakit yang bersisa, saya tertanya-tanya bagaimanakah meriahnya rumah kenduri malam itu... Sayangnya, kerana saya terlepas satu detik yang sejak berminggu-mingu ditunggu....

Namun akhirnya saya terlena juga apabila muncul satu wajah. Wajah Pakngah Lazim, yang meskipun pendiam orangnya, tetapi garang di mata saya...

Sejak itu, saya amat segan dengan Pakngah Lazim. [Satu jawaban tambahan untuk entri Ayah Di Antara Chan Tok Chin Dan Santokh Singh kenapa saya agak renggang dengan Pakngah Lazim...]

Nota:

Ketika menyiapkan entri ini, komputer mogok seketika. Saya mengambil peluang pulang ke sekitar Kangkong untuk menghadiri tiga kenduri. Di pertengahan jalan, sebelum sampai ke ban Padang Jambu, di sebelah kanan, saya nampak sepokok dudur di tepi jalan. Pokok yang telah lebih tiga dekad tidak saya jumpa. Betapa satu kebetulan. Malangnya, saya tidak punya gajet yang memungkinkan dirakam foto pokok dan buah dudur itu..... 

No comments:

Post a Comment