Friday, December 6, 2013

Perpisahan Abadi




Disember 1973.

Di antara rumah Tokwan dan rumah ayah, terdapat kerangka rumah baru kami – rumah ibu – bagi menggantikan rumah ibu yang lama, yang dinding papannya ayah susun secara berbeza dari kebiasaan dinding rumah orang. Papan yang dilorekkan sedikit dengan paku yang diletakkan pada hujung satu kayu kecil, dipotong secara menyerong – a la memotong pengat atau bingka – lalu disusun sehingga memenuhi satu ruang dinding. Tidak  ada takah bagi sisipan papan. Cukup dengan semua papan yang dipotong menyerong itu disusun di dalam apitan kasau gedung [1” x  1”].

Ayah dan Tokwan serta beberapa rakan mereka bekerja keras bagi menyiapkan kerangka bahagian atas rumah itu. Tidak lama lagi rumah akan didirikan. Kerangka itu yang telah puas di  mata ayah dan Tokwan  dari segi susunan dan keseimbangannya akan dipunggah semula. Kemudian, setelah tiang, alang dan rasuk serta sebahagian lantai dipasang, kerangka tadi akan dipasang kekal di atas alang yang berada di atas tiang tegak. {Entah hangpa faham atau tidak proses mendirikan rumah ini…}

Rumah dapur masih rumah yang lama. Yang juga usang seperti rumah ibu yang bakal digantikan itu. Dana yang jarang mencukupi membuatkan rumah dapur hanya dibaiki pada dua tahun kemudian – tahun 1975. Saya ingat juga tahun itu kerana ketika ayah membaiki dapur tersebut, Kejohanan Hoki Piala Dunia ke-3 sedang berlangsung di Kuala Lumpur. Saya dan ayah mendengar ulasan langsung di radio di atas rumah dapur itulah. Sambil bertukang, ayah akan menjerit bersama pengulas Baharin Tahir ketika ulasan itu membayangkan pemain Malaysia berada di petak D pasukan lawan. Jeritan ayah sambil menggergaji papan atau mengetamnya menjadi lebih kuat ketika perlawanan separuh akhir di antara Malaysia dengan India. [Malaysia masuk semifinal Piala Dunia cik oi… tapi dalam bidang hokilah!] Malangnya, kita tewas secara bermaruah 1-3 dan India akhirnya muncul juara…

Namun catatan kali ini akan berkisah ketika kerangka bumbung – alang, kasau, kuda-kuda dan kayu kecil – masih berada di tapak percubaan di antara rumah Tokwan dan rumah ayah itu.

Sebabnya?

Saya memegang watak utama untuk satu peristiwa yang tidak mungkin ada dua kalinya!

Sehari dua itu saya dilayan dengan sangat baik. Sangat baik. Minta ayam goreng seketul dapat dua ketul! Begitulah kalau mahu digambarkan contoh layanan yang saya dapat itu…

Sambil menyiapkan kerangka rumah tadi, di atas rumah Tokwan, persiapan juga dilakukan. Ada kerangka juga disediakan. Bezanya kerangka itu bukan daripada kayu atau papan, sebaliknya dari batang nipah.

Ya, itulah persiapan bagi saya bersunat!

Akhirnya sampai seru hang! Itulah yang Tokkan katakan ketika saya akhirnya terpaksa bersetuju. Satu saja yang terlintas ketika mengangguk di depan Tokwan dan ayah, tatkala saya sebenarnya tidak punya pilihan: “Chek nak masuk sekolah menengah tahun depan. Takkan….” Kata emak beberapa minit sebelumnya di atas rumah dapur, sebelum kemudiannya dipanggil ayah ke rumah Tokwan. Emak tidak pun menghabiskan ayat itu, tetapi saya cukup faham, malah malu serta ngeri memikirkan akan ke sekolah menengah sama taraf dengan Leong Lee Fatt [kawan sekelas nantinya, berasal dari Kangkong], tidak setara dengan Ali Taha, Mahyuddin Basari, Mansor Yaakob serta semua rakan sebaya, sebangsa….

Tokwan seperti memulang paku buah keras. Saya masih ingat puncanya.

Sekitar bulan Ogos tahun itu, cuti penggal kedua, saya berada di rumah Tokwan di Jalan Bukit Selambau, Jeniang, sempena  musim buah, seperti tahun-tahun sebelumnya. Chik dan Ndak sedang berbual bersama Tok dan Tokwan di bawah rumah. Saya baru turun dari pokok rambutan paling hampir dengan rumah. Dalam berbual hal lain, entah bagaimana Tokwan boleh bertanya bilakah saya mahu disunatin? [hehehehe – maaf terguna bahasa seberang pula]. Saya menjawab separuh bertanya, “Benda sunat saja, tak buat pun tak apa, ‘kan?” Memang saya serius tetapi entah kenapa Ndak dan Chik tersenyum atau tersengih.

