Saturday, February 15, 2014

Confidential:Terms Cash

sambungan: The End
 



Bukan saya tidak sedar peri pentingnya Bahasa Inggeris. Tetapi era tidak menyebelahi saya. Di sekolah rendah saya tidak ingat sangat di antara ketidakmahuan kami menumpukan perhatian atau ketidaksungguhan guru yang mengajar.

 Tetapi di peringkat sekolah menengah, saya ingat jelas. Ketika keinginan membuak, gurulah yang membantutkannya. Saya di tingkatan satu E. Diletakkan secara rambang. Tiada sebarang ujian. Satu ABCD pula untuk kelas yang ada pelajaran Seni Perusahaan dan Sains Rumahtangga. Satu E dan F ada pelajaran Sains Pertanian. Satu lagi, E dan F tiada pelajar perempuan! Kononnya, perempuan mana boleh belajar atau buat hal-hal pertanian…

Tak kisahlah, kerana buktinya, dari kelas E sahaja ada tujuh orang yang menjadi sebahagian daripada 30 orang yang pada peringkat SRP kemudiannya mendapat kelulusan baik dan bertukar ke sekolah lain di bandar Alor Setar [ke aliran sains dan teknik] – SM Dato’ Syed Omar, SM Sultanah Bahiyah dan SM Teknik. Ramai juga yang dapat ke SM Vokasional. Tapi barang di ingat, yang ke SMV ketika itu adalah pelajar yang gagal sepenuhnya dalam SRP – mereka dikira layak untuk latihan vokasional…

Semasa di tingkatan satu, guru BI kami adalah seorang India yang mahu menajamkan lidahnya berbahasa Melayu. Maka belajarlah kami pelajaran bahasa Inggeris dengan perantaraan bahasa Melayu. Apalah sangat yang kami boleh dapat. Guru itu pula rajin bercerita tentang pengalaman mengajarnya yang membawa dia ke beberapa buah negeri. Di Kelantan, dia menjadi guru kepada Osman Something, yang kemudiannya bertukar nama kepada Ed Osmera, seorang pelakon filem terkenal… Dengan cerita-cerita demikian, penguasaan bahasa Inggeris kami boleh meningkat?

Tiada jalan lain. Sendiri usahalah…

Paktih ada juga membeli akhbar berbahasa Inggeris. Tidak tahulah setakat mana tahap penguasaannya di dalam bahasa tersebut.  Kerana acara pembelian akhbar spesies itu bukanlah selalu, semuanya akan saya simpan diam-diam. Saya berazam untuk membacanya kemudian, biar lama manapun kemudian itu, yakni setelah saya faham akan bahasa bekas penjajah itu. Paktih jarang membeli akhbar The Star atau New Straits Times , sebaliknya akhbar  Straits Echo yang lebih nipis, dan mudah untuk disimpan. Akhbar yang diterbitkan di Pulau Pinang ini sudah lama berkubur, gamaknya.

Ada masa lapang, yang sememangnya sentiasa banyak, saya akan mengulang baca akhbar ini sampai lunyai dan faham dengan sesekali melihat kamus. Kamus Progresif yang saya pinjam dari seorang kawan yang tidak tahu mengapa ayahnya membelikan buku sebegitu kepadanya…

Dapatlah sekali hadap dua tiga kalimah. Terjemahan pun secara harafiah, macam penterjemah sarikata filem – fire dialih kepada api, bukan tembak dalam filem perang…

Contoh terjemahan harafiah dari saya [dan kawan-kawan]: ada satu era di mana semua pemilik basikal yang muda-muda [ zaman motor masih jadi barang yang tersangat eksklusif] akan memasang penghadang air dari plastik atau getah pada mud-guard basikal – sama ada yang di depan atau di belakang.  Sesiapa yang tidak ada penghadang buatan sendiri itu, dikira ketinggalan era… Pada penghadang yang saiznya ikut suka pembuatlah, akan ditulis kalimat-kalimat pilihan. Ada di dalam bahasa Melayu, ada yang dari bahasa Inggeris. Bahasa lain mungkin akan ada jika terdapat orang yang mampu menulisnya. [Saya masih ingat satu yang dalam bahasa Melayu: Di-tegah Menanggis. Betul, ejaannya memang begitu. Sampai sekarang saya tidak tahu apa maksudnya. Kalau Ditegah Menangis adalah niat tulisan itu, apa pula rasionalnya ditampalkan pada basikal? ]

Ada satu kalimat dalam bahasa Inggeris: Don’t Kiss!. Si penulis merangkap tuanpunya basikal pun tidak tahu maknanya. Dia hanya meniru pada sebuah basikal yang dilihatnya di tempat lain. Yang faham pula, termasuk yang lebih berusia, mengatakan maksudnya agak lucah untuk peingkat kami. Maka hanya tiga hari saja sempat kawan itu melaram sebelum disembur seluruhnya dengan cat merah a la ah long oleh si pandai, untuk kemudiannya ditulis pula kalimat: Cinta Itu Buta. Tuan basikal yang mata pun enggan tercelik itu rasanya meniru dari entah siapa kerana ketika saya tanyakan maksudnya dia hanya menggeleng.

