Monday, March 31, 2014

Otai Itu Sepupuku



Bang Mi [bukan nama sebenar…] adalah sepupu saya, mempunyai kedudukan paling kanan atau senior dalam ranking cucu Tokwan. Anak sulung [serta tunggal] kepada anak sulung Tokwan – Wa Isa. Kalau ayat dalam drama terbitan Scope Productions pasti bunyinya begini: Dialah satu-satunya anak tunggal Wa. Bukan sekali dua saya mendengar ayat yang menjengkelkan itu. Malah saya pernah catitkan untuk simpanan peribadi betapa Omar Manan, Ros Iskandar dan Norman Hakim dalam episod berlainan drama tebitan syarikat produksi Melayu itu melafazkan frasa begitu. Nak buat macam mana kalau dari panel penulis skrip, pengarah sehinggalah pelakon, semuanya telah sebati dengannya…

Bang Mi sebaya Paktam, kalau tidak silap. Lahir sekitar tahun 1954. Maka ramailah sepupu sepapat yang terlepas satu era bersamanya. Saya bertuah sebab hanya muda sewindu dari mereka berdua. Sempatlah ‘bermain’ bersama...
[Perlu dijelaskan makna sewindu itu dahulu supaya anak cucu Pakya tidak diperkonon orang. Sewindu adalah bahasa Indonesia, bermaksud tujuh tahun. Jangan tak tahu, dalam hal masa dan waktu, ada lagi istilah seperti pekan [ertinya minggu. Sepekan bermakna seminggu]dan dasawarsa  [ertinya sepuluh tahun atau lebih fasih di lidah kita yang sering memperlekehkan bahasa ibunda - sedekad…] Sengaja kali ini nak mengingatkan sedikit sebab baru tadi melihat seorang artis tersohor kita menyanyikan lagu Gubahanku, nyanyian asal Broery dan Anna Manthovani. Terkernyih terkerisin penyanyi itu macam yakin sesangat tatkala mengalunkan kalimat ‘setahun kita berpisah, serindu terasa sudah’. Sepatutnya serindu atau merindu itu milik sewindu. Setahun kita berpisah, tujuh tahun terasa sudah…. Baru betul. Kalau setahun berpisah baru nak terasa rindu, elok tinggalkan saja mangkuk tu….Nak nyanyi lagu orang tapi buat-buat pandai! Hampas nyok betul!!!]

Berbalik kepada Bang Mi.

Rumah Bang Mi dahulu bukanlah di tapak rumahnya yang sekarang. Dulu rumahnya berada tidak jauh dari rumah atau kampung Tokwan. Mungkin sekitar 500 meter. Mungkin. Dekat rumah Hj Said, datuk saudaranya sebelah emak. Wa Aishah [atau kerap juga dipanggil Wa Lin] tidak berkahwin lagi semenjak berpisah dengan Wa Isa. Saya tidak ingat bila rumah Bang Mi [dan Wa Aishah] berpindah tapak, tetapi tetap ingat detik-detik ketika di rumah lama.

Saiznya tidaklah besar. Macam rumah comel yang memenuhi kawasan pondok tok-tok guru, lebih kurang. Tidak berbilik, cuma ada satu bahagian dapur, yang disambung dengan ‘rumah ibu’. Saya kerap ke rumah itu, dibawa oleh Bang Mi.

Kami tidaklah terlalu rapat pada mulanya, maklumlah zaman itu ada semacam jurang, macam terasing sedikit kerana Bang Mi lebih dikenali sebagai cucu Tok Melah [nenek Bang Mi sebelah emaknya], bukan cucu Pakya,macam saya... [Sekarang pun Bang Mi dikenali oleh orang kampung sebagai Mi Tok Melah]. Susahlah mahu cakap..er.. tulis..er..taip…