“Hang tunggu la. Hang nak pi mana….? Balas Tokwan. Separuh soalan saya tadi tetap tidak berjawab sedangkan kenyihan Ndak dan Chik bertambah…

Demikianlah.

Saya memerhatikan persiapan yang dibuat terutamanya pada tempat bersemayam nanti.  Dua batang nipah yang sederhana besar – sama saiz – diletakkan sejajar di penjuru antara dinding ruang rumah tengah dengan dinding lepau. Pada batang panjang itu diikat lima batang nipah yang lebih pendek  sekitar setinggi berdiri  budak 11-12 tahun, membentk saiz ruang yang sama setiap satu. Maknanya empat ruang. Pada setiap hujung batang nipah pendek itu dipakukan buluh kecil di antaranya dengan batang nipah setinggi sekaki yang dijadikan tiang. Empat ruang itu adalah untuk saya dan tiga lagi mudim-mate [boleh begitu? Bolehlah… bukankah sudah ada classmate, schoolmate, roommate, busmate dan… papermate?] atau rakan semudim saya.  Tiga mudimmate itu adalah Md Isa Hashim, Shahbudin Abdul dan Baili Ishak.

Sejak ada kerangka batang nipah itu pula, selain melayan dengan baik, tidak henti-henti ayah atau Tokwan mengingatkan saya agar jangan melarikan diri pada hari bersunat kelak. Saya faham kebimbangan mereka. Tahun sebelumnya, ada sahabat saya dari kampung bersebelahan – Kg Perlis – dijumpai di Tebengau [tempat yang agak jauh bagi budak sebaya saya dan pada era awal tujuhpuluhan pula] menjelang waktu senja. Itu pun setelah puas dicari dan puas pula diyakinkan bahawa tok mudim yang datang dari Yan pada paginya telah lama pulang… Sejak itu, khabarnya, dia akan semacam terkena sawan walau hanya melihat orang menebang pokok pisang, apa lagi jika disebutkan tentang mudim dan hal-hal berkaitannya…

Dipendekkan, pagi itu pun tiba. Dipendekkan kerana memori tercalar banyak. Almaklum, sudah genap empat dekad berpisah dengan si hujung itu…

Ramai orang berkumpul. Orang sekampung, ibu dan bapa saudara, sanak saudara termasuk yang paling saya ingat cucu Toktih Che Ah dari Sungai Nonang. Saya tidak ingat namanya [walau hanya dua pupu hubungan kami] kerana saya memanggilnya Maktih mengikut panggilan adiknya Ismail Ahmad yang sekelas dengan saya di SK Kangkong. Saya pun tidak tahu kenapa si Mail memanggil kakanya ‘Maktih’… Maktih datang bersama jirannya yang kebetulan sekelas dengan saya juga. Tidak pasti nama jirannya itu sebab dia ada saudara kembar seiras. Alangkah malunya diri ….

Masing-masing yang datang dengan tugas tertentu. Empat lima orang memasak. Itu sahaja yang minority yang saya ingat. Yang majoritinya, maksudnya yang lelaki, datang untuk melihat sama ada saya dan tiga rakan lagi meraung atau tidak, lebih seronok lagi gamaknya kalau ada di antara kami cuba untuk lari…

Tapi kami budak lelaki yang dijanjikan dunia jantan selepas acara hari itu! Mana boleh lari? Lagi pula kami kenal sangat dengan fiil orang sekampung dan sebangsa. Kalau meraung saja, apatah lagi kalau lari, sampai lima generasi tentu dijaja cerita itu…

Awal pagi lagi Cha Chin [Md Isa Hashim], Din Tok Don [ Shabudi n Abdul] dan Baili Tok Aq [bailli Ishak] telah bersama saya di atas rumah Tokwan. Mencuba-cuba kerangka batang nipah sambil memperagakan kain tidak berjahit masing-masing. Saya dan Baili ada kain pelikat manakala Din menggunakan kain batik Jawa dan Cha pula bersama kain batik panjang. Kami tidak bercakap banyak sesama kami. Hanya mendengar usikan atau giatan orang, baik yang dewasa mahu pun yang hampir sebaya yang telah pun bersunat. Yang belum bersunat tidak berani mencelah, takut dicempung sama menghadap tok mudim…

Macam-macam yang saya dengar dari scelah orang yang ramai di bawah rumah, di tepi tingkap lepau serta di beranda. Tapi secara peribadi, saya tidak kisah sangat akan usikan dan giatan. Tiga rakan yang lain tidak tahulah harti mereka. Mungkin menyumpah atau menyampah.