Saya merasakan tidak adilnya masyarakat kami kepada rakan itu apabila satu hari kami dapati di cermin belakang kereta seorang guru ada sticker tertulis U Kiss U Pay. Saya diminta bertanyakan makna Kiss di situ,kepada tuan punya kereta. “Hangpa sentuh, hangpa bayaq!” kata cikgu itu dengan tegas, sambil berlalu. Kami yang teraba akhirnya baru tahu Kiss bukannya hanya bererti cium secara harafiah pula seperti yang diakui tahu oleh orang yang lebih berusia di kampung kami…

Alangkah susahnya mahu mendapatkan ilmu!

*******

Selain membaca The Straits Echo Paktih yang saya simpan di bawah lipatan kain pada satu almari di rumah ayah, saya sering meminjam novel misteri kanak-kanak karangan Enid Blyton. Ada versi terjemahannya, tetapi saya akan membaca dahulu versi asal sehingga khatam – dalam masa yang agak lama – sebelum meminjam pula yang berbahasa Malaysia sebagai pelengkap. Adalah 60-70 % bacaan yang saya faham dari versi asal. Itu pun sudah baik menunjukkan saya sudah boleh faham bahasa Inggeris.

Saya hadam novel No Harvest But A Thorn, terjemahan Adibah Amin walaupun telah lama larut dengan versi asalnya Ranjau Sepanjang Jalan karangan Shahnon Ahmad. Saya boleh menceritakan semula novel pendek Barbed Wire Fence kepada anak-anak murid yang ternganga mendengar satu cerita perang di Tanah Melayu. Ngangaan menjadi lebih luas apabila saya nyatakan dan tunjukkan bahawa cerita itu saya baca dari versi bahasa Inggeris!

Hello On TwoSaya boleh memahami hampir semua artikel, apalagi ‘jokes’ dalam majalah Readers’ Digest…  Boleh memahami bualbicara seperti Hello On Two (HOT) di tv2.

Tetapi penguasaan sedemikian tidak juga memberi banyak makna.  Saya tidak boleh ‘bercakap’. Tiada siapa yang boleh dijadikan lawan bercakap. Macam orang ada duit, tetapi tidak boleh digunakan langsung. Buat apa?

Saya seronok apabila dipilih untuk bersama sekumpulan pelajar Tingkatan Empat SMDSO/SMSB untuk terlibat dengan sekumpulan sukarelawan dari PeaceCorps, Amerika Syarikat, selama hampir dua bulan. [Harap-harap dapatlah teman bercakap bahasa Inggeris]. Mereka belajar budaya dan bahasa kita dan bersedia untuk mengajar bahasa Inggeris kepada kami. Tapi saya kecewa kemudiannya. Rakan-rakan sekumpulan lebih berminat bertanya sukarelawan [juga ada watinya] tentang Amerika, tentang perang dunia ketiga [yang dijangkakan berlaku pada tahun 1979/80!]. Anak-anak Uncle Sam itu memang ramah dan rajin bercerita, tetapi kerana majoriti cicit Hang Tuah tidak faham bahasa Inggeris, maka akhirnya kelas kami menjadi seperti kelas pengisahan dengan perantaraan bahasa ibunda kami…. Malah semasa bermain pun, terasa seperti bermain dengan rakan sekampung. Maki dan mencarut pun di dalam bahasa Melayu! Tidak tahulah apa matlamat program berkenaan…

Semasa di tingkatan enam, sekolah swasta tempat saya belajar, agak aktif dengan kegiatan tabligh. Sekali peristiwa, datang kumpulan tabligh dari negara-negara Asia Selatan. Harap-harap dapatlah teman berbahasa Inggeris. Sekali lagi saya dikecewakan [yang berkait dengan bahasa Inggerislah]. Seorang sahabat dari Bangladesh bertanya kepada kumpulan kami: Yennibedi can speak English?. Saya mengangkat tangan dengan niat mahu ‘speaking’. Yennibedi pun yennibedilah. Tapi rupanya saya diminta menterjemahkan secara bebas apa yang mahu disampaikannya kepada rakan-rakan saya. Selain tentang Islam, dia juga selitkan pelbagai kisah dengan membandingkan aur kauntri dengan yur kauntri. Hentam sajalah. Selepas tazkirah atau ceramah, sahabat itu akan berangkat ke tempat lain. Tiada ruang untuk saya ‘bercakap’ pun.

