Seronok agaknya Shahirah sekarang kerana dikhabarkan hujan
telah mula menunjukkan diri di Lembah Kelang. Ada foto budak-budak kecil, budak-budak besar,
budak-budak muda malah budak-budak tua sakan bermain hujan. Kata kawan Paklong,
tidak dapat menambahkan kuantiti air di dalam empangan pun, sekurang-kurangnya
hujan itu dapat menyejukkan udara dan hati pemastautin sekitar… Tahap
kehangatan di Kajang pun agaknya sedikit menurun setelah bara satenya terkena
tempias hujan rahmat tersebut…
Berbeza amat di kampung tok. Berbahang sungguh haba di sini.
Sudah masuk bulan ketiga keadaan begini. Dasar parit di tepi rumah tok, tempat
Shahirah dan sepupu-sepapat selalu berendam semasa dipenuhi air bendang yang
jenih mengalir, ketika padi mula berisi, telah lama kering. Sebahagiannya merekah
menanti tibanya hujan lebat pertama tahun 2014. Burung-burung kurus kelelahan,
berlindung di pohon keriang, cuma sesekali bertenggek di wayar elektrik supaya
tidak terlupa skil…
Kalau Shahirah balik ke Kedah ketika ini, tidak pastilah boleh
bermain di luar rumah atau tidak. Selain panas memijar, di luar, ada debu jerami
yang dibakar. Sudah mula ada pula debu dari bajakan tanah bendang di musim kemarau.
Tapi cuaca begini pun bagus juga. Di kampung tok, bukankah kerongkong
kita ada penyejuknya? Kalau tidak mahu minum nira nipah – macam kegemaran
Pakndak - Shahirah boleh memborong aiskrim Malaysia . Ingat lagi aiskrim
Malaysia di Kedah, khususnya di kampung tok?
Ingat lagi pada aiskrim Malaysia yang dibungkus secara
manual itu - yang terdapat dalam pelbagai rasa? Lazimnya, asam [asam ko?], oren
dan sirap bandung serta Milo .
Sesekali ada perisa anggur, laici, sarsi dan tidak ketinggalan kacang [dari
bubur kacang?]
Mana satu pilihan Shahirah? Terserahlah. Tidak cukup satu,
gonggonglah dua atau tiga batang pun. Bukan orang boleh marah. Kalau ada juga
yang cuba
marah, Shahirah boleh meraung kuat-kuat atau buat-buat merajuk. Bukan susah…
Ingat lagi bagaimana mahu mendapatkan hasil dari plastik berbentuk silinder itu?
Shahirah boleh gigit simpulan plastik ais lalu dipusingkan
batangnya hingga terputus simpulan tersebut. Kalau tidak berhati-hati – kena
pula ais tidak beku sepenuhnya – menyemburlah air ais itu ke atas bahagian
hadapan baju. “Hang loklaq!” mungkin demikian kata seorang sepupu Shahirah yang memang urinya tertanam di Kedah,
sebab itu pekat sahaja loghat tempatannya. Sepupu yang tidak loklaq ini [Shahirah kena tanya ibu akan
makna loklaq ini] mungkin bersabar seketika sehingga terjumpa pisau atau
gunting bagi memotong simpulan…
Shahirah boleh juga tidak memutuskan di bahagian simpulan,
sebaliknya menggigit pada bucu bawah plastik. Kalau perisa asam ko, kena tengok
juga di mana kedudukan asam konya .
Kalau ada di bahagian atas, bolehlah gigit bahagian bucu bawah. Kalau asam konya ada di bahagian bucu, gigit pula bahagian itu,
hilanglah umphnya – asam ko habis dahulu dari ais… Asam ko ini pun
bukan boleh diatur-atur. Ikut kedudukannyalah semasa dibaringkan di dalam freezer. Begitu juga dengan perisa bubur
kacang. Semasa berbaring, sebelum
beku,ia akan mendap…
Biasanya, ada tiga pula cara untuk menikmati aiskrim Malaysia .
Terserahlah yang mana pilihan Shahirah. Kalau ada yang cuba menghalang
Shahirah menggunakan salah satu cara itu, acahlah untuk meraung sedikit, biar orang
itu main jauh-jauh…
Pertama, ais masih keras. Dinyonyotlah ais itu sebaik dipotong
simpulannya.
