Wednesday, February 19, 2014

Mi Pak In



Pekan Simpang Empat.

Selain pekan seharinya – Pekan Khamis - yang terkenal sehingga kini dan sinonim dengan bihun sup dan ais kacangnya, ada satu kedai makan yang sering saya dengar: Mi Pak In.

[Untuk pembaca dari planet lain: di Kedah, Ibrahim tidak dipanggil Ib atau Rahim, sebaliknya In sahaja, atau sesekali terjumpa panggilan Brahim. Ada satu kes terpencil, anak saudara Tokwan di Sungai Yan, bernama Ibrahim, dipanggil Yen. Mungkin kerana tinggal di daerah  Yan yang kadang kala dulunya ditulis juga sebagai Yen…Entahlah.]

Paktam bernama Ibrahim. Selalunya dipanggil In. Mungkin seorang dua saja – termasuk mertuanya, Toksu Saari – memanggilnya Brahim.

Paktamlah yang sering menyebut tentang Mi Pak In. Paktam belajar di Pondok Hj Talib [SMA Ihya’ sekarang], hanya ¼ batu dari pekan Simpang Empat. Maka agaknya keraplah dia dapat makan mi dari orang yang senama dengannya itu. Paktih juga kerap menyebut mi itu. Maklumlah,Paktam dan Paktih belajar di tempat yang sama…

Saya mendengar dengan menyimpan keinginan merasai mi itu. Paktih hanya menyebut sambil lalu tetapi Paktam sering membuat deskripsi yang mengecurkan air liur dengan bunyi ‘fuh’ pada setiap hujungnya. Kuahnya…fuh! Sotongnya…fuh! Cucur udangnya… fuh! Setiap kali difuhkannya begitu, setiap kali itulah saya yang ternganga, lalu menelan liur.

Saya tidak ingat harga sepinggan mi ketika itu. Mungkin 80 sen atau seringgit. Mungkin juga hanya 50 sen! Nilai yang terlalu jarang pernah ada di dalam tangan Paktam, apa lagi saya. “Ada duit nanti, kita pi …” Saya menganggguk. Sah, Paktam perasan pergerakan pada halkum saya ketika mendengar ceritanya…

Makan tahun juga lamanya saya perlu menunggu Paktam membawa saya ke kedai mi Pak In. Sebabnya, ketika saya di dalam darjah empat atau lima, Paktam menerima tawaran memasuki Pusat Latihan Belia Pelopor Negara di Dusun Tua, Selangor.

Saya pun terlupa tentang mi Pak In sehinggalah diajak Paktam pada salah satu cutinya [tidak pasti cuti kursus atau cuti kerja]. Tahunnya 1974 – ketika saya baru dua bulan melangkah ke sekolah menengah. Tidak tahulah samada Paktam teringat katanya dahulu atau memang kebetulan dia membawa saya ke Simpang Empat. Kami menaiki basikal tua ayah.

Saya yang tidak pernah merasa mi Pak In malah tidak pernah tahu pun lokasi kedainya, memang tidak kenal Pak In itu sendiri.

Paktam membawa saya ke kedai kopi Cina di Jalan Tokai, di seberang sungai berhadapan pasar. Rupanya di situlah tempat Pak In menjual mi rebusnya. Malangnya saya terlupa untuk bertanya Paktam yang mana satu pemilik tubuh dan jenama Pak In. Sehingga sekarang pun saya tidak tahu adakah lagi Pak In sewaktu pertama kali saya memakan mi bersama Paktam itu pada awal dekad 70-an itu, kerana menurut otai Simpang Empat baru-baru ini, Pak In telah lama meninggal. Tidak pastilah lama itu sepanjang mana.

Kami duduk di atas kerusi kayu berkilat menghadap meja bulat yang permukaannya dibuat dari tembikar tebal bercorak lorekan. Paktam mengisyaratkan ‘dua’ kepada seorang yang sedikit lebih tua darinya yang berada di depan dapur bersebelahan almari mi yang menghadap ke jalan di seberang sungai. Isyarat itu mudah diterima dan difahami kerana bukan ada jualan lain selain dari mi rebus, gamaknyalah. Tidak perlu ditanya ‘mi goreng ka, bihun goreng ka, bihun sup ka, kuetiau sup ka, kuetiau goreng ka, pasembur ka, apa ka…’ seperti yang pernah saya hadapi di sebuah kedai mamak di Jalan Kota Tanah, Alor Setar, pada malam Maulidur Rasul baru-baru ini… Untuk rekod, mamak tersebut tidak lagi melipat hampir semua jari ketika mempromosikan makanan di kedainya kepada pelanggan selepas kami di meja lain, apabila seorang kawan memesan APA KA sepinggan, tatkala saya dan seorang kawan lagi hanya memesan mi goreng…

