Pekan Simpang Empat hanya 4 batu dari kampung saya. Tetapi
sehingga saya memasuki sekolah menengah, susunan kedai di pekan kecil tersebut
tidak saya arif. Amat jarang saya dibawa ke situ. Kena tunggu ketika yang sesuai. Menjelang raya,
menjelang buka sekolah, atau pada musim cuti sekolah di mana agak sering saya
dihantar menghabiskan cuti di Batu 6 – sekitar rumah Toktih Mah/Toktih Ad,
Toktam Asiah/Toktam Hj Ismail dan Toksu Minah/Toksu Salam – rumah tok saudara
emak yang saya juga tumpang panggil ‘tok’…[kejelasan dalam entri lain…]
Saya hanya kenal nama kedai yang ayah atau Tokwan serta orang
kampung sebut, tetapi tidak tahu yang mana satu. Misalnya, kedai Pokok Gurah dan Kedai Ah You
[bunyinya Ayu]. Sering didengar tetapi tak tahu
yang mana kedainya. Bukan tertulis pun nama yang disebut itu pada pintu atau
papan tanda kedai…
Walaupun jarang sampai, tetapi setiap kali berada di situ,
saya akan memasukkan ke dalam memori apa-apa yang boleh saya baca. Paling saya
ingat hingga kini adalah Kedai Hean Thai [bersebelahan
kedai akhbar di Simpang Empat kini] dan Kedai Pek Hong.
Kedai Chip Aik Chan rasanya sudah ada tetapi
mungkin papantandanya kecil, tidak pula sempat saya baca dan simpan ke dalam
memori.
Sebuah kedai yang sentiasa di hati sejak lama adalah Kedai Tukang Jahit
Timor. Sehingga kini pun – dengan pemilikan diwarisi oleh si anak - kedai
itu menjadi tumpuan untuk membeli pakaian sekolah, terutamanya pakaian bagi
pasukan beruniform dan bersukan.
Dikatakan sentiasa di hati sejak lama, khususnya dikeranakan
oleh dua kerana.
Pertama, inilah kedai jahit pilihan Paktih. Hampir semua
seluar dan baju Paktih semasa berada di Sabah ditempahnya di kedai ini. Ukuran
badannya tersimpan di dalam buku khas tukang jahit yang sejak kematian mantan
MB Kedah baru-baru ini, makin popular kerana muncul ceritanya di sebuah akhbar
dan diserapkan ke dalam laman-laman sosial… Cerita Ustaz Azizan yang terus
menjadi pelanggan kedai berkenaan walaupun sesudah menduduki kerusi eksekutif
tertinggi negeri.
Saya tidak ingat sejak bila pula Paktih menjadi pelanggan
kedai berkenaan. Mungkin semenjak kedai itu dibuka atau semenjak Paktih belajar
di Simpang Empat pada hujung 60-an. Yang pasti sejak anak tauke kedai yang kini
menguruskan kedai ayahnya itu mungkin baru di peringkat bayi kalaupun bukan di
peringkat dalam kandungan ibunya…
Selalunya Paktih akan menempah beberapa pasang ketika balik
bercuti. Seluar kaki kembang serta baju berlengan panjang. Agaknya kerja tangan
tukang itu begitu serasi di badan Paktih. Setelah siap, saya akan mengeposnya
ke Sabah. Setelah agak usang atau jemu dipakai, seluar dan baju tersebut jarang
disemadikan di bumi Sabah. Paktih akan membawa balik ke Kedah pada cuti-cuti
berikutnya. Melaramlah kami di kampung – terutamanya saya - pakaian yang dua
kali naik kapal terbang itu, dengan sedikit pengubahsuaian mengikut ketinggian
dan saiz pinggang… Tukang ubahsuai: Ndak.
Kedua, semasa saya di peringkat awal sekolah rendah, Paktih
membawa pulang dua keping kalendar dari Kedai Tukang Jahit Timor. Satu keping di paku pada
tiang seri rumah ayah. Kalendar jenis harian – ditanggalkan tarikhnya setiap
hari.