Saya ambil sikap yang cukup profesional. Ibarat pemain bolasepak Malaysia yang berada di Gelora Bung Karno, Senayan,Jakarta bagi menentang skuad Indonesia. Katalah apa pun…Biar dibawa masuk dengan barracuda sekalipun…

Kebetulan dua tiga tahun dahulu saya sempat melihat acara berkhatan beramai-ramai di Kg Teluk , mukim  Binjal, sekitar Asun, Jitra. Majlisnya meriah dengan peserta berkhatan dipakaikan seperti pengantin lelaki dan diarak sepanjang kampung sebelum disandingkan pula dan dimandikan di rumah yang telah bersedia tok mudim. Saya nampak Pak [Tok sebenarnya] Ndak Omar anak Toksu Minah/Toksu Salam yang dua tiga tahun tua daripada saya menjadi bahan usikan dan giatan orang sekampung. Mungkin kerana tubuhnya yang agak gempal dan berkhatan dalam usia yang lebih sedikit dari usia peserta lain. Tetapi Pakndak Omar tetap tenang. Katalah apa pun, usiklah apa pun atau giatlah sebanyak manapun, dia tidak kisah. Tiba gilirannya menghadap mudim, dia bagun dengan agak sukar tetapi berjalan dengan tenang. Saya tidak berpeluang melihat proses yang dilakukan di dalam rumah. Tetapi sebaik Pakndak Omar dibawa keluar, dan dia tetap setenang tadi, malah tersenyum pula, sayalah rasanya kanak-kanak yang paling awal bertepuk tangan. Seronok dan bangga. Pakndak Omar hero saya, hero anak kecil yang belum bersunat!

Semangat dan contoh dari Pakndak Omarlah yang saya bawa ketika tiba giliran saya bersunat. Katalah apa pun, usiklah apa pun atau giatlah sebanyak manapun, saya tidak kisah.

Ketika dihidangkan sarapan khas lagi istimewa untuk kami, saya melahapnya seperti biasa biarpun beberapa kali emak mengisyaratkan supaya saya memperlahankan rentak suapan dan kunyahan. Beberapa budak lelaki yang lebih muda hanya berkelling, menelan liur melihat kami makan. Itulah makanan terakhir sebagai budak-budak, kata hati saya, selepas ini kami akan menjadi lelaki dewasa…

Ada debar sedikit ketika dari celah orang ramai di bawah rumah terdengar pemakluman bahawa tok mudim sudah sampai. Tipulah kalau saya masih mahu mencatat dada saya sedikit pun tidak berombak… Timun yang berada di tepi buah durian pun sudah menggelabah menggigil, apa lagi budak seperti saya membayangkan tajamnya pisau tok mudim!

Kami diberi seorang sepiak sirih pinang untuk dikunyah, sambil disuruh membuka baju. Hanya tinggal kain pelikat kanak-kanak. Emak menepuk bahu dan kepala saya. Kemudiannya emak membaca sesuatu di atas ubun-ubu saya sebelum menciumnya. Emak tiga rakan lain juga berbuat demikian tetapi bacaan mereka tidaklah selpanjang bacaan oleh emak. Mungkin emak kena membaca lebih sedikit sebab saya peserta pertama. Toktam Don, ayah Shabudin, beberapa kali pernah meminta saya jangan menangis atau meraung. Malah malam tadi pun ketika dia bersama Paktam Aq , ayah Baili, datang berbual dengan ayah dan Tokwan, dia masih berpesan begitu. “Kalau hang yang mula teghiak, habih yang lain pakat ikut,”katanya. “Silap-silap yang last pakai tak potong ‘dah…”sambung Paktam Aq pula. Saya mengangguk dan tersengih tetapi berjanji di dalam hati untuk tidak menangis…

Nampaknya banyak sungguh pengharapan kepada saya. Berkat doa emak, saya bangun dengan  tenang sambil mengisyaratkan tiga rakan lagi mengikut ke beranda. Sirih pinang masih dikunyah.  Ketika mahu turun keberanda saya berselisih dengan seseorang yang membawa batang pisang sepanjang sedepa ke atas lepau. Sempat saya mengerling tok mudim dengan pembantunya. Paknjang juga ada di situ. Demikian pula Toklong Samad, rakan Tokwan yang sama bertukang rumah ayah. Berbuat sesuatu dan berbual sesuatu sesama mereka. Tokwan bersandar pada dinding lepau menghala ke rumah ibu, bersebelahan tempat kami bakal dipasung di dalam kerangka batang nipah kelak.