Kemudian datang Apek berseluar pendek bertanyakan minuman. Saya geleng kepala. Tidak pernah seumur hidup saya minum bancuhan seorang Tionghua. Paktam lama menunggu jawapan saya. Akhirnya dia menyebut sesuatu kepada Apek yang kemudiannya datang bersama dua gelas berisi ketulan ais. Selain itu dibawanya sama sebotol minuman berwarna putih susu. Paktam tuangkan ke dalam gelas untuknya separuh botol. Gelas untuk saya? Saya menekup kejap mulut gelas ketika Paktam mahu menuang baki dari botol. Paktam menggeleng kepala. Dia bangun menuang ketulan ais di bahagian belakang kedai. Saya sempat membelek botol di atas meja ketika ketiadaan Paktam. Yeo Hiap Seng dengan ada pula tulisan cinanya. Entah air apa pula ‘ni, fikir saya. Paktam datang semula serentak dengan kehadiran dua pinggan mi rebus yang dihantar oleh lelaki yang menerima isyarat Paktam tadi. Paktam menyedut sekali minuman di dalm gelasnya sebelum menuangkan air di dalam botol ke gelas saya. Saya menghidu sekali minuman itu. Sebelum menghadap mi, saya sedut sekali air tersebut. Sekali itulah sahaja. Saya luahkan kembali ke atas tapak tangan dan perlahan-lahan saya gosokkan pada peha seluar. Itulah kali pertama saya merasa apa yang namanya air soya! {“Payah nak jamu dia ‘ni… pancing* sangat!”saya masih ingat demikian kata Paktam ketika bercerita kepada Ndak pada petang hari itu di tangga dapur rumah Tokwan, apabila ditanyakan tentang kesan kertang pada peha seluar saya. Saya terkerisin. Ingin menjawab tetapi tidak tahu bagaimana. Saya bukan pancing. Hari itu terlalu banyak kali pertama dalam hidup saya. Kali pertama minum di kedai cina. Kali pertama minum air kacang soya – dengan rasa yang sememangnya  asing bagi tekak saya. Kali pertama pula hendak makan mi Pak In yang selama ini hanya didengar akan mitosnya... Saya berada di persimpangan:  di antara teruja dengan mengkelan*}

Bagaimana dengan mi Pak In?

Fuh! Fuh! Fuh!

Benarlah seperti yang digambarkan oleh Paktam lama sebelum itu. Kuahnya. Sotongnya. Cucur udangnya.

Kuahnya tidak keruh seperti kuah mi rebus yang saya makan di Kangkong. Jernih hening. Rasanya? Fuh! Saya betul-betul menikmati sehingga hirupan terakhir – tidak tersisa barang sesudu! {Hairan orang yang meninggalkan kuah ketika menghabiskan mi – sering saya berperasaan begitu, hatta hingga sekarang – kalau sekadar mahu menikmati mi dan bumbu-bumbunya, baiklah meminta mi goreng…}
Sotongnya digoreng garing dan dipotong nipis, ditaburkan di atas mi. Berada dalam gaulan, setiap kunyahan akan dapat dirasa kehadiran sotong dengan bunyi keriuk tanda kerangupannya.
Cucur udangnya tidak rangup sangat sebab dibuat dalam bentuk a la jemput-jemput, tetapi rasanya ketika dikunyah setelah bergaul bersama mi dan sotong rangup… fuh!

Senang cakap, kalau orang bertanyakan saya adakah mi rebus Melayu yang sedap, dengan citarasa yang lain terus dengan mi rebus Mamak, saya akan menjawab: ADA. Mi Pak In!
Selepas makan bersama Paktam itu, tidak pernah lagi saya ke kedai cina tersebut. Walau pun keinginan untuk menikmatinya atau mempromosikan pula sentiasa ada, tetapi memikirkan kedudukannya di dalam kedai kopi cina, terpaksalah keinginan itu diurungkan…

Awal dekad 80-an,  anak Pak In – Omar namanya – pernah membuka sendiri kedai mi bersebelahan kedai akhbar tunggal Simpang Empat ketika itu, yakni kedai Hj Zakaria Hj Manaf yang terletak di sisi jalan mini di persimpangan antara arah ke Kangkong dan ke Alor Setar. Puaslah juga kehendak hati. Ada juga saya perkenalkan kepada kawan-kawan dari luar daerah. Malangnya, kedai itu tidak bertahan lama. Adalah dalam dua tahun.