Kami macam malu-malu apabila berjumpa. Emaklah yang cuba merapatkan kami. Emak tidak jemu bercerita tentang salasilah keluarga. Betapa rapatnya ‘darah’ kami. Tidak akan terputus. Tetapi bukan mudah untuk saya faham ketika itu. Bukan sekali dua emak menggetu peha saya apabila berlari naik ke rumah apabila nampak kelibat Bang Mi. Bagi saya Bang Mi tetap orang asing. Wa Isa telah lama berkahwin dengan Wa Sarah. Ada emak, ada ayah. Ada Paklang, ada Maklang. Ada Wa, ada Wi [dulu saya selalu juga sebut pasangan Wa sebagai Wi…] Di mana mahu diletakkan Bang Mi? Bang Mi bukan anak Wa dengan Wi…! Puaslah juga saya berdakwa-dakwi dengan emak sambil menggosok peha yang masih ada bekas digetu – satu-satunya cara paling berkesan [dan paling senyap…]emak mengajar saya.  Pemahaman saya hanya lebih mudah apabila emak ceritakan hubungan saya dengan Razi, anak Paknjang dengan isteri pertamanya, Njang Zainab. Razi juga menjadi ‘lain’, kerana setelah perpisahan PakNjang dengan Njang Zainab, dia tinggal bersama emaknya.

Saya sudah bersekolah rendah di tahap dua ketika makin rapat dengan Bang Mi. Saya tidak ingat apa puncanya, tapi tahu-tahu semakin kerap ke rumah Bang Mi. Sering dijamu kopi bersama biskut Marie atau biskut kering lain. Paling tidak dilupa, di rumah Bang Milah pertama kali saya minum kopi durian. Bang Mi yang bancuhkan kopi dan bertanya samada saya mahu perasa durian. Tanpa sempat menjawab, siap Bang Mi masukkan sesenduk kecil isi durian yang telah diasingkan dari bijinya oleh Wa Aishah, yang dikumpulkan di dalam satu mangkuk sederhana besar. Sekoleh seorang kami habiskan dalam masa tidak sampai lima minit. Putih bulu roma di atas bibir! Rasanya? Bancuh dan campurlah sendiri!

Bang Mi cukup meminati alat muzik, terutamanya gitar. Ketika itu mana mampu untuk dapatkan gitar Kapok… maka Bang Mi buatkan sendiri gitarnya. Bukan bentuk gitar tong, tapi sebiji macam gitar elektrik. Saya kagum dengan kebolehannya. Dia ambil papan sekaki lebar, tebal seinci lebih, lebihan Tokwan buat anak tangga. Dia lakar bentuk badan gitar elektrik lalu dua tiga hari juga diperlukan untuk menggergaji bahagian lakaran itu dengan menggunakan gergaji bermata halus Tokwan yang biasanya digunakan untuk memotong bahagian berlarik pada papan sayang rumah. Berhari-hari pula Bang Mi menggosok badan gitar itu dengan kertas pasir sehingga licin. Saya pernah cuba menggosok sama tetapi terhenti pada hari pertama lagi: Bang Mi macam tidak puas dengan gaya gosokan saya, sentiasa ditegurnya. Bahagian batang gitar, Bang Mi gunakan kayu tiga tengah dua [3” x 1.5”] lebihan pertukangan Tokwan juga. Saya lupa bagaimana Bang Mi buatkan bahagian kepalanya sehingga kelihatan sebiji macam gitar yang saya lihat digunakan oleh gitaris dalam Orkes Chandini, Batu Lima, Sik. Siap digosok dengan kertas pasir juga. Siap satu set, Bang Mi mahu semburkan cat yang dibelinya dua warna. Sedihnya, Bang Mi tidak izinkan saya melihat proses terakhir itu yang dilakukan sendirian di rumahnya. “Sat ‘ni kut hang buat kacau…” begitulah lebih kurang alasan yang diberinya. Saya menelan liur. Saya tahu Bang Mi memang seorang yang teliti tentang kerja tangan. Sudip yang Wa Aishah gunakan untuk mengacau nasi mendidih pun dibuatnya dari buluh terpilih, diraut, dijemur  dan diraut lagi serta disalai sehari dua sebelum digunakan, sehingga kelihatan [bagi sesiapa yang tidak tahu kerjabuatnya] seperti sebatang sudip yang  telah lama digunakan. Sekali pandang macam disapu varnis…

Dua hari saya tidak melihat kelibat Bang Mi. Saya mengunjungi rumahnya tetapi terpaksa pulang kehampaan. Pintu rumahnya tertutup rapat. Tiada peluang untuk meninjau pun ke dalam rumah kerana hanya ada satu tangga pada rumah itu. Tiada tangga pada bahagian dapur… Agaknya Wa Aishah juga dikuarantin dek Bang Mi kerana tidak juga terdengar suara sesiapa ketika saya menunggu agak lama di bawah rumah. Sampai hati sunggguh!