Ada dua sebab pula kenapa saya suka kalendar itu.
Pertama, foto pada kalendar itu selalunya adalah foto amoi
yang amat cantik di mata saya [walaupun Paktam pernah membuatkan saya terlopong
dengan berkata bahawa isteri tukang jahit itu lebih cantik dari model di
kalendar tersebut. Lama kemudian baru
saya dapat menilai kecantikan
perempuan berkenaan. Kerana lama kemudian,
maka saya hanya melihat wajah seorang nyonya pertengahan umur - ibu kepada
tauke kedai sekarang…]
Kedua, di bahagian atas foto ada banyak tulisan. Tulisan rumi
dan cina. Itu merupakan bahan bacaan saya setiap hari. Eja dan baca kuat-kuat.
Timor Tukang Jahit [Tailor]
No. 7, Main Road, Simpang Empat
Ada lagi yang bertulisan rumi di bawahnya menyatakan
perkhidmatan yang disediakan. Semuanya saya baca. Setiap hari, berkali-kali.
Tanpa jemu. Maklumlah itu sahaja bahan bercetak yang ada di rumah....
Tailor? Tai – lor, dengan sukukata kedua itu sama dengan
sukukata kedua pada telur…
No. 7 saya sebut No Tujuh. Apa makna titik selepas
huruf o,
tidak saya peduli. Apabila sampai pada bahagian Main Road, saya yang tidak tahu
maknanya akan menyebut Main seperti dalam
sebutan bahasa ibunda. Manakala Road, akan saya
sebut RO dan
AD [secara
terpisah dengan AD sama dengan bunyi kependekan
nama SAAD] Jadilah MAIN
RO-AD. Tidak seorangpun menegur dan saya bangga kerana dapat membaca
dengan lancar, sehinggalah, agaknya kerana jemu mendengar laungan kuat
berkali-kali setiap hari, barulah datangnya teguran merangkap pembetulan
sebutan dari Paktih…
Terasa kecil sekali diri ini di dalam bahasa Inggeris…
*******
Satu lagi kedai, di Simpang Empat, yang saya ingat adalah
kedai makan cina bersebelahan kedai menjual daging khinzir di penjuru pekan
menghala balik ke Kuala Kangkong. Saya tergelak sendiri ketika pertama kali
membaca papan tanda nama kedai itu yang amat besar , memanjang di atas muka
pintu luasnya dan tidak pula memberitahu atau bertanya sesiapa tentangnya,
takut diketawakan… Leong Bin Restaurant. Ada orang bernama Restaurant rupanya, fikir saya. Lama kemudian, barulah
saya faham, sememangnya belum ada orang bernama begitu. Papan tanda kedai
tersebut bermaksud ‘Restoran Leong Bin’.
Mujurlah, saya membuat keputusan tepat tidak memberitahu atau menanya orang
dahulu… Lalu saya mengulum senyum sendiri sambil hati tertanya juga:
sebenarnya, Leong itu binnya siapa?.....
Kelmarin, ketika melintas di depan kedai tersebut, saya
menjeling seketika ke bahagian atas pintunya. Ada sekeping papan tanda usang
sebesar dua kali skrin komputer saya ini. Ya, nama itu masih ada. Leong Bin
Restaurant …..
*******
Saya masih teringat jelas tentang satu latihan Bahasa Inggeris
semasa minggu pertama di dalam darjah lima. Seperti tahun sebelumnya, saya
adalah ketua darjah. Walaupun sudah berusia sebelas tahun, kami amat tidak ‘kaya’
dengan perbendaharaan kata bahasa itu.