Di atas beranda telah bersedia empat orang. Masing-masing memegang baldi yang dipenuhi air. Di hadapan beranda ada pula beberapa orang yang juga bersedia dengan baldi berisi air. Kami diminta berdiri di atas tangga beranda. Dua orang pada satu anak tangga. Dengan sekali Bismillah dan selawat kami mula dijirus. Setimba.Sejuk tidak tercerita. Dua timba. Gigilan mula menyerang.Tiga timba. Sejuk gedi! Terketar-ketar badan kami. Beberapa orang rakan yang telah melepasi pengalaman itu tertawa di depan beranda. Celaka!

Saya dibawa naik dahulu ke atas lepau selepas badan dikeringkan dengan kain batik lusuh dan dipakaikan kain pelikat tidak berjahit. Suasana sepi. Di tepi  dua tingkap lepau rumah Tokwan bergayutan ramai orang memerhatikan pergerakan saya ke atas batang pisang di depan tok mudim. Beberapa yang lain berdiri di atas alang kerangka rumah yang terletak di sebelah lepau itu.

“Baik-baik oiii… sat ni kut patah kayu tu….’ Kata Toklong Samad sambil menjenguk ke tingkap lepau. Beberapa orang yang berdiri di atas alang tadi saling memandang. “Hoi Tok Don!” jerit Toklong Samad. Terdengar hilaian ketawa beberapa orang di sisi lepau. Mungkin ayah Shabudin itu berdiri di tempat bahaya atau kayu yang kecil.

Saya didudukkan mengangkang di atas batang pisang. Sejuk juga batang pisang kelat di depan rumah Tokwan itu. Tapi sejuk lagi tubuh saya. Sudahlah baru dimandikan, kain yang saya pakai tadi dilucutkan pula dan dipegang oleh Paknjang. Toklong Samad duduk di tepi Paknjang. “Tok Don lari pi tepi telaga nuuu” kata Toklong Samad. Paknjang tersengih. “Dia memang habaq. Dia tak berani tengok anak dia….”kata Paknjang separuh berbisik. Oooooo….

“Cek nama apa?”tanya tok mudim. Saya tidak mampu menjawab. Sirih pinang masih memenuhimulut saya, malah meleleh airnya hingga ke bawah dua sudut bibir.

“Mengaji darjah berapa ‘dah?” tanyanya lagi. Orang yang memberi piak pinang tadi telah berpesan, kunyah sirih pinang itu hingga ‘selesai’. Maka bagaimanakah saya mahu menjawab temuduga tok mudim pula?

Saya nampak pisau tok mudim. Saya nampak bagaimana dia mengilir pisau itu pada satu benda alah, bukan batu asah. Orang yang di tepi tingkap lepau kian ramai, saling berasakan bagi mendapat sudut  pandangan terbaik… Agaknya semua ingin menjadi orang pertama melihat saya meraung dan yang pertama juga bercerita mengenainya…  Hehehehe.  Orang bangsa saya… Sebab itu saya suka iklan akhbar NST di tv dulu-dulu dulu. Slogannya: Pertama ke peristiwa, pertama melaporkan… atau dalam bahasa Inggerisnya : First in news, best in entertainment [FINBIE]. Diterjemahkan secara harafiah, saya tidak jumpa apa hubungan ‘melaporkan ‘ dengan ‘hiburan’. Tetapi memikirkan lebih ldalam, bukankah melaporkan cerita adalah menghiburkan?? Sekali lagi: hehehehe.

Saya terus mengunyah sirih pinang. Dua orang memegang tangan saya kiri kanan dengan lembut. Paknjang di sisi, terangguk-anguk, seolah memberi semangat. Saya faham, telah tiba detik itu. Sebuah perpisahan abadi akan berlaku. Walau tidak memandang ke bawah, saya tahu tok sedang memegang……

OLEH KERANA MAHU DISIARKAN UNTUK  TATAPAN UMUM, ADEGAN SELEPAS ITU TERPAKSA DIPOTONG OLEH BADAN PENAPIS PERIBADI. Takut ditiru oleh kanak-kanak yang tiada seliaan dari orang dewasa. HARAP FAHAM!