Pak Omar kemudiannya kembali berniaga di kedai kopi cina di seberang sungai di depan pasar Jalan Tokai. Saya pun memutuskan hubungan semula dengan Mi Pak In. Mujurlah di medan selera depan ministor [sebelum itu di kakilima jalan Kangkong] ada sepasang penjual mi rebus - Pak Wahab dan isterinya – yang menghasilkan kuah serta bumbu yang persis Mi Pak In. Kepersisannya mungkin 90%. Dapatlah saya mengubat rindu.  [Pak Wahab menjual pada sebelah petang hingga malam, manakala Mi Pak in dijual pada waktu tengah hari hingga petang]. Tetapi Pak Wahab telah meninggal dunia sekitar enam tujuh tahun yang lalu.

Bukan tidak ingin merasa Mi Pak In lagi tetapi mengenangkan kedai tempat terjualnya, keinginan pun terbantut. Melintas di depan kedai itu pun tidak, apa lagi mahu memasukinya. Entahlah. Maka untuk membeli bungkus pun menjadi tidak mungkin.

Akhirnya saya seperti terlupa tentang Mi Pak In. Tidak kisah lagi tentang perkembangan atau penguncupan perniagaan Pak Omar, anak Pak In.

Hujung Disember lalu, saya menikmati mi rebus di sebuah kedai makan di jalan Kangkong. Mi rebus Melayu. Hirup sajalah. RM3.
Slurp…

Fuh! Sebiji! Macam pernah asa jer… macam lama tak jumpa jer…

Saya teringat Mi Pak In. Saya teringat In, Paktam saya…

Saya tanyakan kepada wanita penjual mi itu: asalnya serta asal kuah itu.

Saya terkesima. Mengaku saja orang Simpang Empat tetapi…

Rupa-rupanya dia adalah menantu Pak In. Isteri Pak Omar.

“Mana Pak Omar?”

“Dia meniaga di jalan Tokai…”

“Ooo. Kedai cina ‘tu …”

“Dak aih. Dia meniaga di Kedai Jit”

Berbelas tahun saya tinggal di Simpang Empat. Buta sejarah betul saya ini. Buta juga hal ehwal tempatan.

Tidak tahu pun masih ada lagi rupanyaMi Pak In. Dua cawangan pula. Satu diuruskan oleh waris Pak In – Pak Omar – di Kedai Makan Jit [salah satu dari dua kedai makan diusahakan orang Melayu di seberang sungai di depan pasar Simpang Empat]. Satu lagi diuruskan oleh isteri Pak Omar.

Pak Omar – serta Pak In dulunya– pun satu hal. Sejak dahulu, jenama Pak In itu tidak pernah ada secara bertulis. Tidak ada kain rentang atau seumpamanya. Orang hanya tahu Mi Pak In dari cakap-cakap orang lalu berkembang.

Yang ada di kedai itu cuma perkataan mi [mee] rebus dan harga RM3 [baru-baru ini ada pembetulan sedikit: RM3.50…]

Mungkin kerana di kedua-dua tempat itu, mereka hanya menumpang kedai orang, fikir saya.

Kalaulah ada jenama dan kedai sendiri seperti Ais Salji di Restoran Dinalang di kawasan pekan Khamis itu bukankah bagus…

Sejak itu, sudah banyak kali saya singgah di kedai makan jalan Kangkong tersebut. Kadang-kadang bersama seorang dua kawan. Pekena Mi Pak In. Akan kedai di jalan Tokai itu, tidaklah saya kunjungi. Eleh, rokok Dunhill perisa gangren di kedai mana pun sama saja rasanya. Mi Pak In pun demikianlah. Lagi pula kedai di jalan Kangkong itu adalah laluan saya hampir setiap hari.

Baru juga saya tahu bahawa rumah Pak Omar hanya dua tiga langkah dari kedai makan itu. Kalau tidak ada permintaan mi, istei Pak Omar akan berada di dalam rumahnya. Jika ada permintaan atau ada yang mahu membayar, pelayan kedai yang tugas hakikinya mengambil pesanan dan mengangkat minuman pelanggan, akan mengetuk tiang berdekatan kiosk mi rebus. Barulah muncul tauke mi. Unik juga…

Kelmarin, saya singgah lagi di situ. Sedang menanti tiang yang diketuk mendapat respons, saya disapa oleh seorang rakan yang menjinjing beberapa bungkusan minuman. Berbual sebentar tentang cuaca, dia meminta sesuatu yang sememangnya miliknya dan Maha Pencipta – minta diri. Saya pun memberikanlah… Ketika bersalam, entah mengeluh entah apa, rakan itu berkata: “Hai…..Sat saja dah masuk bulan dua noo…”

Bulan dua…

“Makan ka bungkuih?” tanya Pak Omar.

Pak Omar…

“Tak meniaga di jalan Tokai ‘tu?” tanya saya.

“Dak. Empat haghi dah… Mata sakit, ketumbit….” Balas Pak Omar. Saya memerhati bahagian matanya. Ada lagi kemerahan bekas sakit mata.