Selepas menulis setiap soalan, ‘teacher’ Abdul Aziz Embi
menggariskan ruang jawapan di hujungnya. “Satu nama atau perkataan sahaja” kata
teacher dalam bahasa ibunda setelah
selesai menulis sepuluh soalan di papan hitam. Soalan mudah tentang kami: siapa
guru kelas, siapa nama bapa/ibu, jarak [dalam batu] antara sekolah dengan
rumah, datang sekolah dengan apa,
cita-cita kami, serta target kami
dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima [lama sebelum diperkenalkan Ujian
Penilaian Sekolah Rendah dalam darjah enam, penilaian murid diadakan dalam
darjah lima]. Seluruh kelas boleh menjawabnya walaupun di bahagian cita-cita teacher
mungkin menggaru kepala atau tersenyum sendiri: maklumlah, yang berhasrat mahu
menjadi guru menulis jawapannya sebagai tiche,
yang mahu menjadi jururawat dengan jawapannya misi
dan yang berkobar-kobar mahu menjadi perwira bangsa menulis sojar…
Beberapa pelajar di sekitar Kuala Kangkong – boleh lompat pagar dan sempat makan
di rumah semasa orang lain makan di kantin - menukilkan jawapan zero mile[s]
tentang jarak ke sekolah, sementara ada tiga empat pelajar yang datang sekolah
dengan leg!
Namun ada satu soalan yang seluruh kelas tidak faham. Soalan
nombor lima. Kami saling berpandangan dan berbisik. Saya dan Shahruddur Daud, yang saling bersaing kedudukan
teratas di dalam kelas semenjak di dalam darjah satu, menjadi tempat rujukan
secara sulit. Shahruddur yang berada di barisan depan di tepi tingkap
menggeleng kepala ketika bisikan bersambung sampai kepadanya. Bisikan
bersambung juga sampai kepada saya dan seperti Shahruddur, saya yang berada di
tengah barisan kedua di dalam kelas itu, ikut menggeleng. Ini bukan soalan BM
atau Ilmu Hisab.
Saya memerhati teacher
Abdul Aziz yang asyik menulis pada buku ringkasannya. Tiba-tiba soalan itu
menjadi mudah kepada saya. Saya diberi
ilham. Lalu saya tuliskan jawapannya. Kepada Abu Mansor
Yaakob, anak saudara Tok, yang duduk di sebelah kanan saya, saya
bisikkan makna soalan itu. Mansor tersenyum. Dia menulis jawapan yang sama.
Kemudian dia edarkan secara berbisik maksud soalan tersebut kepada rakan di
sebelah dan di depannya. Akhirnya seluruh kelas mendapat jawapan. Shahruddur
dan Mahani Ahmad, anak guru besar yang duduk di
sebelahnya menoleh ke arah saya dengan mimik muka mencari kepastian. Mereka
tersenyum dan terus menulis ke dalam buku masing-masing setelah saya mengangguk
dua tiga kali dengan yakinnya.
Besoknya, saya hampa. Bersama Shahruddur, Mahani dan tiga
empat orang lagi, kami akan mendapat markah penuh jika soalan nombor lima itu
tepat jawapannya. Sayangnya, seluruh kelas, kecuali Mansor, tidak menjawab
dengan betul. Mansor, walaupun hanya mendapat markah hanya separuh dari jumlah
markah saya tetap tersenyum bangga kerana dia seorang yang tidak dipangkah pada
jawapan bagi soalan nombor lima.
Saya dan Shahruddur menyemak semua buku rakan sekelas.
Semuanya menjawab seragam: nama saya pada ruang jawapan itu. Nama ketua darjah.
Tetapi kenapa hanya Mansor yang diterima jawapannya?
Kami tanyakan pada teacher.
Kalau diundurkan masa, sumpah saya tidak akan izinkan sesiapa pun bertanya….
Saya malu. Malu sungguh. Malu kepada teacher.
Malu kepada rakan-rakan. Dan paling malu kepada diri sendiri…
Soalan itu berbunyi [mafhumnya]: Siapakah yang duduk di
sebelah kiri kamu?
Kiri. Left.
Seluruh kelas tidak tahu makna LEFT. [Entah apa
yang kami pelajari empat tahun terdahulu…] Lihat Who
dan left, saya mendapat ilham: Left tentulah ringkasan dari perkataan Leftenan.
