Tuesday, November 12, 2013

Periuk Serbaguna Emak

Saya tidak tahu sejak bila periuk itu berada di rumah kami. Seingat saya ia telah begitu dan di situ.

Periuk itu bulat sepertilah  gantang , cuma sedikit kecil, tebal, tanpa ‘cuping’ atau ‘tebing’ buat dipegang. Kalau kepanasan  dan mahu diangkat, emak akan menyepit  bahagian atas luar dan dalamnya dengan tangan berlapik ‘kain buruk’ [kain lama atau perca kain] yang memang dikhaskan untuk memegang periuk, belanga atau pinggan tin yang masih panas…Tidak pula pernah saya lihat tudung asalnya. Kalau mahu ditudung, emak akan gunakan tudung periuk biasa yang sepadan dengan mulut periuk nan sebiji itu.

Di dalam periuk itu, pastilah pernah emak memasak gulai, juga asam pedas, juga sayur lemak kuning atau putih. Memang itu gunanya periuk. Malah, kalau hanya perlukan sedikit nasi, periuk itulah juga yang digunakan.

Namun, lebih jelas di ingatan, ada empat masakan yang paling emak suka gunakan periuk itu.

Pertama, bubur tepung gandum. Tidak tahulah namanya bubur atau apa. Emak masukkan  air, tepung dan sedikit gula, lalu dikacau hingga masak, menjadi seperti gam tepung ubi. Emak sendukkan ke dalam satu piring kecil, tunggu sehingga sejuk atau disejukkan oleh hembusan mulut emak – samada di dalam sudu kecil atau himpunan empat jarinya, lalu disuapkan ke dalam mulut anak kecilnya. Anak kecilnya? Ya, rasanya semua anak emak pernah merasa tepung gandum bergula itu. Saat terindah bagi ‘si abang’ adalah tatkala mendapat baki dari lekatan pada periuk tadi. Dengan menggunakan jari telunjuk, seluruh bahagian dalam periuk tersebut dikelilingi dan dapatlah merasa keenakan tepung gandum bergula ... [Ndak tergelak apabila ditanyakan resipi bubur itu sebentar tadi….]

Kedua, bubur beras atau kanji. Anak kecil tadi makin membesar. Emak rendamkan beras bertos ke dalam air bersantan [dengan ketukan serai sebatang bersama sedikit garam] dan membiarkan hingga menggelegak. Siaplah. Anak tadi disuap bubur itu pula. Si abang dan si kakak yang telah merasa lebih awal penangan bubur itu tatkala sebaya usia dengan adik kecil, akan menambah  sedikit gula bagi menaikkan selera ketika menelannya. Lebih istimewa sedikit, jika ada udang hidup seekor dua dijumpai di celah-celah cedokannya….

Ketiga, inti kuih pau [boleh juga ondeh-ondeh dan cucur kacang]. Bahannya pastilah kacang hijau dengan gula. Selalunya emak membuat inti pada waktu malam dan awal pagi esok  barulah emak sediakan dohnya serta melakukan proses mengukus. Inti yang telah sejuk akan emak kepalkan/jemputkan mengikut saiz yang dikehendaki. Diletakkan hasil kepalan atau jemputan tadi di dalam talam kecil di bawah tudung. Tapi emak tahu, tengah malam nanati, lima enam ketul inti itu akan hilang ke dalam perut anaknya yang sulung….. Kalau disertakan dengan pesanan jangan melakukannya, paling tidak si sulung tadi akan menggunakan jari telunjuknya mengitari bekas inti yang melekat di periuk lalu menjilat kemanisannya sehingga licin… [Kadangkala inti kelapa saja pun jadi……]

Keempat, cabai tumis. Kadangkala cabai tumis biasa , hanya gilingan cili kering bersama garam, gula serta cebisan asam keping. Kalau bernasib baik disertakan udang atau ikan bilis. Kalau kena musimnya, emak masukkan sekali buah petai belalang. Fuh! Berderau peluh di dahi dan keting. Memerah nasi digaul, memercik lagilah peluh. Sedap memanglah. Tetapi saat tersedap ialah apabila cabai tumis itu sudah habis. Tatkala tinggal bekas cabai sahaja pada periuk tadi. Dimasukkan nasi – tidak kira sejuk atau panas – digaul/disapu sepuasnya sehingga tidak terlihat lagi bekas cabai pada dinding periuk, lalu dituangkan nasi tersebut ke dalam pinggan. Kena pula ada orang lain yang sedang melihatnya sambil menelan liur….

Demikianlah.

Saya pasti periuk itu masih tersimpan di mana-mana di rumah emak. Kerana emak telah tiada dan tahun-tahun di penghujung hayatnya  pun emak tidak mampu lagi memasak. 

Di mana pun ia, periuk itu selamanya tetap kekal di ingatan.


Entri ini muncul ketika seorang rakan merungut bahawa periuk serbaguna yang dibelinya sebelum Ramadan lalu, kini terbiar usang di dinding  berhampiran kabinet dapur…

Ah, periuk 'serbaguna'...

Hangpa ada?

No comments:

Post a Comment