Saya dipapah Paknjang yang menyelimutkan saya dengan kain pelikat tak berjahit yang dipegangnya tadi. “Lepaih dah. Lepaih dah. Lepaih dah. Alhamdulillah……”kata Paknjang sepanjang memapah itu.
Diletakkan saya di atas tilam kekabu yang dilapik tikar mengkuang di dalam petak pertama kerangka batang nipah. Emak yang berada di situ, sambil mengesat mata, menyorongkan bantal ke bawah kepala saya. Kain pelikat nan sehelai tadi dilhamparkan ke atas badan saya setelah bahagian kain yang bertepatan antara ari-ari dan peha dibuat bucu serta diikat dengan tali rami lalu digantung pada dawai yang direntang dari dinding lepau sehingga dinding bilik Chik yang berdekatan ‘biru’ [almari baju]. Saya mengangkat sedikit kain itu untuk melihat sekali lalu tempat mudim menunjukkan kepakarannya tadi. Emak mengusap-usap muka saya sambil membaca sesuatu. Kemudian emak mengesat matanya…

Tidak lama kemudian Shabudin pula sampai, dipapah oleh seorang abangnya. Diletakkan di petak di sebelah saya. Diperlakukan seperti saya tadi – diletakkan di atas tilam beralas tikar mengkuang dan diletakkan sebuah bantal di bawah kepalanya. Kain batik Jawa yang digunakan bagi menutup tubuhnya juga digantung di dawai terentang. Toktam Minah, emaknya duduk di hujung kepala Shabudin. Menggosok-gosok dadanya dan dada anaknya.

Seketika kemudian, dipapah masuk pula Md Isa oleh ayahnya sendiri, Paktam Chin.

Akhirnya, Baili pula dibawa masuk.Kalau tidak silap oleh abangnya, Mahmud.

Lengkaplah kami berempat direhatkan di dalam kerangka batang nipah itu. Kaki kami dianjurkan diletakkan di atas batang nipah panjang yang kami kongsi bersama. Apakah alasan saintifik supaya berbuat begitu tidaklah diberitahu. Tetapi hampir semua yang bergilir datang melihat kami selepas itu, mengesyorkan sedemikian. Kaki disantau di atas batang nipah di hujung petak.

Sebelum balik, tok mudim datang kepada kami dan memberikan setiap kami sekeping syling lima kupang [50 sen]. Mungkin acara simbolik supaya orang lain juga ikut berbuat demikian. {Namun hingga ke malam hanya saya yang agak tinggi perolehan – lapan ringgit lima kupang… Belum eranya setiap penziarah menghulurkan pitis!}

Selepas itu barulah di bawah rumah kedengaran sibuk. Para pemerhati tadi dan tetamu sedang menjamu selera. Demikian pula pada tetamu perempuan di atas rumah.

Saya masih ingat bagaimana Chik datang melihat saya sambil tersenyum. Di belaknagnya adalah Maktih, cucu Toktih Che Ah dan jirannya yang sekelas dengan saya itu. Alangkah malunya diri… Sudah menjadi dewasa, tetapi tidur bulat hanya dilapisi kain pelikat tidak berjahit…

Demikianlah.

Empat hari tiga malam kami berempat berada di rumah Tokwan. Dilayan seperti VIP setiap masa. Malamnya, selain keluarga kami, jiran-jiran sekampung turut bertandang, berjaga, sambil menghabiskan berteko-teko kopi pekat dan berpiring-piring biskut kering…

Di kalangan keluarga, kalau tidak silap Paknjang yang tinggal agak lama. Sehingga malam ‘menitik’ yakni melekangkan balutan mudim pada tempat vital tersebut… Entahlah. Mungkin Paknjang balik dan datang semula pada hari itu. Yang pasti, pada malam ‘menitik’ itu Paknjanglah yang melayan kerenah saya yang tergigil-gigil menahan seriau dan sakit ketika balutan cuba dibuka.

Empat hari itulah menjadikan kami cukup akrab dan mesra.  Hubungan sesama keluarga juga rapat meski bukan dari satu keturunan. Demikian pula dengan hampir seluruh warga kampung. Hampir setiap hari ada sahaja yang menjenguk walaupun sekejap. Wa, Paklang, Paknjang, Ngah bersama samatua masing-masing ikut datang, sekurang-kurangnya  pada hari bersunat.

Itu era tidak maju. Tahun 1973. Empat puluh tahun dahulu. Genap. Sistem perhubungan tidak hebat. Tetapi hubungan tetap hebat. Sesuatu yang bagi generasi yang tidak sempat merasainya, adalah satu cerita dongeng…

**********

November 2013. Awal cuti persekolahan.

Dua anak saudara saya bersunat. Di dua lokasi berbeza. Pada dua waktu berlainan..

Dan saya tahu tentang itu, hanya setelah ‘hujung’ berkenaan dipisahkan dari jasad mereka buat selamanya…

Bapa saudara era moden yang canggih dalam serba ….

No comments:

Post a Comment