Leftenan dalam tentera adalah ketua. Soalah ini tentulah bermaksud siapa ketua kamu? … your left. Siapa lagi? Mansor
mendapat jawapan yang tepat kerana dia duduk di kanan saya….
*******
Di sekitar kampung kami, terutamanya pada musim kemarau
[selepas padi dituai], selalu ada wayang pacak. Wayang pacak adalah istilah
kepada penayangan wayang pada layar putih yang dipacakkan di tempat lapang,
yang boleh pula dipacakkan tiang pagar mudahalih. Penonton dikenakan bayaran tertentu
di pintu masuk bagi menikmati tayangan tersebut. Tetapi seperti biasa, akan ada
penonton haram – yang masuk secara tidak sah, dengan merangkak di bawah pagar
yang tidaklah begitu kemas, atau kalau di Sekolah Kebangsaan Kangkong, mereka
akan memanjat pokok asam yang tumbuh di antara pagar yang memisahkan kubur
dengan sekolah, lalu terjun ke kawasan sekolah…
Dua badan yang sering menganjurkan tayangan itu adalah
Persatuan Belia 4B Kg Permatang Ibus dan PIBG SKK. Penayangnya pula, cukup
terkenal di kawasan utara di bidang itu, adalah Hussain Ghulam. Beliau petugas di
Hospital Besar Alor Setar, juga berbakat menyanyikan lagu-lagu Hindi [sering
muncul sebagai penyanyi undangan jika ada pertunjukan pentas yang diiringi oleh
Orkes Chandni, Batu 5, Sik].
Dari wayang pacak inilah dapat saya tonton filem-filem yang
tidak disiarkan di tv, seperti Pontianak, Sumpah Pontianak, Si Murai,
Pandji Tengkorak, Si
Buta Dari Gua Hantu serta Si Pitung.
Sering juga dibawakan filem Hindi dan tidak ketinggalan filem Barat terutamanya
dari genre perang dan koboi. [Barang
diingat, ketika itu, tv hanya ada dua saluran dan peti tv bukanlah barangan umum
seperti kini. Tayangan filem Melayu hanya seminggu sekali, belum ada drama
swasta, belum ramai penaja…]
Bagaimanapun, saya tidak pernah dapat menonton setiap filem
dari awal. Emak tidak akan benarkan saya pergi sehinggalah selesai solat
Mahgrib. Bayangkan untuk berjalan kaki dari rumah di Permatang Ibus paling
hujung untuk sampai ke hujung satu lagi kampung yang sama di atas jalan mini kering berdebu mengambil
masa hampir setengah jam dan Encik Hussain Ghulam tidak akan menunggu sehingga saya
[dan kawan-kawan] sampai baru akan
dimulakan tayangan… Kalau tayangan di Kuala Kangkong, lagilah…. Saya masih
ingat ketika Dato’ Sharifah Aini datang ke padang sekolah itu. Saya baru mahu duduk
di depan pentas ketika dia berkata: Untuk lagu ketiga ini….. Sedangkan sebelum Kak
Pah yang masih kurus itu menyanyi tentulah ada dua tiga orang penyanyi dari
band pengiring….
Emak hanya memberikan dua pilihan: Keluar selepas solat
Maghrib dahulu atau jangan keluar langsung! Sesekali cemburu juga kepada kawan
yang diizinkan pergi pada waktu Asar lagi… Dululah. Tetapi mengenangnya
kembali, rasanya tidak cukup selautan terima kasih kepada emak…
Kerana sentiasa lewat itulah, saya tidak pernah berpeluang membaca
tajuk filem atau nama pelakon-pelakonnya. Kalau setakat filem melayu atau
Indonesia atau Hindi mungkin tidak bermasalah kerana nama pelakon dan tajuk
filemnya ada di kebanyakan bibir penonton tua dan muda. Cuma kalau filem koboi
atau filem perang Hollywood, memang tiada siapa yang akan memberitahu baik nama
pelakon, apa lagi tajuknya. [Semasa itu, wayang pacak dipromosikan pada
petangnya melalui pembesar suara yang diarak dengan kereta En. Hussain Ghulam.