Kedua, ais yang masih keras itu dipicit, diketuk malah
dikarate supaya hancur seluruhnya sebelum dihisap.
Ketiga, ais dibiarkan cair. Mahu lebih cepat cair, rendamkan ke
dalam koleh berisi air biasa. Mahu cepat lagi, sambil mandi atau membasuh
pakaian, letakkan sahaja ais itu ke dalam kolah di rumah tok. Terserahlah mahu
koleh atau kolah! Selepas, cair keseluruhan atau sebahagian besarnya, maka….
Haiya, lagi mau tanya ka?
Waktu untuk menikmati aiskrim Malaysia juga bebas. Teruskan acahan
meraung kalau ada yang menegur kononnya tidak kena waktu atau menyuruh
menyimpan dahulu aiskrim itu!
Boleh saja sambil berjalan pulang ke rumah tok, sambil menunggu sepupu lain selesai menunaikan hajat, sambil menonton tv, sambil
menunggu sarapan dihidangkan, sambil melihat abang-abang atau sepupu senior bermain
game, sambil menimbunkan, membentuk
istana pasir bersama sepupu-sepupu –
Pitang, Amzar atau Nuha - yang kemudiannya diratakan untuk sekali lagi
ditimbunkan, dibentuk dan diratakan lagi
dan lagi di bawah pokok kuinin di tepi dapur, sambil menangis atau menyedut
hingus, sambil membaca buku – apa-apalah bukunya -[samada secara duduk di
kerusi atau meniarap di atas katil] pada waktu siang atau malam, sambil
menunggu nasi masak, sambil mandi beramai-ramai, sambil menukar pakaian, sambil
termenung di dalam tandas, sambil
menumbuk sambal daun keriang atau
daun jambu di dalam tempurung di belakang rumah tok, dan pendeknya sambil
menyambil perkara lain.
Begitu mudahnya menikmati aiskrim Malaysia kerana kekhasannya
mempunyai kulit plastik untuk digonggong...
Lagi pula harganya murah. Amat murah. Kalau aiskrim terjatuh
dari gonggongan di tengah jalan, di dalam rumah, di belakang rumah, di tapak bermain,
di depan tv, di atas buku, di atas longgokan pakaian malah di dalam tandas
sekali pun, tidak akan ada yang akan menunjukkan rasa kesal. Eleh apalah sangat
harga sebatang aiskrim Malaysia
yang dikeluarkan dan dipasarkan di sekitar kampung kelahiran anak-anak tok.
Sekupang. Sepuluh sen.
Itulah harga bagi sebatang aiskrim Malaysia .
Harga dekad 80-an. Harga dekad 90-an. Harga dekad awal
millennium baru [2000 – 2010]. Harga
awal dekad kedua millennium baru [2011 - ]. Juga harga semasa orang heboh
tentang kenaikan harga gula tahun lalu.
Adakah aiskrim Malaysia
di tempat lain seharga itu? Sekupang? Entahlah.
Sejak lebih tiga dekad, Makcik Besah tetap membuat aiskrim Malaysia . Tetap
dengan pelbagai perisa. Malah telah dibeli satu lagi peti ais. Jualan untuk warga
kampung terutama kanak-kanak di kejiranan tok.
Cucu-cucu tok, kalau berkumpul, tidak pernah lupa akan aiskrim
Malaysia Makcik Besah. Takkan Shahirah lupa betapa kadang-kadang secara berjemaah
Shahirah dan sepupu sepapat menghulurkan salam kepada Makcik Besah di muka
pintu dapurnya untuk membeli 40-50 batang aiskrim Malaysia . Kalau beg plastiknya
kecil, mahu dua beg untuk mengisi aiskrim sebanyak itu. Eleh, sebanyak itu pun, baru berharga RM4
atau RM5…. Kalau dengan harga sekotak rokok Dunhill ayah, senang-senang Shahirah
boleh dapatkan 120 batang aiskrim Malaysia Makcik Besah. Tidak jarang, ada sedekah tiga empat batang pula kerana
membeli dengan skala yang banyak, kan !