Ketika mengajar hodoh-hodoh di sekolah agama dekat kampung, pernah sekali datang seorang demonstrator tentang kraftangan, kemudian mahu jualkan buku nipis langkah demi langkah. Saya seronok ditunjukkan sebagai penterjemah dan pengiringnya. Tapi tidak lama selepas masuk ke dalam satu kelas, budak yang tidak faham isyarat saya supaya jangan membeli, sebaliknya dibuat salinan, telah terlepas cakap, “Fotostat ka Cikgu?” Sahabat yang, kebetulan, datang dari sebuah negara Asia Selatan juga terus angkat kaki dan beg sambil menggumam sesuatu, marahlah gamaknya… Terlepas lagi satu peluang untuk bergebang dalam bahasa Inggeris!

Duit makin bertambah tetapi tidak langsung boleh digunakan…..

Kalau melibatkan BI, saya memang sentiasa ditempatkan di situasi yang salah.

Mempunyai rakan dan kenalan yang AMAT berbangga dengan bahasa Melayu, sekali gus memandang rendah atau tidak memandang langsung pada bahasa Inggeris… Atau sah-sah tidak boleh diajak menggunakan bahasa itu sebagai bahasa pertuturan!
Sekadar contoh:





a)    Semasa Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah  [KBSM] diperkenalkan, saya diminta bersama sekelompok guru sekitar daerah berkursus di Kolej Sultan Abdul Hamid. Dalam grup pengajar Sains, seramai 50 orang dibahagikan kepada 10 kumpulan. Seperti biasa selepas penerangan dan sebagainya ada kerja kumpulan dan diminta setiap kumpulan membuat pembentangan. Semua dikehendaki memperkenalkan nama kumpulan masing-masing semasa pembentangan itu. Dalam kumpulan saya ada seorang guru yang tidak mahu berbincang apa-apa kerana katanya tidak lama lagi dia akan bersara. Tidak mahu fikir apa-apa. Tidak mahu pening apa-apa. [Spesies macam itu pun ada, jangan tidak tahu]. Kami putuskan dialah yang bakal mewakili kami dalam pembentangan nanti. Dia bersetuju lantas keluar menghisap rokok, keluar meronda ke Pekan Rabu dan balik hanya pada waktu makan… Kami berikan ‘ringkasan’ apa yang telah dibincangkan. Dia menerima  dan yakin dapat menyampaikan apa yang kami maksudkan. Memang itulah yang terjadi. Orang berpengalaman. Kami bangga. Cuma, melibatkan BI, ternyata dia seperti kebanyakan yang lain. Tidak ambil kisah sangat. Nama kumpulan kami Confident, hasil cadangan seorang guru yang merupakan watak utama dalam perbincangan kumpulan. Di mulut pakcik yang bakal bersara itu, ketika memperkenalkan nama kumpulan, dengan konfidennya dia menyebut: Confidential. “Macam misi sulitlah pulak…” kata tuan pembimbing. Dua kumpulan terdahulu, tidak pun tuan pembimbing bertanya apa maksud nama kumpulan, tapi untuk kumpulan kami ada soalan. Sekali lagi, dengan konfidennya, pakcik tadi menjawab bahawa maknanya YAKIN, siap dengan ejaan rumi dan jawi! Kami menepuk dahi. Hampir 10 minit pula tuan pembimbing mencuba membezakan confident dengan confidential kepada guru-guru yang bakal memperkenalkan kurikulum baru di sekolah masing-masing… “Mana aku tau. Ingatkan sama….” kata cikgu itu sekadar menambahkan lagi koleksi teman yang memang tidak boleh diharapkan untuk diajak ‘speaking’…

b)   Semasa di tingkatan lima, seorang rakan membawa akhbar The Star setiap hari, di celah buku sekolahnya. Tidak diberinya rakan-rakan menumpang baca. Empat hari baru saya perasan bahawa akhbar itu adalah edisi yang sama sahaja. Kenapa? “Jimat. Beli sekali dua tiga minggu belum tentu boleh selesai baca…”