Hari ketiga, Bang Mi datang ke rumah Tokwan. Nampak saya, dia terus menggamit. Bercakap dua tiga patah, tahu-tahu saya mengekori Bang Mi ke rumahnya.

Wow! Gitar hasil kerjatangan Bang Mi telah siap sepenuhnya. Seluruhnya berwarna putih, cuma bahagian badannya pada kedua-dua sisi berwarna biru nila. Berkilat. Memang sebiji! Di mata saya, hampir tidak ada bezanya gitar itu dengan gitar yang A Rahman [gitaris Orkes Chandini, Batu 5, Sik] gunakan di atas pentas! Di bahagian berhampiran tempat tapak tali gitar diikat pada badan, saya lihat ada lubang empatsegi sama yang ditutup dengan sekeping papan nipis – tidak boleh dikesan jika tidak dilihat dengan teliti. “Tu tempat  #@*^ [saya terlupa Bang Mi sebut apa] …”  Tapi tujuan benda alah itu menyambungkan bunyi gitar tersebut ke tong sebesar peti  t v 14”, berspeaker,  yang Bang Mi letakkan di sebalik pintu rumahnya.  Kiranya Bang Mi membuat gitar elektriklah, walaupun di dalam kotak yang saya catat di atas itu, hanya diletakkan sel kering AAA empat biji. Siap ada dua punat bulat sebesar duit lima sen. Bagaimana operasi atau fungsi sel kering serta punat itu, kenalah tanya Bang Mi… Bukan setakat ketika itu, sehingga kini pun tidak terjangkau akal saya!

Bang Mi menggalas  gitarnya. Walaupun seluruh gitarnya 99.9 peratus persis, tentang tali sendeng gitar, Bang Mi buat secara lekeh, tepatnya dia mengambil jalan mudah, atau mungkin bahagian itu tidak penting di benaknya. Bang Mi hanya memaku tali pinggangnya sendiri pada dua tempat yang sepatutnya, bagi membolehkan dia menggalas gitar tersebut!

Hentam sajalah, Labu….

Bang Mi ‘memetik’ dua tali gitarnya. Wow! Bunyinya kuat. Saya teruja. Bangga pun ya juga. Pencipta gitar elektrik pertama [mungkin] di Permatang Ibus adalah sepupu saya!  Dari manalah Bang Mi beroleh ilmu itu, tidak juga saya tahu.

Yang saya tahu, sepanjang petang saya bercerita kepada kawan-kawan tentang kewujudan gitar tersebut. Mereka ternganga tetapi tidak berpeluang untuk melihat atau mendengarnya. Ketika berbondong kami ke rumahnya, Bang Mi tidak izinkan sesiapa pun melihat masterpiecenya itu. Diselimutnya gitar tersebut bersama tong speaker di balik pintu. Rupa-rupanya, selain Bang Mi dan Wa Aishah, sayalah yang mendapat hak eksklusif melihat, mendengar malah mengusap badan gitar tersebut!

Saya tidak tahu setahap mana kemahiran Bang Mi bermain gitar kerana walaupun beberapa kali gitar itu dibawa ke rumah Tokwan [secara senyap dan rahsia dari pengetahuan kawan-kawan saya],  tidak pernah sekali pun Bang Mi memetiknya. Mungkin kerana tidak dibawa bersama  tong speaker, fikir saya. Maka setakat memperagakan dan menggayakanlah saja kami di bawah pokok jambu di depan rumah Tokwan. Tokwan tidak berkata apa-apa. Tapi pada wajah keringnya, saya yakin Tokwan berbangga kehalusan kerjatangannya telah turun kepada salah seorang cucunya. Meski pun diterjemahkan dalam bentuk gitar…