“Bungkuih ka?” tanya Pak Omar sambil mengambil segenggam mi di depannya untuk dicelur. Saya memerhati Pak Omar. Kedutan pada wajahnya ketara. Tetapi saya pasti, inilah lelaki yang mengangkat dua pinggan mi kepada saya dan Paktam dulu. Ketika pertama kali saya mahu menikmati Mi Pak In.

Tiba-tiba saya teringat kepada Paktam.

“Makan ka bungkuih?” Pak Omar bertanya lagi.

“Bungkuih” balas saya sambil melihat tangan Pak Omar lincah mencapai cucur udang serta sotong goreng dari bekas di depannya. Pak Omar memotong cucur udang manakala sotong – kerana saiznya yang agak kecil – tidak dipotong, cukup dengan mengambil beberapa kepalanya yang terlerai untuk mencukupkan sejemput.

Saya teringat fuh! fuh! fuh! dari mulut Paktam dahulu.

Saya mencapai kerusi di meja paling hampir dengan kiosk Pak Omar. Saya hairan kenapa saya meminta dibungkuskan sedangkan saya mahu makan sendirian. Samatua dan anak sedang di sekolah – kelas KAFA. [Samatua yang tidak tahu tentang sejarah Mi Pak In juga memberi komen positif ketika saya bawakan mi itu tidak lama dahulu. “Sedap!” katanya. “Beli tang mana?” tanyanya. Kerana soalan itu rasanya seperti tidak ada roh, saya hanya menjawab gitu-gitu sahaja… dan dia tidak pun peduli jawapan saya ketika menghabiskan mi…]

Bulan dua. Paktam. Mi Pak In.

Subhanallah. Bulan dua tahun ini genaplah empat puluh tahun detik saya memakan Mi Pak In kali pertama [dan terakhir] dengan Paktam. Februari 1974. Saya tidak ingat pada tahun itu Paktam pulang bercuti dari apa – kursus atau kerja. Saya di tingkatan satu. Masih jelas saya terkangkang di atas basikal tua ayah yang Paktam kayuh. Melintasi tempat yang saya duduki sekarang. Menuju ke jalan Tokai. Ketika itu belum ada lampu isyarat. Paktam hanya memperlahankan kayuhan, melihat ke kiri kanan sebelum mengayuh laju melepasi simpang…

Pak Omar meletakkan bungkusan mi di depan saya. Sebungkus? Makan sendiri?

Pak Omar menjangkakan saya akan membayar segera. Sebaliknya, saya minta sepinggan mi serta dibungkuskan satu lagi.

Saya makan sambil mengimbau pendeknya masa empat dekad yang telah dilalui…

Entah kenapa ingatan kepada Paktam yang telah hampir 17 tahun meninggal dunia amat menebal. Detik-detik bersamanya seperti tertayang cantik di depan. Kesungguhannya menceritakan keenakan Mi Pak In dulu seperti berlaku dua tiga hai lalu…Teristimewa bahagian Fuh! Fuh! Fuh!

Kemudian saya teringat katanya yang perlahan, antara membujuk dan berjanji: “Ada duit nanti, kita pi …” Saya sebak. Harga Mi Pak In sekarang RM3.50. Empat dekad dahulu nilai sedemikian mungkin boleh mendapat hampir empat pinggan. Tetapi kami tidak mampu… terpaksa menanti!

Saya tidak memesan minuman bagi mengiringi mi. Pedas sedikit memang, tetapi saya sendiri tidak tahu mengapa saya tidak perlukan minuman.

Selepas membayar, saya membawa dua bungkus Mi Pak In tadi ke rumah Ndak. Mahu mengenang detik empat dekad lalu bersama orang yang juga mengenali Paktam. Mahu menumpahkan sedikit apa yang dirasa ketika itu. Malangnya, keadaan tidak mengizinkan…

Maka, saya hanya mencipta sejarah peribadi. Tanpa mengetahui kedudukan sebenar, Ndak menghidangkan Mi Pak In untuk saya sama. Dua kalilah saya menikmati mi rebus Melayu itu dalam tempoh sejam…

*****
Semoga roh Paktam dan roh semua keluarga serta roh seluruh muslimin dan muslimat yang mendahului kita dijemput Allah sentiasa dicucuri rahmat-Nya, diampunkan segala dosa dan diterima segala amalan. Amiin.


*mengkelan – menurut Kamus Dewan, bermaksud 1. Tersangkut atau tersekat di kerongkong [barang yang ditelan]; 2. Berasa sebal hati.
*pancing – tiada dijumpai didalam kamus, bermaksud kurang lebih, macam mengkelan terhadap makanan kerana faktor bahan, si pembuat,atau lokasi yang tidak elok atau suci.

No comments:

Post a Comment