Maka menyonyotlah cucu-cucu tok akan aiskrim Malaysia itu. Tidak
ketinggalan anak-anak tok, kadangkala, ikut menyonyot. Semua cara yang dicatat tadi
digunakan. Agaknya, semua sambil
menyambil yang dicatat juga berlaku, termasuk yang di tandas…
Hujung Januari lepas, ketika Paktam dan Makndak dan keluarga
masing-masing bercuti seketika di kampung, empat kali Ain, Aina, Anisa, Nuha
dan Amzar berarak ke rumah Makcik Besah. Dari pertengahan pagi hinggalah awal
petang. Malangnya hingga Paktam sekeluarga bertolak pulang, petangnya, Makcik
Besah masih belum balik dari ikut ‘bercuti’ ke rumah anaknya … Cuba Shahirah
bayangkan kekecewaan sepupu-sepapat itu setiap kali pulang dari rumah Makcik
Besah tanpa aiskrim, dengan renik peluh di dahi. Mujurlah Pitang dan Afiq tidak
ikut sama…
Selang seminggu kemudian, Paklong menemani Nuha yang berusia
empat tahun itu, melangkah parit kontang yang memisahkan kampung toknek dengan
kampung keluarga Makcik Besah. Bahang kemarau yang masih kuat melajukan
pergerakan halkum atas bawah apabila membayangkan dapat membasahkannya kelak
dengan aiskrim Malaysia Makcik Besah.
Nuha yang telah sering ke rumah itu setiap kali pulang
bercuti, laju saja menuju ke bahagian dapur. Tetapi Paklong disapa Makcik Besah
di bahagian depan rumahnya. Ibu tunggal itu sedang menunggal di rumah. Tiada
anak atau cucu. “Lama hang tak mai. Mai la bersembang dulu..” katanya.
Bukan tak mahu bersembang, tetapi insan yang datang bersama Paklong
hari itu, macam Shahirahlah juga - bukan lulus lagi ujian lisan BM… Matlamat
utama adalah aiskrim Malaysia
– sembang-menyembang tidak ada di dalam fikiran. Malah Nuha tidak mahu masuk ke
dalam rumah. Hanya menunggu di luar pintu hadapan dengan wajah pucat, gamaknya
menyangka Paklongnya telah ditelan
oleh ruang dapur rumah Makcik Besah.
Sebentar sahajalah Paklong bersembang dengan orang yang Paklong
dan semua adik panggil Makngah* itu. Adalah sedikit bab keluarga. Hangpa tak boleh tau. Off record.
Paklong meminta 20 batang ais. Paklong mengekorinya ke dapur,
tempat terletaknya peti ais juga tempat pra-produksi aiskrim Malaysia . Paklong
membuka peti ais. Tu dia! Penuh sesak aiskrim berbaring tertib mengikut warna
masing-masing. Pilihan hari itu: bandung , Milo , anggur dan oren. Bubur kacang? Pun ada. Pun ada.
Tapi masih baru lagi dimasukkan. Suhunya pun masih pada suhu bilik…
Sambil itu, acara bersembang kami teruskan. Dapatlah lagi dua
tiga maklumat.
Paklong memilih 10 batang ais
dengan perisa Milo, anggur dan bandung .
10? Bukan 20 ka?
Nanti Shahirah akan tahu. Ini bukan kes salah taip…
Kemudian, setelah membayar dan menyambar empat biji buah
mempelam di atas meja, yang Makcik Besah pelawa, Paklong pun beredar. Nuha mahukan
satu ais untuknya tetapi Paklong mengisyaratkan supaya tunggu sehingga sampai
di rumah…
Musim kemarau. Angin kering. Atap zink. Ada
aiskrim Malaysia .
Fuh! Apa nak dikata…
Paklong kehabisan kata-kata!
Bilakah kali terakhir Shahirah menikmati aiskrim Malaysia ?
Kalau tidak terjumpa di mana-mana, balik ke kejiranan tok
nanti, gonggong dan nyonyotlah puas-puas!
Ops!
Satu lagi, mulai hari Paklong
membeli itu [agaknya berkuatkuasa
awal bulan Februari 2014], harga aiskrim Malaysia Makcik Besah bukan lagi
berharga sekupang
atau sepuluh sen. Sudah menjadi dua kupang.
Dua puluh sen.
Apakah rasionalnya kenaikan harga sampai seratus peratus?
Kalau penguatkuasa KPDNHEP tahu peratus kenaikan yang melampau ini, mampus!