[Hujung tahun 1972, Paktam yang menyertai Kursus Belia Pelopor Negara di Pusat Latihan Belia Dusun Tua, membawa pulang dua tiga pasang baju overall yang sudah dipakainya ketika masuk ke bengkel latihan di pusat berkenaan. Warna biru tua. Bergaya sakanlah Chu dan Chik serta Ndak bergambar di laman rumah Tokwan sambil mengenakan overall tersebut. Satu dari posing mereka siap dengan kacamata hitam. Oleh kerana saiz saya yang jauh dari saiz Paktam, Ndak membuat sedikit ubahsuai. Dibuang bahagian seluar serta bahagian lengan yang sememangnya panjang bagi tubuh saya. Dapatlah satu blazer yang merambu-rambu pada bahagian pinggang dan ketiak…. Ops…. Bukan ketiak, sekarang bahasa sopannya: bawah lengan…. Separuh kampung saya peragakan baju ‘baru’ itu hatta pada tengah hari rembang dengan peluh ‘bersimbur’. Rupa-rupanya, baju itu telah menarik perhatian seorang seniman – Bang Mi! Banyak kali dia datang meminta baju itu malah diajaknya ditukarkan dengan baju-t kesayangan jenama Texwood  - saya ingat lagi warnanya, berbelang halus hijau dan ungu. Saya menolak kerana bukan seorang dua pula rakan yang berkata kalaulah mereka juga ada seorang ‘Paktam’ yang juga berkursus di Dusun Tua… Ketika menaip catatan ini barulah saya terfikir: bukankah ada dua tiga pasang baju itu? Kenapa tidak Bang Mi minta Ndak ubahsuai satu  untuknya? Entahlah. Hal ini kekal menjadi sebuah pertanyaan. Agaknya Bang Mi mahu memakai baju itulah ketika mahu memetik gitar… dan kerana kempunan, tidak ditunjukkan langsung bakatnya!Bagaimanapun ini hanyalah satu gamakan…]

Tidak tahulah apa nasib gitar itu kemudiannya. Agaknya tel;ah dimakan anai-anai atau diratah oleh api. Kalaulah saya tahu nilainya sekarang…

Yang nyata minat Bang Mi terhadap gitar tidak pernah padam kerana kini dia ada studio sendiri yang dibina khas di rumahnya. Ada tiga gitar elektrik, set drum, malah piano terpakai.Salah seorang anaknya mempunyai kebolehan bermain instrument itu.

Bang Mi?

Entahlah.  

Pernah dua kali kami [sepupu sepapat] berkumpul di studionya, sempena dua kenduri kahwin di rumah Maktam. Sekali siang, sekali malam. Usop Paknjang mengungguli permainan gitar pada kedua-dua kali itu.

Pada kenduri pertama [petang], anak Bang Mi ikut serta bersama rakannya yang bermain dram. Abang Usop, M Nasir juga ada. Tapi saya tidak ingat sangat kerana ketika mereka berjamming sakan, saya dan Saleh, sepupu yang tidak minat langsung hatta pada tamborin, terlena di depan tong dram! Letih kenduri serta malam sebelumnya berbual sakan di rumah Bang Mi!

Kali kedua, kenduri kedua. Malam kenduri. Usop juga main peranan utama. Kali ini abangnya yang lain, Abdullah, ikut serta. Bersama sepupusepapat lain termasuk Jatt, Khiruddin, Wa Zul, Putera Best, Hujung Kepala dan KJ, kami  singgah di studio Bang Mi setelah minum-minum di Simpang Empat. Sesekali, yang duduk bersandar pun bernyanyi secara harmoni lagu-lagu Rahim Maarof, Ramli Sarip dan Lefhanded serta Wings! Hingga dinihari kami di situ.

Bang Mi [kanan] bersama sepupusepapat
Bang Mi?

Ada. Mana boleh tuan studio tiada bersama… Tetapi dia hanya tersenyum, bersandar di daun pintu studio sambil menahan kantuk. Tidak berkongsi suara dan tidak pun menyentuh mana-mana instrumen.
Maka, sehingga kini [2014] saya masih tidak tahu setahap mana kemahiran Bang Mi bermain muzik, terutamanya gitar…
  
Lihat juga dalam  My Old-timer Cousin.

No comments:

Post a Comment