c)    Dalam kehangatan hawa sekeliling, saya dan seorang rakan lama singgah di sebuah kedai mamak yang agak usang di sekitar Jalan Langgar. Berbual lama sambil minum. Atau minum sambil berbual lama. Pelbagai tajuk. Soal siasah, hiburan, kenduri, kawan-kawan yang sudah meninggal, serta soal ejaan teks pada mesej sekarang ini. Selesai semua itu dan terasa bahan bualan seperti ada unsur-unsur perulangan, kami pun bercadang untuk bersurai. Dia bangun membayar minuman di kaunter. Dia datang semula dengan bibir menyepit rokok sambil memarahi mamak di kaunter . “Duduk lama di Malaysyia ‘ni pun ejaan lintang pukang lagi.” Dia menggerutu. “Awat?” tanya saya. “Hang tengokla. Jualan Tunai elok saja yang dia tulih. Pasai duit kut.Terima Kasih  pula eja lintang pukang…” Saya menoleh ke kaunter. Kemudian saya berpaling melihat wajah rakan lama tadi. Serius. Ingatkan bergurau. Saya pandang sekali lagi pada kaunter. Bukan pada mamaknya. Tetapi pada tulisan di dinding kaunter:

Jualan Tunai
Terms Cash
aaaaaaaAaaa
*******
Hanya sekali – sekali itulah seingat saya – saya berpeluang berlawan ‘bercakap’ dalam bahasa Inggeris.

Awal tahun 1995, ketika samatua sulung mahu melahirkan anak sulung. Kerana masalah kesihatan, kami ke poliklinik persendirian di Jalan Pintu Sepuluh [ kini berubah lokasi dan menjadi Putra Medical Center {PMC}. Pengasas PMC itulah yang menjadi doktor kepada samatua. Tiga malam di situ sebelum kemudiannnya dipindahkan ke hospital. Sepanjang di situ, kami berkenalan dengan seorang hamba Allah – asalnya gadis Filifina – yang menjadi isteri kedua seorang rakyat Malaysia. Juga bermasalah dengan kandungan anak pertama. Sekamar dengan samatua yang banyak menggunakan isyarat untuk berkomunikasi dengannya, hamba Allah itu menjadi lega apabila saya cuba berbual dengannya dengan bahasa yang dia faham, walaupun ada sedikit yang ‘patah-patah’.

Sepanjang hayat, itulah saja yang paling lama saya berbahasa Inggeris! Rasa kekok semacam.

Orang bercakap bahasa apa pun akan kekok, malah lama-kelamaan kehilangan bahasa tersebut jika berpuluh tahun tidak digunakan… Jangan tanya bab nahu dan tatabahasanya!

Saya teringat arwah Tok Qiyah di kampung kami. Kata emak, asalnya dulu boleh bercakap seperti orang lain. Melahir dan membesarkan anak-anak. Tetapi, kerana masalah keluarga, dia mula menyendiri dan akhirnya terasing dari arus masyarakat. Dengan anak cucu pun tidak bercakap. Satu hari, mungkin lebih 30 tahun sejak mula menyendiri, saya terserempak dengannya yang sedang berada di hujung laman rumahnya, berseorangan melihat padi yang sedang menghijau. Kerana akan lalu di depannya, dan dia pula orang yang jauh lebih tua, saya yang seumur hidup tidak pernah menyapanya, telah menegurnya. Tegur cara orang kampunglah: nampak orang bawa tajak pada tengah hari, ditanya balik menajak ka; nampak orang turun dari bas yang menghala ke Yan, ditanya mai dari pekan ka; nampak orang membawa ikan sambil menggalas jala, ditanya balik menjala ka….. Saya pun bertanya Tok Qiyah: Tengok padi ka? Dia cuba menjawab tetapi tiada satu sukukata pun yang saya faham. Bunyi seperti orang bisu. Agaknya, mungkinlah saya orang tunggal menyapanya dalam tempoh lebih tiga dekad. Tidak hairanlah dia kehilangan bahasa.

Ilmu tidak akan tawar oleh ulangan, kata Rahman Shaari di dalam sajaknya, Sahabat.

Berkait dengan kes saya, jangankan mengulang guna, menggunakan pun tidak berupaya…

Maka janganlah hairan, jika kini, saya langsung tidak boleh berbual di dalam bahasa Inggeris dan tidak kisah bab-bab nahunya!

Nota:

Catatan ini didedikasikan terutama kepada anak-anak yang sering bertanya kenapa ayah mereka tidak boleh membantu dalam pelajaran BI istimewa bab grammar... Semoga dapat mereka menerima ini sebagai alasan mudah yang sengaja dipanjangkan! Boleh terima, anak-anak?

No comments:

Post a Comment