Hehehehe.
Paklong jangkakan tentulah Makcik Besah akan menjawab kerana kenaikan harga kandungan utama iaitu gula.
Tetapi Paklong tersilap. Tiada sangkut paut pun.
“Sajala. Anak-anak kata ‘dah
lama ‘dah mak dok juai harga sekupang…”
kata Makcik Besah, selamba.
Laa…
Tapi ya tak ya juga. Sudah lama mengenakan harga yang ketinggalan zaman itu - sudah dekat tiga dekad. Orang yang masih berhingus ketika
menyonyot aiskrim Makcik Besah tiga dekad dulu, sekarang ini sudah pun
menyonyot ais itu bersama anaknya yang tengah berhingus…
Maka, apa salahnya Makcik Besah menggunakan pula harga baru!
Eleh, kalau ayah Shahirah korbankan harga 20 batang rokok
Dunhill perisa kanser kerongkong atau perisa bayi pra-matang atau perisa gangren itu, Shahirah masih boleh
mendapat 60 batang aiskrim Malaysia Makcik Besah. Plus sedekah lagi dua tiga batang. Perisanya pun pelbagai, ‘kan ?
Kelmarin, hari pertama bulan Mac, Paklong ke rumah Makcik
Besah sekali lagi. Kali ini bersama Fawwaz pula. Nuha sedang lena manakala Amzar
terfana dengan filem motivasi a la Amerika
di tv.
Panas tetap seterik bulan lalu dan dua bulan sebelumnya.
Puaslah juga mencempung Fawwaz melangkah keratan batang kekabu yang melintangi
kampung di belakang rumah nek serta parit nan kontang untuk ke rumah adik-beradik
kita itu.
Penuh dua bahagian freezer
peti ais Makcik Besah dengan ais yang baru dan lama dibekukan. Paklong pilih perasa
Milo, bandung ,
anggu, asamko dan bubur kacang/sagu. Saiz silinder batang ais itu nampaknya terikut-ikut
orang sekarang yang tidak renggang dengan kononnya makanan/minuman/pil
pelangsing. Tirus dan melidi sahaja.
Yalah. Bukankah Makcik Besah secara eksklusif memegang
monopoli menjual dan membuat aiskrim Malaysia
di sebuah kampung di utara Malaysia
ini? Mahu tidak mahu, kenalah Paklong membelinya. Lebih-lebih lagi di atas
dukungan ada seorang insan yang terjenguk-jenguk ke dalam peti ais. Tangannya
mengagah-agah mahu mengambil salah satu batang ais di dalam beg plastik di
tangan Makcik Besah, yang sedang menghitung tepat kuantiti ais yang diminta. Si
kecil di atas dukungan bukannya faham mana-mana istilah ekonomi…
Sambil Makcik Besah mencari wang baki, dia mempelawa lima enam biji buah
mempelam di atas meja makannya. “Baru luruh…”katanya. Paklong pun tidaklah
menghindarkan pelawaan itu, langsung memasukkan ke dalam satu beg lain Agaknya
kerana mempelam itu, padanlah gamaknya Paklong tidak mendapat aiskrim extra kali ini… Tak apalah. Tesco
dan Giant
pun selalu menukar bentuk dan jenis hadiah /cenderahati untuk para pelanggan…
Shahirah teringinkan aiskrim Malaysia Makcik Besah?
Hujung bulan ‘ni, baliklah…
**************
*Makcik Besah.
Nama penuhnya Habsah Bt Hj Ahmad. Panggilan Makcik ini bukan kerana semata-mata
dia warga emas. Ini Makcik tulen. Makcik adalah panggilan bagi anak-anak saudara
sebelah suaminya yang berpangkat Pakcik pada susunan keluarga mereka..
Paklong dan adik-adik memanggilnya Makngah, kerana kami dengannya bukan orang pada
satu sisi.
Emak Makcik Besah – Hajah Om - adalah emak saudara tokwan Shahirah.
Hajah Om itu [meninggal di Pahang hampir sedekad yang lalu] tokwan panggil
Maklong manakala Paklong adik-beradik memanggilnya Toklong. Kiranya tauke aiskrim
Malaysia
itu dengan Shahirah serta keluarga kita seluruhnya BUKAN ORANGlah…
No comments:
Post a Comment