“Tuan-tuan dan puan-puan, jangan lupa pada malam ini, ada tayangan filem
********* di padang Sekolah Kebangsaan Kangkong. Datanglah beramai-ramai….”
Begitulah lebih kurang. Kadang-kadang disebarkan sama kertas bersaiz A4 akan
tajuk filem serta nama dan wajah pelakon – diambil dari bahan promo filem
berkenaan semasa ditayangkan di pawagam. Kerana rumah jauh dari jalan raya,
hanya makluman tentang adanya wayang pacak pada malam tersebut yang kami mahu
dengar. Tajuk atau genre filem kami tidak peduli…]
Sekali peristiwa, saya menonton satu filem Inggeris di padang
sekolah. Hingga muncul credit title, saya masih berdiri, membacanya,
ketika orang berasak-asak untuk pulang. Saya tertarik pada dua patah perkataan
berhuruf besar-besar sebelum timbul perkataan atau nama yang kecil-kecil.
“Hang tengok gambaq
apa semalam?” tanya Ndak pada paginya.
“Gambaq peghang
[perang]” balas saya.
“Tajuk apa?” tanya Ndak seterusnya.
Saya menjawab dengan fasih dan yakin – merujuk dua patah perkataan berhuruf
besar-besar itu. Ndak tidak bertanya apa-apa lagi. Dia tahu itu gambar orang
putih. Kalau saya sebutkan tajuk filem Melayu, barulah Ndak akan bertanya siapa
pelakon-pelakonnya atau bagaimana jalan ceritanya.
Selang beberapa minggu kemudian, Persatuan Belia 4B pula mengadakan
tayangan amal di kampung kami. Di tapak tadika sekarang.
Seperti selalu, saya sampai ketika tayangan telahpun bermula.
Gambar koboi dengan sarikata yang lintang-pukang. Seperti selalu, ketika orang
bergerak untuk pulang, saya berdiri membaca credit title. Tetapi saya perasan sesuatu. Dua patah perkataan berhuruf besar-besar yang
muncul di hujung filem perang di padang sekolah dahulu, timbul pula di akhir
filem koboi tersebut. Saya yakin ada sesuatu yang tidak kena. Dua perkataan itu
bukan tajuk filem. Saya yakin benar.
Mungkin
tajuknya sama. Kebetulan. Lihatlah bentuk huruf pun tidak sama. Demikian
bujuk hati saya sepanjang berjalan pulang. Kawan- kawan riuh bercerita tentang
aksi tembak menembak sesama koboi di dalam filem tadi dan berebut mahu jadi
watak mana pada permainan petang esoknya.
Tapi firasat saya tetap mengatakan itu bukan tajuk filem.
Kalaulah di rumah saya ada kamus dwi-bahasa…
“Hang tengok gambaq
apa semalam?” tanya Ndak pada paginya. Seperti selalu.
“Gambaq koboi” balas
saya.
“Tajuk apa?” tanya Ndak seterusnya.
Ini yang menjadi masalah. Kalau saya jawab, saya tahu itu
bukan tepat pun. Ndak tidak akan bertanya tentang pelakon atau jalan cerita.
Tetapi saya tetap rasa serba-salah. Dua puluh lima peratus dari harga tiket semalam
serta harga sebungkus kacang kuda rebus adalah dari sumbangan Ndak yang saya
pujuk setelah emak merungut kerap sangat wayang pacak berada di sekitar kampung
kami dan hanya menghulurkan 75% dari harga tiket…
“Tajuk apa?” tanya Ndak sekali lagi. Agaknya setelah saya
mengambil masa yang lama dari selalu untuk menjawabnya.
“THE END” kata saya dengan penuh rasa bersalah.
Ndak tidak berkata apa-apa. Dia pun sudah terlupa filem
sebelum itu pun saya nyatakan tajuk yang sama.
Tetapi dia tahu itu filem orang putih…
Tu bi kontiniud ... tomoro ++ [boleh?]
No comments:
Post a Comment